Perkahwinan "Mencuri" Ahli Keluarga?

Di Lapangan Terbang Subang
Setelah lama menanti, jadual peperiksaan diumumkan. Satu daripada subjek UNGS itu, salah satunya jatuh pada 17 Ogos. Sesuatu perkara yang difikirkan, akhirnya benar-benar berlaku.

Iaitu... tarikhnya sama dengan majlis walimah kakak saya.

Sebelum ini, saya pernah bertanya dengan kawan-kawan yang terlebih dahulu mengambil subjek yang sama pada tahun lalu. Kata mereka, subjek UNGS tidak akan berada di hujung-hujung hari pada minggu peperiksaan. Kebiasaannya, di tengah-tengah minggu.

Untuk meraikan majlis walimah yang kali pertama dalam keluarga saya ini, saya menulis surat kepada kulliyyah IRKHS untuk meminta keizinan diawalkan masa untuk saya. Namun, permohonan itu ditolak kerana kata mereka alasan saya tidak kukuh.

Mungkin.. inilah peluang naik flight untuk balik ke rumah. Allah S.W.T. ada perancangannya yang tersendiri.


TAMBAH ATAU TOLAK?

Semasa kecil dulu, saya pernah terfikir dengan perkahwinan, kakak saya akan 'dicuri' oleh seorang lelaki asing dan membawanya jauh dari keluarga. Hanya boleh bertemu setahun sekali, iaitu semasa cuti raya. Saya anak ke lima, jadi akhirnya nanti akan tinggal saya dan adik saja (jika adik-beradik berkahwin mengikut giliran) di rumah. Jika abang, maka perhatiannya akan beralih kepada kakak ipar bersama anak-anak mereka dan mengabaikan ibu bapa serta adik-adiknya kelak. 'Kejam'nya sebuah perkahwinan!

Begitulah gambaran yang saya nampak disebabkan oleh persekitaran kerana saya dan keluarga besar berada di negeri yang jauh. Tidak terkecuali, drama-drama yang dihidangkan di media serta akal yang terbatas semasa di sekolah rendah dahulu mempengaruhi sedikit sebanyak cara fikir seperti ini.

Namun, hakikatnya, persepsi itu sama sekali tidak benar.

Jika tidak berkahwin sekalipun, kehidupan kita tetap perlu diteruskan. Kita perlu menyambung pengajian, bekerja dan segala urusan lain yang menyebabkan kita berjauhan dengan keluarga. Mungkin selamanya begitu kerana ibu ayah kita tak mampu menanggung kita hingga ke akhir hayat.

Kita yakin, suatu hari nanti, ibu ayah kita akan tua. Mereka tidak lagi dapat menjaga kita seperti mana kita kecil dahulu. Jadi, kita akan terabai dan tiada sapa yang akan mengendahkan kita kelak. Apakah masih 'gembira' apabila usia kita makin bertambah, kemudian tiada lagi perhatian daripada insan-insan yang rapat dengan kita dan mencurahkan kasih sayang semasa kecil dulu?

Isunya adalah, apakah definisi kualiti yang kita cari dalam kehidupan ini?

PERJALANAN HIDUP UNTUK KEMATIAN

Semasa kita lahir ke dunia ini, kita sangat lemah. Allah S.W.T. menjadikan ibu bapa kita sebagai pendamping dan pelindung (secara zahirnya, hakikatnya Allah lah pelindung setiap makhluk) ketika itu. Ketika itu... kita rasakan ibu bapa adalah hero, serba serbi tahu tentang semua perkara. Berkemampuan membantu kita bila-bila masa. Pembela kita jika kita dizalimi oleh orang lain. Mengambil berat hal makanan, kesihatan, pakaian, penampilan dan semua aspek. Pendek kata, segalanya kita bergantung dengan kudrat mereka.

Bagi kita, mereka punya ketokohan yang sangat sempurna, ibarat manusia yang maksum. Apa yang mereka kata 'ya' itu benar, apa yang mereka katakan 'tidak' itu salah. Jika mereka berada di samping kita, seolah-olah terasa 100% selamat daripada segala ancaman bahaya.

Apabila kita meningkat usia, masuk ke alam persekolahan... kita mula sedar yang ibu bapa kita juga manusia.  Mereka punya had keupayaan tertentu dari sudut pengetahuan, kekuatan fizikal dan juga emosi. Kita juga makin sedar yang mereka punya kelemahan, tidaklah seperti yang kita sangka semasa kecil dahulu. Ya, mereka tidak maksum. Yang maksum hanyalah para rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T..

Dalam banyak hal, kadang-kadang rasa 'selamat' apabila mereka ada di sisi kita sedikit merosot. Kita teraba-raba mencari satu "kekuatan" yang dapat menggantikan pelindung kita setiap masa dan di mana saja kita berada.

Namun, pergantungan kepada ibu bapa sudah tentu akhirnya akan menjadikan kita kecewa. Ya, kita akan kecewa kerana bergantung pada yang tidak sempurna dan tidak memiliki sesuatu yang kita mahukan. Mereka akan tua suatu hari nanti. Mereka akan sakit dan mati meninggalkan kita. Mereka akan... dan macam-macam 'akan' lagi seperti mana kitaran manusia normal yang lain.

Seterusnya, saya terfikir yang adik-beradik pula dapat menggantikan tempat ibu bapa. Tetapi, mereka mungkin akan berumah tangga dan juga akan 'meninggalkan' saya untuk memberi komitmen terhadap tanggungjawab dan urusan lain yang lebih penting.

Dengan itu, siapakah harus saya meletakkan pergantungan?

My Daddy During My Sister's Wedding
 
HAKIKAT TEMPAT BERGANTUNG

Apabila berfikir tentang perjalanan kehidupan, saya mula menilai kembali apakah benar gambaran tentang "perkahwinan akan mencuri anggota keluarga saya".

Tidak.

Hakikatnya kita akan sentiasa 'kehilangan' adik-beradik meskipun mereka tidak berkahwin; kerana mereka itu adalah makhluk kerana sentiasa tertakluk dengan urusan-urusan dunia yang tidak berkesudahan. Kita juga akan 'kehilangan' ibu bapa meskipun mereka masih wujud di muka bumi ini kerana perjalanan masa dan proses penuaan adalah seiringan. Walhal, jika difikirkan kembali, kita juga perlu sedar yang kita tak akan selamanya hidup di dunia ini, akhirnya kita juga akan sakit, tua dan mati.

Hakikatnya, jawapan yang dicari jelas-jelas dinyatakan oleh Allah S.W.T. dalam surah lazim yang semua orang baca setiap hari.

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ * ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ 
"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat."

(Surah Al-Ikhlas, ayat 1-2)

Bahkan, Allah S.W.T. adalah tempat pergantungan kita, yang lebih kasih dan sayang kepada kita melebihi seorang ibu terhadap anaknya. Dalam sebuah hadis dinyatakan:

عن عمر بن الخطاب ـ رضي الله عنه ـ قال : قدم على النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ سبى ، فإذا امرأة من السبي قد تحلب ثديها تسعى : إذا وجدت صبياً في السبي ـ أخذته فألصقته ببطنها ، وأرضعته ، فقال لنا النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ ” أترون هذه طارحة ولدها في النار ؟ قلنا : لا ،وهي تقدر على ألا تطرحه . فقال : لله أرحم بعباده من هذه بولدها ”

Dari Umar bin Al Khattab RA berkata: Didatangkanlah para tawanan perang kepada Rasulullah SAW. Maka di antara tawanan itu terdapat seorang wanita yang susunya siap mengucur berjalan tergesa-gesa – sehingga ia menemukan seorang anak kecil dalam kelompok tawanan itu – ia segera menggendong, dan menyusuinya. Bersabda baginda: "Akankah kalian melihat ibu ini melemparkan anaknya ke dalam api?". Kami menjawab: "Tidak, dan ia mampu untuk tidak melemparkannya." Bersabda baginda: "Sesungguhnya Allah lebih sayang kepada hamba-Nya, melebihi sayangnya ibu ini kepada anaknya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

KUALITI HIDUP YANG DICARI

Ya, perjalanan hidup ini adalah untuk sebuah kematian yang akan menghubungkan kita dengan alam kehidupan yang lebih kekal abadi. Akhirat nanti.

Maka, tidaklah ada benda yang dapat menjamin kesejahteraan hidup di akhirat kelak melainkan bekalan pahala. Kutiplah pahala sebanyak mungkin semasa di dunia ini, supaya kita bertemu kekal selamanya di akhirat nanti setelah mendaftar sebagai ahli syurga. Insya Allah.

Jika perkahwinan itu satu jalan yang dapat memperkayakan pahala, menambah kualiti ibadah dan mempergiat aktiviti dakwah, maka pergunakanlah jalan itu. Selamat datang abang ipar, semoga beroleh pahala berlipat kali ganda daripada Allah S.W.T. melengkapkan jalan sunnah nabi Muhammad sallahu 'alayhi wa sallam di samping dapat membahagiakan kakak saya.

Selamat pengantin baru buat kalian berdua, mudah-mudahan Allah menjaga urusan kalian kelak dan semoga berkekalan hingga ke syurga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!