Halaman

Ini Bidang Saya, Jangan Sesiapa 'Ganggu'

Hentikan kegitan pengekslusifan agama kepada golongan tertentu.
Ianya bukan milik Melayu, juga bukan milik ustaz ustazah sahaja!
(Gambar : Masjid Cheng Ho, Rantau Panjang, Kelantan - diambil pada bulan 8, 2012)
“Saya nak cari buku Imam Syatibi, kalau awak berjumpa tolong belikan untuk saya. Nak sangat,” seorang pelajar aliran sains kesihatan berdialog dengan rakannya yang berada di kursus aliran agama.

Mungkin budak sains itu memikirkan permintaannya daripada orang yang berada di “bidang” itu mudah untuk mencari buku berkenaan.

“Awak nak baca? Untuk apa?” Tanya pelajar bakal “ustazah” itu.

“Untuk tahu, tak boleh ke?” nada pelajar sains itu bersahaja.

“Bukan tak boleh, tapi kena ada guru. Sebab kalau belajar tanpa guru, gurunya adalah syaitan,” syarah si bakal ustazah.

Budak sains itu terperanjat.


Setahu dia, syaitan menjadi guru jika seseorang itu membacanya, kemudian terus menjadikan hujah dan mengeluarkan hukum tanpa mengetahui beberapa disiplin agama yang lain. Kata-kata si bakal ustazah itu, bukan saja berbaur tidak menggalakkan budak sains itu membacanya, bahkan meletakkan ancaman menjadi anak murid syaitan pula.

Itu seperti kegiatan pembonsaian dalan agama. Lalu, internet menjadi sasaran enjin carian utama untuk mendapatkan kesahihan kenyataan itu. Dunia offline atau online, risikonya mungkin sama : terdedah kepada kebenaran dan kesesatan. Tak adil kalau kita hanya katakan hanya maklumat online berpotensi membawa kepada kesesatan.

Bahkan, ada juga manusia yang tersesat jalan mencari maklumat secara offline. Online, juga dikuasai oleh manusia yang berlegar menyebarkan fikrah di dunia offline.

DIKOTOMI DALAM DISIPLIN ILMU 

Pada pandangan saya, kedua-dua bidang ilmu, agama dan sains (fizikal), memerlukan kritikan dan kreativiti. Tanpa berkurang pun antara 2 disiplin ilmu ini, jika kita mahukan hasilnya yang berkualiti. Namun, reality pada hari ini, disiplin kedua-dua ilmu mempunyai perbezaan yang ketara, terutamanya dalam kalangan pelajar bukan aliran agama.

Kalau kita belajar sains…..
1. Sila baca dulu sebelum pergi ke kelas. Buat persediaan mental, nota ringkas, nota panjang, nota kaki dan segala macam nota. Tujuannya untuk difahamkan betul-betul sebelum disebut oleh pensyarah. 
2. Kemudian boleh memberi respond dan pembelajaran secara interaktif selepas sesi pembelajaran melalui sesi soal jawab. 

Kalau ke kuliah-kuliah agama….
1. Jangan baca buku tu dulu. Sebab membacanya tanpa berguru, gurunya adalah syaitonirrojim. 
2. Apabila ke kuliah agama, dalam kelas, depan ustaz, baru nak mula baca. 
3. Baru mula dengar terminology dan perkataan-perkataan bombastic pertama kali. “Ooooo…” “Iya kah…” dsb.
4. Di hujung sesi, soal jawab tidak interaktif serta tak dapat dimanfaatkan secara optimum kerana baru pertama kali berkenal-kenalan dengan istilah. Tidak dapat nak mengeluarkan soalan-soalan kritikan. 

SEBAGAI PELAJAR SAINS YG FORMAL 

Sekiranya kita seorang pelajar aliran agama, sepenuh masa turun-naik kelas untuk mendalami ilmu-ilmu syariatullah, maka tidaklah menjadi isu “guru kamu adalah syaitan”. Namun, bagi segolongan di bidang sains (fizikalnya seperti yang difahami umum, kerana hakikat perkataan sains itu bermaksud ilmu), pertemuan antara guru untuk menjadi panduan secara terus sangat-sangatlah terbatas.

Jadi, saya fikir ada baiknya jika kita mendapatkan dan membaca isi kandungan terlebih dahulu tentang isu-isu agama yang ingin kita ketahui untuk mendapatkan “general outline”. Jika berkesempatan bertemu dengan para asatizah, kita bolehlah mengemukakan pemahaman kita terhadap sesuatu isu itu. Apakah ianya di atas landasan ataupun tidak. Jika tidak, hendaklah diperbetul dengan segera.

Sebagai seorang muslim, kita ada hak untuk menpelajari ilmu-ilmu syariatullah. Walaupun tidak begitu teratur dan tidak formal, ini tidak memberi tiket untuk terus ditinggalkan. Ianya juga bukan hak milik eksklusif pelajar jurusan ilmu wahyu sahaja. Namun, tidak sesekali dinafikan, sudah tentulah tidak selebar dan mendalam sepertimana yang dilalui oleh meraka yang jurusan agama secara formal.

Kelas fizik II bersama sir Rashid

BIMBANG TERKELIRU? 

Kedua-dua disiplin ilmu, jika kita belajar tanpa berguru, ianya berpotensi besar untuk menjerumuskan ke arah salah faham. Ilmu sains begitu, ilmu syariat juga begitu.

Sebelum masuk ke kelas misalnya, kita menganggap satu unit sel itu mempunyai organel yang sama di setiap anggota (ketika itu kita membaca awal sebelum masuk ke kelas). Namun, setelah guru kita menceritakan bahawa terdapat kompenen seperti mitokondria wujud lebih banyak di kawasan otot yang aktif, seperti jantung.

Jasad golgi dan ribosom pula meningkat bilangannya pada sel yang berada di bahagian kelenjar, berfungsi merembeskan hormone. Namun, jika kita tidak membacanya terlebih dahulu sebelum masuk ke kelas, perbezaan bilangan-bilangan komponen di dalam sel tidak menjadi sesuatu yang signifikan.

Kenapa?

Sebab sebelumnya, kita tak tahu pun kewujudan mitokondria, jasad golgi dan ribosom. Ianya tidak membuatkan pemikiran yang analitik. Kita mendengar dan menerima tanpa apa-apa persoalan.

Dengan tidak membaca terlebih dahulu sebelum diterangkan, tidak mungkin persoalan-persoalan minda di bawah akan muncul seperti :
“Kenapa pula bilangan mitokondria lebih banyak di kawasan sel jantung?”
“Untuk menghasilkan lebih banyak tenaga, untuk pergerakan dan pengepaman darah.” –extra input yang akan kita perolehi.

Kita mungkin akan tahu ini saja jika tidak membuat apa-apa persediaan : “Jantung, ada banyak mitokondria.”
 
 Dengan itu, keadaan ilmu diterima lebih berkualiti setelah disisipkan dengan persediaan. Begitu juga ilmu agama. Ilmu agama adalah satu cabang bidang professional. Ianya perlu didisiplinkan sebagaimana disiplin ilmu-ilmu lain. 

Keduanya perlu perhatian, tenaga dan masa yang lama. Mengapa disiplin mempelajari agama, asasnya disuap-suap (hanya perlu bertalaqqi - walaupun begitu saya tidak menafikan kepentingan bertalaqqqi), sedangkan mempelajari sains boleh diteroka seluasnya. Akhirnya, ilmu sains berkembang dengan baik manakala ilmu cabang agama terus terbantut kerana konkongan kaedah pembelajaran --- 100% perlu membaca kitab bersama guru. 

Jangan pula esok lusa, terjumpa dengan “ustazah” yang tak pandai gosok gigi dengan cara yang betul. Apabila ditanya mengapa, katanya, “itu bidang doktor gigi, bukan bidang saya. Apa kisah!” 

Kalau kita tak mula membaca buku-buku bersifat keagamaan, kita tak akan jumpa benda yang kita tak faham. Jadi, kita tidak akan berjumpa atau bertanya kepada para asatizah tentang agama. Akhirnya sampai mati pun bertaqlid dengan ilmu setakat PQS dan PSI semasa SPM.

 Alasannya dua : 
1. Saya bidang sains, tak tahu disiplin-disiplin agama, tak ada guru untuk bertalaqqi. 
2. Tak boleh baca sendiri, gurunya syaitan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!