Halaman

Bahasa Daerahku

Berbahasalah dengan betul supaya membentuk sebuah kefahaman yang mantap


Bukan sekali orang lain mengerutkan dahi.

Jarang-jarang, ada yang membalas ketawa sebagai respon.

Kadang-kadang, terasa satu blok ais yang memisahkan antara dua individu ketika baru mula berkenalan.

Kebiasaannya, kekekokkan sering berlaku apabila mahu berkongsi sesuatu melalui lisan secara langsung.

Ianya bukanlah masalah besar, tetapi kadangkala membuatkan perkara sekecil itulah tercetusnya masalah yang kian membesar.

Isunya ialah berbeza loghat daerah!


Jange susuk bau budu! :P


UTARA KE SELATAN

Berhijrah dari Pulau Pinang ke Petaling Jaya kerana mahu memenuhi kegelapan gelita otak yang dahagakan cahaya ilmu telah mengukuhkan bukti bahawa, bahasa manusia itu pelbagai. Bukan berlainan negara, malah penutur yang sama dan berada di negara yang sama juga ada perbezaannya.

Kadangkala membuatkan saya keliru bilakah sesuai untuk membahasakan sebagai ana-anti atau kami-ampa atau awak-saya atau kita-kamu atau ambo-mu.

Jika hendak mengkualalumpurkan penuturan saya yang lidah ini sudah selesa dengan dialek utara, membuatkan kata-kata saya sedikit tergantung dan kadang-kadang tidak bermakna. (Mungkin isinya kehilangan ketika berfikir untuk menstrukturkan semula ayat. Hehe.)

Kepuasan dalam berbicara itu hilang dek kerana menukar loghat yang digunakan.

Ketika minggu taaruf di Pusat Asasi UIAM, secara otomatik saya menjadi berat mulut. Bukan tidak mahu mulakan bicara, tetapi diam itu lebih memberi kepuasan berbanding bercakap dengan loghat yang saya 'selesa' tetapi orang lain tidak. Tidak kurang juga rimas dengan lakaran kerutan di dahi 'mereka' tatkala mendengar kata-kata saya.

Sama rimas apabila melihat gigi-gigi mereka yang beratur menayangkan diri kepada bebola mata saya.

"Bagi kite, loghat tu unik. Macam orang kl tak de loghat," seorang sahabat saya melontarkan pendapat beliau ketika ditanya tentang dialek.

Saya berfatwa dalam hati sendiri setelah rimas dengan 'perbezaan' yang kadang-kadang mencetuskan masalah komunikasi untuk memujuk hati dengan berkata;

"Cakaplah loghat apa sekalipun, asalkan apa yang nak disampaikan itu difahami orang yang mendengarnya."

Tutup seketika penglihatan dengan bantuan kelopak mata daripada memerhati gelagat mereka. (Kalau tak, lepas ni saya akan jadi seorang yang pendiam!)


DIALEK MEMBENTUK ASSABIAH?

Apabila bersama dengan koloni dari negeri sendiri, membuatkan saya terasa begitu selesa untuk bercakap sepuasnya. Maklumlah, loghat orang Pulau Pinang (atau mungkin juga Kedah) banyak dari segi menekan makhrajnya dengan mendalam sehingga ke pangkal lidah malah sesetengahnya hingga ke kerongkong, tidak seperti penutur dari Johor, Selangor, Pahang, Melaka atau Negeri Sembilan (ini menunjukkan kesungguhan kami dalam bercakap. Hoho!), yang hanya bercakap di hujung bibir. Manakala Kelantan dan Terengganu pula memiliki cara sebutan unik yang sangat berbeza.

Apa yang saya perhatikan, majoriti (tidak semua orang) lebih selesa berkawan rapat dengan mereka yang menutur dialek yang hampir sama. Hal ini lebih-lebih lagi dapat dilihat dengan jelas bagi mereka yang berasal dari Kelantan.

Kelate kae pok-pok dio ngama!

Opsss, saya tiada niat untuk mengutuk orang Kelantan. Ibu dan ayah saya juga berasal daripada Kelantan. Saudara mara saya juga kebanyakkannya masih menetap di Kelantan. Malah, nama saya yang permulaannya dengan "Wan" menyebabkan identiti sebenar saya tidak dapat disembunyikan. Jadi, jangan marah ya, wahai orang Kelantan! ^_~

Saya tidak kisah jika ada orang yang bercakap pekat loghat Kelantan dengan saya. Kadang-kadang, saya akan menyuruhnya terangkan maksud sesetengah perkataan yang tidak difahami. (Saya juga boleh bercakap Kelantan tetapi bunyinya mungkin sedikit kesiaman. Oleh itu, lebih baik disimpan saja diam-diam supaya tidak tercampak ke daerah Siam nanti.)

Kini, saya juga sudah dapat beradaptasi supaya memahami setiap patah perkataan orang Terengganu kerana kerap mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus dan juga roomate saya yang berasal dari Terengganu. Dan, tidak dilupakan kepada sahabat se-group yang juga berasal dari negeri yang sama.

Berbicara dalam loghat yang berlainan, bukanlah menunjukkan satu kekurangan ataupun satu kelebihan. Ianya membentuk sebuah keunikan dan menunjukkan ciptaan Allah yang Maha seni.

Mengapa perlu hidup berpuak?

Sedangkan Ansar dan Muhajirin dapat dipersaudarakan walaupun mereka tidak berasal usul dari rumpun yang sama.

Oleh kerana Assabiah itu tidak bagus, maka atasinya dengan sebuah kefahaman terhadap orang yang berlainan adat dan dialek.

Berlapanglah dadamu.

Selagi mana boleh memahami, maka fahamilah.

Kita masih sama agama dan aqidah. 

Umat Islam harus bersatu.

4 ulasan:

  1. yeah.. Yah telah kempen 1 Malaysia.. hoho.

    BalasPadam
  2. @ Mutiara bd

    Ini 1 Malaysia yang praktikal~
    Bukan palsu propanganda semata.. :P

    BalasPadam
  3. seronok dpt kenal kwn2 dari negeri lain. kdg2 gadoh gak bila lain2 pendapat tp tu yg bt kta lagi rapat.

    P/S : kat tmpt km ssh nk cari org utara. tp km ckp gak penang.

    BalasPadam
  4. @ Sakinah

    Haha. Bab berbeza pendapat tu yg sama negeri pon ada. Tapi 'salah faham' pendapat kita, walaupun hakikatnya pendapat kita dengan dia hampir sama, memang banyak dengan org yang tak paham loghat utagha. Nak buat macam mana kan, terpaksa sedikit membakukan bahasa supaya sama-sama difahami dan memahami.

    MACAM biasa, org utagha tak seramai org yg bercakap kl. KAt uia pj pon sama. Tapi lantaklah, kan. Baru depa sedar yang dialek utara pon ada dalam Malaysia yang realiti, bukan hanya dengar lakonan 'Mami jarum' dalam tv. keh3.. :))

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!