Ikon Agamawan Yang Dikagumi


Thowus dipanggil oleh al-Hajjaj.

Kebetulan Thowus Ibn Kaisan berada di Makkah untuk menunaikan haji. Apabila tiba di hadapan al-Hajjaj Ibn Yusuf al-Thaqafi, beliau dipersila duduk di sampingnya.

Bantal alas dihulurkan, meminta Thowus untuk bersila di atasnya. Beberapa persoalan mengenai haji dan lain-lain diajukan kepada Thowus, daripada si khalifah, al-Hajjaj.

"Panggilkan orang itu ke sini!" tiba-tiba al-Hajjaj terdengar satu suara yang nyaring melaungkan talbiah di kaabah. Pemuda itu dibawa menghadap khalifah.

"Siapakah engkau?" tanya al-Hajjaj.

"Saya muslim," jawabnya ringkas.

"Bukan itu yang saya tanya. Maksud saya, dari mana engkau datang?" sambil menggelengkan kepala, al-Hajjaj menerangkan makna soalan.

"Saya dari Yaman."

"Bagaimana keadaan gabenor engkau?" tanya al-Hajjaj. Gabenor di Yaman merupakan adik kepada al-Hajjaj.

KISAH 1 : RAKYAT BEBAS BERSUARA

"Ketika saya tinggalkan Yaman dahulu, dia seorang yang hebat, segak, berpakaian cantik dan berkenderaan baik. Hasil mahsulnya juga melimpah ruah," jawab lelaki itu.

"Bukan itu maksud saya."

"Apakah yang dimaksudkan oleh tuan?"

"Saya bertanya tentang tingkah lakunya bersama kamu," kata al-Hajjaj.

"Ketika saya tinggalkan dahulu, dia seorang yang zalim, banyak menurut kehendak manusia dan banyak melanggar kehendak Allah," jawabnya jujur memberikan pandangan.

Muka al-Hajjaj merah padam. Menahan malu dengan hadirin yang ada.

"Apakah sebab engkau berkata demikian sedangkan engkau tahu hubungan kekeluargaanku dengannya?"

Soalan dijawab dengan soalan.

"Apakah hubungannya dengan tuan lebih mulia berbanding hubungan saya dengan Allah Azzawajal? Sedangkan saya adalah tetamu di rumah Allah, mempercayai nabi-Nya, dan menunaikan hutangnya," pedas dan bermakna jawapan yang dilontarkan kepada soalan al-Hajjaj.

Al-Hajjaj terdiam. Lelaki itu beransur pergi meninggalkan majlis tanpa meminta izin daripada khalifah.

"Ikuti lelaki itu. Dia lelaki soleh. Ekori dia dan ambil kesempatan ini sebelum dia hilang dalam lautan manusia," Thowus berbisik kepada hadirin.

"Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu dan dengan zat-Mu aku berlindung. Ya Allah, jadikanlah aku sentiasa yakin dengan kebaikan-Mu, redha dengan janji-Mu, bebas daripada orang-orang yang bakhil dan tidak mengharapkan balasan orang yang mementingkan diri sendiri. Ya Allah, aku memohon bantuan-Mu yang hampir, kebaikan-Mu yang sedia ada dan kebiasaan-Mu yang baik, wahai Tuhan sekalian alam," doa lelaki itu.

KISAH 2 : ULAMA' TIDAK MENGAMPU

"Panggilkan seorang ahli ilmu yang boleh mengajar saya tentang agama dan dapat memberikan peringatan kepada saya di hari ini," kata khalifah Sulaiman Bin Abdul Malik selepas menjejakkan kaki di serambi kaabah kepada pengawalnya.


"Itu dia Thowus Ibn Kaisan, pemimpin ulama' zaman ini. Seorang yang lantang menyampaikan dakwah. Pergilah dapatkannya," cadang orang ramai yang mendengar pertanyaan itu kepada khalifah.

"Wahai syaikh, bolehkah tuan menerima pelawaan Amirul Mukminin?" si pengawal bertanya mendapatkan persetujuan Thowus.

Thowus menerima pelawaan Amirul Mukminin itu tanpa berdolak-dalih. Beliau yakin seorang yang ingin mengajak manusia kepada Allah tidak sepatutnya melepaskan sebarang peluang. Sebaik saja ada peluang, mereka merebutnya. Beliau berangkat menemui khalifah.

Thowus dan Amirul Mukiminin bertukar salam. Kehadirannya disambut denagn lapang dada oleh khalifah, sambil mempersilakan duduk disebelahnya. Seperti biasa, Amirul Mukimin bertanyakan beberapa masalah berkaitan haji.

"Apabila saya rasa Amirul Mukminin telah memperolehi apa yang diingininya dan tiada lagi soalan yang ingin dikemukakan, hatiku berbisik, 'majlis ini akan dipersoal oleh Allah nanti'," kata Thowus ketika menceritakan kembali peristiwa ini.

"Wahai Amirul Mukminin, ada seketul batu di atas sebuah kolam di tengah neraka Jahannam. Batu ini berada di udara selama 70 tahun untuk sampai ke dasar neraka jahannam. Wahai Amirul Mukminin, apakah engkau tahu untuk siapakah kolam di neraka Jahannam ini disediakan?" tanya Thowus.

"Tidak tahu, untuk siapa?" jawab Amirul Mukminin terpinga-pinga.

"Allah sediakan kolam ini untuk orang yang berkongsi kuasa dengan-Nya (orang yang dilantik menjadi pemerintah) kemudian dia berlaku zalim," jawab Thowus, yakin.

Khalifah Sulaiman tergamam mendengar kata-kata itu. Baginda menangis. Manakala, Thowus meninggalkan majlis sementara khalifah sempat berterima kasih kepadanya.

KISAH 3 : KEBIJAKSANAAN THOWUS MENGAJAR KHALIFAH

Apabila jawatan khalifah beralih kepada Hisyam bin Abdul Malik, baginda juga meminta perkara yang sama seperti khalifah sebelum ini. Tetapi, Amirul Mukminin meminta dipanggilkan sahabat nabi.

"Wahai Amirul Mukminin, semua  sahabat Rasulullah SAW telah wafat, sehingga tiada seorang pun tertinggal," balas penduduk Makkah.

"Jika demikian, panggilkan seorang tabiin," kata Hisyam.

Lalu Thowus bin Kaisan dijemput.

Ketika Thowus sampai, beliau menanggalkan sepatunya dihujung permaidani khalifah. Beliau memberikan salam kepada Hisyam tanpa menyebut gelaran 'Amirul Mukminin'. Malah, beliau hanya menyebut namanya sahaja tanpa menyebut panggilannya. Beliau juga duduk tanpa izin terlebih dahulu daripada Hisyam.

Tindakan Thowus menaikkan kemarahan Hisyam sehingga kelihatan pada raut wajahnya. Hisyam melihat tindakan Thowus ini mencabar kedudukannya dan menjatuhkan air mukanya di hadapan hadirin dan pegawai-pegawainya.

Walau bagaimanapun, baginta teringat mereka berada di Tanah Haram.

"Apakah sebab engkau lakukan demikian?" setelah kemarahannya reda, khalifah bertanya kepada Thowus.

"Apa yang telah saya lakukan?" jawab Thowus tanpa rasa bersalah.

"Engkau menanggalkan sepatu sebelum masuk dan tidak memanggil dengan gelaran Amirul Mukminin," kata khalifah, marah dengan pertanyaan Thowus yang 'buat-buat' tak faham.

"Saya menanggalkan sepatu sebelum masuk kerana saya selalu menanggalkan sepatu saya ketika berada di hadapan Allah lima kali sehari. Allah tidak pernah mengecam saya dan tidak pernah pula memarahi saya," jawab Thowus, tenang.

"Engkau juga menyebut nama saya, bukan dengan nama panggilan."

"Saya tidak memanggil dengan gelaran Amirul Mukminin kerana semua orang-orang mukmin tidak bersetuju engkau menjadi ketua mereka. Jadi saya tidak mahu berbohong apabila memanggil engkau Amirul Mukminin.

Saya tidak menyebut dengan nama panggilan adalah kerana Allah memanggil nabi-nabinya dengan nama mereka. Allah menyebut, 'wahai Daud, wahai Yahya, wahai Isa.' Sebaliknya, Allah memanggil musuhnya dengan gelaran, seperi Abu Lahab."

"Akhirnya, engkau duduk tanpa izin daripada saya!"

"Saya duduk sebelum meminta izin, kerana saya pernah mendengar Amirul Mukminin Ali Ibn Abi Talib berkata : 'jika engkau ingin melihat ahli neraka, lihatlah kepada orang yang sedang duduk dan semua orang di sekelilingnya berdiri'. Jadi saya tidak mahu engkau menjadi lelaki yang merupakan ahli neraka."

Hisyam tertunduk malu mendengar jawapan Thowus.

"Berikanlah saya nasihat," dengan perlahan si khalifah berkata kepada Thowus.

"Saya pernah mendengar Ali Ibn Abi Talib berkata : 'di dalam neraka jahannam, ada ular-ular yang sebesar tiang dan kala jengking sebesar baghal yang akan menyengat setiap pemerintah yang tidak bersikap adil dengan rakyatnya."

Thowus terus bangun dan beredar.

PENGAJARAN - Jom kita fikirkan.

Rujukan : Dr Abdul Rahman Ra'fat al-Basha, Sur Min Hayah al-Tabiin II (Kisah Kehidupan Tabiin), Ustaz Salehan Ayub (Terjemahan), Pustaka Salam, 2003, m/s 291-300.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum. Cerita ini sangat baik. Ana minta izin untuk kongsikan cerita ini. InsyaAllah rujukan semula ana directkan ke link blog ini. Syukran.

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!