Halaman

Adik Kakak Yang 'Berniaga'


Si adik membeli sebuah beg di pasar malam dengan harga kira-kira RM 10.90. Beg yang kelihatan 'mini' mudah saja menarik minat kepada kanak-kanak yang berumur lingkungan 7 tahun untuk memilikinya.

Begitulah si adik tadi.

Namun, setelah hampir seminggu menggunakan beg itu, si adik nampaknya sudah bosan dengannya. Maka, beg itu diletakkan di merata tempat dalam rumah.

Menyedari peluang itu, si kakak pula berminat untuk mengambil beg itu dan menggunakannya. Oleh kerana si kakak juga masih kurang 'akal', dia hendak membeli beg itu dengan harga RM 2.00 sebagai tukaran pemilik kekal beg itu daripada adiknya.

"Dik, kakak nak beli beg tu. Kak bagi dua ringgit," mungkin itu yang dikatakan si kakak kepada adiknya, dengan gaya memujuk.

Oleh kerana tidak tahu nilai wang ringgit, si adik tanpa berfikir panjang menyetujuinya buta-buta.

Setelah hampir seminggu kemudian, si adik terasa hendak menggunakan beg itu. Namun, kakaknya tidak mengizinkan tetapi mengenakan satu syarat,

"Bayar 20 sen setiap satu minggu kalau nak guna beg ni."

Si adik akur. Berbekalkan duit belanja harian sekolah, dia 'mampu' untuk membayar sewa sebanyak 20 sen setiap minggu kepada kakaknya.

KISAH LAGI

Seorang kakak sering bersiar-siar dengan menunggang basikal bersama 2 orang adiknya. Oleh kerana tempat bersiar itu berhampiran dengan sebuah kedai runcit, tempat itu menjadi persinggahan utama mereka.

"Ambik duit 2 ringgit dalam tabung!" arah si kakak tadi kepada adiknya.

Tabung adik, bukannya tabung kakak. Duit yang ada dalam tabung adik hanya menjadi 'penuh' setelah berlalu musim raya. Tidak seperti kakaknya. Setiap hari mesti bertambah kerana berjimat cermat ketika berbelanja di sekolah.

Duit sebanyak 2 ringgit itu digunakan untuk membeli sebatang aiskrim. Ais krim Cornetto menjadi pilihan mereka setiap kali hendak membeli.

Oleh kerana si kakak adalah paling cerdik dalam kalangan mereka, dia seolah-olah mempunyai kuasa 'veto' menguasai aiskrim yang di beli. Mereka seolah-olah berkongsi, tetapi hakikatnya si adik hanya menggigit semulut dua. Selebihnya diratah puas-puas oleh si kakak.

NILAI

Begitulah kisah kehidupan orang yang tiada ilmu. Seperti yang kisah pertama, si kakak segera mengambil kesempatan kepada adik kerana tahu akan kebodohan adiknya. Kalau kita tengok kisah ini, kedua-duanya adalah realiti yang berlaku kepada kanak-kanak.

Ceritanya boleh di ketawakan kerana lucu akan kebodohan budak-budak.


Sedar atau tidak, sebenarnya sedikit sebanyak kisah-kisah seumpama dengan cerita di atas berlaku dalam realiti kehidupan orang dewasa sendiri.

Ambil kesempatan atas kebodohan orang lain.

Itulah hikmahnya Imam Syafie meletakkan urusan jual beli dengan kanak-kanak tidak sah. Mereka tidak tahu untung-rugi sekiranya di tipu. Menurut cerita tadi, mungkin si kakak pun jahil dalam bab muamalat yang telah ditetapkan syarak. Sebab itulah dia seolah-olah 'menindas' si adik.

Pendek kata dua-dua jahil.

Fitrah manusia memang nak kepentingan yang menyebelahi dirinya. Sebab itulah perlunya ilmu dan iman untuk mengawal diri daripada menzalimi orang lain.

"Tuntut Ilmu, Jaga Iman, Tingkat Amal!"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!