Pesakit 'bahasa' parah ketika berceloteh di dalam internet |
"Actlly, sy nk kngsi pnglmn sy ktka prgi hliday bru-bru ni. Moral of stry ni mnjdkn kta lbih ptient dn ykn dgn wisdom from god."
"Klu korg xcya, ak niri yg bca bk ysuf qrdhawi dn dgr crmh dy."Lambakan petikan seperti ayat di atas seolah-olah menguasai dan membanjiri di laman-laman blog peribadi mahupun komuniti. Gaya penulisan seperti itu bukan saja menyukarkan pembaca untuk memahaminya, malah menggambarkan personaliti penulis itu sendiri. Andainya saya terbaca di mana-mana saja laman blog yang menulis seperti itu, gambaran pertama saya ialah penulis seorang yang tidak banyak membaca.
Masakan tidak, bahasa seperti itu boleh mendatangkan salah faham terhadap maklumat yang hendak disampaikan, walaupun isi yang hendak diutarakan sarat dengan himpunan hikmah dan perkongsian pengalaman yang berguna.
Bahasa yang carca merba digunakan antara campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris menunjukkan betapa tidak matangnya seseorang penulis itu mempersembahkan ideanya.
Namun, pernah juga saya mendengar, ada yang berpendapat bahawa penulisan seperti petikan di atas merupakan karya yang original, 'from bottom of the heart'!
Jika anda membaca perkataan seperti itu satu hingga dua perenggan, mungkin tidak mengapa, tetapi cuba bayangkan hampir keseluruhan bahan bacaan dalam kehidupan anda dihidangkan dengan tulisan yang tiada nilai komersial itu!
Perosak bahasa semakin berleluasa! |
ARGHH, SUKA HATILAH NI BLOG PERIBADI!
Ya, benar. Suka hatilah.
Tetapi, anda perlu ingat bahawa menulis di blog perlu ada objektif dan tujuan. Tanpa tujuan, segala perbuatan menjadi sia-sia. Rugi.
Bahasa Melayu menjadi rosak dek ditindas oleh penuturnya sendiri, bermula dari laman blog peribadi. Kemudian, penyakit 'perosak bahasa' ini akhirnya akan melarat, dan tidak mustahil selama-lamanya sesorang penulis itu akan terus menulis sedemikian rupa.
Penulisan di laman blog yang bercorak diari dan pengalaman hidup semata, menjadikan blog itu penuh dengan sampah sarap!
Cuba anda bayangkan, setiap minggu anda luangkan masa untuk menulis blog dan mencoretkan perkara yang sia-sia. Bukan saja tiada manfaat terhadap diri sendiri dalam bahan tersebut, bahkan membuang masa!
Apabila mati anak adam, maka terputuslah amalannya kecuali 3: 1-Sedekah Jariah, 2-Ilmu yang bermanfaat, 3-Anak soleh yang mendoakan kepadanya. |
Maka, saya cadangkan, berhentilah daripada menulis perkara-perkara yang tidak penting, tiada hikmah, tiada ilmu dan tidak bermanfaat.
Jika anda membaca buku-buku ilmiah, cuba jadikan buku-buku itu sebagai bahannya mengikut gaya bahasa anda yang tersendiri, tanpa mengenepikan tatasusila dan peraturan berbahasa.
Kalau tak ada orang baca sekalipun, bahan-bahan itu akan sentiasa kekal dalam simpanan anda, dan anda jugalah yang akan mengulangi pembacaan tersebut berulangkali. Ilmu yang diperoleh ketika menelaah buku-buku mungkin boleh hilang dan lupus daripada minda, sekiranya tiada catatan dan pembaharuan yang dilakukan dari masa ke masa.
Maka, tulislah ilmu dan hikmah. Tulisan anda amat berharga buat diri anda sendiri. Bukan orang lain.
Andainya tulisan anda turut dibaca oleh orang lain, maka, pahala memperingatkan mengalir kepada penulisnya!
PENGALAMAN?
Ketika mula-mula berjinak dengan dunia blog, saya banyak membaca blog rakan-rakan, ustaz-ustaz ataupun para ustazah yang menguar-uarkan alamat URL mereka di buku-buku, dalam ceramah dsb. Namun, saya dapat rasakan 'kelazatan' membaca isi penulisan pada laman blog tertentu sahaja. Setelah terbaca satu catatan di laman Ustaz Hasrizal, dapatlah saya mengesan punca mengapa ada blog yang saya mampu membaca hingga berjam-jam, dan ada yang satu catatan pun tidak mampu dihabiskan (tak lalu).
Selain itu, penggunaan bahasa yang rosak akan menyebabkan kita terbawa-bawa dalam percakapan harian, menjadikan situasi salah faham seperti yang pernah saya coretkan di Tak paham bahasa!
salam saudari,
BalasPadamalhamdulillah, syukran jazilan atas ingatan yg amat bermanfaat ini. moga kita semua mampu memelihara Bahasa Melayu, Insya Allah. maaf, sekadar pembetulan: sekiranya tiada catatan dan pembaharuan yang dilakukan dari [masa ke masa]: sepatutnya semasa ke semasa. sila rujuk DBP. teruskan perjuangan demiNya :) -Ain Lam Mim-