Halaman

Adapun Ditegur, Maka Mengamuklah Ia


Suatu pagi, suapan berita di laman sosial facebook dipandang sekilas, selepas bersarapan.

Ada yang suka menjadikan dinding facebook sebagai diari peribadi. Mencatat segala bagai urusan kehidupannya. Sakit kepala, malas nak ke kelas, lapar atau apa saja, pasti ada modal untuk menconteng dinding itu.

Tidak terkecuali juga yang menjadikan facebook sebagai album. Segala gambar dimuat naik bagai simpanan peribadi. Walhal, semua rakan-rakan di facebook boleh memperguna gambarnya. Mereka bebas memuat turun dan melakukan apa saja. Bahkan, facebook sendiri sudah memberi amaran bahawa gambar-gambar yang sudah dibuang juga akan disimpan oleh pihak facebook dan berhak mendedahkan maklumat kepada agen-agen tertentu, seperti CIA.

Pelbagai. Entah apa yang mereka mahukan untuk membuat tayangan diri sendiri sedemikian rupa. Mahu perhatian, barangkali.



LARANGAN MENGINTIP

Di zaman serba mencabar ini, saya tidak nafikan ramai kawan-kawan yang saya kenal sedang atau pernah menagih cinta tidak halal. Atau bahasa mudah sekarang, bercouple sebelum berkahwin. Ianya menjadi trend semasa. Sesiapa yang tidak mengikutinya, nescaya seseorang itu dianggap kolot atau tidak normal.

Namun, keghairahan pasangan-pasangan bercinta ini tidak boleh disentap selagi mereka tidak menonjolkan perwatakan secara zahir, jelas lagi soreh hingga tiada keraguan. Masih ada yang bercouple, tapi bersembunyi-sembunyi. Mereka ini bimbang diketahui oleh orang lain tentang perhubungan bersilang jenis itu. Golongan seperti ini, kita dilarang mencari kesalahan mereka, mendedahkan apatah lagi mengkhabarkan kepada orang lain pula.

Inilah sifat wasatiyyah agama Islam, yang sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada setiap pelaku dosa untuk bertaubat. Firman Allah yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. 
(Surah al-Hujurat, ayat 12)

Hendaklah kemungkaran yang dicegah itu apabila ia nyata atau diketahui secara yakin. Ini seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas. Aktiviti yang dimaklumi oleh masyarakat sekeliling atau berdekatan. (link)

MENDEDAH AIB SENDIRI

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi sallahu 'alayhi wasallam dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”
Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:
“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu."
Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya)
“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”
(Surah Hud, ayat 114)

Maka ada seorang bertanya:
“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?"
Jawab Nabi saw:
“Bahkan untuk manusia keseluruhannya.”
Demikianlah hadis ini menggambarkan Nabi SAW tidak mendedahkan keaiban orang lain selagi keburukan itu tidak dilakukan secara terang-terang. Juga, amalan soleh seperti solat boleh menghapuskan keburukan yang dilakukan. Ya, Islam memang mengharamkan zina dan maksiat seks. Namun, Islam juga mengharamkan mendedahkan aib orang lain yang bersifat peribadi dan tidak mengancam keselamatan awam dan empunya berusaha menutupinya.(link)

PLATFOM YG MENGHILANGKAN SANGKAAN

Melihat gambar rakan di facebook berdua-duaan, ianya masih dalam sangkaan. Apakah lelaki disebelahnya itu abangnya, ayahnya, datuknya, pak ciknya atau mungkin adik lelakinya. Maka, untuk menembak terus dan membuat konfirmasi segera "sah, dia ni ada couple!" adalah tindakan yang tidak tepat.

Namun, sebagai orang yang beriman kepada Allah dan kalamnya al-Qur'an, sewajarnya kita menjauhi daripada terjebak ke dalam sangkaan buruk. Kita perlu menutup pintu-pintu yang menjerumuskan diri kita ke dalam fitnah. Walaupun lelaki disebelah itu abang, adik atau mahram yang lain, pintu fitnah tidak mudah diubati melainkan dicegah dari awal. Kalau nak letakkan gambar berdua juga dengan abang atau adik lelaki di facebook, letakkan kapsyen siap-siap dibawah gambar, "ini adik saya".

Sebagai orang yang melihat sesuatu gambar itu, hendaklah seseorang itu mencegah kemungkaran jika ianya benar, seperti dalam saranan baginda sallahu 'alayhi wa sallam yang bermaksud :
"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."
(Hadis Riwayat Muslim)

Seseorang yang mewujudkan sangkaan, sewajarnya berhak ditanya, "siapa lelaki sebelah kamu itu?"

Tidaklah wajar seseorang itu melenting jika ditanyakan siapa lelaki disebelah itu, lelaki itu adalah mahramnya. Seseorang yang dalam hatinya masih takutkan azab Allah, pasti tidak selesa soalan itu ditanyakan kepadanya, kerana dia tahu dia sedang melakukan kemungkaran. Namun, kerana dosa-dosa yang melitupi hatinya, dia tidak mampu mengawal kehendak nafsu syahwat, tidak mampu menerima teguran ikhlas, bahkan juga tidak mampu untuk tidak menayangkan gambar berdua-duaan di facebook!

Takutlah kamu kepada Allah, wahai saudara yang dikasihi.

MELENTING

Ingin saja saya menaip soalan di atas. Namun, saya menarik nafas, berfikir ayat yang sesuai dengan keadaan. Tidak menjumpai. Akhirnya saya biarkan saja dia dengan gambar si lelaki rakus mengambil kesempatan ke atas perempuan sepertinya. Seorang lelaki yang baik dan jujur, tidak sesekali mengajak untuk bercouple. Kalau ada ajakan untuk berdua-duaan, sudah pasti 99% adalah lelaki yang jahat. 1% lagi mungkin adalah ruang taubat. Selang beberapa hari seseorang mengirimkan mesej mutiara itu ke atas dindingnya.

"Siapa lelaki sebelah kamu dalam desktop profile tu?"

Saya menekan like untuk status itu.

Soalan itu tidak berbalas. Beberapa jam kemudian, desktop profile si X itu bertukar gambar. Gambar abstrak, bukan lagi gambar manusia. Beberapa minit kemudian, muncul di kemaskini beritanya, "ah, sakit kepala dengan orang yang suka menyibuk hal orang lain ni".

Keesokkannya, kemaskini daripada si X tidak lagi kelihatan. Saya menaip namanya di engin carian facebook. Tidak menjumpainya. Wah, wah. Bukan saja sudah removekan daripada kawan, bahkan siap diblock juga!

Begitulah hakikatnya. Ini kisah benar, tidak direka-reka.

Beberapa hari kemudian, rakan-rakan saya di facebook yang berkawan dengannya di facebook juga telah diblock. Putus semuanya, walau ada talian darah kekeluargaan.

Apa lagi yang boleh saya lakukan. Berdoa kepada Allah agar dibukakan hati untuk menerima petunjuk. Semoga Allah tidak membiarkannya menjadi perempuan murahan yang menjadi mainan para lelaki jahat.

Begitulah bahangnya maksiat. Andai setiap kederhakaan itu boleh berbau busuk, sudah pasti busuk satu negara. Pelaku maksiat, ibarat seorang yang sedang tidur. Bila mahu mengingatkannya?

Sebelum terjebak. Jika sudah terjebak, belum tentu seseorang itu akan kembali ke pangkal jalan. Namun tidaklah mustahil dengan izin Allah yang Maha penyayang.

MACAM KEJUTKAN ORANG TENGAH TIDUR 

Begini, si A sedang tidur nyeyak di sebuah rumah Bunglownya. Tiba-tiba kebakaran telah berlaku kerana kebocoran gas. Rakan serumah, si B menyedari akan hal itu segera mengejutkan si A untuk keluar dari rumah itu. Namun, si A tidak mengendahkannya kerana masih 'mamai' dalam lenanya. Si B pula menyedari akan bahaya yang akan menimpa rakan serumahnya, dia berasa bertanggungjawab menyedarkan rakannya supaya tidak terperangkap.

Si A bukan saja tidak mengendahkan apa yang diperkatakan oleh si B, bahkan memarahi si A kerana mengganggunya untuk tidur!

Begitulah umpamanya. Orang yang sedang melakukan maksiat terhadap Allah tidak sedar bahawa bahaya akan menimpa dirinya. Seperti si A tadi. Apabila datang peringatan yang dibawa oleh si B, dia masih buat tak tahu dan akhirnya memarahi pula.

Begitulah sikap orang-orang kafir dan munafik pada zaman Rasulullah SAW dahulu :
 "...tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)? Mereka menjawab: Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!

Dan mereka berkata: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka.
(Surah Al-Mulk, ayat 8-10)

Menurut Ibnu Qayyim Jauzi, dalam bukunya Kesan Dosa Dalam Hidup, orang yang munafik itu melihat dosa seperti lalat yang lalu di hadapan mata sahaja. Manakala orang yang beriman melihat dosa seolah-olah bahaya gunung besar yang akan menimpa dirinya.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang mengabaikan dosa terhadap Allah, meskipun dosa kecil kerana dosa kecil menjadi besar apabila diperkecil-kecilkan

Lantas, sibukkan masa muda kita dengan pelaburan-pelaburan akhirat yang sentiasa menguntungkan!

3 ulasan:

  1. Kebijaksanaan dalam bergaul dengan manusia bukan sesuatu yang bersamaan dengan bakat.

    Ia akan melekat apabila di latih dan di pelajari..

    >> menasihatkan tidak semestinya dengan kata-kata yang terang dan jelas sekali hingga menyebabkan orang merasa kita telah 'aim' dia..

    >> apabila ada orang seolah-olah cuba membuka keaiban dirinya.. maka kita akan berusaha dengan bijaksana untuk menutup kembali keaiban tersebut.


    Sangkaan kita akan berkurang apabila kita lebih mengenali seseorang saudara seislam itu..

    Oleh itu ubat kepada sangka buruk itu adalah dengan mengenali dan menjalinkan hubungan silaturahim..

    Dosa dan maksiat yang dilakukan itu adalah hak Allah.

    Selagi dia tidak memerangi Allah secara terangan.. kita tetap bertanggungjawab untuk menggauli mereka sebagaimana yang Allah tetapkan..

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!