Pengajaran Di Sebalik Peepee dan Comel

Peepee sedang melayari mimpi

Kucing.

Binatang yang membuatkan saya tidak dapat menahan diri untuk hanya melihat kelibatnya berada di depan mata.

Pasti mahu digosok atau dibelai.

Kehadiran Peepee ke rumah saya beberapa bulan yang lepas membuatkan 'gian' saya kepada kucing sedikit terubat.



KELUARGA & KUCING

Entah mengapa, keluarga saya amat meminati kucing. Termasuk juga keluarga kembangan yang terdiri daripada sepupu, bapa dan juga ibu saudara. Atok juga tidak terkecuali daripada menyertai kelab peminat kucing yang tidak berdaftar ini.

Beberapa tahun yang lalu, rumah saya pernah dibanjiri oleh koloni kucing. Walaupun ibu saya terkecuali daripada ahli keluarga yang menggemari kucing, beliau meraikan minat anak-anaknya dan ayah saya. Setelah beberapa kali Mak Miau melahirkan anak-anak yang come lote, akhirnya, rumah saya sudah seperti tempat perlindungan kucing.

Dengan jumlah adik-beradik yang sederhana, rumah yang kami diami tidak mungkin dapat dikongsi dengan kehidupan koloni kucing yang semakin mendominasi dari sudut jumlahnya.

Nekad, kucing-kucing berkenaan di hantar ke pusat perlindungan yang berada nun ibu negeri.

Sejak itu, rumah saya tiada lagi sang comel berbulu bermata bulat, termasuklah kucing jalanan juga tiada yang menziarahi.

SI PEEPEE

Hampir satu dekad rumah kami tiada kucing, Peepee datang menagih simpati. Kali ini, bukan saya atau adik beradik yang lain memulakan 'penjinakan' kucing di rumah. Kami selalu diberi amaran oleh ibu kerana beliau tidak mahu mana-mana kucing dibela lagi. Kata mak, najis yang dilepaskan merata-rata tempat mengganggu jiran tetangga. Itulah punca utama mengapa mak saya tidak membenarkan makhluk comel itu bertandang ke rumah kami. Selain itu, bilangan anak-anak kucing yang terlalu banyak juga menjadikan pemandangan sekitar rumah menjadi tidak kondusif.

Namun, jiwa mak saya tersentuh apabila melihat kucing yang kelaparan mencari habuan. Naluri ibunya tercabar. Akhirnya, mak saya memberi tiket secara rasmi sebagai tanda Peepee boleh diberi makan dan dijinakkan.

Makanan diberi, bukan yang bersisa. Malah, ikan segar dari pasar basah yang ayah beli setiap minggu. Direbus khas untuk si Peepee. Peepee kucing yang sangat buas dan aktif. Setiap kali pulang dari berderat, pasti ada tompokan tambahan pada bulu putihnya itu. Bagi mandi setiap minggu. Shampu khas untuk kucing juga dibeli. Memang gaya hidup kucing high-class.

Makan pun sangat banyak. Setiap kali makan, seekor ikan. Saiz ikan besar, kalau kita pun, boleh makan dua kali. Kalau ikutkan sunnatullah, Peepee akan membesar dengan gemuk dan sihat.

Peepee ketika masih sihat


SI COMEL

Comel, kucing yang menetap di Mahallah Zainab Jahsy. 3 minggu yang lalu, dia selamat melahirkan 3 ekor anak secara normal untuk yang sulung, tetapi songsang untuk yang ke-2 dan ke-3. Sempat juga saya menyaksikan detik-detik kontraksi Comel secara langsung. Pengalaman pertama yang cukup berharga.

Makanannya, tidak menentu. Korek tong sampah, itulah kerjanya. Walaupun ada insan-insan yang berhati mulia mahu berkongsi rezeki dengan kucing, tetapi tidaklah setiap hari. Boleh katakan setiap hari semasa keluar bilik untuk ambil wudhuk sewaktu subuh, setiap tong sampah hitam di sepanjang lorong terbalik. Adoii, kalau bukan kerja si Comel, siapa lagi.

Mandi? Sudah tentu tiada siapa yang memandikannya. Bulu sedia ada sudah lembut dan sangat bersih. Sangat terurus. Bulu juga tidak mudah gugur.

Pernah juga suatu ketika, saya memerhati si Comel masuk ke tandas. Di hidu-hidu bahagian lubang tandas. Saya sangka dia kehausan. Namun, air yang saya takungkan dibiarkan begitu saja. Kemudian, Comel masuk ke tandas yang tertutup pintu. Perlahan-lahan, saya mengendap si Comel.

Rupa-rupanya, dia mahu membuang air kecil. Kalau bukan Allah yang mengilhamkan kepada dia, siapa lagi. Saya rasa tiada manusia yang rajin melatih si Comel untuk membuang air di tandas. Sebelum ini, memang pernah saya dengar kucing membuang air di tandas, tetapi tidak dilubang sebetulnya!

Si Comel

ALLAH AL-MUHAIMIN

Si Peepee kucing yang dibela dengan rapi. Si Comel pula kucing jalanan. Namun, hasilnya tidak seperti yang sepatutnya. Peepee sekarang ini sedang menanggung kesakitan (selesema, bersin berdarah, jangkitan kuman pada kaki yang serius dan membengkak), manakala Comel masih sihat walafiat.

Ini adalah antara tanda-tanda bahawa setiap kucing itu hidup di bawah pemeliharaan Allah SWT, bukannya di bawah kuasa manusia. Manusia cuma menjadi sebahagian daripada sebab musabab. Bukan saja kucing, malah setiap makhluk juga di bawah pemeliharaan Al-Muhaimin.

Al-Muhaimin, bermaksud Tuhan yang Menjaga. Allah bukan hanya mencipta, tetapi juga mengurus dan mengawal semua ciptaan-Nya dengan sempurna. 

ALLAH AR-RAZZAQ

Allah juga yang telah memberi rezeki kepada si Comel dan juga si Peepee. Begitu juga manusia, bukan ibu atau bapa yang memberi rezeki kepada anaknya, tetapi Allahlah yang telah memberikannya. Bukan saja manusia, malah setiap makhluk yang melata di muka bumi ini telah dijamin rezekinya seperti yang telah dirakamkan dalam al-Quran :


"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang nyata (kepada malaikat-malaikat Yang berkenaan)."

(Surah Hud, ayat 6)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!