Gawat Benar...


"Akak tak setuju dengan tabiat korang sekarang ni. Makin menjadi-jadi. Kalau akak tak suruh, korang tak buat," kata kak Rosnah, warden asrama banat kami.

Semua menundukkan kepala. Bingung.

"Bila korang gelak tuh. Habis semua satu kampung dengar. Korang tak malu? Macam-macam yang orang kampung kata kat korang," sambungnya lagi.

"Alaaaa...apa nak heran. Biaq la apa orang nak kata. Kita ada mulut, suka hati la nak buat apa pun!" kata kak Hani (bukan nama sebenar), seorang senior yang cuba memperlecehkan teguran warden.

"Kamu diam, Hani!" marah kak Ros sambil meninggikan suara.

"Suka hatilah. Ni mulut aku. Apa aku nak cakap, ikut sukalah..," kata kak Hani, semakin biadap.

Suasana tegang. Dua suara yang berbalas ketika itu meningkatkan rembesan hormon adrenaline bagi sesiapa yang menyaksikannya. Menggeletar tangan dan kaki dibuatnya.


"Kamu diam, Hani!!!" bentak kak Ros yang kini semakin kuat nadanya.

"Awat pulak aku nak diam? Ni kan mulut aku. Suka hatilah," kak Hani yang mungkin hatinya sudah sekeras batu itu, tidak mungkin termakan dengan nasihat secara keras.

SOALNYA AKHLAK

Saya ketika itu, hampir bergenang air mata. Celuparnya mulut si senior yang sanggup berdebat secara terus dengan warden di hadapan junior secara kurang ajar. Malah, lebih menakutkan, si senior ini seolah-olah mempunyai 'pengaruh' yang besar terhadap kami, adik-adik.

Rosak.

Senior yang berpotensi mempengaruhi ramai adik-adik yang sememangnya masih dalam pencarian identiti diri mensia-siakan peluang itu.

Sebuah sekolah agama yang tersergam indah di dalam kampung, itulah yang menjadi harapan ummah Islam untuk menagih kegemilangan Islam suatu hari nanti. Namun, kalau dilihat pada suasana di sebuah asrama banat itu, sungguh mengecewakan. Tiada harapanlah kalau soal akhlak pun tak lepas!

MUSLIM DARI SUDUT AKHLAK : MEMELIHARA LIDAH



Ustaz Syeikh Fathi Yakan menyebut dalam bukunya Apa Erti Saya Menganut Islam, berkenaan dengan lidah supaya memelihara dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan kosong, mengumpat, mengeji, dan mengadu domba.

Imam An-Nawawi juga ada menyatakan:

"Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka, mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri.


Hal ini kerana, percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang."

Kata-kata Imam Nawawi ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW,

 "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, siapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya."

(Hadis Riwayat Baihaqi)

Gerun juga apabila membaca ancaman dalam hadis Nabi Muhammad SAW berkenaan dengan 'mulut lazer yang tiada insuran' :

 "Bukanlah ia seorang mu'min (jika) ia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji."

(Hadis Riwayat At-Tarmizi)


KESEDARAN ITU MILIK ALLAH

Keadaan yang saya gambarkan dalam dialog di atas bukanlah menggambarkan keseluruhan asrama banat di Sekolah Menengah Al-Islah. Tidak sama sekali.

Hanyalah si 'kak Hani' itu yang bersikap demikian.

Lebih menyedihkan, kak Hani itu dahulunya sempat merasai kenikmatan bersekolah agama sejak di sekolah rendah lagi. Ketika darjah satu lagi, beliau sudah dapat mempelajari apa itu Seerah, Akhlak, Aqidah, Tajwid dan pelbagai lagi subjek deeniyah. Beliau juga sudah dapat merasai suasana Islamik sejak di awal kehidupan lagi.

Bukan satu kisah yang kita dengar, sejak dari darjah satu hingga ke tingkatan lima sekolah agama, akhirnya menjadi 'hantu'. Di harap oleh ibu bapanya menjadi manusia, akhirnya menjadi 'kutu'.

Malah, ada yang lebih tragis, sanggup mengucapkan kufur dan meninggalkan Islam!

Apa nak kata lagi. Siapakah yang bersalah?

Ibu bapa sudah mengorbankan wang ringgit untuk menghantar di sekolah agama. Guru-guru atau para muallimin pula sudah sedia mendidik dan mengasuh ajaran agama secukupnya. Suasana yang cukup solehah sudah ada di sekitarnya.

Boleh dikatakan segala anasir luar tidak ada.

Bandingkanlah apa yang berlaku ini dengan peristiwa dakwah Nabi Muhammad SAW kepada datuknya. Firman Allah SWT :

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam)."

(Surah al-Qasas, ayat 56)


JANGAN SIA-SIAKANNYA!

Apabila Allah SWT telah memilih kita sebagai orang yang hendak diberi petunjuk, mengapa kita tidak memantapkan hidayah itu dan terus berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan?

Kenapakah kita tidak sujud sebagai tanda syukur kepada Allah?

Kenapa kita tidak memohon kepada Allah agar diberi tingkatan hidayah yang lebih tinggi?

Mengapa tiada usaha yang gigih untuk berpegang teguh dengan syariat Allah?




Sesungguhnya, hidayah TAUFEQ itu tidak datang bergolek!

"Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)."

(Surah Al-Imran, ayat 101)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!