Walaupun interaksi antara lelaki dan perempuan diharuskan, namun, terdapat panduan dan batas-batasnya. |
Walaupun banyak kali saya mendengar budaya couple sudah parah menular dalam masyarakat kita, tidak pernah walau sekalipun, saya menyaksikan rakan-rakan terdekat melakukan perkara sedemikian. Sehingga kini, alhamdulillah, tiada lagi sahabat-sahabat saya yang melakukannya terang-terangan.
Cuma, hurm, ada lagi 'cuma'.
Ketika berjalan ke kafe dalam kampus bersama rakan-rakan, misalnya, saya terkejut dan berasa sedikit kekok kerana tidak terbiasa dengan 'budaya' yang sesuka hati menegur kaum berlainan jantina tanpa ada keperluan yang dibenarkan oleh syarak, ketika terserempak di tengah jalan.
"Kau nak pergi mana ni?" hanya soalan itu. Senyuman dan gelak tawa, menyusul selepas itu. Apakah itu perlu?
Hairan. Pernah saya bersuara mengenai ketidaksopanan apabila melakukan sedemikian, kata mereka, "takkanlah yang tu pun tak boleh? Bukan buat apa-apa pun. Just kawan!"
Bukan setakat menegur tanpa tujuan yang dibenarkan tidak digalakkan, malah, meninggalkan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada dirinya dapat melambangkan kesempurnaan seseorang muslim, sebagaimana hadis nabi Muhammad SAW:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata : "Antara (tanda-tanda) keelokan keislaman seseorang ialah dia meninggalkan segala perkara yang tidak berguna kepadanya."
(Hadis Riwayat Tirmizi dan lain-lain. Ini hadis hassan.)
-rujuk : Hadis 50 Jawami' al-Kalim, nombor 12, mukasurat 420.
Jauhkan diri anda daripada menghampiri maksiat dalam pergaulan |
Maksud hadis ini ialah antara (tanda-tanda) keelokan keislaman seseorang ialah dia meninggalkan segala perkara yang tidak berguna kepadanya, sama ada perkataan ataupun perbuatan.
Dan, hadis ini juga tidaklah bermaksud meninggalkan perkara yang tidak penting dan tidak diingini berdasarkan keinginan dan tuntutan nafsu. Bahkan ia berdasarkan hukum syarak dan hukum Islam. Kerana inilah perbuatan tersebut dijadikan antara (bukti) keelokan Islam.
Apabila keislaman seseorang itu bagus, dia akan meninggalkan segala perbuatan dan perkataan yang tidak berguna kepadanya menurut kaca mata Islam. Ini kerana Islam menuntut perlaksanaan perkara-perkara wajib, sebagaimana yang disebut dalam hadis ke-2 dalam hadis 40 Imam Nawawi, iaitu Iman, Islam dan Ihsan.
Hati anda. Anda tidak dapat menipu diri sendiri |
BENARKAH TIADA APA-APA?
Memang, kita akui yang kita tiada apa-apa hubungan istimewa dengan seseorang lelaki (bagi perempuan) ataupun seorang perempuan (bagi lelaki). Masalahnya, soal hati, apakah kita dapat membohongi setiap rasa dan getar dalam jantung kita sendiri?Malah, Allah SWT sudahpun mengetahui apa yang terkandung dalam sanubari kita kerana Allahlah yang mencipta kita!
Tidak gentarkah kita apabila perasaan yang mencemari hati kita itu dicatat oleh para malaikat sebagai amalan buruk kita?
Firman Allah SWT :
أَمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّا لَا نَسۡمَعُ سِرَّهُمۡ وَنَجۡوَٮٰهُمۚ بَلَىٰ وَرُسُلُنَا لَدَيۡہِمۡ يَكۡتُبُونَ
"Patutkah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri? (Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) yang menjaga mereka, ada menulis segala yang mereka lakukan."
(Surah Az-Zukhruf, ayat 80)
Sungguh licik syaitan memperdaya anak adam. Ya Allah, lindungi kami daripada maksiat hati!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!