Halaman

Dah Gosok Gigi Belum? Eh.

Tamat masa peperiksaan kimia II, peperiksaan terakhir di CFS

Alhamdulillah. Telahpun selesai dan tamat pengajian di Pusat Asasi UIAM. Buat pengetahuan pembaca, pada semester akhir yang lalu ada satu subjek yang saya ambil iaitu English for Academic Purposes. Subjek ini seperti pengenalan kepada kami tentang bagaimana untuk menulis format research di peringkat ijazah kelak.

Tajuk yang saya pilih adalah berkaitan dengan kebersihan mulut (dan gigi). Di sini, saya ingin berkongsi bagaimana menjaga mulut (dan gigi) dengan baik berdasarkan pembacaan beberapa jurnal-jurnal akademik dan puluhan artikel yang telah saya baca. Sengaja saya kongsikan di sini, moga ianya bermanfaat. Walaupun ini bukanlah artikel yang ditulis oleh seorang profesional doktor gigi, artikel ini ditulis atas kesedaran dan kecaknaan kepada kebersihan; iaitu sesuatu yang patut diamalkan oleh setiap mukmin.


KEBERSIHAN GIGI

Gigi adalah amanah Allah. Apabila dikatakan amanah, ianya perlu dijaga sebaik mungkin. Seorang muslim itu sepatutnya sentiasa bersih dan kemas; seperti yang diajarkan dalam agama kita.

Semasa saya membaca jurnal-jurnal dan artikel akademik tentang kebersihan gigi, banyak yang mengatakan bahawa gigi akan terhakis dan rosak sekiranya kita terlalu banyak memberusnya. Untuk menentukan berapa kali seseorang itu boleh memberus gigi, ia berdasarkan tabiat seseorang itu. Banyak manakah kuantiti ubat gigi yang diletakkannya, berapa lama masa yang diambil untuk membersihkan gigi atau bagaimana kekuatan 'penyentalan' ke atas gigi dan lain-lain.
Secara keseluruhannya, pada kadar yang biasa, pakar-pakar ini menyebutkan sekurang-kurangnya kita wajar untuk  memberus gigi dua kali sehari. Paling ideal dan optimum adalah 3-4 kali sehari. Namun, berlebihan hingga 5 kali dan ke atas adalah mengundang mudarat. Dengan fakta ini, kita melihat seperti ianya bertentangan dengan hadis ini:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَة َ عَنِ النَّبِى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَو لا أَنْ أَشُقُّ عَلَى المُؤْ مِنِيْنَ  - حَدِيثِ زُهَيْرٍ عَلَى أُمَّتِى - لأ مَرْتُهُمْ بِالسُّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاةٍ 
"Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Rasulullah SAW bersabda : "Jikalau tidaklah akan memberatkan orang-orang beriman (atau umatku - dalam riwayat Zuhair), nescaya ku suruh mereka membersihkan gigi tiap-tiap akan solat".  (Hadis Riwayat Muslim di dalam sahihnya)
Ada dalam kalangan responden yang saya terima di CFS IIUM, mereka mengamalkannya lebih daripada 5 kali sehari. Antara alasan yang diberikan, ialah seperti hadis di atas. Ini sudah tentu hasil daripada fahaman secara literal. Dalam konsep maqasid syar'iyyah, 5 perkara yang mesti dipelihara haknya terhadap seorang muslim adalah hak agama, kehidupan, aqal, keluarga dan harta.

Gigi, termasuk dalam hak yang kedua iaitu kehidupan. Ya, ini tidaklah bermaksud jika tiada gigi maka tiada kehidupan. Tetapi kesihatan gigi membantu meningkatkan kualiti kehidupan itu sendiri. Maka, tidak mungkin sesuatu dalam Islam itu disyariatkan untuk merosakkan mutu kualiti kehidupan. Di sinilah keperluan untuk kita melihat apakah maksud disebalik sebuah hadis yang mengatakan tentang perbuatan menggosok gigi setiap kali hendak solat.

BAU MULUT

Berus gigi bukanlah satu ibadah khusus. Ianya tidaklah rigid seperti kaifiyat solat, puasa, zakat dan lain-lain lagi. Seperti solat, kita hendaklah mengambil dalilnya (nas daripada al-Quran dan as-Sunnah) secara literal dan bulat-bulat daripada apa yang telah dicontohkan oleh rasulullah SAW. Kita tidak boleh mentafsir seperti kebanyakan golongan tarekat melakukannya seperti solat bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jadi, apabila zikir-zikir tertentu lebih mendekatkan diri kepada Allah, mereka meninggalkan solat dan beralih kepada zikir. Ini sudah tentu satu perbuatan yang salah dalam agama.

Namun begitu, perbuatan mengosok gigi boleh dilihat melalui maksud sebenar kepada sesuatu pensyariatan (maqasid - maksud; syar'iyyah - syarak) kerana ianya berkaitan dengan urusan kehidupan seharian.
Dengan itu, hadis rasulullah SAW menggalakkan umatnya bersugi setiap kali hendak solat, dilihat untuk mengawal bau mulut. Yang penting adalah kebersihan gigi, bukannya kayu sugi atau perbuatan menggosok gigi itu sendiri. Semasa kita bersolat, kita akan berada dalam saf dan rapat dengan orang lain. Sudah tentu bau mulut yang busuk boleh menganggu kekhusyukan makmum di sebelah. Ini sudah tentu sesuatu perkara yang tidak baik.

Bau mulut bukan saja menganggu muslim lain ketika solat, tetapi juga semasa berurusan dengan mereka.

Dalam hadis lain, disebutkan definisi kepada 'bersugi' iaitu membersihkan mulut (dan juga gigi) bukannya perbuatan itu sendiri:
"Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha." (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll; sumber link: http://drmaza.com/home/?p=1977).
Kebanyakan punca mereka yang mengamalkan gosok gigi lebih 5 kali sehari disebabkan bau mulut yang tidak hilang, meskipun telah menggosok gigi. Hal ini berkemungkinan besar disebabkan pengamalan kebersihan gigi yang tidak sempurna.

TIPS MENJAGA KEBERSIHAN GIGI

Di sini, saya ingin menyimpulkan cara-cara yang efektif (mungkin) untuk menjaga kebersihan gigi berdasarkan apa yang saya baca daripada jurnal-jurnal akademik dan artikel yang ditulis oleh para profesional.

Satu - 3x sehari

Gosok gigi 3 kali sehari. Paling malas pun sekurang-kurangnya 2 kali sehari, paling banyak pun 4 kali sahaja; jangan berlebihan. 1 kali selepas makan pagi (jika anda tidak bersarapan maka gosoklah gigi sekali selepas bangun tidur), 1 kali selepas makan tengahari dan 1 kali selepas makan petang atau malam. Jika anda ada termakan apa-apa selepas gosok gigi, gosoklah gigi sekali lagi sebelum tidur.

Dua - Floss

Gunakan floss setiap kali sebelum memberus gigi. Ini membantu mengawal bau mulut kerana salah satu punca bau mulut berasal daripada bakteria. Bakteria cepat membiak sekiranya ada sisa makanan yang terlekat dicelah-celah gigi dengan kehadiran air dan gula/karbohidrat. Sekurang-kurangnya, gunakanlah floss sekali sehari. Gunakan dengan cara yang betul, kerana salah cara juga boleh menyebabkan kerosakan gusi. Ketahuilah bahawa ramai orang suka skip langkah ini, kemudian menggantikannya dengan mouth wash. Ini bukanlah tindakan yang bijak.


Tiga - Jangan Bersnek
Elakkan untuk makan apa-apa saja ketika jarak antara dua waktu makan. Jangan makan keropok atau apa saja, terutamanya gula-gula. Hal ini kerana jika anda makan sesuatu, sudah tentu sisanya akan terlekat. Lantas bakteria cepat membiak. Jika nak makan juga, makanlah ketika sebelum anda menggosok gigi setiap kali selepas makan.


Empat - Jumpa Doktor Gigi
Setelah ketiga-tiga langkah di atas telah diambil; jika mulut masih mengeluarkan bau, maka hendaklah anda berjumpa dengan doktor gigi. Ini kemungkinan berpunca daripada karat lama yang sukar untuk dikeluarkan dengan normal. Atau, mungkin juga susunan gigi anda boleh menyebabkan ada kawasan yang tidak tercapai berus gigi ke tempat berkaitan.

P/s: Untuk melihat hasil kajian EAP saya, jemput ziarah ke sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!