Halaman

Jodohkan Anak Dengan Seorang Rakyat Miskin, Tidak Dengan Jejaka Bakal Khalifah!


"Maisarah!" si khalifah, Abdul Malik Bin Marwan, memanggil pengawalnya setelah terjaga dari tidur.

"Ya, wahai Amirul Mukminin," panggilannya bersahut.

"Pergilah ke masjid Rasulullah SAW dan panggilkan seorang ulama' untuk berbual dengan saya," pinta si khalifah.

Ketika itu khalifah berhasrat untuk menunaikan haji. Maka, baginda menziarahi madinah terlebih dahulu. Rombongan khalifah ini bertolak dari Damsyik ke Madinah. Apabila tiba di madinah, baginda menziarahi masjid nabawi. Baginda mendapati terdapat banyak majlis ilmu yang dikendalikan oleh para tabiin. Tempoh lawatan ke masjid nabawi dipanjangkan.



MAISARAH MENCARI ULAMA'

Maisarah tiba di masjid. Dia mendapati seorang syeikh berusia tua, namun kelihatan hebat dan tenang sedang menyampaikan syarah. Maisarah cuba memberikan isyarat kepada syeikh. Namun, ianya tidak dipedulikan oleh syeikh.

"Tidakkah tuan nampak saya mengangkat tangan tadi?" tanya Maisarah menghampiri syeikh itu.

"Kepada saya?" syeikh itu kehairanan. Maka, Maisarah mengiyakan.

"Apa yang engkau mahukan?" syeikh itu bertanya. Lalu Maisarah menceritakan hajat si khalifah.

"Saya bukan teman berbualnya," respon syeikh, mengecewakan Maisarah.

"Baginda mahu seorang teman untuk berbual dengannya," Maisarah cuba memujuk.

"Orang yang hendakkan sesuatu, orang itulah yang datang mencarinya. Ruang di masjid cukup luas untuk dia. Teman perlu dicari bukannya dia yang mencari," syeikh itu memberi respon dengan jelas, sambil menggelengkan kepalanya.

PULANG DENGAN HAMPA

"Hanya ada seorang sahaja syeikh yang saya temui di masjid. Tetapi beliau tidak mempedulikan saya. Setelah saya memberitahu hajat khalifah, juga tidak berhasil," Maisarah memaklumkan kegagalannya. Lalu, dia juga menceritakan jawapan yang diberikan oleh syeikh.

Abdul Malik bin Marwan mengeluh, sambil membetulkan duduk.

"Itulah Sa'id bin al-Musayyab, alangkah baiknya jika engkau tidak menemui dan tidak bercakap dengannya," kata khalifah, kemudian menghilangkan diri ke dalam biliknya.

"Siapa yang enggan menemui Amirul Mukminin ini? Malah begitu keras menolak untuk datang menemui khalifah. Sedangkan seluruh dunia tunduk kepada khalifah kerana kehebatannya termasuklah maharaja Rom," kata anak bongsu khalifah, memandang ke arah abangnya setelah melihat khalifah menghilangkan diri dari majlis.

SA'ID MENOLAK PINANGAN ANAK KHALIFAH

"Orang itu ialah bapa kepada anak perempuan yang dipinang oleh Amirul Mukminin untuk abangmu ini, al-Walid. Orang itu enggan mengahwinkan anak perempuannya dengan aku," jawab si abang, al-Walid bin Abdul Malik.

"Dia enggan mengahwinkan anak perempuannya dengan al-Walid? Apakah dia akan menemui suami lain untuk anaknya itu yang lebih mulia daripada putera mahkota Amirul Mukminin ini dan bakal khalifah Islam selepas ini?" kata si adik yang terkejut dengan jawapan abangnya.

Si abang diam tidak terkata. Sepi.

"Jika dia enggan mengahwinkan anak perempuannya dengan putera mahkota Amirul Mukminin, apakah dia akan menemui orang yang setaraf ddengan anaknya itu? Ataupun dia akan menghalang anaknya berkahwin seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dan menjadikan anaknya penunggu di rumah selama-lamanya," si adik meneruskan bicara kata.

"Abang sebenarnya tidak tahu apa-apa mengenai anak perempuannya itu dan kisah sebenar mereka berdua," dengus si abang.

"Jika tuan putera benarkan, saya boleh ceritakan kisahnya. Anak perempuan itu sebenarnya telahpun berkahwin dengan seorang pemuda dari daerah negeri saya yang bernama Abu Wada'ah. Dia adalah jiran bersebelahan rumah saya. Kisah perkahwinan mereka amat menarik. Malah dia (Abu Wada'ah) sendiri menceritakan kepada saya," salah seorang hadirin yang merupakan penduduk madinah mencelah.

APABILA SI AYAH REDHA DENGAN AGAMA DAN AKHLAK MENANTU

"Ceritakanlah," jawab kedua-kedua putera Abdul Malik Bin Marwan.

"Abu Wada'ah berkata kepadaku sewaktu menceritakan kisahnya :
Seperti yang engkau tahu, aku sering datang menuntut ilmu di masjid nabawi. Aku juga selalu menghadiri majlis ilmu Sa'id bin Musayyab. Saya bersesak-sesak dengan orang ramai.

Suatu ketika, aku tidak dapat hadir dalam majis tersebut selama beberapa hari. Sa'id bin Musayyab menyedari ketiadaan saya. Beliau menyangka saya sakit atau ditimpa musibah. Dia bertanya orang ramai disekelilingnya mengenaiku, namun tiada siapa yang mengetahuinya.

Selepas beberapa hari, aku datang semula ke majlis ilmunya. Sa'id menyambut kedatanganku sambil berkata : "Ke manakah engkau wahai Abu Wada'ah?"

Saya menjawab : "Isteriku meninggal dunia, aku sibuk menguruskannya."

Sa'id bin Musayyab berkata : "Bukankah elok jika engkau beritahuku mengenainya. Mungkin aku dapat membantu dan mengiringi jenazahnya. Mungkin saya dapat membantu masalah yang engkau hadapi."

Saya menjawab : "Terima kasih, semoga Allah membalas segala kebaikanmu."

Lalu saya bangun. Walaubagaimanapun, Sa'id menahan saya hinggalah semua orang yang ada di situ pergi.

Sai'd bekata : "Apakah engkau sudah berfikir untuk mencari penggantinya, wahai Abu Wada'ah?"

Saya menjawab : "Moga Allah merahmati tuan. Siapakah yang akan memberikan anaknya kepada saya kerana saya pemuda yang dilahirkan yatim dan hidup miskin. Saya cuma memiliki dua atau tiga dirham."

Sa'id berkata : "Saya akan kahwinkan anak saya denganmu."

Kelu rasanya lidah saya mendengarnya.

Saya berkata : "Tuan, apakah tuan akan kahwinkan anak tuan walaupun tuan tahu keadaan saya?"

Sa'id berkata : "Ya, jika saya temui orang yang saya percaya agama dan akhlaknya. Sudah tentu saya akan mengahwinkannya. Engkau adalah orang yang saya percaya pegangan akhlak dan agamanya."

Sa'id kemudiannya memandang orang-orang yang ada di sekitarnyadan memanggil mereka. Apabila mereka datang, beliau memanjatkan pujian kepada Allah dan berselawat kepada Rasulullah SAW, kemudian dia melakukan akad nikah mengahwinkan saya dengan anak perempuannya. Sai'd meletakkan dua dirham sebagai maharnya.

Setelah itu, aku bingkas bangun. Perasaan ketika itu antara terkejut dan gembira. Saya pulang ke rumah. Saya terlupa yang saya berpuasa pada hari itu.

Saya berkata kepada diri sendiri : "Wahai Abu Wada'ah, apakah yang telah engkau lakukan? Daripada siapa engkau akan berhutang? Daripada siapa engkau akan minta wang?"

Saya terus kebingungan hingga kedengaran azan maghrib. Saya pun mendirikan solat dan menjamah makanan. Sebaik saja saya makan sesuap dua, tiba-tiba saya dengar pintu rumah diketuk.

Saya bertanya : "Siapa?"

Kedengaran suatu suara menjawab : "Sa'id."

Demi Allah, semua Sa'id yang saya kenali terlintas difikiran saya kecuali Sa'id bin Musayyab. Sebabnya, semenjak 40 tahun dia tidak pernah ke mana-mana kecuali antara rumahnya dan masjid saja.

Apabila saya buka pintu, alangkah terkejutnya saya. Saya mendapati Sa'id bin Musayyab berdiri di hadapan pintu rumah saya. Saya menyangka mungkin fikirannya mengenai perkahwinan anaknya dengan saya berubah.

Jadi, saya katakan padanya : "Wahai Abu Muhammad, bukankah elok jika tuan utuskan seseorang memanggil saya. Sudah tentu saya akan datang."

Jawab Sa'id : "Tidak, hari ini sayalah yang sepatutnya datang menemui engkau."

Saya berkata : "Silalah masuk."

Kata Sa'id : "Tidak. Saya datang kerana sesuatu sebab."

Saya bertanya mengapa dengan kehairanan. Sa'id kemudiannya menerangkan tujuan kehadirannya yang sebenar.

Kata Sa'id : "Semenjak pagi tadi, anak perempuanku telah menjadi isterimu yang sah mennurut syariat. Saya tahu tiada siapa sekarang yang boleh menemanimu. Jadi saya tidak mahu engkau tidur di satu tempat dan isterimu tidur di tempat yang lain. Oleh itu, saya bawakan ke sini."

Saya terperanjat. "Tuan bawa dia ke sini?"

Jawab Sa'id : "Ya."

Saya pun menjenguk. Saya dapat lihat anak perempuannya berada di situ.

Sa'id berkata kepada anaknya : "Masuklah ke rumah suamimu, wahai anakku dengan nama dan berkat Allah."

Saya ketika itu hanya tercegat dan kebingungan tidak tahu apa sepatutnya yang saya katakan. Saya pun mendahuluinya masuk ke tikar yang saya letakkan makanan tadi. Saya jauhkan daripada api pelita supaya dia tidak melihat makanan itu.

Selepas itu saya naik ke bumbung umah dan memanggil jiran-jiran. Mereka bertanya kenapa.

Saya berkata : "Hari ini, Sa'id telah mengahwinkan anaknya dengan saya di masjid. Sekarang dia telah membawanya ke sini tanpa sebarang persiapan. Marilah ke sini temankan dia. Saya mahu memanggil ibu saya yang tinggal jauh dari sini."

Kata salah seorang jirannya : "Apakah engkau tahu apa yang engkau katakan ini? Adakah Sa'id mengahwinkan anaknya dengan engkau dan membawanya sendiri kepada engkau? Dahulu dia menolak pinangan al-Walid bin Abdul Malik."

Saya berkata : "Ya, dia berada dalam rumah saya sekarang. Pergi dan lihatlah sendiri."

Jiran-jiran pun pergi ke rumah saya walaupun mereka tidak mempercayai apa yang saya katakan. Namun sebaik saja melihatnya, merekapun menyambut dan menemaninya.
SEBAB PINANGAN DITOLAK

"Aneh sungguh sikap Sa'id ini," anak Abdul Malik berkata.

"Apakah yang aneh wahai putera khalifah?" tanya penduduk madinah itu.

"Sa'id adalah seorang yang menjadikan dunia sebagai jambatan akhirat. Beliau menjauhi segala yang fana' ini untuk memperolehi alam yang kekal buat dirinya dan keluarnya. Demi Allah, beliau enggan mengahwinkan anaknya dengan anak Amirul Mukminin bukan kerana beliau merasakan anak Amirul Mukminin tidak setaraf dengan anaknya tetapi beliau bimbang anaknya akan terpedaya dengan dugaan dunia," tambahnya lagi.

*   *   *   *

Pada suatu ketika, seorang sahabatnya (sahabat kepada Sa'id) bertanya : "Kenapa tuan menolak pinangan Amirul Mukminin dan mengahwinkan anak tuan dengan orang kebanyakan?"

"Anak perempuanku adalah amanah yang aku pikul. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikannya juga," kata Sa'id.

"Bagaimana?" tanyanya kehairanan.

"Pada pandangan kamu apakah yang akan berlaku padanya setelah berpindah ke istana Bani Umayyah. Dia akan dikeliling oleh hiasan dan kemewahan istana. Khadam, pelayan dan pengiring akan sentiasa berada bersamanya. Apatah lagi dia selepas itu akan menjadi isteri kepada khalifah. Apakah nasib agamanya ketika itu?" jelas Sa'id.

SA'ID MENGAHWINI ANAK ABU HURAIRAH

Seorang penduduk syam menceritakan mengenai Sa'id.

"Beliau sentiasa berpuasa pada di siang hari dan bersembahyang di malam hari. Beliau sudah menunaikan haj sebanyak 40 kali dan tidak pernah terlepas takbiratul ihram di masjid Rasulullah SAW semenjak 40 tahun lamanya. Sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah melihat tapak kaki orang lain ketika bersembahyang kerana dia sentiasa berada si saf pertama."

Beliau mampu mengahwini siapa sahaja daripada wanita madinah. Namun, beliau memilih untuk mengahwini anak Abu Hurairah semata-mata kerana kedudukan Abu Hurairah denagn Rasulullah SAW dan kerana begitu banyak hadis yang diriwayatkannya. Beliau mahu menerima segala hadis-hadis itu.

Rujukan : Dr Abdul Rahman Ra'fat al-Basha, Ustaz Salehan Bin Ayub (Penterjemah), Sur Min Hayah al-Tabiin (Kisah kehidupan Tabiin II), 2003, Pustaka Salam, muka surat 241-248.

1 ulasan:

  1. Subhanallah. Menitis airmata saya baca. Interesting. Moga kita sama2 dikurniakan pasangan yang baik agama dan akhlaknya

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!