Bukan hanya bumi, tetapi nyawa kita hanya satu! sumber : http://nayzak.deviantart.com/ |
[Tujuan saya memaparkan surat ini adalah untuk peringatan buat diri sendiri juga andainya terlupa suatu hari nanti, Insya Allah.]
Assalamualaikum w.b.t.,
Salam sayang, salam ingatan dan salam rindu dari saya. Saya memohon seribu satu kemaafan andai selama ini saya terlupa untuk bertanyakan khabar semasa semenjak penghijrahan awak ke sekolah lain, sejak akhir tahun 2007. Maklumlah, saya insan biasa, tetapi saya tidak pernah lupa kepada sahabat-sahabat yang telah saya kenali sepanjang berada di sekolah, terutamanya orang seperti awak. Saya rindu celoteh dan gurauan awak yang selalu menceriakan suasana tatkala tekanan peperiksaan kian terasa.
Sewaktu tahun 2007, dan seterusnya 2008, facebook masih belum wujud dalam kamus dunia saya dan mungkin juga awak, tidaklah saya ketahui. Tanggal tahun 2009, saya mula mendekati apakah yang hangat diperkatakan oleh masyarakat dan media massa, apakah itu facebook. Mungkin kerana beberapa prinsip yang saya pegang ketika itu, menyebabkan saya lari dari dunia rangkaian web sosial yang sememangnya terlalu bebas. Namun, saban hari, saya berfikir kembali, 'tiada salahnya kalau aku akses facebook untuk menghubungkan silaturrahim dengan kawan-kawan yang telah lama tidak berjumpa, beserta tidak mengabaikan sempadan dalam menjaga ikhtilad.'
Dan, ketika itulah saya terjumpa profil facebook awak. Saya terkejut ketika itu. Ibarat kilat yang hadir selepas guruh, hati saya terpana. Mata saya seolah mahu merembeskan titik jernih. Muka saya terasa seperti terpukul. Itukah awak?
Awak berubah.
Berubah dari segi pakaian, kepala awak dilitupi dengan tudung jarang senipis penapis kain soya. Singkatnya tidak menutup dada lebih saya terkesima. Sangat kaget.
Sahabatku,
Tidakkah awak ingat pada suatu masa dahulu awak pernah mengutuk orang yang berpewatakan seperti itu? Kita sama-sama berjanji dan berdoa supaya dijauhkan Allah SWT daripada menjadi golongan seperti kebanyakan manusia kini, walaupun hakikatnya kita akan kelihatan pelik pada pandangan masyarakat.
Sahabatku yang disayangi,
Saya lebih terkejut dan tidak menyangka rupanya awak kini sudah berani melakukan salah satu jalan-jalan untuk menghampiri zina. Awak berani mendedahkan yang awak sedang hangat menikmati keindahan bercouple sebelum mempunyai ikatan yang sah di dinding facebook. Cinta yang penuh noda dan dosa serta kepalsuan dunia.
(Mungkin surat yang saya tulis khas untuk awak ini, awak boleh delete hingga setakat ini kerana menyampah dengan nasihat yang ingin saya coretkan di sini. Harapan saya awak dapat membaca surat ini sehingga habis, kerana saya menulisnya dengan menggunakan masa saya. Jika boleh, saya mohon untuk kongsikan isi kandungan ini di blog saya.)
Sahabatku yang dicintai,
Saya bimbang awak terlibat dengan masalah jalan menghampiri zina ini. Ingatkah awak, dulu, kita pernah membaca akhbar bersama-sama bahawa setiap pasangan yang terlanjur itu tidak pernah berniat untuk melakukan zina, pada awal ikatan hubungan mereka.
Andai seekor harimau masuk menerkam ke rumah awak, sudah tentu awak akan menjerit ketakutan dan lari bertempiaran kerana bimbangkan keganasannya akan menghancurkan diri kita ataupun boleh meragut nyawa kita. Dan, berbeza pula dengan bahaya seekor nyamuk. Kita boleh duduk diam dan selesa walaupun sebenarnya kehadiaran nyamuk boleh membunuh kita dalam diam.
Nyamuk atau harimau, natijahnya sama. Membawa kesan yang sama. Kematian dan kebinasaan. Begitulah ikhtilad yang kita perlu jaga. Andai zina itu kita takuti dan geruni, mengapa kita membiarkan nyamuk-nyamuk ikhtilad yang berbahaya diselaputi dalam kehidupan kita?
Sahabatku yang dihormati,
Dosa daripada menjalin hubungan kasih dengan si dia bukan saja boleh membawa ke arah zina, malah, penangan dosa itu turut terasa apabila awak sudah berumah tangga nanti. Kepercayaan terhadap si dia selepas berkahwin kelak telah dicabut oleh Allah SWT dan ini akan meragut kebahagiaan rumah tangga yang amat memerlukan kepercayaan antara satu sama lain.
Awak mungkin akan berfikir, "Jika dahulunya sebelum berkahwin, suamiku boleh menjalin hubungan yang istimewa denganku secara haram, masakan kini dia tidak berani melakukan perkara yang sama dengan wanita yang lain yang lebih cantik daripada aku."
Dan, suami awak juga akan berandaian yang sama terhadap awak. Bahagiakah rumah tangga yang dipenuhi dengan pra sangka dan tuduh-menuduh antara satu sama lain?
Sahabatku yang dikasihi,
Hidupnya kita di dunia ini tidak lama. Umur umat Muhammad SAW hanya sekitar 60 tahun. Jika sekarang umur kita 18 tahun, berapakah baki tahun yang tinggal? 42 tahun. Sesungguhnya tempoh itu tidak lama, wahai sahabatku. Berapa ramai yang Allah SWT takdirkan mereka mati dalam kejahilan dan kelalaian serta tidak sempat untuk bertaubat kepadanya. Ya Allah, takdirkan kami dengan akhir kehidupan yang terbaik.
Walaupun begitu, sahabatku, lihatlah. Ramai juga remaja-remaja yang sebaya dengan kita telah dijemput yang maha Esa disaat usia yang masih muda. Ada yang ditakdirkan mati dalam keadaan mulia, Alhamdulillah. Dan, ada yang ditakdirkan mati dalam keadaan hina seperti mati ketika merempit, mati ketika berusaha untuk menggugurkan kandungan anak luar nikah malah ada yang mati terjun bangunan kerana putus cinta yang hina. Masya Allah, naudzubillah!
Sahabatku, saya menulis ini kerana sayang padamu dan tidak mahu awak menjadi salah seorang daripada pihak-pihak yang terlibat dalam kes-kes seperti yang dilaporkan dalam media massa kini.
Sahabatku yang dirindui,
Bagaimanalah agaknya perasaan nabi yang kita junjung, nabi yang kita anggap sebagai contoh ikutan teladan sepanjang zaman ini, apabila melihat diri kita menjadi seperti mana yang diidamkan oleh barat?
Bagaimanalah perasaan dan terkilannya nabi Muhammad SAW (andai baginda bersama kita sekarang) apabila membaca status di dinding facebook awak tempoh hari?
Saya juga sedih. Sedikit lagi mahu menitiskan air mata, kerana baginda juga (saya yakin) akan mempunyai perasaan yang sama. Setelah Islam diperjuang dengan susah payah, akhirnya umat kini tidak lagi mengambil ajaran Islam sebagai jalan dan cara hidup yang diyakini.
Sahabatku yang dihargai,
Umat Islam kini dalam keruntuhan akhlak, kerosakan aqidah yang membarah, dalam kejahilan moden. Kita perlukan pembaharuan. Kita banyak tugas-tugas yang perlu diselesaikan. Isu hukum-hakam Islam dipersenda oleh kerajaan kita sendiri, tidakkah awak terasa Islam begitu hangat dihina pada masa ini? Apakah awak hanya sibuk memikirkan bagaimana menghangatkan cinta palsu durjana awak dengan si dia semata-mata hingga lupa pada semua ini?
Lupakah awak bahawa pada zaman Rasulullah SAW, Islam itu berkembang dengan disertai oleh golongan-golongan muda remaja seperti kita? Tenaga kita sangat diperlukan, wahai sahabatku. Diperlukan dalam menggerakkan usaha dakwah dan penerangan kepada mereka yang jahil. Ataupun, cukuplah dengan menjaga diri kita daripada menambahkan statistik orang yang melukakan hati baginda SAW diakhir zaman ini.
Sahabatku yang dicintai,
Cukuplah dengan peringatan azab seksaan kubur itu menginsafkan. Tidak perlu didatangkan bagaimana kedahsyatan api neraka itu, wahai sahabatku. Saya sungguh gerun untuk menulis di sini betapa dahsyatnya, betapa seksanya, betapa deritanya, betapa sesalnya, betapa seriknya penghuni-penghuni neraka kelak. Moga kita dijauhkan Allah daripadanya.
Mengambil kisah tentang himpitan kubur saja, sudah menginsafkan. Ibn Umar menceritakan, sabda Nabi SAW (yang bermaksud), "Saad ini (ketika kematiannya); telah bergerak 'Arasy, dibukakan pintu-pintu langit dan jenazahnya telah disaksikan oleh 70,000 malaikat. Tetapi dia telah dihimpit oleh tanah kuburnya kemudian telah dilepaskan." (Hadis Riwayat an-Nasaie, hadis sahih. Lihat sahih an-nasai : 2057)
Sedangkan, Saad bin Muaz adalah salah seorang sahabat yang mulia dan agung sehingga baginda pernah bersabda (yang bermaksud) : "Jika ada sesiapa yang akan terlepas daripada azab kubur, nescaya Saad ini adalah orangnya, sedangkan dia telah dihimpit oleh tanah kuburnya kemudian telah dilepaskan." (Hadis Riwayat at-Tabrani, hadis sahih. Lihat sahih al-Jami' : 5306)
Cukuplah sahabatku. Cukup. Itu pun sudah menggerunkan jiwa kita yang lemah ini. Siapa kita jika hendak dibandingkan dengan Saad bin Muaz?
Jika awak berasa azab seperti ini belum cukup menggerunkan, cubalah pasangkan sebatang lilin dihadapan awak. Letakkan jari awak di situ. Bila hangus, alihkan jari yang lain. Jika awak dapat bertahan, itu hanya sebahagian kecil kepanasan api dunia. Apatah lagi api neraka di akhirat kelak. Cukuplah sahabatku, cukup. Hentikanlah daripada membenarkan diri awak dihinggapi kederhakaan kepada Allah. Saya juga takut dan bimbang, kerana itu saya mohon supaya sahabat-sahabat saya, ibu bapa saya mendoakan supaya saya dan kita semua dijauhi daripada api neraka.
Sahabatku....
Jika ada sekelumit kesedaran yang mahu diruntuhkan kemaksiatan kepada Allah, maka lenyapkanlah segera. Kita tidak akan tahu bilakah kita akan meninggalkan dunia yang fana dan penuh dengan fatamorgana ini.
Wahai sahabatku, Allah itu sangat penyayang sifatnya, lebih menyayangi hamba-hambanya melebihi seorang ibu yang sayangkan anak kandungnya. Selagi dunia belum kiamat, selagi matahari belum terbit sebelah barat, selagi kaabah belum diruntuhkan, selagi nyawa masih belum sampai dikerongkang, selagi itulah kita diberi ruang taubat kepada Allah. Sungguh besar keampunan Allah, melebihi daripada kemurkaannya. Mengapa kita memilih murkaNya?
subhanaAllah..ana pun mahu coretkan utk sahabat2 ana juga..
BalasPadamsilakan... :)
BalasPadam"Menyelamatkan seorang insan supaya mendapat hidayah Allah lebih baik daripada apa yang ada di dalam dunia dan seisinya!"