Halaman

Mari Berkenalan Dengan Mus'ab bin Umair



"Itu lelaki yang sungguh baik," kata seorang penduduk Makkah.

Andainya anak manja kepada Umair dan Khunas itu berlalu di satu jalan, semua mata anak dara memandang kepadanya. Haruman bajunya semerbak dan kekayaannya terserlah, sudah cukup menarik perhatian mereka.

Itu kisah sebelum keislamannya.

Selepas itu, kemewahan dunia yang diperolehinya, seorang hartawan yang kaya raya lagi mempunyai nama yang masyhur, disaluti kasih sayang ibu bapa yang tidak seaqidah lagi, akhirnya...ditinggalkan!

Beliau meninggalkan semua itu, tanpa bersyarat demi keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya.

DIUJI DENGAN SI IBU

Bagi Mus'ab, tidak ada penghalang yang lebih hebat berbanding ibunya sendiri. Tiada ketakutan dan kekhuatiran sedikitpun andainya seluruh warga penduduk kota Makkah bergabung menjadi suatu kuasa untuk menghancurkannya.

Kerana kekhuatiran keislamannya diketahui oleh si ibu, Mus'ab merahsiakannya terlebih dahulu.

Namun, kerahsiaan itu terbongkar setelah Uthman bin Talhah melihat Mus'ab memasuki rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam di Bukit Safa, secara sembunyi. Rumah al-Arqam ketika itu digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menyembangkan dakwah Islam.

Kejadian itu segera dilaporkan kepada ibunya.

Namun, naluri keibuan mengatasi segala-galanya. Si ibu tidak sanggup menampar dan menyakiti anak sendiri. Oleh itu, Mus'ab dikurung di satu tempat yang agak terpencil dan dikawal ketat oleh orang-orang suruhan ibunya. Keadaan Mus'ab berlanjutan sehingga kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah.

Dengan izin Allah, Mus'ab berjaya melarikan diri dari kepungan itu dan turut berhijrah bersama kaum Muslimin lain.

Sebagaimana sahabat Muhajirin yang lain, mereka ditimpa tinggal sehelai sepinggang. Apabila Rasulullah SAW melihat keadaan Mus'ab yang berjubah usang dan bertampal, baginda bersabda,

"Dahulu aku melihat Mus'ab ini tidak ada yang mengimbangi dalam memperoleh kesenagan dari kedua ibu bapanya, kemudian ditinggalkannya semua itu demi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya."

Ketika pulang ke Makkah, Mus'ab telah berazam hendak membunuh orang suruhan ibunya yang telah mengurungnya. Berita itu telah sampai kepada si ibu.

"Pergilah sesuka hatimu. Aku bukan ibumu lagi," kata Khunais, ibu kepada Mus'ab sambil bercucuran air mata, kerana yakin, tekad si anaknya tidak boleh dihalang lagi.

"Wahai ibu, telah aku sampaikan nasihat kepadamu dan aku menaruh kasihan kepadamu, ibu. Oleh sebab itu, saksikanlah bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad itu hamba dan utusan-Nya," balas Mus'ab bernada lembut dan penuh hikmah.

"Demi binatang! Sekali-kali aku tidak akan masuk kedalam agama itu kerana otakku akan menjadi rosak, pandanganku tidak akan didengari lagi," sumpah si ibu.




PENEGAK PANJI DI MEDAN UHUD

Mus'ab berperanan sebagai pembawa panji di medan Uhud. Inilah peperangan kedua dalam Islam.

Medan Uhud menyaksikan kekalahan umat Islam pada pusingan kedua kerana keingkaran tentera Islam dalam mematuhi arahan Rasulullah SAW. Mereka turun dari bukit setelah menang pada pusingan pertama untuk mengutip harta perang yang ditinggalkan musuh. Ketika itulah mereka diserang kembali.

Berkata Ibnu Sa'ad, diceritakan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhammad bin Syurahbil al-'Abdari dari bapanya, katanya :

Mus'ab bin Umair adalah pembawa bendera di Perang Uhud. Tatkala barisan kaum Muslimin pecah, Mus'ab bertahan pada kedudukannya. Datanglah seorang berkuda, Ibnu Qumaiah, lalu menebas tangannya hingga putus, sementara Mus'ab menyatakan, "Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul, yang sebelumnya didahului beberapa orang Rasul."


Maka dipegangnya bendera disebelah tangan kiri sambil membongkok untuk melindunginya hingga datang musuh memotong tangan kiri pula. Mus'ab membongkok kearah bendera, lalu dengan kedua pangkal lengan beliau meraihnya ke dada sambil mengucapkan, "Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul, yang sebelumnya didahului beberapa orang Rasul."

Lalu orang berkuda itu menyerangnya kali ketiga dengan tombak, dan menusukkannya hingga tombak itu patah. Mus'ab pun gugur, dan bendera itu jatuh.


ZUHUD, BUKIT UHUD MENJADI SAKSI

Setelah selesai pertempuran, jasad beliau dijumpai dalam keadaan terbaring dengan wajah yang diliputi tanah dan darah syahid yang mulia itu.

Rasulullah bersama para sahabat hadir meninjau medan pertempuran untuk menyampaikan perpisahan kepada para syuhada'.

Berkata Khabbah Ibnu 'Urrat,

Kami berhijrah di jalan Allah bersama Rasulullah SAW dengan mengharap keredhaan-Nya, hingga pahala itu diperoleh di sisi Allah. Di antara kami ada yang telah berlalu sebelum menikmati pahalanya di dunia ini sedikitpun juga. Di antaranya ialah Mus'ab bin Umair yang telah syahid di perang Uhud.

Tiada sehelai kain pun untuk menutupinya selain sehelai burdah. Andainya diletakkan di atas kepalanya, terbukalah kedua belah kakinya. Sebaliknya apabila diletakkan ke kakinya, terbukalah kepalanya.


Maka sabda Rasulullah SAW, "Tutupkanlah bahagian kepalanya, dan kakinya itu tutuplah dengan rumput idzkhir!"

*Nota kaki : Zuhud bukanlah alasan supaya seseorang itu kelihatan selekeh, malas berusaha untuk mencari rezeki. Memberi itu lebih baik daripada hidup meminta-minta. Apa yang berlaku kepada Mus'ab bin Umair adalah, pada asalnya beliau seorang yang kaya raya, tetapi ditinggalkan kemewahan itu demi Allah dan Rasul-Nya.

Rujukan : Perihal Hidup 60 Sahabat Rasulullah SAW, Khalid Muhammad Khalid - Alih Bahasa Indonesia : Mahyuddin Syaf dkk (Penerbit CV Diponegoro Bandung, 1982)

1 ulasan:

  1. subhanallah, very nice story... :)
    - Ain Lam Mim -

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!