Halaman

Siapa Tuan, Siapa Hamba?



Mungkin dialog di bawah berlangsung ketika zaman Melayu kuno dahulu, ketika zaman perhambaan menjadi adat kebiasaan;

"Hari ni, engkau mesti siapkan tanaman padi di ladang aku.", kata Hang Tuah kepada hambanya.

"Kemudian aku berikan engkau rehat selama sebulan. Dan, kalau beras menjadi, engkau dapat makan beras itu.", Hang Tuah menambah ganjaran kepada kerja perlu dilakukan kepada hambanya.

Masakan Tuan ketika zaman itu memberi 'ganjaran' kepada hamba, malah mereka mendera dan mengerah tenaga si Hamba tanpa belas kasihan.

Lain halnya dengann si Tuah. Hang Tuah yang selalu berlembut dan memberi 'muka' kepada hambanya, menyebabkan si Hamba itu menjadi malas dan sering mengelat. Si Hamba hanya melakukan kerja-kerja si Tuah setelah dirinya dalam kesempitan yang teramat sangat, kerana memerlukan ganjaran bonus si Tuah. Ataupun dirinya sudah begitu lapang dan tidak ada kerja peribadi yang hendak dilakukan.

Tanaman padi yang hendak diusahakan oleh si Hamba, hasilnya kemudian akan berbalik kepada dirinya sendiri akhirnya. Namun, si Hamba tetap ingin mengelak daripada melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh ataupun enggan daripada melakukannya terus.



SI HAMBA DITIMPA DUKA

Tiba-tiba, laporan kesihatan yang dilakukan oleh si Tuah di sebuah hospital tempatan menunjukkan si Hamba memiliki satu penyakit berbahaya dan berjangkit seperti selsema babi, misalnya.
Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh si Tuah adalah membuang si Hamba kerana dia tidak lagi mampu berkhidmat untuk dirinya.



Namun, si Hamba ketika ini baru sedar tentang pentingnya belas ehsan daripada tuannya itu untuk menghabiskan saki baki kehidupannya di dunia. Dan, apakah anda rasa si Tuah benarkan si Hamba berada di bawah jagaannya tanpa berkhidmat untuknya lagi seperti dahulu?

Jika tidak memikirkan soal kemanusiaan, sudah tentu si Tuah tidak menanggung si Hamba lagi. Tetapi, si Tuah memikirkan bagaimana nasibnya andai beliau ditimpa kedukaan seperti si Hamba.

Namun, sepanjang penjagaan si Tuah, si Hamba masih sempat mengambil kesempatan meragut kekayaan si Tuah, supaya anak-anak si Hamba dapat mewarisi harta itu kelak setelah kematiannya. Peluang ehsan kedua si Tuah berikan, sudah disalah gunakan lagi.

ITULAH KITA

Si Hamba yang ada dalam cerita di atas, adalah rentetan sebuah anologi terhadap diri kita, manusia. Manusia merupakan hamba Allah. Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah.

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." 
(Surah Az-Dzariyat ayat 56)

Namun, Allah tidak hanya menjadikan kita begitu sahaja, tetapi akhirnya menyediakan pelbagai ganjaran apabila tibanya kesudahan hidup kelak. Nikmat syurga.

Kita sering memilih hari Jumaat untuk membaca Yasin, sedangkan hari-hari pada minggu lain kulit al-Quran pun tak pernah disentuh. Membaca tahlil ketika ada orang meninggal dunia siangnya, kemudian melalak tak tentu pasal pada sebelah malamnya.

Kita selalu buat sambutan Isra dan Mi'raj serta jemput ustaz ceramah dan beri peringatan, tetapi selalu tinggal solat, tak ikut ajaran al-Quran supaya tutup aurat sewajarnya, selengkapnya dan mencukupi menutupi dada.

Kita selalu buat program solat hajat ataupun qiamullail tertentu apabila nak menjelang peperiksaan SPM atau apa-apa hajat dunia, tetapi kita tak pernah kisah dengan nasib kita di akhirat kerana itulah solat hajat tunggal yang pernah kita lakukan setahun sekali.


Kita mampu untuk khatamkan al-Quran pada bulan Ramadan, tetapi kita langsung tak endah isi dan tuntutan dalamnya. Kita marah kalau orang pijak al-Quran, tetapi kita tak kisah kalau hukum syarak dihina sesuka hati oleh pemimpin kita sendiri seperti meluluskan lesen-lesen judi dan membenarkan pub dan disko beroperasi.

Kita naik angin kalau non-muslim guna ayat Quran untuk berhujah ataupun kalimah Allah dalam ucapan, tapi kita tak pernah ambil tahu banyaknya orang syirik dan orang Islam yang suka perlekeh hukum hudud dan qisos.

Kita benci orang yang perlekeh sunnah Rasulullah SAW, tapi kita tak segan silu menjadikan barat sebagai model dan ikutan dalam hidup.

Kita kata ganyang Indonesia pada mereka bila mereka bakar bendera Malaysia, tapi dalam masa yang sama kita masih syirik berkongsikan tuhan yang sama, iaitu memuja dan mengutamakan artis-artis dalam kebanyakkan hal.

Kita pulun minta bantuan dan pandangan orang untuk menyelesaikan masalah kita, tapi kita jarang meminta pertolongan daripada Allah, malah, setelah semua orang sudah tidak mahu mendengar rintihan kita, barulah kita mencari Allah SWT.

Kita dengan mudah mengalirkan air mata kerana menghayati drama-drama bersiri yang sememangnya palsu, tetapi hati kita keras dan langsung tidak tersentuh ketika membaca kisah-kisah sahabat yang berkorban mempertahankan serta berusaha mengembangkan akidah bertuhankan Allah yang satu.

Kita mengamuk kalau pemberian kita tak dihargai dan diperleceh, tetapi kita tak pernah bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak terkira.


Kita resah kalau kita tak on time waktu tiba ke sekolah, tapi kita boleh relaks lagi kalau melewat-lewatkan solat.

Kita meluat tengok orang bercouple berdua-duaan, tapi kita selamba berkawan tanpa sempadan dengan orang bersilang jantina tanpa tujuan yang dibenarkan syarak.

Kita menjadikan alasan sibuk dan letih akibat melakukan pelbagai pekerjaan hingga tidak mampu untuk bangun bertahajud pada awal pagi, tetapi sedarkah bahawa kerja dakwah Rasulullah SAW lebih sibuk berganda-ganda berbanding kita?

Beginikah akhlak KITA sebagai seorang hamba yang taat?

Carilah ruang dan peluang untuk sentiasa taat supaya kita tidak menjadi hamba yang tak guna.
Muhasabah diri.
Cermin diri.

Berhentilah daripada mengumpat dan mencari-cari salah orang. Selamanya, OK tak?

Paling penting, jangan berkira dengan Allah. Jangan suka buat ibadah pada hari tertentu. Perhambakan dirimu setiap masa. Setiap minit dan detik, selagi mana nadimu berdenyut.
Jangan pilih ibadah tertentu sahaja, kerana kita tidak tahu yang mana disukai oleh Allah.

1 ulasan:

  1. salam saudari yg cerdik,
    alhamdulillah, syukran jazilan atas ingatan & teguran yg amat bermanfaat ini. moga kita mampu mengekalkan & meneruskan ibadah tertentu itu di samping berusaha bersungguh2 untuk menambahnya sesuai mengikut kemampuan masing2, Insya Allah amin 99x :) -Ain Lam Mim-

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!