Jika telefon bimbit ini dianggap "ketinggalan zaman", maka mengapa kita masih mengaplikasikan konsep telefon berkarat? [Kredit - http://www.wpclipart.com/telephone/cell_phones/cell_phones_2/cartoon_mobile_phone.png] |
Saya yakin, majoriti setiap individu berpengalaman dengan permainan ini. Bermula dengan beberapa ayat yang sama ritmanya, kemudian dibisikkan kepada si A, seterusnya si B dan si C, kemudian si D hinggalah ke penghujung. Hasilnya, ayat pertama yang disampaikan akan berubah sedikit demi sedikit. Bahkan, maksud ayat yang asalnya mungkin bertentangan dengan ayat terakhir yang disampaikan!
Itu tentang autentik beberapa baris ayat yang diragui kerana disampaikan dari mulut ke mulut. Di sini, tidaklah saya mengatakan warisan al-Qur’an itu tidak autentik, walaupun telahpun begitu lama. Ya, Islam satu agama wahyu. Al-Qur’an telah dijamin oleh Allah tentang kebenarannya. As-Sunnah akan sentiasa dipelihara oleh Allah di atas muka bumi ini. Apa yang menjadikan mirip dengan konsep ‘telefon berkarat’ adalah tentang amalan kita.
Amalan umat Islam sama ada berada di atas landasan yang benar atau tidak, tiada jaminan daripada Rasul jika kita tidak berbalik merujuk kepada al-Qur’an dan as-Sunnah. Oleh sebab itu, umat Islam haruslah berbalik merujuk semula kepada sumber asal agar tidak akan sesat; iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah. Kebenaran tidak boleh disandarkan kepada ‘kebiasaaan’ masyarakat kerana Islam (yang benar) akan menjadi sesuatu yang asing (tidak bersama majoriti) berdasarkan sabda nabi:
إن الإسلام بدأ غريبا وسيعود غريبا كما بدأ فطوبى للغرباء
“Sesungguhnya Islam itu bermula dengan dagang (asing) dan akan kembali menjadi asing sebagaimana ianya bermula. Maka, beruntunglah bagi golongan yang asing.”
[Diriwayatkan oleh Muslim, 145]Bagaimana dengan amalan agama kita hari ini?
Apakah ibadah yang kita lakukan seperti solat 5 waktu sehari, puasa, berhijab dan lain-lain lagi, kita tahu dengan jelas tentang dalilnya? Atau, kita hanya mengikuti warisan dan amalan turun temurun sahaja?
Rasulullah sallahu ‘alayhi wa sallam telah wafat lebih 1400 tahun dahulu.
Apakah sama amalan Islam yang kita amalkan hari ini dengan risalah Islam asal yang dibawa oleh Rasulullah sallahu ‘alayhi wa sallam dahulunya?
Dimanakah rasionalnya amalan kita jika kita menolak daripada merujuk kepada sumber yang asal, kerana Rasulullah sallahu ‘alayhi wa sallam hanya memberi jaminan bahawa kebenaran hanya dengan al-Qur’an dan sunnah:
تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة نبيه
“Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, kamu tidak akan sesat selagi berpegang dengannya: Kitab Allah dan sunnah nabinya.”
[Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/899) secara mursal. Diriwayatkan oleh al-Hakim secara mausul (1/171), al-Baihaqi (10/114) daripada hadis Ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma. Dengan lafaz lain. Berkata al-Hakim: Dikeluarkan oleh al-Bukhari daripada ‘Ikrimah dan Muslim daripada Abu Aus. Muttafaqun ‘alaihi]
BERBALIK KEPADA SUNNAH
Sunnah.
Satu perkataan yang cukup laku apabila ianya digunakan. Mana tidaknya, label ini menjadikan seseorang itu dikatakan berada dijalan yang benar. Maka, sibuklah masing-masing bermonolog dalam diri bahawa “aku seorang Ahlus Sunnah wal Jamaah”. Apabila ditanya, apakah ASWJ itu? Err.. sebelum bertanya tentang apakah ASWJ, mari kita soal diri masing-masing terlebih dahulu.
“Sudahkah aku faham apakah itu sunnah? ‘Sunnah’ bagaimana yang aku amalkan?”
Sunnah terbesar dalam kehidupan kita adalah mengikut Rasulullah sallahu ‘alayhi wa sallam dalam apa jua aspek terutamanya dalam ibadah khusus. Manakala, panduan sunnah yang terbesar adalah al-Qur’an dan Hadis. Sunnah yang kita sangka sebagai ‘sunnah’ hari ini, mungkin perlu difikirkan asal usulnya.
Dimanakah sesuatu amalan itu kita sandarkan?
Apakah cukup hanya katakan ini dari nenek moyang lagi, tak mungkin silap?
ALASAN BERPUAS HATI DENGAN AMALAN HARI INI
Sesetengah dalam kalangan kita, bertindak untuk bergantung kepada seorang ‘ustaz’ yang mengajarnya. Jika dikatakan A, maka tindakkannya A. Sewajarnya, kita berhak untuk bertanyakan tentang dalil daripada al-Qur’an serta status hadis yang dinyatakan. Tujuan bertanya bukan untuk menguji ‘ustaz’ tersebut tetapi untuk memastikan kita benar-benar yakin ianya sahih daripada nabi.
“Takkan ler ustaz tu nak bohong kita pulak!”
Cuba perhatikan bagaimana perkembangan penyebaran hadis palsu. Lihat daripada sejarah, hadis ini direka dan disebarkan sebahagian besar oleh golongan para ‘ustaz’ dan ‘abid seperti Nuh bin Abi Maryam (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).
Mengapa?
Jika mamak jual roti canai yang tidak tahu berbahasa Arab, tidak tahu apa itu usul fiqh, bahkan ‘al-Bukhari’ pun disangka sebagai menu nasi tengahari; sudah tentu tiada siapa percayakan cakapnya jika dia berkata “ini daripada rasul”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!