Halaman

Tak Kenal, Maka Tak Cinta

Segalanya bermula daripada kumpulan kecil
"Nak tanya, kenapa kena baca ma'thurat lepas solat?" Zirah bertanya, selepas menuaikan fardhu Asar berjamaah di dewan sekolah ketika program khemah ibadah.

"Berdoa. Doa-doa ma'thur yang dikumpul oleh Hassan al-Banna, berdasarkan hadis-hadis sahih. Ianya disusun untuk pembacaan ahli-ahli Ikhwanul Muslimin ketika itu. Jadi, boleh juga kalau kita amalkan," saya memberi jawapan yang acuh tidak acuh, kerana tidak begitu jelas dengan soalan yang ditanya.

"Siapa Hassan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin?" tanyanya lagi.

"Pertubuhan gerakan pembaharuan Islam di Mesir, manakala Hassan al-Banna itulah pengasasnya," jawab saya, seringkasnya.

[Malasnya nak jawab soalan tu sebenarnya. Nak saja saya cakap padanya, 'Nah, ko ambik buku ni. Baca!']

"Ooo..macam tu ka...terima kasih!" balasnya, mungkin sudah berpuas hati dengan jawapan 'tergantung' itu.
PERMATA DARI MESIR

Hassan al-Banna, atau nama sebenarnya, Hassan bin Ahmad bin Abdul Rahman dilahirkan di dalam suasana negara Mesir dalam keadaan yang kritikal. Penguasaan golongan Ateis, penjajahan British yang mengamalkan dasar pecah dan perintah dan pergaduhan antara puak kristian dan Muslim.

Malah, pemerintah Islam ketika itu [pimpinan Mustaffa Kamal] sendiri mengambil tindakan memisahkan agama dan politik. Sistem khalifah yang diguna pakai oleh Mesir sekian lamanya hendak dihapuskan. Perjuangan agama juga turut di pinda menjadi perjuangan bangsa.

Ulama'-ulama' ketika itu juga banyak bertelagah dengan isu-isu yang tidak bermanfaat. Mereka sering berdebat tentang hukum-hakam feqah dalam perkara-perkara khilaf. Lebih menakutkan, para ulama' ketika itu sanggup mengada-adakan hadis palsu demi menyanjungi dan menyokong perbuatan sultan/pemerintah.

Suasana ketika itu dan ketika zaman milennium ini, mungkin tidak banyak bezanya. Di tengah-tengah kekalutan dan kemelut yang pelbagai itu, insan yang berjiwa murabbi itu berjaya dibentuk. Maka, tiadalah lagi alasan kita untuk membiarkan dunia hari ini tanpa kelahiran 'Hassan al-Banna' yang baru.

Jangan tunggu 'Hassan al-Banna' akan muncul sendiri.

Hassan al-Banna telah syahid pada usia 43 tahun (1949M), selepas solat subuh, di hadapan masjid setelah di tembak oleh tentera-tentera syaitan laknatullah. Peristiwa gugurnya syahid ini mendapat sorakan tokoh-tokoh British dan barat ketika itu kerana menganggap telah mencapai satu 'kejayaan' yang agung.

As Syahid Imam Hassan Al-Banna


KETEGASAN PERIBADI

Minat Hassan al-Banna terhadap tulisan Syeikh Yusuf ad-Dajwi memdorong Hassan menziarahinya selepas berbuka puasa dan berbincang bersama-sama dengannya.

"Lihatlah apa yang berlaku kepada negara kita sekarang. Perubahan demi perubahan berlaku ke arah kemerosotan. Saya risaukan hal ini," Hassan memulakan bicara.

"Itulah lemahnya, kita umat Islam sekarang. Persatuan Nahdatul Islam yang saya tubuhkan pun tidak berjaya. Sudah terbukti usaha persatuan itu tidak berhasil," Syeikh Dajwi menzahirkan kesedihan.

Hassan al-Banna mula berkerut dahi. Tidak jelas.

"Dalam keadaan begini, memadailah seseorang itu memelihara dirinya dengan menyelamatkan dari zaman kebendaan yang tidak bertuhan itu," tambah Syeikh Dajwi lagi.

"Kau berusahalah sebaik mungkin dengan segala daya dan tenagamu. Selebihnya, berserahlah hasil dan keputusannya kepada Allah," Syeikh Dajwi memberi nasihat kepada Hassan.

"Saya tidak setuju. Pendapatmu itu adalah satu alasan untuk mengelakkan diri daripada tanggungjawab. Tuan takutkan siapa? Adakah Tuan takutkan Al-Azhar atau kerajaan? Pencen tuan sudah mencukupi. Tuan boleh duduk di rumah dan bekerja untuk Islam. Sesungguhnya rakyat bersama Tuan. Hadapilah mereka," Hassan al-Banna memberi reaksi yang tegas dari hati yang terluka.

Syeikh Dajwi diam membisu.

"Saya dapati, hati mereka ini penuh dengan kecintaan Iman dan Islam. Tenaga hebat yang ada pada rakyat ini tidak dipedulikan. Para pengikut Ateis tidak mampu berhadapan dengan seorang muslim sejati. Mereka berjaya menerbitkan majalah dan akhbar kerana kita telah cuai dan lalai. Mereka akan lenyap jika kita ada kesedaran politik!" Hassan menzahirkan kata-kata yang penuh dengan kekesalan.

Hassan memegang prinsip ini dengan teguh. Beliau yakin dengan janji Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

(Surah Muhammad, ayat 7)

IMPIAN YANG BUKAN ANGAN-ANGAN

Huraian Hassan mengenai cita-citanya :
Saya yakin, manusia dari segi fitrahnya, adalah saling berkasih sayang. Tumpuan kasih sayang saya ialah seorang sahabat. Dia bersemadi di dalam diri saya seumpama roh saya sendiri.


Untuk mencapai cita-cita umum, saya menyediakan dua senjata akhlak iaitu :


1. Ketegasan;
2. Pengorbanan.


Kedua-dua senjata ini perlu bagi seorang tokoh pembaharuan. Bahkan rahsia kejayaan berasa pada kedua senjata ini. Tokoh pembaharuan yang ada dua senjata ini tidak akan menghadapi kegagalan yang mungkin menjejaskan maruah atau mendatangkan malu kepadanya.


Di samping itu, ia juga memerlukan kepada cara praktik (amali) iaitu meneruskan pengajian. Saya juga telah menghubungi peribadi-peribadi yang sependapat dengan saya. Badan saya lemah, namun begitu saya sudah biasa dengan kerja keras yang berterusan.


Saya menyerahkan kehidupan kepada Allah SWT. Saya berdoa kepadaNya agar Dia menerima usaha saya ini dan memberi saya kekuatan untuk melaksanakan tugasan.

PENUBUHAN IKHWANUL MUSLIMIN

Persatuan ini ditubuhkan dengan perjanjian setia enam orang sahabat Hassan al-Banna sebagai saudara, bekerja untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan melancarkan jihad. Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulkaedah, 1347H, bersamaan bulan Mac 1927M.

Mereka ialah :

1. Hafiz Abdul Hamid;
2. Ahmad al-Husari;
3. Fuad Ibrahim;
4. Abdur-Rahman Hasbullah;
5. Ismail Izz;
6. Zaki al-Maghribi.

Baiah mereka,
"Kami telah mendengar ceramah awak. Kami telah berfikir mengenainya dengan begitu mendalam sekali. Kami sangat tertarik dengannya. Tetapi kami tidak tahu bagaimana untuk bertindak secara berkesan. Kami benci dengan cara hidup yang ada sekarang. Cara hidup sekarang seperti kehidupan orang tawanan yang penuh dengan kehinaan.


Awak telah melihat orang-orang Arab dan orang-orang Islam tidak ada kehormatan lagi di negara ini. Mereka hanyalah khadam-khadam yang sangat patuh kepada orang asing. Darah yang mengalir di dalam urat saraf kami ialah darah yang panas. Kami memiliki Iman dan maruah. Kami membawa dirham-dirham yang sedikit ini kepada awak setelah kami mengurangkan perbelanjaan keluarga kami.


Awaklah yang lebih tahu cara yang paling baik untuk kami memberi sumbangan kepada Islam, umat Islam dan negara. Kami datang kepada awak untuk menyerahkan segala milik kami agar kewajipan kami kepada Allah terlaksana. Awaklah yang akan memimpin kami. Kumpulan yang berjuang untuk Islam dan umat Islam, bertindak semata-mata kerana hendak mencari keredhaan Allah sahaja. Kumpulan begini layak menerima kejayaan walaupun ia kecil dan kelengkapannya kurang."
BERAKHLAK : TUNJANG UTAMA

"Berapa upah yang kamu mahukan?" tanya ketua Jurutera Syarikat Terusan Suez kepada Hafiz, seorang tukang kayu dan juga ahli Ikhwanul Muslimin.

"Hmm...saya mahu, 130 Qursh," jawab Hafiz dengan jujur.

"Awak seorang perompak!" balas Encik Solent.

"Bagaimana saya menjadi perompak?" tanya Hafiz sambil menahan marah dengan penuh kesabaran.

"Awak meminta upah yang lebih dari yang awak terima," Encik Solent menjelaskan.

"Saya tidak akan mengenakan apa-apa bayaran. Saya akan melakukan kerja itu dengan percuma jika salah seorang daripada jurutera awak mengatakan saya meminta upah lebih. Jika jurutera awak itu mengatakan upah yang saya minta itu berpatutan, maka saya akan menebus maruah saya yang telah dicemari oleh kata-kata awak tadi," Hafiz mengemukakan cadangan.

Encik Solent bertanyakan salah seorang juruteranya dan bertanya mengenai upah kerja tadi. Selepas melakukan kiraan, dia menetapkan upah kerja itu pada kadar 200 Qursh!

"Baiklah, lakukan kerja awak sekarang," arah Encik Solent kepada Hafiz.

"Saya akan lakukan setelah awak meminta maaf di atas kebiadapan dan tuduhan tadi. Saya mahu awak menarik balik kata-kata awak itu," Hafiz berhujah.

"Siapakah awak sehingga sanggup menyuruh saya meminta maaf? Kepada raja Fuad pun saya tidak akan meminta maaf jika baginda berada di sini," kata Encik Solent yang naik radang dengan angkuh dan sombong.

"Encik, awak telah melakukan kesalahan kedua. Awak berada di dalam negara Raja Fuad. Awak sepatutnya tahu adab dan resam negara tuan rumah. Tidak patut sekali awak mengeluarkan kata-kata yang menghina seperti itu," kata Hafiz dengan nada yang lembut.


Encik Solent mengalihkan pandangannya dari Hafiz dan mula berjalan mundar mandir di dalam dewan yang luas itu sambil tangan dimasukkan ke dalam poket. Suasana dewan sunyi seketika.

"Seandainya saya tidak meminta maaf, apa yang hendak awak lakukan?" Encik Solent bertanya.

"Saya akan menulis kepada konsul dan duta awak. Kemudian saya akan memberitahu pihak atasan Syarikat Terusan Suez di Paris. Saya akan menulis surat kepada ketua ketua-ketua pengarang akhbar tempatan dan luar negeri," jawab Hafiz, tenang.

"Rasanya, saya sedang bercakap dengan seorang pegawai tinggi dan bukannya seorang tukang kayu. Tidakkah awak sedar yang awak sedang bercakap dengann Ketua Jurutera Syarikat Terusan Suez? Bagaimana awak boleh terfikir saya akan meminta maaf kepada awak?" kata Encik Solent yang angkuh.

"Tidakkah awak sedar Syarikat Terusan Suez berada di dalam negara saya dan bukannya di dalam negara awak? Lagipun penguasaan awak ke atas syarikat ini adalah sementara saja. Suatu hari nanti, syarikat ini akan jatuh ke tangan kami. Waktu itu, awak akan menjadi pekerja kami. Oleh itu, bolehkah wak membuat kesimpulan bahawa saya akan melepaskan hak saya?" kata Hafiz.

Kali ini, wajah Encik Solent kelihatan lembut. Dia mendekati Hafiz.

"Hafiz, saya minta maaf dan saya menarik balik kata-kata saya," kata Encik Solent.

Hafiz kini melakukan tugasnya hingga selesai. Encik Solent memberikannya 150 Qursh.

Hafiz mengambil 130 Qursh dan memulangkan 20 Qursh.

"Simpanlah 20 Qursh itu," kata Encik Solent.

"Tidak. Saya tidak mahu menjadi perompak dengan mengambil lebih dari hak saya," Hafiz memulangkan paku buah keras.

"Mengapakah ke semua orang Arab tidak seperti awak? Adakah awak daripada keluarga Muhammad SAW?" kata Encik Solent dengan nada terkejut.

"Setiap orang Islam adalah keluarga Muhammad. Tetapi, sesetengah orang Islam gagal berbuat demikian kerana mereka mengadakan kerjasama ekonomi dengan orang-orang Eropah secara membuta tuli. Mereka menjatuhkan maruah mereka sendiri," Hafiz menerangkan sesuatu.

Encik Solent tergamam. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkannya.

Akhirnya, mereka bersurai.

Rujukan : Hasan Al-Banna, Detik-Detik Hidupku, Pustaka Salam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!