Syaitan dibelenggu, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup...bukankah ini yang kita nantikan? |
Kisah ini berlaku di hadapan mata kepala saya ketika masih di bangku sekolah rendah lagi. Tapi, masih segar dalam ingatan kerana peristiwa itu dianggap ganjil sekali.
"Nak masuk neraka? tak dengar cakap mak?", saya mengancamnya setelah puas memujuk.
"Ya, nak masuk neraka!", dia menjawab selamba dan mendatar.
Hah? Tergamam saya dibuatnya. Tak pernah pulak dengar orang kata nak masuk neraka.Tak pernah pulak dengar orang kata nak masuk neraka. Dari kecil, saya diajar supaya takutkan neraka dan menginginkan syurga. Herot juga mulut saya mendengar telatah si Haikal sebentar tadi.
Lalu, saya bertanya lagi, "Kenapa nak masuk neraka, tak takut terbakar?"
"Tak la...masuk neraka terbakar, boleh jadi superman!", saya yakin dia langsung tidak mengerti hakikat neraka yang sebenarnya.
WAWASAN AKHIRAT
Apa yang anda lakukan sekiranya jualan murah dilancarkan di pasar raya berdekatan dengan rumah?
Nak-nak pulak, yang beli satu percuma sepuluh, seratus. Beli seringgit dapat seribu. Pasti dan konfem punyalah, berebut-rebut orang datang ke tempat itu untuk menikmati promosi yang sangat mengujakan.
Itu dunia. Sifatnya sementara dan akan kehabisan nikmatnya.
Bagaimana tawaran akhirat, ganjaran pahala yang berlipat ganda di bulan yang akan kita tempuhi beberapa jam lagi?
Sudah tentu kita katakan bahawa orang yang tidak cerdik saja akan membiarkan promosi seperti pasar raya di atas berlalu begitu sahaja. Orang yang penuh kerugiannya, kerana tidak berusaha mendapat sesuatu benda yang lebih murah, kualiti yang sama.
Tetapi, mengapa kita tidak merasakan bahawa kita sebagai orang-orang yang teramat sangat rugi sekiranya tidak berlumba mendapatkan pahala dan keampunan Allah?
SAMBUTLAH
Ramadhan hadir, bulan yang pada siang harinya kita berpuasa. Wajarkah kita menyambutnya dengan pesta makanan?
Semua orang tahu jawapannya, tapi kenapa jadi juga, ya?
Kenapa, tepuk dada tanya iman.
Seperti kisah yang saya petik diawal catatan ini, seorang budak yang berkata mahukan neraka kerana boleh memberi 'sesuatu' pada dunianya. Jawapan yang terbit dibibirnya itu berkait rapat dengan ilmu yang dimilikinya. Mana mungkin seseorang mahukan penderitaan dalam hidup yang kekal abadi di akhirat kelak?
Pengajarannya, perlu berilmu. Saya pernah ceritakan kisah sebelum ini tentang kelakuan orang jahil.
Dengan ilmu kita dapat membuat korepsi dan muhasabah dalam diri. Perhatikan amalan-amalan kita semula pada Ramadhan yang lalu, adakah cukup kuantitinya, kualitinya?
Peringatan buat diriku dan pembaca yang dirahmati Allah sekalian, jauhi perkara makruh, perkara yang boleh mengurangkan pahala kita.
Ketidaksempurnaan semasa berpuasa akan memberi kesan kepada tujuan asal kita diwajibkan berpuasa, seperti firman Allah;
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."
(Surah al-Baqarah, ayat 183)
Seperti yang disimpulkan oleh Ustaz Roslan Mohamed, kita hendaklah ikhlaskan segala ibadah kita. Jangan kerana angpau yang menanti, kita bertungkus lumus mengkhatamkan al-Quran.
Rugilah. Ganjaran diberi mengikut apa yang diniatkan.
Sedangkan ganjaran di akhirat jauh lebih baik berbanding sekeping wang kertas berwarna merah di dunia.
Seterusnya, persiapkanlah diri kita dengan menambah keyakinan kita kepada Allah. Yakin nikmat-nikmat yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui hadis-hadisnya. Manfaatkanlah kesempatan umur yang dianugerahkan Allah, dengan merasakan Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir.
Pesan Rasulullah SAW melalaui sabdanya daripada Abu Hurairah r.a.;
الصيام جنة وإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث يومئذ ولا يسخب فإن سابه أحد أو قاتله فليقل : إني امرؤ صائم
"Puasa adalah pelindung daripada neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah : 'sesungguhnya aku berpuasa'."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jagalah kualiti ibadah puasa kita. Itulah yang utama. Kalau setakat lapar dan dahaga, tiada nilai disisi Allah, semua orang boleh laksanakan. Sebab itulah Rasulullah SAW tidak berpesan kepada umatnya agar meninggalkan makan minum, sebaliknya menyuruh kita menahan diri daripada mengucapkan kata-kata kesat. Perkara inilah yang susah untuk dilaksanakan.
AZAM
Di akhir ceramah Ustaz Roslan, beliau mencadangkan agar kita melaksana perkara berikut(saya tak pasti dia petik kata-kata ulama' atau kata-katanya sendiri):
1. Mengkhatam dan mentadabbur 30 juzu' alQuran;
2. Bertaubat dengan taubat nasuha;
3. Menjadikan titik tolak ini untuk beristiqamah;
4. Melakukan kebaikan sebanyak yang mungkin;
5. Memperbaiki budi pekerti akhlak;
6. Bekerja dan belajar untuk agama Islam;
7. Memberi komitmen pada ibadah-ibadah khusus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!