Kisah Cinta Tanpa Syarat



Dedikasi buat mak dan ayah,

Sebuah kisah cinta.

Akanku kenang sampai bila-bila, Insya Allah.

Ini tidak termasuk dengan apa yang disebut oleh Allah SWT :

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

(Surah Luqman, ayat 14)

...kerana saya masih lemah dan tidak punya daya ingatan mengenainya ketika itu. Mujurlah Allah merakamkannya di dalam al-Quran supaya jasa-jasa ibu bapa tidak dilupakan anak-anak.

*   *   *
PENDIDIKAN

Entah berapa banyak, wang ringgit mak ayah mengalir ke sini. Walaupun ayah saya seorang jurutera, beliau tidak memiliki kereta mewah, apatah lagi rumah besar meskipun sudah lebih 20 tahun bekerja.

Saya bersekolah di sekolah agama swasta, yurannya sebulan mencecah RM 150. Mari saya lakukan sedikit pengiraan kasar.

Yuran sekolah rendah sebulan = RM 150
Yuran sekolah menengah sebulan = RM 320
6 tahun sekolah rendah = (RM 150 x 12 bulan) x 6 tahun = RM 10,800
3 tahun sekolah menengah = (RM 320 x 12 bulan) x 3 tahun = RM 11,520
Jumlah sekolah rendah dan menengah = RM 22,320
6 orang adik beradik = RM 133,920

Ini baru yuran pokok. Belum kira yuran PIBG, pendaftaran setiap awal tahun, dan harga buku teks (sekolah saya tak mendapat pinjaman buku).

"Ayah hang dah boleh beli kereta merc. kalau macam tu!" kata seorang rakan saya.

"Tak apa, ayah buat pelaburan yang tepat. Saham akhirat!" kakak saya pernah berkata.

Teringat pula kepada sifat-sifat 'ibadur Rahman. Jom baca ni :

"Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu."

(Surah Al-Furqan, ayat 67)

Semoga ayah tergolong dalam salah satu ciri-ciri 'ibadur Rahman. Amiiin.


LEWAT KE SEKOLAH

Perjalanan ke sekolah mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sehala yang lancar tanpa jem, roti, kaya atau planta. Semasa saya di darjah 1 dan 2, saya menaiki bas sekolah yang disediakan oleh pihak sekolah. Namun, mungkin kerana masalah kewangan dan kekangan daripada pihak tertentu, pemandu bas bertindak mengambil pelajar dari sekolah lain juga.

"Kalau kamu yang lambat tak apa, budak sekolah swasta!"

Pemandu bas itu juga lebih suka mengutamakan pelajar sekolah lain. Selesai pelajar lain dihantar ke sekolah masing-masing, destinasi terakhir yang dituju adalah sekolah saya, di Teluk Kumbar. Mungkin juga kerana Teluk Kumbar itu lebih jauh daripada sekolah-sekolah lain, pemandu bas itu mengambil langkah sedemikian, barangkali.

Oleh itu, setiap pagi, saya akan sampai ke sekolah lewat berbanding masa yang sepatutnya. Kadang-kadang terlepas subjek untuk 30 minit yang pertama.

Saya melihat ramai rakan-rakan sekelas yang diambil oleh ibu bapa mereka ketika pulang dari sekolah. Ketika usia 9 tahun, penilaian yang mentah, saya tafsirkan itu sebagai sebuah 'hak' yang mesti dipenuhi oleh ibu bapa. Pernah beberapa kali saya meminta ibu saya sendiri berbuat demikian, kerana ibu seorang suri sepenuh masa.

Saya tak fikir yang kerja-kerja mengemas rumah itu sudah cukup meletihkan dan melemaskan, ketika itu. Bukan saja mengemas rumah, disertakan pula dengan deretan adik-beradik seramai 6 orang yang jaraknya 2 tahun seorang, menambahkan lagi 'kemeriahan' meraikan letih bertulangkan empat kerat seorang wanita untuk mengendalikan rumah.

"Mak, jom la ambik dengan hantar pergi sekolah."

Permintaan saya tidak menghampakan, kerana mak saya cuba memenuhinya.

LESEN KERETA

Sehingga hari ini, ketika usia saya sudah 19 tahun, baru saya sedar yang mak saya hanya mengambil lesen kereta untuk memudahkan ayah saya menguruskan rumah tangga. Saya baru sedar ketika ini kerana mak saya sudah tidak lagi memandu kereta kerana kata mak, anak-anak sudah boleh membawa diri. Masing-masing sudah ada lesen kereta.

Apa yang menjadikan saya sangat terharu apabila memikirkan semula keadaan mak ketika beliau mengambil lesen kereta. Umurnya sudah pun mencecah akhir 30-an. Dan melalui kisah mak juga, beliau mendapat perhatian Sekolah Memandu kerana satu-satunya pelajar yang bergelar "Puan". Kata mak, cikgu memandu risau kerana kebiasaannya orang yang telah berusia sukar untuk memahirkan diri mengawal kereta.

Kata mak lagi, pelajar-pelajar Sekolah Memandu juga kebanyakan orang muda-muda. Baru habis SPM. Namun, beliau tidak berasa malu untuk belajar memandu, demi membantu anak-anak serta memudahkan urusan ayah saya.

RUTIN HAMPIR LIMA TAHUN

Saya masih ingat bagaimana gentingnya kerahan tenaga mak, saat umur adik beradik saya menuju ke alam remaja. Ketika di darjah 3, adik saya di darjah 1. Manakala kakak dan abang saya masing-masing berusia 11 dan 12 tahun. (Mujurlah kakak sulung dan kakak kedua menginap di asrama)

Setiap pagi, mak akan menghantar kami berempat ke sekolah. Sebelum ke sekolah, makanan pagi disediakan oleh beliau seorang diri. Kalau hendak "dibantu" maka mungkin akan menyebabkan huru-hara di dapur pagi hari lagi kerana kami masih belum cukup berakal. Makanan pagi kami bukan setakat roti bakar atau biskut kering. Tetapi mak mengukus nasi lemak setiap pagi. Atau bila dah muak nasi lemak, sekali sekala mak sediakan roti telur dan juga bihun goreng.

Mak mementingkan pengambilan sarapan. Setiap pagi mesti makan sebelum ke sekolah, tak pernah miss. Ada orang cakap, bila makan nasi lemak pagi-pagi, mengantuk dalam kelas. Ketika di sekolah menengah dulu, saya akan mengantuk bila tak makan pagi. Kalau makan nasi lemak, baru mata boleh celik. Ikut oranglah kan.

Sekarang pun, di Pusat Asasi UIAM, kadang-kadang terlupa nak makan pagi. Mungkin sebab terlambat bangun untuk ke kelas ataupun malas untuk turun ke kafe. Teringat pulak zaman-zaman dulu yang tak pernah tertinggal walau sehari makan pagi. Celik-celik mata, semua dah ada terhidang atas meja. Menunggu untuk dijamah saja.

Tidaklah saya rasai bahawa menyediakan makanan setiap pagi serta mengemaskan dapur selepas memasak adalah suatu beban andai dilakukan setiap hari, hingga ketika bersekolah di Almashoor. Boleh tahan letihnya. Saya cuba memasak sendiri sarapan pagi setiap hari sebelum ke sekolah untuk membawa bekalan makanan. Mak tidak dapat memasak sarapan pagi untuk saya kerana saya perlu ke sekolah sebelum subuh lagi.

Saya memasak untuk saya seorang. Itupun kadang-kadang tak buat sebab terbangun lambat ataupun malas. Bagaimana mak saya boleh memasak untuk anak-anaknya setiap pagi, istiqamah, tanpa lompang walau satu hari ketika saya sekolah rendah dahulu?

Opss, sudah untuk cerita makan pagi.

Sesudah berkungfu di dapur, mak saya akan memandu van untuk menghantar kami empat beradik ke sekolah. Pagi hari, jalan raya mesti jem, kaya atau planta. Cluch kereta perlu ditekan kerapkali. Ketinggian mak yang comel itu, menyebabkan beliau mengalami kelenguhan kaki setiap pagi untuk mengawal kereta. 

Kasihan.

Ketika saya di darjah 5, barulah giliran pagi untuk menghantar kami adik beradik ke sekolah diambil alih oleh ayah saya. Kadang-kadang, ayah lewat untuk ke tempat kerja kerana trafik jem, kaya atau planta yang menggila di Pulau Pinang. Pengorbanan ibu ayah, sebuah kisah cinta manusia yang pertama dalam hidup, akan saya kenang sampai bila-bila kerana Allah.

Perjalanan 15 minit setiap pagi, kadang-kadang jadi setengah jam. Perjalanan pulang pula, ditambah 15 minit lagi. Setiap hari mak saya bersilat di atas jalan raya kira-kira 45 minit.

Jam 2.30 petang, van putih sudah ada menunggu kami berempat di hadapan sekolah. Bukan saja mak tiba tanpa kami menunggu, malah turut dihidangkan dengan milo ais untuk melegakan tekak anak-anaknya. Masya Allah. Semoga kami adik-beradik dapat punctual apabila ibu pinta sesuatu sebagaimana apa yang telah beliau lakukan untuk kami semua. Pada awalnya, milo ais itu bukanlah permintaan kami tetapi belas ihsan seorang mak terhadap anak-anak. Namun, apabila menjadi rutin, kelibat milo ais yang tak kelihatan membuatkan bibir memuncung 2-3 inci. Maafkan kami, mak.

KELAS TAMBAHAN

Kelas tambahan sebelah petang untuk calon UPSR, menyebabkan kami bertiga terpaksa pulang lewat bersama abang. Tak kanlah mak saya berulang petang untuk mengambil saya, adik dan kakak ke rumah dahulu, kemudian datang sekali lagi pada pukul 5 petang untuk menjemput abang pulang pula. Maka, mak saya mengambil inisiatif untuk stay back di sekolah bersama kami tiga beradik sementara abang berada di dalam kelas tambahan.

Mak bukan saja bawa milo ais, malah sepersalinan pakaian untuk keselesaan kami. Makanan berat seperti nasi juga menjadi pelengkap untuk kami 3 beradik untuk stay back di sekolah dengan aman sentosa. Jadi, setiap hari ketika abang kami ada kelas tambahan, ibu akan datang ke sekolah pukul 2.30 petang hingga 5.00 petang barulah pulang ke rumah. Semasa bersama saya, adik dan kakak, mak akan bertanya mengenai apa yang dipelajari dalam kelas.

Lebih kurang macam buku log, saya akan tulis apakah aktiviti yang dilakukan di dalam kelas untuk subjek-subjek tertentu. Dan buku log itu akan dipantau oleh mak dari semasa ke semasa.

"Bahasa Arab : Muallim tak masuk kelas."

"Feqah : Ada kuiz kumpulan banin banat."

"Matematik : Tambah dalam lingkungan 100."

Begitulah antara laporan-laporan pendek yang pernah saya tulis dalam buku tu.

Dan, itulah sebahagian (bukan kesemuanya) apa yang telah mak lakukan untuk kesejahteraan saya dan adik-beradik yang lain. Bukan untuk seminggu, bukan juga sebulan, dan tidak pula setahun, tetapi hampir 5 tahun!

DENDA : 1000 KETUK KETAMPI

Kisah tragis yang masih saya ingat.

Ketika saya sukar untuk menghafal sifir lapan. Akibatnya, 1000 kali ketuk ketampi menjadi dendanya. Saya tulis 1000, bukan 100 kali!

Oh, sakit sekali!

Kanak-kanak yang berusia 8 tahun, di denda oleh seorang guru matematik kerana tidak berjaya menghafal sifir lapan pada masa yang ditetapkan. Masih saya ingat ketika itu bagaimana peritnya rasa pada bahagian lutut. Hampir-hampir saja saya membenci matematik 100%!

Sebaik saja pulang ke rumah, saya memberitahu hal demikian kepada mak saya kerana tidak tahan rasa sakit dan sedikit 'trauma' untuk berjumpa dengan Cikgu H untuk kelas Matematik untuk hari yang seterusnya. Pada mulanya saya meramalkan yang mak akan turut 'menghentam' saya kerana tidak menghafal sifir yang berkaitan.

Namun, tidak. Mak saya seorang yang memahami.

Kata mak, denda itu tidak setimpal. Boleh mencederakan kanak-kanak. Maka, hati saya sedikit terubat, berbunga kembali. Keesokannya, ibu saya berjumpa dengan Guru Besar untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

Ketika sesi Matematik keesokannya, Cikgu H memohon maaf kepada saya. Dia tidak lagi memarahi saya, malah langsung tidak mengendahkan buku kerja saya sama ada sudah siap atau tidak.

Selepas kejadian itu, saya berasa mak seorang pelindung saya, tidak ada orang yang dapat menganggu saya selagi mana mak di sisi saya.

Pendek kata, mak seorang heroin dalam hidup saya!

MENGAWAL DAN MENYEKAT

Satu : Telefon Bimbit

Telefon bimbit menjadi milik penuh saya ketika tamat pengajian di sekolah menengah. Walaupun telefon bimbit sudah famous dalam kalangan rakan-rakan semenjak darjah enam lagi, saya tidak berpeluang memilikinya di awal usia.

Setiap kali ada program luar, tangan saya seorang masih single tanpa bertemankan telefon bimbit. Sedang kawan-kawan lain sibuk melayan telefon bimbit, saya asyik membuai seorang diri. Tidak dapat mendustai rasa hati, kadang-kadang terasa satu kekurangan kerana tidak memiliki alat teknologi nombor satu pada zaman ini.

Kini, saya menilai semula. Ramai sahabat-sahabat saya yang memiliki telefon bimbit diawal usia dilalaikan dengan perkara yang tidak sepatutnya. Perhubungan banin-banat yang tidak diiktiraf, bermain games dengan dos hingga keracunan, dan banyak lagi penyakit teknologi. Saya selamba dan rileks ketika rakan-rakan yang lain gelisah kerana ada spot-check di asrama. Apa mahu risau, saya tidak membawa telefon bimbit ke asrama tanpa kebenaran, bahkan telefon bimbit pon saya tidak ada.

Terima kasih mak ayah kerana memberikan saya teknologi berbahaya ini ketika saya sudah dapat menilai baik buruk semasak-masaknya.

Dua : Televisyen

Semasa sekolah rendah dahulu, peraturan-peraturan ketat telahpun dijalankan dengan jayanya di rumah saya manakala penguatkuasanya adalah mak saya sendiri.

Televisyen hanya boleh ditonton ketika sudah menyiapkan senarai-senarai setiap hari seperti :
1) Baca al-Quran 1 muka surat sekurang-kurangnya;
2) Sudah mandi dan makan pagi (untuk hari minggu);
3) Sudah siapkan semua kerja sekolah.

Ketika menonton televisyen, syarat-syarat berikut haruslah dipatuhi :
1) Tidak melebihi satu rancangan, 30 minit sehari (untuk kartun atau cerita dogeng, tak termasuk dokumentari);
2) Kalau azan masuk waktu solat, berhenti dulu;
3) Tak dibenarkan membuka televisyen ketika waktu maghrib;

Apabila sudah terbiasa dengan peraturan-peraturan di atas, saya tidak akan senang duduk apabila kegiatan curi-curi menonton televisyen dilakukan. Bimbang andainya tertangkap, maka binasalah satu hari 24 jam itu.

Mungkin, pada awalnya, saya terasa dikawal. Kawan-kawan yang rancak bersembang mengenai cerita-cerita omputih, kartun-kartun yang pelbagai, sedang saya tidak tahu apa-apa. Rasa seperti tidak up-to-date dan ketinggalan.

Namun kini saya bersyukur kerana terselamat daripada didedahkan dengan adegan-adegan tidak sopan dan sedikit porno dalam cerita-cerita omputih ataupun cerita Melayu di awal usia yang tidak dapat menilai masak-masak apakah itu dapat dijadikan sempadan atau tauladan.

Ketiga : Tudung

Bab ini alhamdulillah, saya tidak pernah merungut dan rasa tercontrol. Mungkin kerana ayah saya sudah melatih kami seawal usia 3 tahun untuk memakai tudung.

Sungguh halus dan berseni cara ayah 'melekatkan' tudung di kepala anak-anak perempuannya.

"Sapa nak ikut ayah pergi kedai, pakai tudung dulu. Baru boleh ikut."

Ayah akan tunggu hingga kami menyarungkan tudung. Kalau tidak, ayah tidak akan bergerak. Untuk mudah melepasi 'kastam', kami segera mencapai tudung tanpa banyak songeh.

Alhamdulillah, saya membesar dalam suasana sekolah yang cukup membantu. Sejak tadika hingga akhir sekolah menengah, saya berada di sekolah agama. Guru-guru memakai tudung yang cukup lengkap safety precaution-nya.

Hidup di Pulau of Pulau Pinang yang pemandangannya sukar untuk mencari mereka yang bertudung labuh, menyebabkan sesekali terasa janggal. Pernah juga sekali-dua orang memanggil saya 'ustazah' atau pun 'akak'  walaupun ternyata mukanya lebih tua berganda berbanding saya. 

Dan kini, saya rasa bersyukur kerana bebas daripada cengkaman mahu berfesyen, yang akhirnya memenjara pakaian diri kepada satu skema yang "sempurna" dan sukar diikuti sedangkan apa yang tertulis pada skema itu adalah buatan budaya kuning barat.

Cukuplah dengan sehelai tudung labuh, segala precautionary steps sudahpun lengkap bergaya. Tak perlu pashmina. Tak perlu shawl. Tak perlu bawal. Dan paling penting, tak perlu buang masa!

Keempat : Permainan


Kelengkapan permainan masak-masak. Set anak patung. Basikal yang sempoi. Kereta kontrol jauh. Itu antara idaman ketika masih bersekolah rendah.

Setiap kali nampak permainan, saya akan pantas meminta,

"Mak, nak yang tu!"

"Kat rumah punya boleh main lagi kan?"

"Hmm."

Mungkin dengan otak ketika itu, saya terasa dikawal. Namun sekarang tidak lagi, kerana itu sebenarnya pendidikan untuk qana'ah. Memadai dengan apa yang sudah ada. Berjimat cermat dan tidak berlebihan, cukup hanya untuk keperluan dan kegunaan semasa.

KASIH SAYANG SUPER-DUPER 

عن عمر بن الخطاب ـ رضي الله عنه ـ قال : قدم على النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ سبى ، فإذا امرأة من السبي قد تحلب ثديها تسعى : إذا وجدت صبياً في السبي ـ أخذته فألصقته ببطنها ، وأرضعته ، فقال لنا النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ ” أترون هذه طارحة ولدها في النار ؟ قلنا : لا ،وهي تقدر على ألا تطرحه . فقال : لله أرحم بعباده من هذه بولدها ” 

Sumber: http://www.dakwatuna.com/2011/10/15172/allah-swt-sangat-menyayangi-hamba-nya-melebihi-kasih-sayang-ibu-terhadap-anaknya/#ixzz1tEHbEJbr


Dari Umar bin Al Khaththab RA berkata:


Didatangkanlah para tawanan perang kepada Rasulullah SAW. Maka di antara tawanan itu terdapat seorang wanita yang susunya siap mengucur berjalan tergesa-gesa – sehingga ia menemukan seorang anak kecil dalam kelompok tawanan itu – ia segera menggendong, dan menyusuinya.


"Akankah kalian melihat ibu ini melemparkan anaknya ke dalam api?" Nabi Muhammad SAW bersabda.


"Tidak, dan ia mampu untuk tidak melemparkannya," kami menjawab.


"Sesungguhnya Allah lebih sayang kepada hamba-Nya, melebihi sayangnya ibu ini kepada anaknya," Nabi bersabda.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


*Ok : Sudah tak balik rumah lebih 1 bulan. Nak periksa, dan 11hb Mei, balikkk!! Yehaa! :)

1 ulasan:

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!