Halaman

Majlis Makan Malam : 'Uruf Sahih atau Fasid?

Hidup bersuka ria, bukanlah rutin yang sesuai untuk seorang hamba


"Kenapa tak mau datang farewell nanti?", seorang sahabat karib saya bertanya.

"Bukan tak mau, tapi...", saya berfikir menyusun kata, bukan mencari alasan.

"Beginilah, cuba bayangkan, kalau Rasulullah SAW masih hidup dan kita jemput baginda hadir sebagai seorang VVIP. Tergamak tak kita buat dekat hotel, yang jelas dengan pembaziran?", saya mula berkata-kata, mendatar.


Daripada al-Nawwas bin Sam’aan RA, Nabi SAW telah bersabda: Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlak. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.

(Hadis Riwayat Muslim)

TUJUAN

Apa yang pasti, segalanya dirancang ada tujuannya. Lazimnya, setiap komuniti yang berkumpul bersama akhirnya mengadakan majlis makan malam atau farewell sebagai tanda kenangan untuk perpisahan. Namun, dari manakah datangnya budaya seperti ini?

Islam tidak pernah sama sekali mengajar penganutnya berlebih-lebihan atau ghulu' dalam setiap perkara. Perhatikan firman Allah SWT :

وَڪُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ
"Makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." 
(Surah Al-'Araf, ayat 31)

Saya yakin, sesiapa yang menyedari perintah Allah supaya tidak berlebih-lebihan memahami mengapa saya seakan-akan 'memboikot' majlis-majlis seumpama ini. Mana tidaknya, RM 50 dihabiskan satu malam, hanya sekali makan, sedangkan  nilai sebanyak itu boleh digunakan selama 4 hingga 5 kali hidangan berat!

Jelas sekali pembaziran telahpun berlaku.

Berbalik semula kepada tujuan asal, mengapa kita mengadakan majlis seumpama ini?
  1. Nak mengeratkan lagi silaturrahim;
  2. Alaaa, sekali sekala, tahun akhir dah kat sekolah ni;
  3. Nak pakai baju cantik-cantik!
  4. Nak makan makanan hotel..sedaaaap..
  5. Nak enjoy dengan kawan-kawan..
Hurm...tujuan yang boleh diterima akal hanyalah alasan yang pertama, kan?
Manakala tujuan lain-lain hanyalah menjadikan kita seorang hamba yang leka dan lalai daripada mengingati Allah.

Tapi, mengapa perlu juga memilih tempat-tempat mewah? Saya fikir, kalau benar untuk mengeratkan silaturrahim, buat BBQ tepi pantai atau sungai dan masak bersama.

Itu lebih baik.

Lebih jelas ikatan persaudaraan dan kemesraan. Jimat.
Kalau di hotel, makanan sudah tersedia di atas meja, hanya menunggu untuk makan.'Aku makan aku punya, Hang makan hang punya!'

Malam itu panjang, janganlah kamu pendekkannya
dengan perbuatan sia-sia : kata-kata seorang ilmuwan


MASA UNTUK BERLAGAK!

Wah, dahsyatnya tajuk, masa untuk berlagak!
Memang padan sekali, rasionalnya, sudah tentu berlaku perbezaan jurang antara yang miskin dan yang kaya.

Jelas di mata.

Yang kaya dengan iPhonenya, dengan baju yang berkelip, bersimpang siur jilbabnya. Yang miskin hanya berjubah atau berbaju kurung biasa, tiada iPhone atau elektronik canggih untuk dibimbit.

Ironisnya, memakai baju dengan bertabarruj yang berlebihan sudah tentu akan berlaku. Sedangkan, hal ini jelas dilarang oleh Allah SWT dalam al Quran:

وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ
"Janganlah kamu mendedahkan(berhias) diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu."
(Surah Al-Ahzab, ayat 33)

Menampakkan jurang miskin dan kaya, sudah tentu boleh menyinggung perasaan bagi yang kurang berkemampuan. Bukan itu saja, si kaya akan berasa dirinya lebih bagus daripada orang lain, dalam erti kata lain wujud satu persaan 'takabur'.

Bukankah takabur itu hanya layak untuk Allah SWT?

SARANAN DAN CADANGAN

Adakah kita malu, kalau ada orang tanya, 'sekolah ampa tahun ni buat farewell kat mana?'
dan kita jawab, 'hotel seri malaysia ja!'

Atau kita nak rasa 'gah'? ('kami buat kat EQ!!'-gitu?)
Itulah yang kalut dok cari hotel mahai-mahai, dewan makan cunlah, makan sedaaap!

Bunyinya seakan tiada 'kelas'. Namun, cukuplah firman Allah SWT ini menutup apa yang sepatutnya kita tidak perlu berasa malu :

إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)."
(Surah Al-Hujrat, ayat 13)

Farewell, 'uruf sahih atau fasid, terpulang kepada kita bagaimana mengendali dan penampilan kita ketika menghadirinya.Kalau sudah menepati segala suruhan dan tuntutan Allah, maka silakan..

Cukuplah mengingati seumpama Rasulullah SAW hadir ke majlis itu menjadikan kita terkawal nafsu buas dan tidak lupa diri serta asal usul tujuan penciptaan...

*Maaf kepada AJK farewell yang terasa hati membaca artikel ini, meskipun pahit, yang benar tetap benar..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!