Halaman

Jangan Naik Kereta, Naiklah Unta! (Bahagian 2)

[Amaran : Artikel ini tidak sesekali bertujuan untuk membangkitkan kekacauan apatah lagi perpecahan, tetapi sebagai rangsangan untuk kita berfikir kembali mengenai ibadah-ibadah yang kita lakukan seharian, apakah ia menuruti sunnah ataupun tidak, supaya amalan kita diterima Allah, insya Allah. Tulisan ini dirujuk dan diubah suai bahasa berdasarkan ceramah yang disampaikan oleh Dr Asri Zainal Abidin yang bertajuk 'Debat : Sunnah-Bidaah'


Artikel ini adalah sambungan artikel sebelumnya.


BIDAAH HASANAH?

Ada yang pernah mengatakan perkataan 'bidaah hasanah' tidak pernah wujud. Itu tidak benar. Para ulama' terdahulu sememangnya pernah menggunakan perkataan bidaah hasanah. Tetapi maksud penggunaan mereka, barangkali berbeza dengan maksud penggunaan kita.

Inilah yang menjadi punca masalah.

"Mengapa kita menimbulkan perkataan bidaah? Inilah masalahnya, perkataan ini!" kata kebanyakan orang.

Namun, perkataan ini sebenarnya pertama kali disebut oleh Rasulullah SAW. Demikian, ulama' hadis membahaskan banyak dalam kitab-kitab mereka berkenaan dengannya.
Kalam nabi itu besar maknanya.

Baginda SAW telah memberi amaran kepada kita, umat akhir zaman, antaranya:
1) Kemunculan golongan rawaibithah;
2) Kemunculan penyakit al-Wahn;
3) Kemunculan bidaah.

Bahkan ucapan baginda sering dibaca, iaitu :

أحسَنَ الحَديثِ كتابُ الله تعالى وأَحسَنَ الهَدْيِ هَديُ محَمّدٍ صلى الله عليه وسلّم وشَرَّ الأمورِ مُحدَثاتُها وكلّ مُحدثةٍ بِدعةٍ وكلّ بِدعة ضَلالَة

Baginda SAW memperingatkan para sahabatnya, walhal mereka tidak melakukan bidaah. Tetapi bidaah ini sesuatu yang berbahaya.

Diriwayatkan daripada al-'Irbadh bin Sariyah r.a., beliau berkata : "Rasulullah SAW telah memberi peringatan kepada kami dengan suatu peringatan yang kerananya semua hati rasa takut dan air mata mengalir.

Lantas kami berkata : "Wahai Rasulullah, seolah-olah ia merupakan peringatan orang yang mengucapkan selamat jalan (semasa hendak berpisah). Oleh itu, berilah pesanan kepada kami."


Baginda bersabda : "Saya berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah, dengar dan patuh, sekalipun seorang hamba menjadi pemimpin kamu. Sesungguhnya sesiapa yang di kalangan kamu yang masih hidup selepas (kewafatan)ku, dia akan melihat banyak perselisihan.
Oleh itu, sentiasalah berpegang pada sunnahku, dan sunnah khulafa' Rasyidin yang diberi petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan geraham.

Hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara baru yang diada-adakan (bid'ah), kerana sesungguhnya setiap bidaah adalah sesat."

(Hadis ke-28 dalam Hadis 40, riwayat Abu Daud dan Tirmizi. Berkata : ia hasan sahih)

Inilah amaran daripada Rasulullah SAW.

Kata baginda, semua bidaah adalah sesat.

PADA ISTILAH ATAU BAHASA

Oleh kerana sabda baginda di atas (semua bidaah adalah sesat), maka sewajarnya tiada istilah bidaah hasanah. Pengertiannya yang tulin dari sudut istilah, semuanya sesat. Namun, dari sudut bahasa, ianya terkecuali.

Sesat, bukanlah suatu status yang menunjukkan kekafiran. Tetapi, istilah sesat ini membawa satu konotasi yang memberi maksud membuat sesuatu kesalahan. Tersesat jalan. Baginda memberi amaran, bahawa itiqad itu sesat.

Imam Malik rahimahullah menyebutkan,
"Sesiapa yang membuat bidaah, kemudian menganggapnya sebagai hasanah, maka dia mendakwa nabi SAW mengkhianati risalah. Kerana Allah SWT menyatakan (yang bermaksud) 'pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu'."
Kata-kata ini membawa maksud apa yang tidak menjadi agama pada zaman nabi, tidak menjadi agama pada hari ini juga. Inilah juga kata-kata Imam Malik yang telah dinaqalkan oleh Imam Syatibi dalam Al-'Itisam.

YA, IANYA DISEBUT!

Di dalam teks-teks Imam Syafie, istilah bidaah hasanah memang disebut. Walaupun saya tidak temui Imam Syatibi menyebut perkataan bidaah hasanah, ia menyebut bidaah mahmudah.

Imam Syafie seorang pembela sunnah. Bahkan kata Imam Ahmad, beliau adalah seorang mujaddid di zamannya, sebagai mana yang disebut dalam hadis yang mengatakan setiap 100 tahun akan ada seorang mujaddid.

Namun, kritikan terhadap penyebutan istilah bidaah hasanah ini tidak sesekali mengurangkan malah menghilangkan sumbangan beliau terhadap agama. Kritikan dalam satu perkara tidak bermaksud kita menghina Imam Syafie. Lidah-lidah yang tidak bertanggungjawab seringkali mensinonimkan dengan kritikan dengan penghinaan. Ini satu sikap yang tidak akademik.

Imam Ahmad pada zaman muktazilah, beliau dihukum sesat. Imam Syafie pernah dituduh syiah pada zamannya. Imam Bukhari juga pernah dikelaskan sebagai orang yang memegang ideologi muktazilah. Oleh itu, kita perlu mengambil iktibar bahawa apabila menuduh seseorang, hendaklah merujuk teksnya yang asal, apa yang mereka tulis.

ASAL ISTILAH BIDAAH HASANAH

Menurut yang disebut oleh Imam Ibnu Rajab, As-Syafie berkata:
"Bidaah itu ada 2 jenis. Bidaah mahmudah (yang dipuji) dan bidaah mazmumah (yang dikeji). Apa yang menepati sunnah, ianya dipuji. Apa yang melanggari sunnah, ianya dikeji.

Bahawa bidaah mazmumah adalah apa yang tidak ada asal daripada syariat untuk dirujuk. Ini adalah bidaah pada istilah. Adapun bidaah mahmudah ialah bertepatan dengan sunnah, iaitu apa yang ada baginya asal untuk dirujuk. Ini adalah bidaah dari segi bahasa, bukan pada syarak kerana ianya menepati sunnah."
Kata Ibnu Hajar al-'Ashqalani:
Maka bidaah pada takrifan syarak adalah keji, berbeza daripada bidaah dari segi bahasa. Maka dari segi bahasa, setiap perkara yang diada-adakan tanpa sebarang contoh dinamakan dengan bidaah."
Kesimpulannya, maksud Imam Syafie yang dikatakan bidaah (hasanah) itu bukan ibadah. Ianya hanya dari segi bahasa, bukan istilah. Buktinya, dalam kitab Al-Umm, Imam Syafie dalam mengulas hadis berkenaan zikir secara kuat.
Sesungguhnya mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai solat fardhu telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Pendapatku untuk imam dan makmum, hendaklah mereka (selepas selesai solat) hendaklah disenyapkan zikir, kecuali seorang imam mahu dipelajari daripadanya. Maka ketika itu dikuatkan zikir.

Apabila didapati telah dipelajari daripadanya zikir, maka ketika itu hendaklah dia memperlahankan.
BERKENAAN ZIKIR SELEPAS SOLAT

Imam Syafie tidak mengatakan ini satu bidaah hasanah. Bahkan katanya selepas daripada solat, rendahkan suara dalam zikir. Kata Imam Syafie lagi dalam al-Umm,
Aku berpendapat baginda memperkuatkan suara hanya seketika untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini atau selainnya tidak menyebutkan selepas salam sebagai tahlil dan takbir.

Kadangkala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat, kadangkala baginda pergi tanpa zikir. Ummu Salamah menyebutkan, beliau duduk sebentar (selepas solat) untuk memberi ruang wanita keluar daripada masjid. Tetapi beliau tidak menyebut baginda berzikir secara kuat.

Aku berpendapat baginda tidak duduk kecuali untuk berzikir, tetapi tidak mengangkat suara.

Apa yang Rasulullah SAW buat, kemudian tinggalkan seperti apa yang pernah dilakukan oleh Baginda ketika solat di atas mimbar, baginda berdiri dan ruku' di atasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umurnya, baginda tidak solat di atasnya.

Akan tetapi aku berpendapat bahawa bagi sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda, dapat melihat bagaimana untuk berdiri dalam solat, ruku' dan bangun. Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua.

Aku suka sekiranya Imam berzikir nama Allah, di tempat duduknya sedikit dengan kadar seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Ummu Salamah katakan. Kemudian imam bangun. Jika dia bangun sebelum itu atau dia duduk lebih lama, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi selepas selesai imam memberi salam, iaitu sebelum imam bangun.

Jika dia lewatkan sehingga imam pergi atau bersama imam, maka itu lebih aku sukai.
Kata-kata Imam Syafie ini menunjukkan hujahnya, zikir selepas solat adalah secara senyap.

"Apa salahnya zikir kuat-kuat? Bukankah itu satu bidaah hasanah?" sesetengah para asatizah memberi hujah logik.

Wallahu'alam, tetapi imam Syafie tidak memaksudkan perbuatan ini termasuk dalam bidaah hasanah. Sedangkan istilah bidaah hasanah ini digunakan oleh beliau.

Oleh itu, sesiapa yang tidak mahu berzikir secara kuat bersama, tidaklah adil jika kita menghukumnya membawa satu ajaran sesat atau mahu meniupkan perpecahan. Apatah lagi menghukumnya sebagai orang yang menentang sunnah!

SIAPA LAGI GUNA ISTILAH 'BH'

Antara yang awal menyebut istilah bidaah hasanah ini ialah Imam 'Izzuddin Abdus Salam rahimahullah (digelar Sultanul Ulama'). Beliau (meninggal pada 660H), dalam bukunya Qawaid Al-Ahkam fi Masalih al-Anam, membahagikan bidaah pada 5 bahagian.
1) Bidaah wajib
2) Bidaah haram
3) Bidaah sunat
4) Bidaah harus
5) Bidaah makruh
Jika kita melihat mengapa beliau membahagikan perkataan-perkataan bidaah ini, kerana pada beliau, perkataan bidaah ini membawa maksud yang luas.
"Perbuatan-perbuatan yang tidak berlaku pada zaman nabi namanya bidaah."
Skop bidaah mengikut takrifnya yang luas, tidak seperti Imam Syatibi. Maka banyak perkara dibidaahkan. Sekalipun perkara itu tidak ada kaitan dengan ibadah, ianya tetap dikategorikan sebagai bidaah.

Oleh itu, janganlah kita gunakan pecahan yang dibuat oleh Imam 'Izzuddin, melainkan kita mengetahui apa maksudnya yang sebenar. Kata Imam 'Izzuddin,
Bagi bidaah wajib itu beberapa contoh, salah satunya ianya Ilmu Nahu. Dengan ilmu itu difahami kalam Allah, al Quran, dan kalam Rasulullah, al Hadis.
Pendapat ini dikritik oleh Imam Syatibi, kerana beliau awal-awal lagi mengeluarkan ilmu Nahu itu dalam daerah bidaah. Imam Syatibi juga mengkritik pembahagian bidaah kepada 5 bahagian kerana ianya bertentangan dengan maksud sebenar bidaah.

Imam lain yang menyebutkan berkenaan bidaah hasanah ialah Imam An-Nawawi, dalam bukunya Tahzib al-Asma' Al-Lughat, beliau menyebut perkara yang sama yang disebut oleh Imam 'Izzuddin Abdus Salam.

Namun begitu, apa yang dikatakan oleh Imam Nawawi dan Imam 'Izzuddin Abdus Salam sebagai bidaah hasanah, tidak sama dengan apa yang kebanyakan kita katakan hasanah pada hari ini. Dalam kitabnya al-Azkar, Imam Nawawi menyebutkan,
Ketahuilah sesungguhnya betul lagi terpilih yang menjadi amalan salafus-soleh radiallahu'anhum, ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan zikir dan selainnya.

Hikmahnya nyata iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam perkara tersebut. Inilah cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah orang yang menyanggahinya.
 (Bersambung ke Siri 3)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!