Halaman

Takat Didih dan Kapasiti Haba Spesifik Yang Tinggi

Rupa ayam kalau marah pun sudah tidak menyenangkan orang memandang.
Manusia bagaimana?

(Gambar : Ayam di Makam Mahsuri)

"Jom, kita ke masjid X!" ajak kakak saya.

"Aik? Ada apa pulak kat masjid?" saya hairan, kerana kebiasaannya kami, adik-beradik perempuan, akan solat berjamaah di rumah. Hanya ayah dan adik-beradik lelaki yang akan ke masjid setiap kali masa solat.

"Ada ceramah, ustaz Y. Ala, ustaz yang selalu bagi ceramah dalam radio tu," kakak saya memberi jawapan.

"Ooo, tahu, tahu," ya benar, si Ustaz Y memang seorang yang terkenal. Hujahnya ketika berceramah mantap. Petah mengeluarkan bait-bait ayat yang memukau. Seringkali kedengaran suaranya di radio Pulau Pinang semasa segmen Ceramah Agama, jam 2.30 petang. Kadang-kadang berceramah di surau-surau. Kuliyyah bulanan pun ada.

Saya dan kakak-kakak menaiki van, dipandu oleh abang, menuju ke masjid X, kira-kira 10 minit sebelum azan maghrib berkumandang.

MASALAH TEKNIKAL

Selesai memberi salam, berwirid dan membaca doa, ustaz Y keluar daripada saf jemaah dan maju ke hadapan, menunggu nama dijemput oleh pengerusi majlis bagi meneruskan ceramah.

"Tanpa membuang masa, saya menjemput ustaz Y untuk memberikan tazkirah kepada kita semua," mikrofon dalam keadaan baik. Pembesar suara menghasilkan gelombang bunyi dengan baik.

Ustaz Y ke hadapan. Mikrofon bertukar tangan.

Lalu ustaz Y meletakkan mikrofon di atas meja, di hadapannya. Namun, sesudah membaca selawat sebelum memulakan tazkirah, mikrofon mula menyudahkan tugasnya. Mahu bersara awal. Pembesar suara sudah mula bertenang daripada menghasilkan gelombang bunyi.

Saya, seorang yang memerhati dari atas tingkat masjid. Masjid X mempunyai 2 tingkat, seperti masjid-masjid lain pada kebiasaannya. Sebelah atas bahagian muslimat, sebelah bawah bagi muslimin. Maka, perbualan antara jawatan kuasa majlis dan si Ustaz Y tidaklah saya dengar walau sepatah, hanya perbuatan dan isyarat yang diperhatikan.

SUASANA TEGANG

Si Ustaz Y mendiamkan diri. Matanya merenung tajam ke arah jawatan kuasa masjid. Tangannya menunjukkan ke arah mikrofon. Mulutnya mengeluarkan bicara, namun gelombang bunyi itu tidak sampai ke telinga saya.

Seorang lelaki bingkas bangun dan memperbetul mikrofon. Tidak berjaya. Alat bantuan itu seolah tidak menunjukkan harapan. Mereka bertukar kepada set alatan pembesar suara yang ke-dua. Masih tidak berjaya, beralih pula kepada set yang ke-tiga. Tali mikrofon yang pendek menyebabkan meja untuk meletakkan mikrofon terpaksa dialih beberapa kali untuk mencapai punca elektrik. Begitu juga, si Ustaz perlu berganjak beberapa kali.

Hampir 30 minit masa berlalu begitu saja. Majlis terganggu kerana masalah sistem siar raya. Sedangkan, masjid X tidak pernah mengalami masalah teknikal sebelum ini sepanjang majlis ilmu yang pernah saya hadiri. Masjid yang setiap minggu menggunakan siar raya untuk khubtah Jumaat, sudah tentu mempunyai kelengkapan secukupnya.

Si Ustaz Y sudah mula memasamkan muka. Lengan tangan kanan dan kiri disilangkan, lalu diletakkan di bawah dada. Riak marah mula kelihatan. Ratusan pasang mata para jamaah memerhati. Melihat jawatan kuasa memperbaikinya serta memerhati wajah si Ustaz Y yang sudah kemerahan.

CERAMAH DIBATALKAN

Hampir 45 minit daripada garisan masa yang sepatutnya majlis bermula, masalah dapat di atasi. Tiada lagi garisan senyuman di muka si Ustaz Y, sebaliknya nafsu amarah menguasainya. Kemarahan tidak mudah dihilangkan.

"Kita ganti tazkirah hari ini dengan sesi soal jawab terus!" Ustaz Y mula tidak meraikan tajuk ceramah yang diberikan oleh jawatan kuasa.

"Saya dah hilang mood untuk bercakap mengenai tajuk Z," sambung ustaz Y lagi menunggu soalan daripada penonton.

Saya terkejut (tapi bukan macam beruk sangatlah terkejut tu) dengan reaksi spontan ustaz Y. Begitu sekalikah?

BERBAHASA KESAT

Seorang mak cik di sebelah saya mencuit bahu. Senyuman terukir. Saya membalas senyumannya.

"Esok ni kalau ustaz pergi ceramah di masjid W pulak, dia akan hentam masjid X ni. Mak cik memang selalu datang kuliyyah ustaz ni. Setiap tempat yang dia pergi mak cik ikut, kalau dalam Pulau Pinang ni."

Memang saya akui kebenaran kata-kata mak cik itu. Saya sendiri pernah mendengar kata-kata yang tidak sopan dan kesat diungkapkan di dalam ceramah-ceramahnya.

"Orang jahil ni bodoh. Kita dah ajak kepada kebaikan dan tegur. Tapi telinga tuli, pekak. Bahlul sebab memasukkan diri ke dalam neraka. Mencampakkan diri sendiri dalam neraka!"

Lebih kurang begitu ayatnya. Memang benar, Allah sendiri menyifatkan neraka jahanam itu dihuni oleh mereka yang :
Ada jantung, tetapi tidak mahu memahami.
Ada telinga, tetapi tidak mahu mendengar.

Ada mata, tetapi tidak mahu melihat.
Seperti binatang ternak, bahkan lebih teruk.
 (Surah Al-Araf, ayat 179)

Namun, mengklasifikasikan seseorang sebagai orang yang bodoh, tanpa menyebut kenapa orang itu menjadi bodoh jika membuat sesuatu perkara, akan menimbulkan satu salah faham dalam mentafsirkan ayat. Kesopanan bahasa penceramah ditelinga para pendengar akan terhakis. Bandingkan dua ayat di bawah :

"Orang yang melakukan maksiat ini bodoh. Sebab apa? Kerana dia mendedahkan dirinya terjerumus ke dalam neraka. Membiarkan dirinya dimurkai Allah. Kalau orang yang pandai, dia tak akan mencederakan diri sendiri."

atau

"Hanya orang bodoh yang melakukan maksiat. Allah sediakan neraka bagi mereka yang ingkar. Kekal di dalamnya selama-lamanya!"

Ustaz Y ketika mula-mula mengukir nama di dunia para asatizah menggunakan ayat pertama. Namun, setelah sibuk dan menerima perbagai undangan ceramah di merata tempat, ustaz Y mula meringkaskan ayat percakapannya lalu mengundang salah erti.



BAHASA MEMUJUK

Jika dua ayat di atas, kita bina semula ayat baru seperti berikut :

"Pelaku-pelaku maksiat ini kebiasaannya tidak mengetahui luasnya kasih sayang Allah. Jika mereka tahu betapa sayangnya Allah kepada mereka, menyediakan syurga-syurga yang penuh nikmat kekal selamanya, sudah pasti mereka akan berhenti melakukan maksiat.

Jom, kita khabarkan kepada mereka. Allah lebih menyayangi hamba-hambanya berbanding ibu-ibu mereka sendiri. Tak mungkin si ibu yang melahirkan sanggup membiarkan anaknya dalam kepayahan meskipun digigit seekor nyamuk. Apatah lagi Allah, tidak suka hambanya dijamah api neraka."

Walaupun tanpa menggunakan perkataan bodoh, ianya tetap dapat menginsafkan. Mari kita menggunakan bahasa memujuk berbanding bahasa ancaman!

MENGAWAL MARAH

Kewarasan akan hilang apabila seseorang itu dikuasai marah. Tak kira apa jua kopiah, berapa tebal serban, berapa labuh tudung, berapa banyak kitab sudah dihafal. Ketika marah, kita ibarat menekan butang format, lalu terpadam segala memori dan peribadi unggun sebelumnya.

Bahasa yang tidak sopan mempunyai kaitan dengan sifat marah. Bahasa-bahasa yang tidak sopan ini kebiasaannya lahir daripada perasaan marah terlebih dahulu. Lalu, dengan mengawalnya marah, bahasa kita akan menjadi terkawal juga, insya Allah. Bahkan ganjaran kita menahan marah banyak disebutkan dalam hadis. Salah satunya seperti berikut :

من كظم غيظاً وهو يقدر على أن ينفذه دعاه الله على رءوس الخﻻئق حتى يخيره في أي الحور شاء

"Sesiapa yang dapat menahan marah sedangkan dia berupaya untuk bertindak kerana kemarahannya itu, Allah akan memanggilnya di khayalak ramai pada hari kiamat nanti untuk memberikannya pilihan untuk memilih mana-mana saja bidadari yang diingininya."

(Riwayat Ahmad, 3/438, at-Tobrani dalam kitab al-Kabir, 20/188. Ia adalah hadis Hasan.) --dipetik daripada buku Mukhtasar Minhajul Qasidin, Pustaka Salam, muka surat 366, jilid 1. 
TEORI HABA FIZIK


q = kuantiti haba (Joule)
m = jisim (kg)                          c = kapasiti haba spesifik
T = perubahan suhu (celsius) 


Kepanasan sesuatu bahan/objek, bergantung kepada 3 aspek di atas, iaitu c, T dan m. Dalam proses penyejukan enjin kereta misalnya, air dipilih kerana nilai c yang tinggi. Air dapat menyerap kapasiti haba yang lebih banyak berbanding material lain. Ini satu kelebihan air untuk memastikan enjin kereta tidak terlalu panas.

Untuk takat didih pula, air juga memiliki ciri-ciri yang sesuai untuk penyejukan. Takat didih yang tinggi (100 darjah celcius) membolehkan lebih banyak haba disimpan dalam bentuk cecair sebelum berubah menjadi gas. Berbanding klorofom (cecair yang kita guna untuk pengsankan benda hidup) sebagai contoh, cepat berubah menjadi gas seawal suhu 62.2 darjah celcius lagi!

Dalam prosedur dan ciri-ciri menyejukkan enjin kereta, kita mengelasifikasikan yang cepat panas itu tidak bagus dan yang lambat mendidih (molekulnya stay kool dan relax, tak susah-susah nak tingkatkan halaju) adalah bahan yang terbaik.

Sebagai para Dai'e, kita perlu melakukan transformasi material asal kepada material lain yang lebih tinggi takat didih dan boleh menyimpan haba spesifik yang banyak. Takat didih yang tinggi, sampai tak pernah terdidih dan kapasiti haba spesifik (c) yang tinggi supaya tidak pernah panas (baca : baran).

Ikon Ustaz seorang pemarah?

Seorang Dai'e mudah melenting?

Insan yang mengajak kepada Islam seorang panas baran?

Masa untuk muhasabah. Selamat mengawal marah.

1 ulasan:

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!