Sedekah : Mengapa Perlu Memilih Penerimanya?

Sumber : http://darialmarikartun.blogspot.com


Seperti biasa, tatkala nirmala fajar sedang berbisik, saya akan bergegas ke sekolah sejurus selesai mendirikan fardhu Subuh. Berkejar untuk menaiki bas sekolah yang biasanya tidak akan menunggu andainya terlambat dek Bullet Train di Jepun (melampau agaknya perbandingan ini).

Ketika sedang lazat menikmati udara nyaman nan segar bugarlah dek kepala dan ingatan yang bercelaru kian tersusun rapi semula. Begitulah indahnya kurniaan Allah SWT dengan kejadian siang dan malam. Maka, amat rugilah bagi mereka yang memenuhkan masa itu dengan tidur yang lena seumur hidup.

Namun begitu, nikmat udara pagi itu bagai tersentap ketika bas sekolah tiba. Pemandunya seorang penghisap rokok. Saya benci penghisap rokok!

Penghisap rokok bukan saja telah merosakkan dirinya sendiri diawal pagi lagi, malah telahpun mengganggu kehidupan orang lain di pagi hari juga. Saya rasa tidak keterlaluan untuk saya label perokok sebagai orang jahat dan kita perlu sentiasa berwaspada dengan golongan ini. Mana tidaknya, mereka sanggup merosakkan diri sendiri, apatah lagi orang lain. Ada diorang kesah?

Setelah melalui situasi itu saban tahun lamanya, terdetik juga rasa meluat dihati.
Benci.
Menyampah.



LAMBAT BAYAR TAMBANG!

Setiap tahun, tambang bas pasti meningkat.
Kualiti bas pula semakin menurun. Kerusi bongkok tiga, aircond berhabuk, langsirnya pula macam boleh buat cop atas kain batik.
Kalau terlena dan tersandar pada langsir, alamatnya lekatlah corak bertompok hitam yang tidak mungkin hilang walaupun dibasuh berulang kali.

Jadi, sebab itulah, penulis suka memilih hujung bulan untuk membayar tambang bas. Kononnya sebagai denda nak meng'ajar'  sikit pemandu bas yang tak puas-puas hisap batang racun. Ramai lagi yang buat macam tu. Tapi tujuan orang lain buat seperti itu tidak diketahui.

Tapi, ibu penulis selalu bertanya, "Pak cik dah bagi kad yuran bulan ni?"

"Daaah."

Wang dihulur oleh ibu dan saya menyimpannya. Tetap juga saya bayar dihujung bulan.

Kadang-kadang, ibu penulis bertanya kenapa saya tidak mahu membayarnya lantas saya segera menjawab, "Geram, mak. Pak cik suka isap rokok pagi-pagi."

"Tak apalah, niat sedekah, dapat pahala.", jawapan yang menoktahkan rungutan saya.

SEDEKAH?

Perbincangan tidak penting ini kadang kala terbawa-bawa hingga ke sekolah, di dalam kelas. Ketika berbual-bual kosong, secara tidak sengaja, topik 'tambang mahal' menjadi hangat.

Puas mendengar rungutan sama daripada rakan sekelas, saya yang pada awalnya sependapat dengannya kini mengambil jalan positif seperti yang dikatakan oleh ibu. Saya menuturkan apa yang pernah ibu sampaikan dahulu kepadanya.

"Nak bagi sedekah dekat orang cina yang suka main judi tu?", pantas, jawapannya yang bernada sinis amat memeranjatkan saya.

Terdiam saya dibuatnya. Entah benar, entah tidak.

KONSEP SEDEKAH

Sedekah adalah pemberian harta secara zahir,
tetapi kita 'mengumpul' harta sebenarnya

Menurut buku Teks Syariah Islamiah, sedekah merupakan pemberian sesuatu yang berharga kepada orang yang memerlukan. Hibah (hadiah) adalah untuk memberi penghargaan. 'Athiyyah adalah pemberian ketika menziarahi orang sakit.

Setelah sekian lama dialog di atas berlaku, hari ini, ketika saya membaca buku 'Tundukkan Hati' karya Tok Guru Nik Aziz, jawapan itu saya peroleh.

KISAH SEDEKAH YANG MAKBUL

"Dahulu ada seorang lelaki yang telah bernazar, 'Aku akan bersedekahkan suatu sedekah.'.", sabda baginda SAW memulakan penceritaan.

Kemudian dia keluar dari rumah membawa sesuatu dan menyerahkannya ke tangan seorang pencuri. Melihatkan hal itu, orang-orang sekelilingnya mencemuh perbuatan itu. Dengan sinis, mereka berkata kepadanya, 'Malam ini engkau bersedekah kepada seorang pencuri.'

Orang itu kemudiannya berkata dengan tenang, " Ya Allah, Alhamdulillah kerana aku mampu bersedekah walaupun kepada seorang pencuri. Aku akan bersedekah lagi dengan sedekah yang lain."


Kemudian dia keluar dari rumah membawa sesuatu dan menyerahkannya ke tangan seorang pelacur. Melihatkan hal itu, orang-orang sekelilingnya mencemuh perbuatan itu. Dengan sinis, mereka berkata kepadanya, 'Malam ini engkau bersedekah kepada seorang pelacur.'

Orang itu kemudiannya berkata dengan tenang, " Ya Allah, Alhamdulillah kerana aku mampu bersedekah walaupun kepada seorang pelacur. Aku akan bersedekah lagi dengan sedekah yang lain."

Kemudian dia keluar dari rumah membawa sesuatu dan menyerahkannya ke tangan seorang yang kaya. Melihatkan hal itu, orang-orang sekelilingnya mencemuh perbuatan itu. Dengan sinis, mereka berkata kepadanya, 'Malam ini engkau bersedekah kepada seorang yang kaya.

Orang itu kemudiannya berkata dengan tenang, " Ya Allah, Alhamdulillah kerana aku mampu bersedekah
kepada pencuri, pelacur dan seorang yang kaya."

Pada malam itu, lelaki itu bermimpi mendengar suara menyatakan,

"Adapun sedekahmu itu kepada si pencuri, mudah-mudahan dengan sedekahmu itu akan menjauhkan dirinya daripada perbuatan mencuri."

"Manakala sedekahmu itu kepada si pelacur, mudah-mudahan dengan sedekahmu itu akan menjauhkan dirinya daripada perbuatan zina."

"Begitu juga sedekahmu itu kepada orang kaya, mudah-mudahan orang itu mendapat pengajaran daripada sedekahmu, hingga dia mahu menafkahkan harta yang dianugerahkan Allah SWT kepadanya kepada orang lain."

Kisah ini berdasarkan Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

SUKA SIBUK DENGAN HARTA ORANG LAIN

Penyakit mazmumah iaitu kedekut, menjadikan seseorang itu suka menguruskan harta orang lain berbanding hartanya sendiri.
Begini, sesuatu harta yang di infaqkan ke jalan Allah SWT sudah dijamin kitalah pemiliknya.
Kita menabung di bank yang kekal abadi.

Namun, harta dalam kocek kita bukanlah harta kita secara mutlak. Harta itu ada bahagian orang lain. Lebih-lebih lagi kalau meninggal dunia, langsung tidak menjadi hak kita, tetapi waris kita pula yang mengambilnya.

Sudah berapa banyak harta kita yang mutlak sebenarnya?

1 ulasan:

  1. salam sdri yg mulia,
    alhamdulillah, syukran jazilan kaseeroh atas info yg amat bermanfaat ini. moga kita semua mahu mengambil iktibar darinya, Insya Allah. buat para perokok, kurangilah jumlah rokokmu & tambahkanlah ruku'mu sehari2. jika tidak kisah dgn diri sendiri, sayangilah org yg menyayangi kita.
    keep it up sis!
    - Ain Lam Mim -

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!