Tulang Ikan Keli Yang Bertuah

Kek Kak Long
Jarang sekali kedengaran ada orang tercekik tulang ikan keli. Ya, ikan keli.

Betapa banyak nikmat Allah yang tak dapat didustai. Alhamdulillah. Cuba fikir semula, apakah yang menjamin sesuatu makanan yang ditelan itu dapat memasuki ke dalam perut dengan sempurna? Dan, setelah diproses dan diekstrak zatnya, siapa pula yang dapat mengarahkan sisa itu meninggalkan perut dan keluar dari tubuh?

Sudah tentu, ianya patuh pada penciptanya.



SEPETANG

Di suatu petang yang biasa, saya menjamah nasi berlaukkan ikan keli. Sepi keseorangan di dalam bilik. Tiada rakan-rakan menjamu selera bersama ketika itu. Tanpa sepatah percakapan pun, saya memamah nasi dan ikan keli.

Tiba-tiba, terasa tekak dicucuk dengan tulang. Setelah cuba membiarkan 'rasa' itu beberapa saat, akhirnya saya tewas. Termuntah juga akhirnya, mujur sempat berlari ke bilik air.

Hampir kosong semula isi perut, rasa cucukan tulang itu masih belum berkurang. Maksudnya, tulang itu masih ada di dalam bukaan oral.

Pemerhatian dilakukan. Kelihatan seperti jarum yang sangat halus; sehalus bulu kucing tercucuk pada tonsil sebelah kanan. Yakin. Itulah tulangnya.

Nekad mengeluarkan tulang itu sendiri, cubaan dilakukan sehingga muntah berkali-kali lagi. Kali ini memang betul-betul perut kosong. Selepas maghrib, kawan-kawan yang prihatin pula mencubanya hingga ke malam. Namun, cubaan tidak berjaya.


KE KLINIK & HOSPITAL

Keesokkan harinya, saya keluar ke klinik yang berhampiran bersama kakak dan abang ipar. Katanya, jika mahu mencabut tulang itu, perlu membayar sebanyak RM 80!

Tak dapat menerima ketamakan wang ringgit itu, kami beredar dari klinik itu.

Klinik kesihatan tutup pada hari Ahad. Maka, kami ke klinik 1 Malaysia UTC. Dipendekkan cerita, doktor (pembantu doktor U36) itu gagal mengeluarkannya.

"Tak ada pun ni dik!" kata 'doktor' itu.

"Ada," saya yakin.

"Eh, cuba ko tengok. Tak de kan?" kata 'doktor' itu sambil meyakinkan kakak saya pula.

"Ada. Sebab rasanya sakit," saya bertegas.

"Maaf la.. saya memang tak boleh buat. Baca je la doa-doa biar tulang tu keluar sendiri," kata 'doktor' itu.

Setelah mendapatkan surat rujukan ke HTAA, kami bertolak ke sana. Giliran diambil selepas selesai pendaftaran di unit kecemasan. Hampir 2 jam menunggu sebelum masuk ke bilik rawatan.

Dipendekkan cerita, doktor yang lebih muda berjaya mencabut tulang dari tonsil kanan saya. Hakikatnya, tulang yang terlekat itu bukanlah sebesar bulu kucing, tetapi sepanjang 2 cm; lebarnya semakin bertambah besar!


PENGAJARAN

1) Hargai nikmat makan tanpa tercekik.

2) Orang muda tak semestinya sentiasa 'kurang' berbanding dengan yang tua. Kerjasama antara kedua-dua golongan itu penting untuk membentuk hasil yang bagus. Orang muda mempunyai pancaindera yang lebih tajam manakala orang tua terbatas tetapi banyak pengalaman.

3) Perbanyakkan kemudahan hospital. Kementrian kesihatan selalu menunjurkan kelebihan graduan para doktor. Tetapi timbul persoalan kenapa pesakit masih perlu beratur panjang jika ke hospital kerajaan?

4) Hentikan (atau tukar ke jurusan lain) jika anda berada dalam kursus perubatan dan ada niat nak jadi ahli bisnes dengan kerja seorang doktor. Maksudnya, anda orang yang tak diperlukan masyarakat sekiranya mahu meletakkan bisnes sebagai matlamat utama untuk merawat pesakit!

5) Hargai pengorbanan orang yang sanggup membantu kita dikala susah. Doakan mereka sejahtera dunia akhirat.

6) Tanamkan semangat untuk memberi dan berkhidmat kepada orang lain berbanding dengan apa yang aku dapat daripada orang lain terutamanya apabila bekerja sebagai seorang doktor kelak.

7) Yang paling penting... jangan lupa hidup kita menuju kepada kematian. Sentiasa betulkan niat dalam apa jua tindakan; bukan duit duit duit yang menjadi matlamat, tetapi pahala.

8) Sesuatu masalah yang nampak kecil, mungkin besar kesilapan pada puncanya. Oleh itu, segera muhasabah ke akar umbi supaya keadaan tidak menjadi lebih parah. Contohnya, tulang ikan yang pada awalnya saya nampak seperti bulu kucing kerana sebahagian besarnya sudah terbenam jauh ke dalam tonsil. Jika dibiarkan, jangkitan dan nanah boleh terjadi.

9) Jangan bertangguh kerja. Pada saat akhir, mungkin pelbagai kejadian akan berlaku, kerana kita hamba Allah; hanya mengikut percaturan yang telah ditetapkan pada qada' & qadarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!