"Alangkah baiknya jika tuan keluar seperti mana orang lain," kata seorang wakil Umar bin Abdul Aziz (ketika itu beliau menjadi gabenor di madinah) yang menjadi wakil bertemu khalifah al-Walid bin Abdul Malik.
Lelaki tua itu tidak berganjak.
Orang ramai telah diarah keluar dari masjid nabawi kerana khalifah berhasrat untuk memperbesarkan kawasan masjid nabawi. Hal ini untuk memudahkan khalifah meninjau dengan lebih teliti. Khalifah hadir ditemani oleh dua orang iaitu Umar bin Abdul Aziz dan Raja' bin Haiwah, serta beberapa wakil pegawai Umar bin Abdul Aziz.
"Saya tidak akan keluar dari masjid ini kecuali pada waktu yang biasa saya keluar," kata lelaki tua itu.
Beliau tidak gentar meskipun dengan khalifah.
"Alangkah baiknya jika tuan bangun dan memberi salam kepada Amirul Mukminin," cadang seorang pegawai khalifah.
"Saya datang ke sini untuk berdiri di hadapan Tuhan sekalian alam," sanggah lelaki tua itu.
Apabila Umar bin Abdul Aziz mengetahui apa yang berlaku antara Sa'id bin Musayyab dengan wakilnya, beliau membawa khalifah jauh dari tempat Sa'id. Sementara Raja' pula mengajak khalifah berbual kerana mereka mengenali sifat bengis khalifah.
LELAKI YANG TIDAK GENTAR DENGAN MANUSIA
"Siapakah orang tua itu? Bukankah itu Sa'id bin al-Musayyab?" tanya khalifah kepada mereka.
"Ya wahai Amirul Mukminin," jawab mereka.
"Jika syeikh itu tahu di mana Amirul Mukminin sudah tentu dia akan bangun dan memberi salam tetapi penglihatannya sudah kabur," tambah mereka lagi, mencari helah supaya khalifah tidak menjadi marah kepada Sa'id.
"Saya sudahpun kenal syeikh ini. Kita sebenarnya yang patut memberi salam kepadanya," kata khalifah al-Walid.
"Apa khabar, wahai syeikh?" khalifah mengucapkan salam kepada Sa'id setelah berjalan disekitar masjid.
Sa'id tidak berganjak. Bangun berdiri pun tidak.
"Saya sihat dengan nikmat Allah dan segala pujian anugerah itu adalah milik-Nya. Bagaimana pula khabar Amirul Mukminin, semoga Allah memberi taufiq untuk melaksanakan apa yang disukai dan diredhai-Nya," jawab Sa'id bin al-Musayyab.
"Tidak ramai orang seperti kamu ini. Inilah generasi salafussoleh yang masih tinggal," kata khalifah sebelum berangkat pergi.
RAJA' BERPERANAN MENGANGKAT UMAR BIN ABDUL AZIZ
Kisah ini diriwayatkan sendiri oleh Raja' bin Haiwah. Raja' menceritakan, katanya :
Saya berada dengan Amirul Mukminin Sulaiman bin Abdul Malik pada bulan Safar, tahun 99 hijrah di Dabiq, Syria. Baginda menghantar satu angkatan tentera yang lengkap ke Konstantinopal yang diketuai oleh adiknya sendiri, Maslamah bin Abdul Malik, anaknya Daud dan beberapa orang kenamaan keluarganya.
Beliau bersumpah tidak meninggalkan Kota Dabiq kecuali setelah Allah mengizinkannya untuk menakluki konstantinopal atau baginda mati.
Apabila hampir masuk waktu sembahyang Jumaat, khalifah mengambil wudhuk. Kemudian baginda memakai pakaian dan serban. Baginda melihat cermin dan terasa kehebatannya dengan usianya yang masih muda. Ketika itu baginda berusia 4o tahun.
Baginda kemudiannya keluar untuk bersama-sama orang ramai menunaikan solat Jumaat. Malangnya, setelah pulang dari masjid, baginda jatuh sakit dan diserang demam. Sakitnya teruk dari sehari ke sehari. Ketika ini baginda meminta saya supaya sentiasa berada di sisinya. Suatu ketika saya masuk menemuinya. Saya melihat baginda sedang menulis sesuatu.
Saya berkata : "Apakah yang engkau lakukan, wahai Amirul Mukminin?"
Jawab khalifah : "Saya sedang menulis wasiat perlantikan khalifah untuk anakku, Ayub."
Saya memberanikan diri dan berkata : "Wahai Amirul Mukminin, suatu perkara yang akan memelihara seorang khalifah di pusaranya nanti dan akan membersihkan dirinya di hadapan Allah nanti ialah apabila dia melantik seorang lelaki yang soleh sebagai khalifah menggantikannya. Anakmu, Ayub masih kecil dan belum baligh lagi. Engkau sendiri pun tidak pasti apakah dia sesuai ataupun tidak."
Khalifah terhenti seketika.
Kemudian khalifah berkata : "Saya sekadar menulis. Saya masih meminta petunjuk Allah dan masih belum membuat keputusan."
Lalu baginda mengoyakkan wasiatnya.
Dua hari kemudian, Sulaiman memanggilku dan bertanya : "Apakah pandanganmu tentang anak saya Daud, wahai Abu al-Miqdam?"
Saya pun menjawab : "Dia sedang bersama tentera Islam di Konstantinopal. Engkau pun tak pasti apakah dia masih hidup ataupun sudah mati."
Tanya khalifah : "Jadi siapakah yang layak pada pandanganmu wahai Raja'?"
Saya menjawab : "Semuanya terserah kepada pandangan Amirul Mukminin."
Saya sebenarnya mahu menunggu orang-orang yang Sulaiman sebutkan supaya saya dapat ketepikan (menyebut kelemahan) mereka satu persatu hinggalah saya dapat menaikkan Umar bin Abdul Aziz.
Tiba-tiba, khalifah bertanya : "Apakah pandanganmu tentang Umar bin Abdul Aziz?"
Saya memang menunggu-nunggu soalan ini terus menjawab : "Demi Allah, sepanjang pengetahuan saya beliau adalah seorang yang baik, sempurna, bijak dan berpegang teguh pada agama."
Sulaiman mengiyakan kata-kataku : "Benar, demi Allah itulah sifatnya. Cuma jika saya melantiknya dan mengenepikan anak-anak Abdul Malik, sudah tentu akan membawa musibah. Mereka tidak akan sama sekali membenarkan Umar memimpin mereka."
RAJA' BIJAK MEMIKIRKAN STRATEGI
Cadangku kepada khalifah : "Jika demikian, pilihlah salah seorang di antara mereka dan lantiklah dia selepas Umar bin Abdul Aziz."
Nampaknya Sulaiman bersetuju dengan cadanganku.
Khalifah berkata : "Betul pandanganmu itu kerana itu akan meredakan perasaan mereka dan mereka akan bersetuju."
Kemudian baginda menulis surat di atas sehelai kertas.
Bismillahirahmanirrahim.Sulaiman pun meletakkan cop mohor dan menyerahkan kepadaku. Selepas itu, aku memanggil Kaab bin Hamiz (ketua polis).
Surat ini adalah daripada hamba Allah, Sulaiman bin Abdul Malik, Amirul Mukminin kepada Umar bin Abdul Aziz bahawa saya telah melantiknya sebagai khalifah selepasku dan selepas beliau pula saya melantik Yazid bin Abdul Malik. Hendaklah kami mentaatinya dan takutilah Allah. Janganlah kamu berselisih hingga membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan.
Baginda kemudiannya memberikan arahan : "Panggil semua ahli keluarga saya supaya berkumpul dan beritahu mereka bahawa surat yang berada di tangan Raja' bin Haiwah adalah suratku. Perintah mereka supaya memberikan sumpah setia mereka kepada orang yang tercatat di dalam surat itu."
UMAR BIN 'ABDUL AZIZ BERJUMPA RAJA'
Setelah mereka berkumpul, aku berkata : "Ini adalah surat Amirul Mukminin. Di dalam surat ini, baginda telah menyatakan orang yang bakal dilantik menjadi khalifah selepasnya. Baginda telah memerintahkan aku supaya mengambil sumpah setia daripada kamu untuk orang yang dilantiknya ini."
Balas mereka : "Kami menerima perintah Amirul Mukminin. Kami akan taat khalifah selepasnya." Mereka memohon untuk menemui Amirul Mukminin untuk mengucapkan salam kepadanya.
Saya berkata : "Boleh."
Apabila mereka masuk Sulaiman berkata : "Surat yang berada di tangan Raja' adalah surat saya. Di dalam surat itu ada dinyatakan orang yang saya lantik sebagai khalifah selepas ini. Dengar dan taatlah kepadanya. Berikanlah sumpah setia kamu kepada orang yang saya nyatakan di dalam surat itu."
Semua memberi sumpah setia, akur dengan arahan khalifah.
Setelah mereka bersurai, Umar datang menemuiku. Umar berkata : "Wahai Abu Al-Miqdam, Amirul Mukminin terlalu baik denganku. Dengan kemurahan hati dan kemesraannya, baginda telah mengurniakan segala-galanya. Aku bimbang jika baginda ada menyerahkan apa-apa yang berkaitan dengan perkara ini kepadaku. Jadi, aku berharap kepadamu dan aku memohon agar engkau memberitahuku jika surat Amirul Mukminin itu ada apa-apa yang membabitkan aku supaya aku dapat memohon untuk menarik diri sebelum masa terlambat."HISYAM JUGA BERJUMPA RAJA'
Saya menjawab : "Demi Allah, aku tidak akan memberitahu walau satu perkataan sekalipun mengenai apa yang ingin engkau ketahui."
Tidak beberapa lama selepas itu, datang pula Hisyam bin Abdul Malik. Hisyam berkata : "Wahai Abu Al-Miqdam, semenjak sekian lama aku amat menghormati dan menyayangimu. Aku juga amat berterima kasih kepadamu. Apakah boleh jika engkau memberitahuku kandungan surat Amirul Mukminin. Jika perkara ini diserahkan kepadaku, aku akan mendiamkan diri. Jika perkara ini diserahkan kepada orang lain, maka aku akan membantah. Orang seperti saya tidak sepatutnya dihalang daripada perkara ini. Aku berjanji demi Allah, aku tidak akan menyebut namamu selepas ini."
Aku berkata kepadanya : "Demi Allah, aku tidak akan memberitahu walau satu huruf pun kerana Amirul Mukminin meminta aku supaya merahsiakannya."
Hisyam berkata tidak puas hati : "Jika aku tidak dilantik, siapa pula? Apakah kedudukan khalifah ini akan terkeluar daripada keluarga Abdul Malik? Demi Allah, aku adalah anak Abdul Malik yang paling utama."
NAFAS TERAKHIR KHALIFAH SULAIMAN BIN ABDUL MALIK
Selepas itu aku masuk menemui Sulaiman bin Abdul Malik. Aku dapati baginda sedang menenangkan jiwanya. Apabila kelihatan baginda sedang berhadapan dengan sakaratul maut, aku mengiringkan badannya ke arah kiblat.
Namun baginda berkata kepadaku : "Belum sampai masanya, wahai Raja'."
Perkara ini berulang sehingga tiga kali. Baginda akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Setelah itu aku pun menutup matanya dan menyelimutkan tubuhnya dengan kain hijau. Kemudian, aku menutup pintu biliknya dan aku pun keluar. Ketika itu, isterinya menghantar utusan kepadaku untuk bertanya khabar Sulaiman.
Kataku : "Lihatlah, Sulaiman sedang tidur setelah lama berjaga. Biarkanlah dia berehat."
Utusan itupun balik dan memberitahu isteri Sulaiman. Isterinya tidak tahu bahawa suaminya sudah meninggal dunia. Disangkanya Sulaiman sedang tidur.
Setelah itu, aku pun menutup pintu bilik itu rapat-rapat. Saya perintahkan kepada pengawal yang menjaganya supaya tidak membenarkan sesiapa sahaja berjumpa khalifah kecuali selepas kepulanganku.
HELAH BIJAK RAJA' BIN HAIWAH
Selepas itu, aku pergi berjumpa orang ramai.Hisyam sedih kerana khalifah beralih kepada selain anak-anak Abdul Malik. Manakala Umar juga sedih kerana jawatan khalifah beralih kepadanya, sedangkan beliau tidak menyukainya.
Mereka bertanya : "Apa khabar Amirul Mukminin?"
Aku bangkit dan menjawab : "Semenjak sakitnya, baginda tidak pernah kelihatan sebegini tenang."
Mereka menjawab : "Alhamdulillah."
Setelah memanggil ketua polis dan aku mengumpulkan semua ahli keluarga Amirul Mukminin di Masjid Dabiq, aku berkata : "Berilah sumpah setia kamu kepada orang yang dinyatakan dalam surat Amirul Mukminin ini."
Lalu mereka memberi sumpah setia seorang demi seorang.
Apabila aku rasa seperti keadaan sudah dapat dikawal, aku pun menceritakan hal sebenarnya. Dengan tenang dan jelas aku berkata : "Sebenarnya saudara kita telahpun meninggal dunia. Kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali. Akupun membaca surat tersebut kepada mereka.
Apabila aku menyebut Umar bin Abdul Aziz, Hisyam bin Abdul Malik menjerit dan berkata : "Aku tidak akan memberikan sumpah setiaku kepadanya selama-lamanya."
Akupun berkata dengan tegas : " Jika demikian, pancung kepalanya. Berikan sumpah setia kamu." Dia bangun mengheret kakinya.
Apabila berada di hadapan Umar dia berkata : "Kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali."
Umar menjawab : "Kita adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kita akan kembali."
PENGAJARAN
Jasa Raja' Bin Haiwah dalam mengangkat Umar Bin Abdul Aziz sebagai khalifah, sebagai satu yang tidak boleh dipadamkan. Hal ini kerana, tanpa bantuannya (secara zahir, hakikatnya hanya Allah yang berhak menentukannya) Umar tidak mungkin memegang jawatan khalifah kerana beliau bukan dari kalangan anak-anak Abdul Malik.
Sehingga pada hari ini, sejarah banyak mengenangkan kehebatan khalifah Umar bin Abdul Aziz. Kita jarang mendengar nama Raja' bin Haiwah, sedangkan beliaulah tulang belakang kepada permulaan sebuah kerajaan Umar bin Abdul Aziz yang hebat itu.
Begitu juga dengan kita.
Jika suatu hari kita berjaya, jangan lupa pada ibu ayah, keluarga, guru-guru dan rakan-rakan yang menyumbang kepada kejayaan kita. Hakikatnya, kejayaan itu bukanlah milik kita secara mutlak. Bahkan ianya dikongsi bersama.
Rujukan : Dr Abdul Rahman Ra'fat al-Basha, Ustaz Salehan Bin Ayub (Penterjemah), Sur Min Hayah al-Tabiin (Kisah kehidupan Tabiin II), 2003, Pustaka Salam, muka surat 209-216.
Ceramah DR Maza di Konvensyen Sunnah beberapa minggu lepas pun cerita pasal Raja' bin Haiwah.
BalasPadamhttps://www.youtube.com/watch?v=zcIajMds5g0
Ya, terima kasih atas perkongsian. Sebenarnya memang dapat idea nak tulis daripada ceramah tu pun. Supaya tak perlu nak kena semak semula video ceramah untuk rujukan ceritanya di masa akan datang.
PadamKebetulan ada buku cerita tabiin kat rumah.