Pelajaran Kisah Memandu



Alamak.

Kali kedua kereta PEV 5767 mati di tengah trek Pusat Memandu Mutiara. Enjin mati tidak dapat dihidupkan. Bukan enjin mati kerana clutch diangkat terlalu laju, tetapi kehabisan petrol. Sudah. Kereta yang mempamerkan plat L di trek sudah beratur panjang di belakang kereta saya. Dalam empat hingga lima buah kereta.

Saya mengisyaratkan supaya mereka berlalu terlebih dahulu. Nampaknya semua pemandu L sangat berhemah memandangkan mereka sanggup menunggu sehingga 10 minit sebelum enjin berjaya dihidupkan.

"Kenapa ni, dik?" kak Wi membuka pintu kereta belakang kerana saya telah menyebabkan blok ditengah jalan.

"Kereta tak leh stat lah mak cik," saya menarik nafas lega kerana tak perlu bersusah payah menelefonnya seperti kejadian pertama kali sebelum ini kerana Kak Wi membawa pelajar lain di atas jalan raya.

"Ok. Tarik tombol minyak, mak cik nak isi," arahan Kak Wi saya dengar, tetapi tombolnya tidak saya temui. Tombol bonet kereta pula saya tarik, kerana ianya berhampiran dengan tombol minyak petrol.


BERTUKAR PEMANDU


Setelah semuanya selesai, saya meneruskan pemanduan di litar itu sekali lagi. Mendaki bukit, memasuki side parking dan pusingan tiga penjuru. Pemandu bertukar kerana saya keletihan. Hampir dua jam saya berada di dalam kereta tanpa henti.



Saya ke ruang menunggu.

Sesekali hati saya terasa geli melihat kereta yang saya naiki tadi terbuka bonet keretanya. Pemandunya tidak sedar dengan selamba memandu tanpa menghiraukan kekosongan dinding belakang kereta yang selari dengan langit.

Boleh saja saya tergelak hingga tergolek-golek kerana menyaksikannya lebih daripada 5 minit!

Apabila saya terfikir bahawa punca kejadian itu berlaku kerana kecuaian saya yang tidak menutup kembali bonet setelah menarik tombolnya. Mujur tidak berlaku ketika saya memandu.

BELAJAR DARI MESEJ INI

Pelajaran hari ini yang saya dapat ialah meletakkan diri dalam kasut orang lain. Usahlah terlalu mentertawakan orang lain yang melakukan kesilapan, kerana boleh jadi dia akan lebih baik daripada apa yang kita sangka di masa akan datang.



Jangan sesekali memandang rendah kepada sesiapa sekalipun hatta kepada mak cik tukang sapu di tengah jalan. Mungkin di dunia kita pandang rendah terhadapnya, tetapi akhirat nanti, entah-entah kita tengok dia tergolong dalam golongan muqarrabun, mungkin kerana keikhlasan hatinya bekerja tanpa sebarang rasa riya'. Sedangkan kita yang berpelajaran tinggi penuh dengan sifat riya', padahal takabbur itu pakaian Allah. Sesiapa yang ambik pakaian Allah, tentulah akan dimurkai-Nya.

Dan, mungkin kerana kecuaian kita akan menyebabkan orang lain yang menanggung akibatnya. Menanggung malu, menanggung kesusahan dan kerugian. Semasa menyaksikan kelemahan orang lain, kita kadang-kadang terlupa bahawa kelemahan itu sebenarnya berpunca daripada diri kita sendiri.

Misalnya, apabila kita melihat kelalaian sahabat kita yang suka menayangkan foto-foto tidak menutup aurat, adakah kita sudah cuba menegurnya? Atau selama ini kita hanya berdiam diri dan menggunakan teknik pengecahan maksiat yang dikatakan selemah-lemah iman?


Daripada Abu Said Al-Khudri r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW berkata : "Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu cegahlah dengan lidah, jika tidak mampu cegahlah dengan hati, itulah selemah-lemah iman."

(Hadis Riwayat Muslim)

Ayuh!

Jangan biarkan imanmu selemah-lemahnya kerana tidak mencegah perbuatan maksiat yang berlaku di hadapan mata untuk selama-lamanya. Sekali sekala, gunakanlah kaedah lidah dan tangan. Walaupun teguran itu secara berhikmah (rujuk huraian : tentang nasihat) pasti akan ada yang terasa hati dengan kita. Namun, biarlah.

Apa guna kita bersahabat andai hanya untuk menjaga kepentingan peribadi yang sementara di dunia.

3 ulasan:

  1. Bersahabat itu bukanlah untuk menjaga kepentingan dunia..

    Ia sesuatu yang lebih dari dunia sahaja..

    Tak gitu wahai adik?

    BalasPadam
  2. salam saudari yg mulia,
    alhamdulillah, syukran & nice n3... :)
    - Ain Lam Mim -

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!