Nasihat umpama baja. Tanpa baja ini, layulah rohani
"Badrul, berapa kali cikgu nak cakap? Kamu tu sudahlah tak bijak, malas pula," seorang guru meletup setelah menyemak kerja sekolah yang diberinya tidak disiapkan.
Badrul kehilangan kata-kata. Dia diam membisu.
"Bukan apa, cikgu sayang kamu. Cikgu tak nak kamu warisi kepapaan keluarga kamu," sambung leteran seorang guru di hadapan mata 30 orang rakan-rakan sekelas menjadi saksi.
Badrul tertunduk. Malu menguasai dirinya.
KONSEP TEGURAN
Kenapa saya menulis "leteran", tetapi bukan "nasihat"?
Apa perasaan ketika itu, andai anda seorang Badrul?
Malu. Terasa maruah tercalar. Itu semestinya sifat semulajadi seorang manusia.
Perbuatan menegur orang seperti itu bukan caranya. Cara memalukan orang yang melakukan kesalahan. Memang itu bagus supaya di ambil pengajaran agar tidak berulang lagi perkara yang sama.
Tetapi, cara menengking dan memperkatakan sesuatu kelemahan orang supaya diperbaiki adalah tidak di kira nasihat sekiranya di pertontonkan kepada umum.
Itu mencela namanya.
Satu iktibar yang perlu di contohi kita pada hari ini daripada perbuatan ulama' salaf.
Ulama' salaf sendiri apabila menasihati seseorang, mereka menasihatinya secara sembunyi. Sehingga sebahagian mereka berkata:
"Sesiapa yang menasihati saudaranya secara bersendirian, perbuatannya itu adalah nasihat. Sementara sesiapa yang menasihati saudaranya dihadapan manusia, sesungguhnya dia telah mencelanya."
AGAMA ITU NASIHAT
Hadis ke-7 dalam Himpunan Ilmu dan Hikmah tulisan Ibnu Rajab Hanbali, ringkas.
Tapi membawa makna yang sangat besar, padat dan bermakna sekali. Ianya berkaitan dengan nasihat.
Terjemahan matan hadith tersebut seperti berikut:
"Diriwayatkan daripada Tamim ad-Dari r. a. bahawa nabi Muhammad SAW bersabda : 'Agama adalah nasihat'. Baginda mengulanginya sebanyak 3 kali. Kami pun bertanya : 'Untuk siapakah wahai Rasulullah?' Jawab baginda : 'Untuk ALLAH, KitabNya, RasulNya, pemerintah-pemerintah orang Islam dan orang awam Islam."
(Hadis Riwayat Muslim)
Kedudukan hadis ini menurut Muhammad bin al-Aslam ath-Thusi ialah satu perempat daripada agama. Menurut Abu Daud pula, hadis ini menjadi salah satu paksi ilmu fiqh.
Tidak salah lagi, hadis ini mempunyai signifikannya yang tersendiri. Bukan lafaz ringkas yang tiada makna semata-mata.
Bagi yang tidak pernah mendengar hadis ini tentu berasa hairan.
"Mengapa nasihat adalah untuk Allah?"
"Adakah Rasulullah juga memerlukan nasihat?"
"Siapa pula yang layak memberi nasihat pada kitabNya?"
"Bagaimana pula hendak menasihati pemerintah Islam?"
Bagi yang tidak pernah mendengar hadis ini, mungkin itulah antara persoalan yang timbul usai sahaja membaca matan hadis ini.
KALIMAH 'NASIHAT'
Nasihat pada umumnya bererti memberi panduan dan peringatan kepada orang lain. Bukan itu sahaja.
Bahkan lebih lagi.
Lebih daripada itu.
NA-SI-HAT pada bahasanya mempunyai maksud yang luas. Seluas-luasnya.
Menurut al-Khoththobi beliau berpendapat tiada perkataan lain yang dapat menggantikannya. Nasihat itu sendiri merangkumi maksud ikhlas, ketaatan, tegur-menegur dan perintah-perintah Islam yang lain.
Perkataan 'nasihat' pada hadis ini bukan seperti makna dalam bahasa Melayu.
Contoh maksud 'nasihat' yang merangkumi ikhlas dan taat adalah termaktub dalam kitabNya:
"Orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang hendak dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak berperang), apabila mereka nasihat untuk Allah dan RasulNya (dengan taat kepada Allah dan RasulNya serta tidak melemahkan semangat orang lain)."
(Surah at-Taubah, ayat 91)
Jelas, pada ayat ini memberi maksud kepada kita bahawa orang yang tak mampu berjihad tak berdosa.
Cuma, syaratnya ialah mereka memberi nasihat kepada Allah dan RasulNya.
Di sinilah nasihat yang membawa maksud ikhlas dan taat.
Teguran hendaklah secara berhikmah. Dari hati ke hati. Barulah berkesan!
BENTUK NASIHAT
Pemimpin Umat Islam
Bentuk nasihat bagi umat Islam adalah seperti mana yang biasa kita faham (memberi peringatan dan tunjuk ajar). Seperti mana melalui pencegahan mudharat dan perkara yang dibenci :
1) Mengutamakan golongan fakir
2) Mengajar golongan jahil
3) Mengembalikan orang sesat kepada kebenaran dengan cara yang lembut
4) Bersikap lemah lembut ketika menyuruh kebaikan dan mencegah yang mungkar
Allah, Kitab dan Rasul
Bentuk nasihat yang khusus kepada para ulama' ialah:
1) Menolak segala hawa nafsu yang menyesatkan manusia dengan menggunakan dalil daripada al-Quran dan sunnah;
2) Menolak pandangan lemah hasil kesilapan para ulama', serta menjelaskan dalil al-Quran dan sunnah yang
menolak pandangan-pandangan itu;
3) Menjelaskan hadis nabi yang sahih dan tak sahih dengan cara memastikan keadaan para perawi serta menentukan perawi yang diterima riwayatnya dan yang tidak di terima. Begitu juga dengan cara menjelaskan kesilapan perawi tsiqoh yang diterima dalam riwayatnya.
Umat Islam
Menasihati orang yang meminta nasihat. Dalam sebuah hadis sahih nabi:
"Sesungguhnya antara hak-hak seorang muslim keatas muslim yang lain ialah menasihatnya (jujur dan berbuat baik kepadanya) apabila dia tiada bersama."
CARA NASIHAT
Al-Quran
1) Sangat mengasihinya dan mengagungkan kedudukannya kerana ia kata-kata Allah. Maksud mengagungkan kat sini bukan letak tinggi-tinggi dalam peti kaca ataupun biar kat atas almari sampai berdebu. Itu bukan mengagungkan, sebaliknya menguburkannya, menghancurkannya.
Mengagungkan bermaksud mengamalkan hukum hakam yang terdapat dalamnya.
Beramal dengannya.
2) Sangat ingin memahami kandungannya. Setidak-tidaknya al-Quran dibaca terjemahannya sekali-sekala. Lebih baik sekiranya kita membaca huraian tafsirnya. Barulah lebih teruja menikmati keindahan dan kemukjizatan al-Quran.
Tambah-tambah pula kita bukan orang arab.
Kita golongan mawali.
Asbab nuzul ayat tentu tak tahu sebab belum hidup lagi pada zaman itu, kan?
3) Sangat mengambil berat tentang pemahaman dan penghayatan kandungannya ketika membaca untuk memahami maksud yang dikehendaki oleh Allah. Kandungannya pula perlu dilaksanakan setelah difahami.
Ada orang kata..
"La..kalau begitu, lebih baik tak payah faham tuntutan alQuran. Nanti kena laksanakan pula, susah-susah saja. Kalau tak tahu tak pa.Tak dosa".
TAK boleh begitu.
Takkan sampai mati nak jadi jahil lagi?
Sesungguhnya orang-orang yang jahil tidak mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah.
Bukankah orang yang berilmu itu pewaris bagi para nabi?
Dalam hadis Rasulullah pun ada menjanjikan orang yang menuntut ilmu akan di permudahkan jalan ke syurga.
Tak ke tinggi darjat orang berilmu?
4) Berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW dan beradab dengan segala adabnya.
Rasulullah SAW
1) Mengambil berat tentang mempelajari sunnah Baginda SAW serta mengkaji segala akhlak dan adabnya
2) Mengagungkan segala perintah baginda dan sentiasa melaksanakannya
3) Sangat marah dan tidak melayan orang yang berpegang dengan yang lain daripada sunnah Baginda SAW.
4) Murka kepada orang yang mensiakan sunnah kerana mengutamakan dunia
5) Mengasihi orang yang ada hubungan dengan baginda
6) Mencontohi baginda SAW dalam soal penampilan dan pakaian
Pemerintah Islam
1) Menyukai kebaikan, kebenaran dan keadilan mereka.
2) Mencintai kesatuan umat bersama mereka, dan membenci perpecahan umat terhadap mereka.
3) Menganggap ketaatan kepada mereka sebagai satu perintah agama selagi mereka turut mentaati Allah.
4) Membenci pihak yang membenarkan penentangan kepada mereka.
5) Suka memperkuatkan dan menyokong mereka dalam mentaati Allah.
Umat Islam
1) Menyukai untuk mereka apa yang disukai oleh diri sendiri
2) Membenci untuk mereka apa yang dibenci oleh sendiri
3) Bersimpati kepada mereka
4) Mengasihi orang yang kecil (kanak-kanak atau orang yang tak berkedudukan)
5) Menghormati orang yang besar (tua atau orang yang berkedudukan)
6) Bersedih kerana kesedihan mereka dan bergembira kerana kegembiraan mereka
7) Menyintai kebaikan dan kesatuan mereka
8) Menyukai kemenangan mereka terhadap semua musuh atau tertolak segala kemudaratan dan keburukan daripada mereka.
Bagi ulama' salaf, mereka mempunyai makna 'nasihat' yang tersendiri. Dan pendapat ulama' salaf pula tidak lari banyak maksudnya daripada yang dinyatakan sebelum ini.
*Tulisan di rujuk sepenuhnya daripada buku Himpunan Ilmu dan Hikmah, terbitan Pustaka Salam.
Wallahu 'alam.
antara ujian menjadi org yang berani bercakap adalah untuk menjalankan kata-katanya..
BalasPadamYa. Ini nota akouw baca buku Hadis Imam Ibnu Rajab.
BalasPadamwan kami rasa hampa bley jadi penulis buku... mnarik sgt setiap entry kat cni...byk yg bley taw kat cni..trima kasih...
BalasPadam@ Alya Aishah
BalasPadamBanyak kerenah nak hantar karya pada penerbit buku... Buat masa ni, tak da lagi niat nak minta kat mana-mana penerbit buku. Cuma menulis di blog sebagai hobi... :)