Berkawan : Antara Adat dan Ibadat..

Sahabat sebenar bukanlah orang yang pandai
mengampu kekurangan kita

Penulis ada seorang kenalan, namanya Nur (bukan nama sebenar). Dia seperti insan lain, ada kaki tangan dan mulut, lengkap dan sempurna. Namun, tabiat hidupnya menjadikan semua orang menjauhi diri daripadanya.

Mengapa?

Dia seorang pendiam. 
Dia tidak pernah endah dengan apa yang berlaku disekitarnya. 
Dia tak pernah ambil hati dengan ejekan yang dilemparkan.
Dia tak mungkin menghabiskan masa berbual-bual dengan orang lain disekitarnya.

Dan kerana itu, dia terselamat daripada dosa mengumpat dan mencari kesalahan orang lain.
Pendek kata, dunia ini dihabiskan seorang diri, mungkin.

Bertuahnya dia, kerana terselamat daripada dosa mulut yang sememangnya dijuarai oleh kaum wanita, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW.
Bagusnya kalau dapat jadi macam Nur ni.
Tak perlu nak rasa marah, terselamat daripada penyakit hati.


Hidup penuh selamba, walaupun memang nampak gaya orang selfish.

Namun, setelah membaca hadis di bawah, persepsi saya berubah serta merta.

MENGAPA PERLU BERSAHABAT?

Bersahabat, berkawan atau apa saja yang sama maksud dengannya bukan saja untuk memenuhi keperluan badaniah ataupun duniawi, bahkan sebagai tiket untuk mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak.
Perhatikan hadis ini.

"Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain naungan Allah; di antaranya ialah: 
  1. Pemerintah yang adil,
  2. Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada tuhannya,
  3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid,
  4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah yang kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah,
  5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, 
  6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, 
  7. Orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.

(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Mana mungkin orang yang begitu selfish akan tergolong dalam golongan ke empat, kan?

Untuk  menjadi golongan pertama, belum tentu kita berkarisma dan layak untuk menjadi pemimpin. Atau, sekiranya sudah menjadi pemimpin, bolehkah kita menjadi pemimpin yang benar-benar adil sebagaimana khalifah Umar Al-Khattab yang kerap 'mencemar duli' memperhati keperluan dan keadaan rakyatnya?

Begitulah juga halnya dengan golongan lain. Sangat berat.

Dalam konteks lain, kita sebagai orang Islam perlu meyakini bahawa Islam akan menguasai dunia suatu hari nanti. Tetapi kita tidak boleh hanya tunggu dan lihat semata. Langkah kearah itu perlu diusahakan.

Ustaziatul Alam yang beriman kepada Allah ---> Negara-negara Islam yang bekerjasama menjadikan syariat Allah tertegak ---> Negeri yang penduduknya beriman kepada Allah ---> Masyarakat yang bersatu padu dan beriman ---> Baitul Muslim (Keluarga) ---> Individu muslim.

*---> bermaksud "bermula daripada..."

Acuan di atas telahpun dibuktikan keberkesanannya oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda memulakannya daripada bawah dan sedikit. Akhirnya Islam pada satu masa dahulu pernah menguasai dua pertiga dunia.

Dan kita perlu ingat, baginda tidak menjalankan tugas-tugas dakwah seorang diri. Di belakang baginda terdapat para sahabat Radiallahu 'anhum seperti Abu Bakar yang bersabung nyawa ketika hijrah, kebengisan Umar al-Khattab menyebabkan Islam digeruni oleh musuh dan banyak lagi sahabat lain.

Mereka menjalinkan hubungan Ukhuwwah Islamiah dengan mengenepikan segala semangat Assabiah.


SIAPA SAHABAT SEBENARNYA?

Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa, sahabat bukanlah orang yang berada disamping kita ketika kita menempah nama di persada dunia, memperoleh segala kekayaan dan kebijaksaan serta penuh dengan kekuatan ataupun pengaruh.

Tatkala kita susah, ditimpa musibah dan kemiskinan, semuanya lari meninggalkan kita keseorangan. Jika di saat itu ada sesiapa yang sudi berdamping dengan kita, maka itulah sahabat yang sebenar-benarnya.

Dia datang kerana membantu kita.

Dia tidak mengambil kesempatan atas apa yang kita miliki.

Dia ikhlas menjalin ukhuwwah tanpa melihat taraf.

Dia bersahabat kerana perintah ALLAH.

Dia, itulah seorang sahabat yang sebenar-benarnya.

NILAI DAN ADAB DALAM BERSAHABAT

Sebuah hadis ke-35 daripada Imam Ibnu Rajab ini sudah cukup memberi segala jawapan tentang nilai dan adab bersahabat.


"Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya."
(Hadis Riwayat Muslim)

LARANGAN DALAM PERSAHABATAN (BERDASARKAN HADIS)

Berdengki

Ingin menghilangkan nikmat orang yang didengkinya dengan cara menzaliminya dengan kata-kata atau perbuatan. Adapun berdengki untuk perkara yang berkaitan akhirat tidaklah dilarang. Istilahnya disebut sebagai Ghibtah غبطة

Saling Membenci

إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٲوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِى ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِ‌ۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَہُونَ

"Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
(Al-Ma'idah ayat 91)

Memutuskan Hubungan

Menurut Abu 'Ubaid, التدابر bermaksud menjauhkan diri dan tidak ambil peduli. Perhatikan hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud,

"Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan saudaranya selama setahun, perbuatannya itu sama seperti menumpahkan darahnya (membunuhnya)".


Kezaliman

Larangan ini pernah disebut oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis Qudsi diriwayatkan oleh Abu Dzar r.a. yang bermaksud,

"Wahai hamba-hambaKu sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku sendiri. Aku juga menjadikannya haram di kalangan kamu. Maka janganlah kamu saling menzalimi."

Membiarkan saudara muslim tanpa menolongnya

أنصر أخاك ظالما أو مظلوما. قال : يا رسول الله؛ أنصره مظلوما،فكيف أنصره ظالما؟ قال : تمنعه عن الظلم، فذلك نصره إياه

Baginda bersabda : "Tolonglah saudaramu, dalam keadaan dia zalim atau dizalimi." Beliau bertanya, "Wahai Rasulullah, saya akan menolongnya dalam keadaan dia dizalimi. Tetapi bagaimana saya akan menolongnya dalam keadaan dia zalim?" Baginda menjawab : "Kamu menghalangnya daripada terus melakukan kezaliman. Itulah pertolongan kamu kepadanya."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud "zalim" di sini bukanlah hanya merujuk kepada pemerintah yang zalim dan rakus. Zalim pada bahasa bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada haknya.
Sebagai contoh, seorang sahabat kita leka ketika masuknya waktu solat, dia telah zalim dalam penggunaan masanya. Ketika itu, masa perlu digunakan untuk menyembah Allah, tetapi dia tidak melakukannya.

Melakukan segala maksiat dan dosa merupakan perbuatan yang zalim kerana menjuruskan diri kita ke dalam neraka dan murka Allah. Sepatutnya, kita perlu meletakkan diri ke dalam redha Allah dan syurgaNya.


Berbohong

Dalam Musnad al-Imam Ahmad, terdapat sebuah hadis yang menerangkan hal ini,

"Amatlah besar khianat itu jika kamu berbicara kepada saudaramu dengan suatu perkara, dalam keadaan dia mempercayaimu, sedangkan kamu pula berbohong kepadanya."

Adapun dalam situasi bergurau, pembohongan hendaklah sentiasa dielakkan. Sifat berbohong ini sangat dititikberatkan oleh Ulama' kerana termasuk salah satu daripada sifat orang munafik.

Menghina

Perbuatan suka menghina orang lahir daripada sifat sombong sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW,

"Sombong itu ialah menolak kebenaran (kerana angkuh) dan menghina manusia"
(Riwayat Muslim & Imam Ahmad)


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ۬ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُمۡ وَلَا نِسَآءٌ۬ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُنَّ‌ۖ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka."
(Al-Hujurat ayat 11)

HIKMAT PERSAUDARAAN MUKMIN

مثل المؤمنين في توادّهم وتراحمهم وتعاطفهم كمثل الجسد الواحد إذا اشتكى منه عضوٌ تداعى له سائر الجسد بالحمى والسهر

"Perumpamaan orang-orang mukmin dalam saling berkasih sayang, rahmat merahmati dan berlemah lembut antara mereka adalah seumpama satu badan. Apabila satu anggota itu sakit, seluruh badan turut sakit dengan demam dan berjaga malam."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. baginda bersabda,

"Seorang mukmin itu cermin kepada seorang mukmin yang lain. Seseorang mukmin itu saudara kepada seseorang mukmin yang lain.Dia akan menghalang kerosakkan dan kerugian daripada (menimpa) saudaranya, serta mempertahankannya di belakangnya (semasa ketiadaannya)."
(Hadis Riwayat Bukhari)



Akhir kata, izinkan saya meminjam kata-kata Yahya bin Muaz arRazi,

Jika kamu tidak dapat memberi manfaat kepadanya, janganlah pula kamu memudaratkannya.
Jika kamu tidak dapat mengembirakannya, janganlah pula kamu menyedihkannya.
Jika kamu tidak dapat memujiya, janganlah pula kamu mencelanya.

3 ulasan:

  1. nk minx kbenaran ltak link blog ni kat club Kawan tetap mesra di facebook. :)

    BalasPadam
  2. salam sdri yg budiman,
    alhamdulillah, syukran atas ingatan yg amat bermanfaat ini. moga mampu diaplikasikan semua org yg mahu menjernihkan hati mereka, Insya Allah amin 99x :)
    - Ain Lam Mim -

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!

Link Within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...