Perancangan dalam membuat sesuatu keputusan dalam hidup perlu diambil kira pengalaman mereka yang telah melaluinya |
"Kalau dah solat hajat, nampak bumbung Islah lagi, duduklah sini," kata Ummi Mai, menyelitkan nasihat mengenai 'isu' semasa bagi pelajar tingkatan 4 pada awal tahun.
Penghijrahan. Peralihan. Perpindahan.
Isu perubahan ke sekolah baru bagi sekolah-sekolah lain mungkin tidak semeriah di Al-Islah. Setakat khabar yang pernah saya dengar, Al-Islah masih juara dalam pengurangan pelajar ketika beralih daripada tingkatan 3 ke tingkatan 4. Daripada 2 kelas kepada 1 kelas. Daripada 80 orang pelajar kepada 25 orang pelajar, hanya.
Entah mengapa. Puncanya tidak begitu menjadi 'isu'. Masing-masing punya alasan tersendiri dan mahu membawa diri di jalan yang berlainan udaranya. Kelainan.
Buat adik-adik tingkatan 3 yang sedang menunggu debaran keputusan PMR, nasihat saya, berpindah atau tidak, itu bukanlah suatu perkara penting. Tetapi, ianya permulaan yang boleh membawa satu persimpangan hidup yang besar. Apa yang utama, cita-cita atau matlamat yang hendak digapai itu lebih penting berbanding di mana tempat menuntut ilmu. Iya, ramai yang tidak punya hala tuju yang jelas meskipun sudah tamat SPM. Ada yang masih terkial-kial ketika mengisi borang UPU, dilema tidak tahu memilih apa yang dia mahu.
Carilah matlamat hidup anda. Binalah. Hujungnya (termasuk proses mendapatkannya), kita mahu melamar redha Allah SWT.
Apakah Allah SWT redha dengan orang yang berpeleseran di tepi jalan yang tiada tujuan hidup?
NAK PINDAH !
Inilah fasa yang pernah saya lalui 3 tahun yang lalu. Masih segar di dalam kotak ingatan tentang perkara ini. Ada yang cakap nak masuk asrama penuh, Sekolah Integrasi, KISAS, Maktab Mahmud, SMKA, SMK dan tak juga tertinggal sekolah teknik.
Tiada kurangnya jika berada di sekolah kampung berbanding dengan mereka yang berada di KISAS.
Tiada bezanya andai kita memilih SBPI sekiranya mendapat tawaran berbanding setia menetap di sekolah lama.
Semuanya bergantung kepada individu. Sekolah tidak menjamin apa-apa kecemerlangan buat seseorang pelajar. Ada yang belajar di sekolah kampung, memperoleh 11A. Sebaliknya seorang penuntut di KISAS hanya memperoleh 6A. Ianya benar-benar berlaku.
"Kenapa nak pindah sekolah?" itulah antara soalan yang tidak putus-putus diterima sejak akhir tingkatan 3 dan berkurang hingga pada awal tingkatan 4.
"Nak ambik tuisyen kat rumah nanti!"
[Sebenarnya hanya berniat 'hangat-hangat tahi ayam' dan akhirnya memang tak pernah saya mengikuti mana-mana kelas tambahan yang diadakan oleh pusat tuisyen hingga tamat tingkatan 5 walaupun sehari dua. Maka tercatatlah dalam sejarah diari hidup saya bahawa, saya tidak pernah menghabiskan duit dengan mengunjungi mana-mana pusat tuisyen di dunia ini.]
"Tak mau duduk asrama dah."
[Suasa di asrama yang tak begitu wujud 'semangat' belajar kadang-kadang mencabar komitmen terhadap matapelajaran akademik yang semakin bertambah dari sudut kuantiti berbanding di peringkat menengah rendah.]
"Nak cuba suasana baru."
[Berada dalam koloni dan persaingan yang kecil membuatkan diri kita selesa dan tidak mahu melakukan peningkatan dari semasa ke semasa.]
Itulah jawapan-jawapan tidak rasmi yang saya berikan bagi 'melepaskan' diri daripada memecahkan sebab sebenar. Manakala jawapan rasmi biarlah hanya saya dan Allah yang mengetahuinya mengapa saya berbuat keputusan demikian. (Tolong baca alasan mengapa saya berkata seperti demikian dalam kurungan juga, ya!)
Mungkin, dengan 3 alasan di atas berserta sebab dalam kurungannya, saya bertekad memilih sebuah sekolah agama milik kerajaan persekutuan di Pulau Pinang untuk meneruskan pengajian di peringkat menengah atas.
KEJUTAN BUDAYA
Perkataan culture shock memanglah sentiasa diperkatakan oleh senior-senior terdahulu. Namun, dengan hanya mendengar pengalaman orang lain amatlah berbeza berbanding merasainya mata kepala jantung dan hati nurani sendiri. Mungkin ianya sedikit pahit untuk ditelan, tetapi itulah hakikat kehidupan. Takkan selamanya kita akan berada di suatu tempat yang kita 'inginkan' semua perkara menjadi idaman.
Selepas cuti tahun baru cina, saya menjejakkan kaki ke sekolah berkenaan. Kasut serba putih (yang sebelum ini di Al-Islah memakai kasut hitam), baju kurung putih (sebelum ini memakai mini jubah) dan juga kain biru muda (sebelum ini memakai kain hijau) sudah cukup untuk membawa diri ini merasakan satu kelainan. Beralih daripada bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu, kepada Sabtu dan Ahad, boleh menyebabkan (kadang-kadang) tertukar hari ketika menyusun buku mengikut jadual pada sebelah malamnya. Feeling hari khamis itu sebagai hari akhir sekolah dalam seminggu, menyebabkan saya tersalah anggap bahawa ianya hari Jumaat. Natijahnya, buku yang sepatutnya dibawa akan tertinggal di rumah, manakala cikgu akan menyoal, "Buku kat rumah, bagi mak baca?"
Seram juga saya kalau-kalau ada cikgu yang mengamuk disebabkan kecuaian yang tidak disengajakan seperti itu.
Itu perubahan secara fizikal dan dalam diri saya sendiri. Belum lagi dengan suasana yang langsung tidak membantu dalam mengekalkan 'kesolehan' dalam watak seseorang.
CIKGU, ERRR.. USTAZAH?
Berubah daripada menggelarkan individu yang mengajar di dalam kelas itu daripada Muallim/ah kepada Ustaz/ah atau Cikgu, tidaklah menjadi masalah. Tetapi, sedikit masalah ketika mahu mengenalpasti yang manakah wajar dipanggil cikgu, ataupun digelar ustazah!
"Assalamualaikum, cikgu," saya memberi salam sejahtera dengan lafaz yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ketika melewati bilik guru kerana berjumpa dengan cikgu lain untuk satu urusan.
"Haish, tu ustazahlah," cuit rakan sebelah saya, memperbetulkan 'kesalahan' yang telah saya lakukan sebentar lagi.
"Oh, yang tu ustazah. Apa beza ustazah dengan cikgu? Ada beza?" saya menggaru kepala yang tidak gatal, kehairanan.
"Ya lah. Ustazah tu yang ajar agama, bahasa Arab. Cikgu tu subjek-subjek lain," jawabnya memberi pencerahan.
Sebenarnya, bukan istilah ustazah ataupun cikgu itu yang menjadi kekeliruan. Tetapi perwatakan dan imej yang dibawa oleh seorang ustazah, hampir menyerupai seorang cikgu yang mengajar bahasa Inggeris. Pada pertimbangan saya, seorang ustazah dapat dibezakan melalui tudung yang dipakai. Tetapi, itu hanyalah pertimbangan dan teori itu tidak sah digunapakai ketika berada di sekolah tersebut. [manakala ketika di Al-Islah, cikgu bahasa Inggeris menyerupai guru yang mengajar Pendidikan Syariah! ]
Maka, dengan itu saya terpaksa menerima mengapa pelajar-pelajar di sekolah agama kerajaan (atau mungkin hanya di Pulau Pinang) masih boleh menyentuh tudung senipis penapis kacang soya, pendek tidak melepasi paras dada, meskipun telah mempelajari dalam Pendidikan Syariah Islamiah tentang kaedah menutup aurat dengan betul. Ustazah lagi boleh pakai seperti itu, anak murid... astaghfirullah! Bak kata pepatah kita, guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari! (..dan saya mahu kencing duduk yang lebih beradab ;p)
LEBIH DILEMA...
Lebih terkesima, pelajar perempuan (dan sememangnya semua pelajar perempuan sahaja di sekolah saya) dibenarkan menyertai pertandingan nasyid!
Manakala, guru pelatih dan penasihatnya terdiri daripada seorang individu yang mendapat gelaran 'ustazah'!
Saya bertambah-tambah kaget. Hairan. Terkejut. Pelik.
Bukan hanya suara dilembut-lembutkan, bahkan badan juga digerakkan. Pakaian lebih-lebih lagi menyayat hati. Kata mereka, itulah kreativiti persembahan! Masya Allah. Rasa macam kepala dipancung hidup-hidup ketika itu. Juri-juri pula terdiri daripada para ustaz, manakala penontonnya termasuk kaum adam yang sempat melirik mata liar terhadap mereka!
Itulah realiti kemungkaran yang berlaku depan mata dan seolah diiktiraf, tidak ada sesiapa yang menegur apatah lagi memberontak. Kata mereka lagi, asalkan mengharumkan nama sekolah, soal 'itu' tidak menjadi masalah!
Hakikatnya, proses pengajian itu masih jauh |
KAIN MERAH JAMBU MENJADI PILIHAN
Setibanya hari Rabu, para pelajar diwajibkan memakai pakaian unit beruniform masing-masing. Lebih mengejutkan. Terbeliak biji mata apabila pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah pada hari Rabu pertama. Hari sebelumnya, semua pelajar terlindung disebalik pakaian seragam sekolah yang bertudung labuh dan baju kurung yang menjaga keayuan seorang wanita. Namun, segalanya terbuka apabila tiba hari Rabu.
Hati saya menjerit, rohani saya memberontak, "Ya Allah. Takkan aku nak pakai pakaian macam tu!"
Lemas, mati hidup balik, tidak sama sekali saya tidak sanggup melakukan sedemikian.
Tudung yang perlu di tuck-in ke dalam baju. Sedikit, walaupun tidak banyak, ianya boleh menyebabkan sebahagian bentuk yang sepatutnya dilindungi kelihatan dikhalayak umum. Malunya, ya Allah!
Baju pula tidak melepasi paras lutut, ditambah pula dengan pemakaian seluar. Tidak keterlaluan jika saya katakan, hari Rabu adalah Pesta-Baju-Ketat!
Bagi mengelakkan daripada saya terpaksa menjadi peragawati dalam Pesta-Baju-Ketat, setibanya di rumah, saya terus menyatakan hasrat kepada emak supaya menjahitkan kain merah jambu (Puteri Islam) yang boleh dipakai bersama baju kurung putih beserta tudung labuh yang tidak perlu di tuck-in. Walaupun pernah saya dengar puteri islam seperti puteri UMNO, ketika ini, saya terasa Puteri Islam satu-satunya penyelamat daripada saya menjadi mangsa dalam Pesta-Baju-Ketat!
Etika hanya tinggal etika. Cakap mudah, amal perlu mujahadah! |
MUSIM SUKAN
Bab ini pasal yang saya paling tak suka. Padang tempat beraksi bukan saja terbuka untuk tontonan umum, malah para ustaz dan cikgu-cikgu lelaki langsung tidak berganjak ketika 'aksi-aksi seksi' yang dilakukan oleh para pelajar. Sudahlah semua pelajar dipaksa melakukan sukan lompat tinggi, lompat jauh dan berlari. Manakala di Al-Islah dahulu, tiadalah tayangan umum berlaku ketika para pelajar perempuan bermain sukan.
Ketika banat bermain bola jaring, banin tidak dibenarkan berada di sekitar court. Termasuk kegiatan 'menskodeng' juga dilarang. Bukan sahaja pelajar, malah guru-guru lelaki juga menghormati peraturan itu. Ini yang saya 'tabik spring' dengan sekolah lama dan tak mungkin berjumpa di sekolah-sekolah kerajaan tentang peraturan seperti itu.
Bukan itu saja. Peraturan pakaian juga pelik lagi memelikkan. Hairan lagi menghairankan.
Jika untuk sukan, tudung kecil lagi pendek dibenarkan.
Jika memakai t-shirt sukan, tudung kecil lagi pendek dibolehkan.
Apakah masih punya konotasi jika diharamkan pemakaian tudung kecil lagi pendek ketika memakai baju kurung sekolah?
WAKTU SOLAT
Ini benda yang paling penting. Bagi yang berulang alik dari rumah ke sekolah setiap hari, pekalah terhadap waktu solat. Jika di Al-Islah dahulu, solat zohor wajib dikerjakan secara berjamaah setiap hari. Tidak perlu berfikir dan meletakkan satu perkara dalam otak kerana itu adalah 'rutin' jadual persekolahan.
Mungkin kerana terhadnya saiz surau di sekolah baru itu, solat zohor boleh dikerjakan sendirian dan pada bila-bila masa kerana tiada pemantauan dilakukan.
Bagi yang memilih pengangkutan awam sebagai pengangkutan pilihan, dahulukan solat Asar andai pulang lewat petang kerana anda mungkin kehilangan Asar setibanya di rumah. Sepanjang pemerhatian saya, jarang sekali sesetengah pelajar memilih 'lewat sedikit' untuk keluar dari pagar sekolah dengan alasan akan terlepas bas yang dijadualkan pada masa tertentu andainya menunaikan solat terlebih dahulu. Bukan seorang dua, tetapi lebih lagi. Banyak bilangannya.
Bila mereka mengerjakan solat, tidaklah saya ketahui, wallahu'alam.
"Peliharalah Allah, maka Allah akan memeliharamu!"
aiwah..mantop..:)
BalasPadam