Peristiwa Di Sebalik Kelahiran Bersejarah

Ya Allah, Peliharalah agama Islam sebagaimana Engkau memelihara kaabah daripada serangan tentera Abrahah

"Mengapa mereka tidak mahu menyembah kota ini?" Abrahah naik berang setelah kota 'ibadah' palsu di Yaman yang dibinanya masih tidak dapat menandingi kaabah.

"Wahai tenteraku! Bersiap sedialah, kita akan bertolak ke Makkah untuk meruntuhkan kaabah," umum Abrahah dengan angkuh.

Berita tentang keinginan Abrahah menjadi gimik kepada masyarakat Arab. Mereka benar-benar bingung, andainya kaabah diruntuhkan.

"Wahai Abrahah, apa pendapatmu kalau kita berunding terlebih dahulu?" cadang seorang lelaki tokoh Yaman bagi menyekat kemaraan tentera bergajah itu.

"Ah..peduli apa aku! Tiada siapa yang berhak menghalang tindakanku," kata Abrahah lalu menawan lelaki itu.

KISAH TAHUN GAJAH (571M)

Perjalanan diteruskan. Apabila Abrahah berada di antara Thaif dan Makkah, dia mengutuskan seorang general untuk merampas harta benda dari orang-orang Quraisy dan Tihamah. Hasilnya, mereka memperoleh 200 ekor untuk milik tokoh utama utama Quraisy, Abdul Mutallib bin Hasyim.

"Aku bukan hendak memerangi kamu, tetapi, aku hanya ingin menghancurkan kaabah. Sekiranya kamu tidak membenarkan, aku tidak bertanggungjawab andainya pertumpahan darah berlaku," Abrahah mengeluarkan kenyataan kepada wakil kaum Quraisy, Kinanah, dan Hadzil.

'Kita tak ada kekuatan', bisik hati wakil kaum di Makkah itu.

"Demi Allah, kami tidak menghendaki perang dan tidak bermaksud untuk menghalang rajamu dengan kekuatan. Ini rumah Allah, dan bait kekasihnya Ibrahim a.s. Jika Allah menghalang raja itu, maka itu hakNya dan rumahNya dihormati. Apabila Allah membiarkannya, kami tiada kuasa menghalangnya," akur Abdul Mutallib.

"Jadi, apa tujuan kamu datang menemuiku?" soal Abrahah mendapatkan kepastian.

"Aku inginkan kembali 200 ekor untaku yang telah dirampas," balas Abdul Mutallib.

"Apakah hanya kerana itu? Mengapa kamu tidak membicarakan soal kaabah yang menjadi tunjang agama nenek moyang kamu?" Abrahah menzahirkan ketidakpuasan hatinya itu.

"Aku ini hanya penjaga unta. Dan Rumah ini ada penjaganya yang tersendiri. Dialah yang akan mempertahankannya," Abdul Mutallib menyusun kata.

"Tidak seorang pun yang akan menentangku, baik kamu mahupun penjaga yang engkau katakan itu," jawab Abrahah sambil memulangkan unta milik Abdul Mutallib.

Sepertimana yang dijelaskan melalui firman Allah, tentera Abrahah bukan sahaja gagal meruntuhkan kaabah, malah mereka menjadi binasa.



"Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan; Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat."

(Surah Al-Fiil, ayat 1-5)

KEKALUTAN MASYARAKAT ARAB

 "Apa?!!!!!" pekik seorang lelaki berbangsa Arab.

Suatu pagi yang hening, isterinya telah melahirkan seorang bayi perempuan setelah sarat mengandung selama sembilan bulan. Tiada ungkapan yang dapat diucapkan, hanyalah titisan air mata menrawat duka. Sedih kerana penderitaannya selama itu disambut keras oleh sang suami.

"Tanam bayi itu!" arah lelaki itu lagi.

Tangisan bayi perempuan yang suci tanpa dosa itu tidak diendahkan. Naluri kemanusiaan sang bapa hilang serta merta, mukanya merah padam kerana terpaksa menanggung malu menimang cahaya mata yang tidak diingini jantinanya, seorang perempuan.

Oleh kerana kedukaan, lelaki itu segera mendapatkan minuman yang menjadi kebiasaan masyarakatnya. Dia meneguk arak jenis kurma itu. Selepas itu, kewarasan akalnya tiada lagi. Dia sedang berkhayal. Dalam keadaan mabuk, lelaki itu terhuyung hayang memperkosa beberapa anak dara yang masih muda. Mereka terpaksa, kerana andainya menolak, nyawalah yang menjadi taruhan.

Masyarakat Arab ketika itu hidup dalam kejahilan. Mereka meninggalkan agama nabi Ibrahim, Hanif. Golongan wanita menjadi tempat untuk melampiaskan nafsu buas mereka, manakala arak pula menjadi santapan wajib setiap hari. Judi, pertaruhan dan rompakan menjadi satu kemestian dalam rutin mereka. Manusia yang tidak berdosa dibunuh sesuka hati.

Namun, dicelah-celah kekalutan masyarakat Arab Jahiliah itu, kelahiran utusan Allah SWT bakal mengubah dunia.

KELAHIRAN MEMBAWA RAHMAT

Setelah berkahwin, Abdullah pergi ke Syam untuk berniaga. Usia kandungan sudah mencecah dua bulan. Namun begitu, Allah SWT telah menjemput bapa baginda ketika dalam perjalanan pulang ke Madinah dan dikebumikan di perkampungan Bani Najjar.

Pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah, bersamaan 20 April 571M, lahirlah utusan Allah SWT yang ditunggu-tunggu untuk membimbing manusia ke arah kebenaran. Kelahiran baginda menjadi petanda zaman Jahiliah bakal melabuhkan tirainya.

Baginda dilahirkan di rumah Abu Talib, berbidankan ibu Abdul Rahman bin 'Auf iaitu As-Syifa'. Berita gembira itu dikhabarkan kepada datuk baginda, lalu Abdul Mutallib menamankan baginda dengan nama Muhammad. Selepas itu, baginda diasuh oleh Ummu Aiman*, manakala selepas itu baginda disusukan oleh Thuwaibah.

Ibu susu baginda akhirnya berpindah kepada Halimah bin Abu Zuaib As-Sa'diah. Sepanjang baginda berada di rumah itu, pelbagai perubahan yang berlaku terhadap keluarga Halimah. Unta yang kurus menjadi gemuk, susu yang sedikit meningkat berganda. Tanam-tanaman pula menjadi subur..



*Nama sebenarnya ialah Barakah binti Tha'labah bin 'Amru. Beliau dikahwini oleh 'Ubaid bin Zaid bin 'Amru dan melahirkan Aiman bin 'Ubaid. Aiman adalah di antara tentera muslimin yang tetap berperang di dalam perang Hunain sehingga mati syahid. Selepas suami Barakah meninggal dunia, beliau dikahwini oleh Zaid bin Harithah dan melahirkan Usamah bin Zaid.

Rujukan : Tafsir fi Zhilal al-Quran, Sayyid Qutb (Dewan Pustaka Fajar, 1986) dan Kitab Sirah Rasulullah SAW, Muhammad bin 'Afifi al-Bajuri-Syeikh al-Hudhori (Pustaka Salam, 1998)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!