Halaman

Dengar, Dengar, Dengar dan Diam

Semasa di sekolah rendah, saya pernah mengalami peristiwa di atas yang hampir serupa dengan Miss Bawani. Namun tidaklah setragis peristiwa itu, demikianlah setara dengan umur saya ketika itu. 

Pagi itu kelas hafazan seperti biasa. Sebelum memulakan kelas setiap hari, 30 minit pertama diperuntukkan bagi kelas hafazan.

"Ana period ni, boleh ko nak baca Quran?" tanya sahabat semeja di sebelah.

"Kat rumah, satu keluarga ana baca saja Quran. Kakak-kakak ana pun baca saja masa period. Mak ana kata tak larang, ada ulama' kata boleh baca," jawapan yang tiada nas dan dalil, tetapi sudah cukup untuk dipercayai bagi kanak-kanak sekolah rendah.

Sahabat saya itu membacanya.

Beberapa minit kemudian, guru tasmi' pagi itu membuat tinjauan. Di sebabkan hanya beberapa orang saja pelajar perempuan yang sudah kedatangan haid ketika itu, beliau mengingatinya. Sahabat saya itu sudah masuk hari kedua haid. Maksudnya, semalam beliau tidak membaca al-Quran dengan alasan haid, kemudian hari ini, dia membaca semula seperti biasa. Berpandukan 'ijtihad' yang saya berikan.


"Dah boleh solat? Kebiasaannya haid datang dalam 6 hingga 7 hari. Atau sekurang-kurangnya sehari semalam," Guru tasmi' itu berbisik kepada sahabat saya, perlahan-lahan.

"Ana masih dalam period, muallim," jawab sahabat saya, malu-malu.

"Habis, kenapa anti baca Quran? Ini haram," ternaik kening guru tasmi' kami itu, beliau kehairanan.

"Errr, dia kata boleh.." sahabat saya mencuit bahu saya. Dengan segera, saya dipersalahkan.

Saya mengulang ayat yang sama seperti yang diperkatakan kepada sahabat saya, kepada si muallim itu.

"Eh, kamu budak-budak kecik lagi. Mana tahu tentang hukum-hakam!" suara si muallim meninggi, mujur air mata saya dapat bertahan dari bergenangan.

"Tapi, tak kanlah tak boleh langsung," kata saya perlahan.

"Dengar sini, kamu belum belajar fiqah secara detail. Kamu belum faham tentang khilaf. Saya sudah mengkaji fiqh manhaji," beberapa kitab fiqh dalam bahasa Arab turut disebutkan, tetapi saya tidak dapat mengingatinya.

Saya diketawakan.

CANTAS IDEA, PEMIKIRAN MENJADI SUBUR!

Di sini, saya tidak berhajat untuk menaip tentang kekhilafan pendapat para ulama' berkatian dengan boleh atau tidak membaca al-Quran ketika haid. Apa yang hendak difokuskan adalah berkenaan cara soalan diuruskan dengan, "kamu diam! Hanya perlu dengar apa yang saya katakan."

Apabila kita dicantas, terpulang untuk kita menafsirkan ianya sebagai sesuatu yang positif atau negatif. Ianya positif, sekiranya kita tercabar untuk mencari lebih banyak jawapan supaya dapat dinilai dan dianalisis. Atau negatif, jika kita hanya menyalahkan golongan pengajar kerana tidak menjawab soalan kita.

Semasa peristiwa ini berlaku, tiada MukaBuka menyiarkannya. Tiada Kicauan yang boleh diadukan. TiubAnda juga masih belum muncul. Tiada publisiti. Hanya rakan-rakan sekelas yang juga tidak 'cukup akal' menjadi saksi kejadian.

Malah, saya yakin ianya bukan hanya berlaku kepada saya. Guru-guru perfahaman 'tradisionalis' seringkali memberi respon begitu, apabila pendapatnya dibangkang oleh anak-anak muridnya.

Saya berterima kasih kepada guru-guru yang smash soalan-soalan pelik semasa darjah 5, akhirnya memaksa supaya saya berfikir di luar kotak dan aktif mencari jawapan-jawapan kepada persoalan yang muncul. Tidak hanya bertanya kepada satu orang saja, dan terus membuat kesimpulan. Ianya juga membuatkan saya tidak mudah berpuas hati dengan jawapan berteraskan tradisi dan adat sejak dahulu kala.

Apa yang dikehendaki adalah nas. Dalil dan hujah.

Dahulu, mungkin mudah para agamawan membacakan ayat "adapun banyak bertanya, maka lemahlah imannya" apabila diajukan soalan kepada mereka. Kini para agamawan tidak lagi selesa dengan jawapan itu semata-mata kerana akhirnya mereka akan kehilangan pendengar dan pengikut. Dunia sudah terbuka luas, engin carian yang tiada batasan dan sempadan. Walaupun tidak saya nafikan beberapa kesan buruk apabila maklumat mudah diperolehi, tetapi kebaikannya lebih besar.

Yang benar akan terus subur, kerana ianya selari dengan wahyu, akal dan emosi manusia. Maklumat yang berpaksikan adat tradisionalis, akan luput ditelan zaman kerana perjalanan masa akan melemahkannya.

Selamat datang pembaharuan minda!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!