Halaman

Al-Quran Dan Tokong Berhala, Kedua-duanya Terselamat


"Deretan rumah teres terbakar, api marak secara tiba-tiba menyebabkan penduduk gelisah. Beberapa minit kemudian, kemaraan api dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak bomba.
Setelah gotong royong dilakukan beberapa jam selepas tragedi pahit bagi yang terlibat itu, sebuah naskhah al-Quran dijumpai tidak terbakar. Betapa agungnya al-Quran. Allah memeliharanya daripada api!"
---diambil dan diubah suai daripada status seorang 'ustaz' di facebook

Maka, makin bertambahlah keimanan umat Islam tentang kebenaran dan keajaiban al-Quran. Dari mulut ke mulut atau mungkin facebook ke facebook, berbuih-buih rancak bercerita mengenai cerita-cerita seumpama ini.

Namun, seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan di atas.
Kemukjizatan Al-Quran dihighlightkan dari sudut yang tidak kena.

Saya tidak berniat mahu menghuraikan panjang lebar mengenai kemukjizatan al-Quran di dalam catatan kali ini, cuma mahu kita beringat-ingat dengan maklumat yang mahu diketengahkan tentang sesuatu, terutamanya berkaitan agama.


BERTAMBAH KEIMANAN?

Mari kita bandingkan dengan kisah benar yang satu lagi. Ianya disaksikan oleh ibu saya pada tahun 1974 di Pengkalan Chepa, Kelantan.

"Kebakaran yang besar berlaku di sekitar kawasan perumahan di Pengkalan Chepa. Sederet rumah dan beberapa tempat kawasan yang berdekatan musnah dijilat api. Namun, ada sebuah tokong cina yang tidak terbakar malah langsung tidak dihinggap api."
Maka, bertambahlah 'keimanan' masyarakat cina beragama Buddha di situ. Tahun Baru Cina, berpusu-pusu masyarakat cina datang mengambil kesempatan menyembah tunggul berhala yang tidak dapat berbuat apa-apa itu.



BEBERAPA PERSOALAN...

Satu. Kita suka menyebut-nyebut tentang hikmah berwudhuk. Disuruh berwudhuk dengan alasan wudhuk itu menyucikan, membersih. Almaklumlah, anggota dibasuh sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Bersih dan suci. Namun, bagaimana jika seorang doktor di dalam bilik pembedahan (sudah tentu bebas kuman) dalam keadaan berhadas tetapi enggan mengambil wudhuk dengan alasan sudahpun bebas daripada sebarang kotoran, walaupun daripada sekecil-kecil kuman dan bakteria?

Dua. Kita juga suka mengaitkan solat berjamaah dengan kesihatan, contohnya ketika solat, kita menggerakkan semua sendi-sendi di setiap anggota. Maka solat didirikan atas dasar menyihatkan tubuh badan. Namun, jika senaman lain dilakukan yang turut menggerakkan semua sendi juga, apakah solat tidak perlu didirikan?

Tiga. Apabila disebut tentang solat berjamaah, sibuk diperkatakan tentang kelebihan meneutralkan cas-cas electolyte dalam badan manusia (entah benar atau tidak). Dengan kewujudannya mesin elektronik berteknologi tinggi yang dapat menstabilkannya, apakah solat berjamaah itu masih relevan?

Empat. Diperkatakan pula mengenai pengharaman memakan babi. Digemburkan penyakit-penyakit yang lahir daripada protein najis itu terlampau banyaknya. Bagaimana jika suatu hari nanti terdapat kaedah pengurusan gembala babi yang dapat 'membersihkan'nya daripada sebarang kuman dan virus? Adakah ketika itu babi sudah halal untuk dimakan oleh umat Islam?

Lima. Dan juga seperti yang tertulis diawal catatan ini, apakah tokong cina itu sama taraf 'kemukjizatan' dengan al-Quran kerana kedua-duanya terselamat daripada dijilat api?

Dan banyak lagi keadaan yang disebut, tetapi tidak dihighlightkan tujuannya dengan betul dalam ceramah-ceramah umum sedasawarsa ini.

ANTARA HIKMAH DAN TUJUAN

Al-Quran tidak sesekali saya nafikan bahawa ianya dipelihara oleh Allah SWT. Namun, apabila berkata Allah memelihara al-Quran dengan cara tidak membiarkan helaian kertasnya terbakar, saya tidak bersetuju. Jika itulah yang kita 'itiqadkan, maka tokong cina yang terselamat itu juga terpelihara oleh 'tuhan' mereka. 

Sebaliknya, al-Quran dipelihara Allah adalah dari konteks kandungannya yang sentiasa relevan dan sesuai untuk manusia hingga akhir zaman. Ayat-ayatnya tidak dapat diubah atau ditokok tambah seperti bible oleh para orentalis atau golongan syiah meskipun mereka telah melakukan pelbagai cubaan. Keaslian al-Quran sejak 1400 tahun dahulu masih kekal terpelihara tanpa ada tangan yang menodainya.

Begitu juga dengan persoalan-persoalan tentang wudhuk, solat berjamaah, solat, dan juga haram memakan babi. Semuanya kita lakukan dan tinggalkan kerana ianya berpaksikan kepada tunjang yang utama iaitu perintah Allah dan Rasul-Nya. Apapun hikmah yang lahir daripada amalan dan larangan itu hanyalah memberi nilai tambah dan bonus kepada kita, kerana hikmah boleh berubah mengikut keadaan dan tempat.

Berwudhuklah, kerana ia menjadi syarat sah sebelum solat yang telahpun diperintahkan dalam syariat. Jangan berwudhuk kerana mahu membersihkan anggota badan semata.

Dirikanlah solat, kerana ia tiang agama dan perintah daripada yang Maha Agung. Jangan bersolat kerana mahu menyihatkan tubuh badan semata.

Solatlah secara berjamaah, kerana Allah menganjarkan pahala berganda daripada solat bersendirian. Jangan hanya kerana mahu meneutralkan cas (entahlah benar atau tidak) dalam badan semata.


Tinggalkan daging babi, kerana Allah dengan jelas mengharamkannya di dalam al-Quran. Jangan kerana mahu menjaga kesihatan dan tidak mahu terjangkit penyakit yang berada di dalamnya.

Percaya dan berimanlah dengan al-Quran, kerana kemukjizatannya telah terbukti daripada Allah SWT secara maknawi dan kandungan kalam Allah yang terpelihara hingga kiamat. Jangan kerana al-Quran terselamat daripada sebuah kebakaran!

Tidak salah bercakap mengenai hikmah, tetapi janganlah sampai terlupa kepada tujuan asal mengapa kita mengerjakan sesuatu atau menjadikannya untuk mendapatkan hikmah itulah kita perlu melakukannya.

Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!