Sudah Habis, Buang Pulak!

Ketika SPM 2010


"Kenapa orang selalu kata, studi cepat-cepat, exam, perabih buang?", seorang sahabat saya bertanya.

"Dah habis kenapa nak buang pulak. Betul, iya tak ya jugak!", saya membalas.

Ramadhan semakin memencilkan diri. Tandanya, syawal bakal tiba tetapi umat Islam sudah mula mensyawalkan Ramadhan yang masih berbaki ini.

Dan bagi segenap pelajar SPM, sekarang sudah tiba masa untuk berhempas pulas menggandakan informasi yang terpahat di Cerebellum, untuk menghadapi peperiksaan percubaan SPM apabila tamat cuti nanti.


BUDAYA 'PERABIH BUANG'

Budaya yang dianggap 'biasa' oleh masyarakat kita, rasanya menjadi beban yang tidak tertanggung akhirnya. Buat kerja bukan kerana hendak melaksanakannya, tetapi bersegera untuk menghabiskannya seterusnya melupakan sesuatu itu selama-lamanya.

Sesuatu yang dilakukan tanpa niat yang benar-benar ikhlas kerana Allah, maka apabila lama kelamaan akan menjadi jemu dan bosan. Sesuatu pekerjaan dilakukan ala kadar untuk mencapai matlamat duniawi yang sementara dan jelas di hadapan kanta mata kasar.

Manusia akhirnya menjadi bosan, jemu dan berasa tiada kelazatan, kesungguhan dalam melakukan apa saja tindakan. Dengan sebab itulah niat akhirnya memainkan peranan penting dalam menjana keikhlasan dan 'keterterimaan' amalan di hadapan Allah SWT supaya kita tidak menjadi orang yang muflis di akhirat kelak.

Seperti melepaskan batuk di tangga, amalan dilaksana dengan penuh rasa terpaksa, terdera dek kekangan masa, tenaga dan lain-lain lagi. Lantaran hidup itu hanya sementara untuk menikmati kelazatan ibadah, akhirnya terpesong jauh dari matlamat yang lebih abadi dan hakiki.



'PERABIH BUANG' DALAM IBADAH

Ramadhan mahu melabuhkan tirainya. Maka, kita juga semakin rancak melabuhkan lutut dan badan di katil tatkala masa tahajud telah tiba.Tarikan graviti pula berganda tiba-tiba walaupun secara teorinya ia tetap malar.Malas makin menjadi-jadi, mungkin keletihan sebulan sudah memperhambakan diri kepada bulan Ramadhan.

Hamba kepada Ramadhan?

Iya, kita menyembah Allah SWT setiap masa, tetapi kita mempertingkatkan di bulan Ramadhan. Selesai Ramadhan, tahap ibadah masih di takuk lama, tiada peningkatan. Sedangkan Ramadhan itu Allah jadikan sebagai bulan Madrasah untuk mendidik jiwa manusia dengan menahan lapar dan dahaga di siang harinya.

Ironisnya, ibadah yang telah digandakan itu diteruskan di bulan-bulan selepasnya. Barulah terserlah peranan bulan Ramadhan itu sebagai sebuah 'Madrasah' yang mengajar hawa nafsu manusia menjadi lebih jinak.

Suatu hari di hari raya, kita menjadi seorang manusia pelajar lepasan Madrasah Ramadhan yang mengingati segala ilmu dan kepakaran yang di peroleh sepanjang pembelajaran. Supaya kita tidak menjadi pokok rendang besar, tetapi tiada buahnya. Tiada hasil yang dapat dipersembahkan di hadapan Allah SWT kelak.

Jangan ketika Ramadhan kita boleh habiskan al Quran sebanyak 1 juzu' sehari, tetapi di bulan-bulan lain untuk mencapai 1/4 hizbi pun agak mustahil. Jangan!!

Jangan kerana di bulan Ramadhan angpau sedia menanti bagi yang berjaya mengkhatamkan al-Quran, kita berhempas pulas membacanya lintang pukang, tanpa memahami maksudnya, tanpa mengendahkan al-Quran sedang melaknat kita. Jangan!!

'PERABIH BUANG' DALAM MENUNTUT ILMU

Ini satu lagi budaya yang hampir berkarat, malah sudah menjadi ferum(III) oxide agaknya. Namun, budaya masih boleh di ubah, sekiranya kita mahukannya.

Membaca, mentelaah buku-buku ilmiah tatkala peperiksaan bakal menjelang seminggu lagi, mengundang parah dan bahaya yang teramat!

Mana tidaknya, buku yang sepatutnya istiqamah dibaca selama dua tahun dihabiskan dalam masa satu minggu. Akhirnya, hilang segala nikmat mempelajari ilmu-ilmu dunia, hilang penghayatan terhadap kebesaran Allah dan hanya membebankan organ kita yang hanya seberat 1.2 kg itu. Akhirnya tiba di hari peperiksaan Central Nervous System menjadi tidak cekap, concious mind pun tidak begitu mampan, akhirnya membuahkan keputusan yang tidak mantap.

Ngerinya dihari keputusan peperiksaan diumumkan!

Salam imtihan buat sahabat seperjuanganku!


HASILNYA

Peperiksaan dunia yang kita hadapi menjadi tidak seronok apabila keputusan yang kita peroleh tidak memberangsangkan. Sedih dan duka. Atau mungkin juga menderita sepanjang hidup kerana gagal memperoleh kecemerlangan akademik.

Selepas itu, terbuka lagi peluang lain memberi jalan untuk menyelesaikan masalah kegagalan di suatu masa dahulu. Masih ada waktu, peluang dan cubaan lagi.

Namun, kita fikirkanlah, keputusan yang akan di serahkan kepada kita sama ada kita ashabul Yamin, Syimal atau Muqarrabun, hanya sekali. Hanya sekali.

Tiada percubaan terlebih dahulu, mati kemudian hidup semula untuk memperbaiki amalan jahat dahulunya.

Keputusan di mahkamah Allah adalah muktamad.
Sengsara, maka sengsaralah selamanya.
Nikmat, bahagianya berkekalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!