 |
Bukan hanya bumi, tetapi nyawa kita hanya satu! sumber : http://nayzak.deviantart.com/ |
[Tujuan saya memaparkan surat ini adalah untuk peringatan buat diri sendiri juga andainya terlupa suatu hari nanti, Insya Allah.]
Assalamualaikum w.b.t.,
Salam sayang, salam ingatan dan salam rindu dari saya. Saya memohon seribu satu kemaafan andai selama ini saya terlupa untuk bertanyakan khabar semasa semenjak penghijrahan awak ke sekolah lain, sejak akhir tahun 2007. Maklumlah, saya insan biasa, tetapi saya tidak pernah lupa kepada sahabat-sahabat yang telah saya kenali sepanjang berada di sekolah, terutamanya orang seperti awak. Saya rindu celoteh dan gurauan awak yang selalu menceriakan suasana tatkala tekanan peperiksaan kian terasa.
Sewaktu tahun 2007, dan seterusnya 2008,
facebook masih belum wujud dalam kamus dunia saya dan mungkin juga awak, tidaklah saya ketahui. Tanggal tahun 2009, saya mula mendekati apakah yang hangat diperkatakan oleh masyarakat dan media massa, apakah itu
facebook. Mungkin kerana beberapa prinsip yang saya pegang ketika itu, menyebabkan saya lari dari dunia rangkaian web sosial yang sememangnya terlalu bebas. Namun, saban hari, saya berfikir kembali, 'tiada salahnya kalau aku akses facebook untuk menghubungkan silaturrahim dengan kawan-kawan yang telah lama tidak berjumpa, beserta tidak mengabaikan sempadan dalam menjaga ikhtilad.'
Dan, ketika itulah saya terjumpa profil
facebook awak. Saya terkejut ketika itu. Ibarat kilat yang hadir selepas guruh, hati saya terpana. Mata saya seolah mahu merembeskan titik jernih. Muka saya terasa seperti terpukul. Itukah awak?
Awak berubah.
Berubah dari segi pakaian, kepala awak dilitupi dengan tudung jarang senipis penapis kain soya. Singkatnya tidak menutup dada lebih saya terkesima. Sangat kaget.