Aku dan Dia Tiada Beza

Sesungguhnya murka Allah itu besar terhadap
perkara yang kamu cakap, tetapi tidak melakukannya..


"Memang kita kena pakai baju yang lengkap tutup aurat. Tapi, kalau kita ke majlis tertentu mungkin kita akan kelihatan pelik daripada orang lain. Yang tu lagi menarik perhatian orang. Habis, macam mana?" seorang sahabat saya bertanya, dilema barangkali.

"Biarlah apa pun orang nak tengok. Takkanlah yang tu jadi alasan untuk membenarkan kita berpakaian tetapi telanjang," saya menjawab.

"Habis tu, macam mana?" beliau bertanya lagi, menginginkan kepastian.

"Pakailah baju yang sesuai. Takkan kita nak samakan perilaku orang jahil dengan orang yang ada ilmu. Orang jahil tu dia buat dosa dalam keadaan dia tidak tahu. Berdosa kalau kita yang dah tahu, tapi buat-buat tak tahu," saya berbasa basi.


MOTIVATOR BERUBAH PENAMPILAN

Seorang pakar motivasi dijemput ke satu majlis rasmi bagi kaum pendalaman di sebuah tempat. Masyarakat di situ sudah biasa mengadakan majlis-majlis rasmi di sebuah hotel terkemuka. Hinggakan, pengurus hotel berkenaan sudah pun mengetahui tabiat pelik masyarakat itu, iaitu tidak memakai baju. Walau seurat benang pun.

Sebagai pakar motivasi yang berpengalaman, dia tahu bahawa sebelum memotivasikan orang, perlulah mengambil tahu hal budaya, perilaku dsb. Termasuklah penampilan. Penampilan motivator perlulah sama dengan orang yang akan diberi ceramahnya itu, menurut hatinya.

Apabila dia tiba di hotel yang dijanjikan, dia sangat terkejut kerana semua orang di dalam dewan itu tidak mengenakan pakaian. Hanya dia seorang sahaja ketika itu memakai baju coat, bertali leher dsb.

Sekembalinya ke bilik, dia berfikir sama ada perlu menanggalkan pakaian seperti orang-orang tadi ataupun  tidak. Sekiranya dia tidak mengikut konsepnya, iaitu perlu menyamakan penampilannya dengan pendengar, maka keberkesanan dan tahap penerimaan peserta akan kurang dan sedikit. Setelah fikir masak-masak, dia bertekad untuk memberikan ceramah dalam keadaan yang tidak berpakaian, walau seurat benang.



Keesokkanya, dia pergi menuju ke dewan ceramah utama dengan yakin tanpa berbaju. Apabila membuka pintu dewan, alangkah terkejutnya. Semua peserta yang hadir ketika itu mengenakan baju coat, bertali leher, kemas dan sempurna menutup seluruh tubuh!

MENARIK PERHATIAN ATAU MENOLAK SYARAK?

Ada sesetengah golongan yang berpendapat pakaian da'i perlu disamakan dengan mad'u (golongan orang yang di dakwah). Ada kebenarannya, namun, seandainya kriteria pemakaian itu hingga melarang batas syarak, gugurlah keharusan meniru gaya mereka.[Terutamanya bagi perempuan]

Adapun, peniruan terhadap cara penampilan mungkin juga mendatangkan fitnah kepada seseorang itu, menurut kata-kata Imam al-Munawi :

Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut.” 

(Imam al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).[Sumber]

Golongan yang menyatakan seperti dialog bersama sahabat saya di atas, berkata, zaman ini andai dikenakan pakaian yang lengkap, akan dipandang pelik dan menarik perhatian. Percayalah, sesungguhnya 'menarik' perhatian itu hanya sekadar di bawah kategori 'pelik', dan tidak lebih dari itu. Mereka yang memandang 'pelik' terhadap wanita muslimah yang komited dengan agamanya, tidak sesekali terasa nafsu syahwat terangsang.

Hanya pandangan pelik yang kosong.

Bagi wanita berpakaian yang mungkin biasa pada pandangan, daya penarik itu menjadi gangguan pada mata-mata yang mempunyai penyakit hati.

Jadi, apa yang anda mahukan?

Tidak terikut-ikut dengan budaya fasid dan mengikut syarak, walaupun tergolong golongan yang 'ganjil'?

Terikut-ikut dengan budaya fasid dan tidak mengikut syarak, semata-mata menghilangkan keganjilan pandangan manusia?

Pilihan di tangan anda.

Sepatutnya, apabila sudah menjalani maaruf, dan meninggalkan mungkar, sedang seluruh masyarakat melakukan kemungkaran, apakah wajar kita turut serta sekali?
Tentu sekali tidak.

Kerana kesannya sama, akan menjatuhkan martabat kita sebagai seorang hamba terhadap Allah. Hasilnya bukan saja malu di hadapan pencipta kita yang Esa, tetapi menyesal yang tak berkesudahan kelak.

Pakailah pakaian yang boleh memenuhi segala syarat dalam Islam. Bukan sekadar melepaskan batuk ditangga saja. Biarlah apa orang nak kata, asalkan Allah tidak marah dan redha dengan kita. Apa yang kita mahu dalam hidup? Redha Allah atau manusia?

Yakin dan percayalah sekiranya kita mendapat redha Allah, manusia akan redha akhirnya kepada kita. Tapi ingatlah, seandainya redha manusia yang dicari, murka Allah akan menyusuri, redha manusia takkan dapat.

Biarlah kita lain dari yang lain. Jangan terlalu ikut peredaran zaman. Ajaran al-Quran takkan lapuk dek masa. Nak lawan?

Sabda junjungan Nabi Muhammad SAW, daripada Abu Hurairah r.a. :

 "Islam bermula dengan keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing."

(Hadis Riwayat Muslim)

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Entri yang amat sesuai dihebahkan terutamanya kepada mereka yang mengendalikan badan dakwah di sekolah,

    Kebanyakan kita telah salah faham konsep dai'e dan mad'u,

    Akhir zaman, yang batil itu orang pandang biasa,
    yang hak itu akan dipandang pelik,

    Semoga kita terus berusaha dalam mengembalikan kegemilangan Islam dahulu..

    InsyaAllah, Yosh!

    BalasPadam
  2. @Shirou

    Wa'alaikumussalam.
    Itulah perkara yang hendak diketengahkan.

    Perlu diingat, matlamat pegangan kepada syariat bukan untuk kelihatan pelik semata-mata. [Sebab ada seorang kenalan saya pernah berprinsip "biar aku pelik pada orang lain"]

    Ketika orang buat mungkar, dia bertindak sebagai orang 'pelik', sangat bagus kerana dia seorang yang tak buat kemungkaran.

    Tapi, bila orang sekeliling sudah buat ma'ruf, dia bertindak 'memelikkan' diri dengan tidak melakukan ma'ruf...apalah nak jadi..

    Matlamat adalah kerana Allah, meskipun kelihatan pelik!

    BalasPadam
  3. Yup, matlamat kerana Allah, meskipun pelik..tapi guidelinenya mestilah bertepatan dengan syara'

    Ada orang niat kerana Allah dan caranya salah, itu tak kena juga kan...

    Berkenaan ayat dari surah as Saf pada permulaan entri ini,

    "Sesungguhnya murka Allah itu besar terhadap
    perkara yang kamu cakap, tetapi tidak melakukannya.."

    Saya cadangkan nanti beri huraian dan asbab nuzul ya, sebab banyak rakan-rakan saya sebelum ini salah faham dengan makna ayat ini dan mereka lebih suka menghukum daripada menasihati..

    Teruskan berdakwah!

    BalasPadam
  4. @Shirou

    Maaf, saya tidak berkemahiran menterjemah ayat al-Quran. Itu bukan bidang saya setakat ini, masih dalam proses pembelajaran lagi.

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!