Menjadi Profesional Mengikut Profesion

Orang yang tidak tahu tujuan sesuatu perkara yang dilakukan,
ibarat bermain bola tanpa jaring gol
“Kakak kiosk tu tak suka orang pakai tudung labuh!” sahabat sekelas mengomel seketika ketika baru pulang dari kelas Physics di SMAWP3.

“Hmm, kenapa pulak?” saya cuba mencari punca.

“Tak tahu la sebabnya, ada orang kata,” jawabnya.

Entah mengapa, si penjaga itu memang (atau mungkin juga tidak) bencikan orang yang bertudung labuh. Saya sendiri kadang-kadang terasa “aura” kebencian yang tidak berpunca itu. Ketika hendak membayar wang kepadanya, ukiran senyuman acapkali berbalas dengan kerutan dahi yang pasti tidak menyenangkan mata memandang.

“Saya nak beli air mineral sekotak,” saya berkata, sambil not RM 10 dua keping bertukar tangan.

“Besar ke kecil?” balasnya kasar.

Dan pelbagai insiden lagi yang melengkapkan evidennya.



NILA SETITIK DAN SUSU SEBELANGA

Pepatah melayu ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’ amat tepat untuk menggambarkan situasi seperti di atas. Mungkin (atau mungkin juga tidak) si kakak kiosk mengalami pengalaman pahit dengan ‘pemakai tudung labuh’. Lalu dengan pantas beliau menghukum perkara yang sama ke atas semua orang. Saya akui, sang pemakai tudung labuh bukanlah seorang malaikat. Mereka juga manusia yang sentiasa dibisikkan oleh syaitan yang tidak pernah jemu menyesatkan anak adam. Oleh itu, tidaklah menjadi sesuatu yang menghairankan jika mereka melakukan kesilapan-kesilapan, kerana itulah hakikat seorang manusia.

كل ابن آدم خطّائين وخير الخطّائين التوابين
Setiap anak adam berbuat salah, sebaik-baik yang bersalah adalah yang bertaubat.” 

(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)



Pilihan memakai tudung sudah tentu tidaklah salah, yang tetap bersalah adalah akhlaknya. Tidaklah adil jika kita menghukum “apa guna pakai tudung labuh, perangai semacam bagai..” bahkan, pilihannya bertuduh labuh sewajarnya mendapat pengiktirafan sebagai sesuatu yang ma’ruf, tanpa mencemari justfikasi itu dengan akhlaknya.

Saya bawakan satu analogi.

Jika kita hendak membeli kereta, lalu apakah perkara yang kita semak selain cc engine, kadar penjimatan minyak, kapasiti dan jenama? Sudah tentu kita melihat apakah ‘safety precaution’ yang ditawarkan. Apakah kebajikan pemandu terjaga apabila berlakunya kemalangan? Bagaimana keselamatan penumpangnya?

Lalu, syarikat pengeluar kereta menyedari kehendak pasaran begitu membentuk satu ‘design’ kereta yang selamat ketika berlaku kemalangan. Walaupun kos tambahan diperlukan, syarikat tidak banyak berkira-kira. Pelanggan juga tidak banyak songeh dalam bab ini dan tak perlu berkompromi lagi. Asalkan keselamatan terjamin.

Namun begitu, sesebuah kereta tidaklah dibeli untuk ‘accident’ berkecai di jalanraya. Sesuatu yang jarang-jarang berlaku seperti kemalangan (walhal mungkin hampir tidak) dipersiapkan dengan rapi supaya jika ianya berlaku, kesannya tidak telalu mendalam. Cukup hanya sekali, pengalaman pahit yang sekali itu pasti tidak luput di memori bagi yang pernah mengalaminya.

Mengapa hanya urusan pemilihan kereta kita begitu berjaga-jaga?

Tudung bawal itu kadang-kadang jarang dan dapat menembusi batang leher ketika pemakainya melewati arah lawan matahari. Spesifikasi menutup aurat sudah tidak dipenuhi. ‘Accident’ berlaku tanpa ‘safety precaution’.

Tudung yang pendek, jika sang angin membelai dengan sopan, tidak menjadi masalah. Asalkan melepasi paras dada, itu sudah mencukupi ciri-ciri yang disebutkan dalam syariat. Namun, apabila sang angin mula berkencangan, kain tudung yang singkat akan terselak lalu ternampak segala yang sepatutnya tidak terbuka untuk tatapan umum. Apatah lagi jika terpandang oleh mereka yang ajnabi. Imej yang terpacul sekali tidak mudah dipadamkan semudah menekan butang ‘delete’. ‘Accident’ berlaku lagi tanpa ‘safety precaution’.

MُENJADI PROFESIONAL MENGIKUT PROFESION?

Ketika di tingkatan 5, saya masih ingat bagaimana dengan mudahnya saya dijerkah (tinggi suara) oleh seorang staf sekolah. Puncanya hanya kerana saya tidak menjawab pertanyaannya dengan segera. Struktur soalannya membuatkan saya terkeliru dan mengambil masa beberapa saat untuk membetulkannya. Di awal pagi, saya kehilangan mood. Ketika pulang ke rumah, segera saya melepaskan apa yang terbuku kepada ibu tersayang di rumah.

 “Mak, tadi kena marah dengan staf sekolah. Tak tahu sebab apa. Orang cakap lambat sikit pun nak marah-marah. Geram betul.”

“Ya lah, perkara dah lepas, biarkan. Tak molek kalau kita marah-marah jugak. Akhlak kita yang rosak nanti.”

“Memang, tapi geram tu geram la jugak.”

“Begini, kalau kita saling marah, tak jadi apa. Emosi lagi sakit. Orang yang tak boleh kawal emosi padanlah dia kerja macam tu. Tak akan boleh jadi doctor, sebab doctor hari-hari nak kena gaduh dengan pesakit kalau tak boleh kawal emosi.”

“Kalau kita nak kerja macam tu juga esok besar, tak mengapalah.” Saya diam membisu. Ada kebenaran dalam kata-kata itu. Sungguh.

Jika orang yang membuatkan kita terganggu emosi itu seorang tukang sapu, penjaga kedai, pembantu makmal bahkan staf lain sekalipun, abaikan sahaja. Maafkan mereka, insya Allah. Anggaplah ini sebagai ujian melatih emosi sebelum kita menempuh alam pekerjaan yang semestinya menuntu kestabilan emosi, supaya kita tidak pula menjadi punca emosi orang lain ‘teruji’.

MENJADI SEBAIK-BAIK MANUSIA

Apa yang kita dapat daripada orang lain, tak semestinya kita membalas dengan perkara yang sama. Sepohon pokok yang berbuah tidak pernah melempas balas sepasang sepatu yang dilontarkan kepadanya sebaliknya menggugurkan buah-buahan yang berkhasiat. Jika pokok lagi pandai berbudi, mengapa tidak kita?

 خيرالناس أحسنهم خلقا
 “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling baik akhlaknya.” 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2 ulasan:

  1. nice post.. dah lama takde post ilmiah mcm ni

    *resepi tak minat

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ok, semoga bermanfaat.
      Resepi pun ilmu juga, masak sendiri air tangan sendiri. Insya Allah bersih. Tapi kalau tak minat nak buat macam mana.

      Padam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!