Hati-hati Dengan 'Pitching'


Petang tadi, saya mengembara ke Kompleks Bukit Jambul untuk menghabiskan tiket voucher 1 Malaysia yang dibekalkan oleh kerajaan Malaysia melalui institusi pengajian masing-masing.

Begini kisahnya, saya bersama 2 orang kakak (RM 200 + RM 100 + RM 50) memilih buku-buku dan alat tulis yang ada di situ. Sesudah mengumpul barang, kami berkumpul di satu sudut untuk membuat pengiraan harga barang-barang. Kemudian, beraturlah di barisan yang hampir 6 orang berada di hadapan.

Tiba saja giliran kami untuk membuat pembayaran, baucer diserahkan sebanyak 7 keping. Jumlahnya RM 350. Tiba-tiba...

"Kenapa banyak sangat ni?" kata petugas kaunter wang. Dengan 'pitching' seperti singa mahu membaham mangsanya beberapa saat lagi.

"Kami kongsi 3 orang," kakak saya menjawab.

"Ini kena guna asing-asing!" tambah lagi petugas itu dengan nada yang kasar dan seperti mahu mencari gaduh.

Oleh sebab kami mahu membeli barangan di situ, sangatlah tidak elok dilihat andainya saya bertekak dengan si petugas Sang Singa. Jika ayatnya "Maaf dik, kat sini tak boleh guna kongsi-kongsi, perlu asing untuk memudahkan kami memproses," saya rasa tidaklah menyirapkan darah sesiapa atau mendidihkan segala cecair dalam badan.

MEMBAHAGI

Menunggu giliran tiba tadi, sangatlah tidak berbaloi. Kami dihalau keluar dari barisan supaya menyelesaikan 'pembahagian' barangan secara individu antara kami bertiga.

Pelik bin ajaib!

Mungkin peraturan Kedai Buku Popular begitu, tidaklah saya mengetahuinya. Tetapi, terasa seolah-olah bermain 'acilut' dengan petugas berkenaan kerana barangan kami sudah tentu bercampur, dan kami hanya membahagikannya mengikut harga!

Contohnya, saya mempunyai baucer berharga RM 100. Barang-barang dikumpulkan kepada saya sehingga RM 100 dan dibayar. Kakak saya pula mengambil barang-barang hingga RM 200 dan dibayar. Jumlahnya RM 300. Bukankah itu proses yang sama? Mengapa perlu menyusahkan perkara yang mudah?

Hairan, hairan.

MEMBAYAR

Setelah membuat pembahagian 'merepek' seperti yang dikehendaki Sang Petugas Singa, saya meletakkan alat-alat tulis di atas meja kaunter.

"Ini tak cukup RM 100!" katanya dengan yakin, sambil mengerutkan dahi dan seperti mahu mencari pasal. Beberapa saat, dia enggan mengira harga alatan tulis yang saya letakkan di atas kaunter.

"Saya sudah kira tadi," mujurlah saya terlebih dahulu mengambil langkah precaution daripada dipeningkan kepala oleh petugas Sang Singa itu.

"Nanti akan ada less yang ditawarkan, maka tak cukup RM 100!" katanya lagi cuba menutup malu dan mencoverkan mukanya.

"Tak apa. Nanti saya tambah," padahal, selalu saya perhatikan bahawa jarang ada kedai buku yang memberikan potongan harga untuk alat tulis. Kebanyakannya untuk buku-buku sahaja.

Setelah menscan dan akhirnya menjumlahkan harga, nyata, RM 100 itu bukan saja dicapai, tetapi perlu ditambah lagi sebanyak RM 1.00. Saya merenung tajam anak matanya.

Dia pula diam seribu bahasa. Namun, riak wajahnya dapat saya kesan ada sedikit rasa gabai.

Sempat juga saya snap beberapa keping sebelum petugas Sang Singa menyerang

MENGAMBIL BUKTI

Semasa petugas Sang Singa itu mahu memasukkan pen, highlighter, dan macam-macam lagi alat tulis, saya memerhatikan kad pekerja yang tergantung dilehernya. Namanya sukar untuk dibaca mungkin kerana ejaannya yang sedikit sempoi, membuatkan saya terpaksa mengambil beberapa saat untuk memfokuskan pada aksara yang tertera pada kad kerjanya. Nombor pekerja pula sangat panjang untuk saya ingati.

Kerana renungan saya yang mengambil beberapa saat, petugas Sang Singa itu ter'perasan' dengan perbuatan saya dan kembali membalas renungan saya dengan jelingan maut pula!

Daripada berlaku apa-apa di situ, lebih baik saya beredar.

Setelah itu, saya terfikir untuk membuat laporan kepada pihak pengurusan Popular secara online tentang sikap tidak mesra kepada pelanggan. Untuk tindakan yang tepat dan efisyen, sudah tentu perlu pengecaman secara tepat. Pantas, segera saya mengeluarkan telefon tangan dan snap gambar muka petugas Sang Singa.

"Adik, dalam ni tak boleh ambil gambar!"

Wah, peraturan baru di kedai buku. Tak ada pula papan tanda yang melarang ambil gambar di dalam kedai buku. Hairan-hairan.

Kemudian, saya keluar dari premis kedai itu dan mengambil gambar di bahagian luar.

Ingatkan sudah tutup kes dengan petugas Sang Singa tu...

MENUNGGU DI LUAR

Tidak sampai 5 minit berada diluar kerana 2 orang kakak saya belum selesai berurusan di kaunter, petugas Sang Singa itu berjalan ke arah saya.

"Adik, kenapa ambil gambar akak?" nadanya seperti ketakutan. Gayanya seperti terlalu defensif terhadap diri sendiri kerana hujung suaranya kedengaran seperti mahu menangis.

Saya tidak menghiraukan pertanyaan petugas Sang Singa itu.

"Mana kamera tadi? Adik kena buang gambar tu sekarang! Saya boleh dakwa ambil tanpa izin*," katanya dengan nada angkuh dan mencari gaduh lagi. Mukanya kemerah-merahan.

Saya pasti, orang seperti itu sudah total dididihkan oleh makhluk bertanduk dua. Tiada gunanya jika membuat diskusi pada masa itu. Saya segera mencapai beg shopping lantas meninggalkan petugas Sang Singa itu bercakap seorang diri.

"Macam ni ke awak? Belajar tinggi-tinggi..." itu perkataan yang saya dengar, semakin perlahan.

Saya terus menuju ke tempat parking kereta dan tidak mengendahkan apa yang berlaku di situ.

PULANG

"Dia cakap ada nombor sekolah dengan nama pada dia, kalau ada gambar dia tersebar kat facebook dia nak dakwa," kata kakak saya yang masih berada di kedai buku itu setelah saya meninggalkannya.

"Alah, dia nak dakwa apa bendanya. Macamlah IPTA tu nak dengar cakap dia semata-mata sebab orang snap gambar dia," saya mencebikkan bibir, hairan juga bila petugas Sang Singa nak 'bertindak' sampai ke tahap itu.

"Cakap la kat dia, gambar dia tak laku satu sen pon. Tak ingin nak letak muka dia," sampuk seorang kakak saya yang satu lagi.

"Saja nak bagi kita takut. Sebab kalau kita lapor pada pihak pengurusan Popular, dia kena buang kerja nanti," sambil menukar batang gear, kakak saya meneruskan diskusi.

Sesungguhnya, gambar yang saya ambil, tidak berniat mahu mengaibkan petugas Sang Singa itu, apatah lagi menggunakannya untuk komersial. Tetapi hanya untuk tujuan melaporkan kebiadapan kepada pengurusan untuk dibuat tindakan yang sepatutnya untuk menjaga kredibiliti syarikat.

KECIL TAPI BESAR

Nada bercakap, kadangkala kita lihat sesuatu yang kecil. Perkara yang remeh. Namun, jangan salah anggap kerana kesalahan nada ketika bercakap sesuatu membuahkan implikasi yang buruk dan salah faham antara manusia. Jika terasa kita selalu mengasarkan suara, berlatihlah melembutkannya pada kadar yang bersesuaian. Jika terlalu lembut sehingga menghilangkan pendirian kita terhadap sesuatu yang perlu dipertahankan, pertegaskanlah.

Nada lembut ada masanya.

Nada tegas ada keperluannya.

Nada sederhana ada gunanya.

Ketepikan emosi seketika jika perlu untuk menjaga maslahat bersama. Sebagaimana Allah SWT menyuruh Nabi Musa a.s. berlemah lembut dengan makhluk yang nyata dilaknat, mengapa tidak dengan makhluk lain?


"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut."

(Surah Taha, ayat 43-44)


*Setakat ini saya belum pernah mendengar atau menjumpai akta dan seksyen yang menyatakan undang-undang seperti ini.

2 ulasan:

  1. lebih-lebih lagi di rumah bersama ahli keluarga.. yang kebanyakkan orang sudah hilang sensitivitiny dengan alasan "ala keluarga" je pun atau "anak je pun"..

    BalasPadam
  2. menarik and yes, customer is always right!

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!