Aku Menyaksikan Kebenaran


"Eh, baca dak surat kabaq semalam? Maher Zain nak mai Malaysia!" seorang rakan sekelas teruja memaklumkan kepada saya dan rakan yang lain tentang berita yang baru diketahuinya.

"Iya, seronoknya! Nak pi, nak pi konsert dia," seorang rakan saya yang lain memberi respon, lebih teruja.

Fenomena Maher Zain yang semakin berkembang di Malaysia, menyebabkan kehadiran seorang lelaki dari anak kelahiran Lubnan itu menjadi terlalu istimewa buat para peminatnya, meskipun tidak pasti mereka dapat menghadirkan diri pada masa kedatangannya ke dewan konsert tertentu.

Bukan saja yang menyampaikan berita tentang beliau sangat gembira, malah si pendengar juga turut tumpang gembira, kerana bagi mereka, ianya sangat mengujakan. Berita seperti itu perlu dikongsi kerana membawa kebahagiaan kepada mereka.


Semangat je bila berbicara pasal Maher Zain suatu ketika dahulu, ya?


KISAH TERBALIK

Ani dan Julia berjalan-jalan di Pasar Seni. Sedang mereka sibuk membeli belah,  seorang lelaki tua yang sangat uzur sedang melewati sebatang jalan raya tanpa menyedari kehadiran sebuah kereta yang memecut laju.

Tanpa di duga, Pak Amat jatuh terkulai setelah dilanggar sebuah proton Exora yang tidak sempat berhenti.

Darah mengalir deras. Kemerahan.

Manakala, si pemandu Exora terus berlalu laju tanpa berhenti untuk membantu Pak Amat yang terbaring kaku di atas jalan raya.

Ani memandang si Julia.

Julia pula membalas pandangan si Ani, sekilas.

Mereka berdua memerhatikan kejadian rentetan peristiwa itu satu persatu.

"Apa yang kita perlu lakukan?" soal Ani ketakutan, sedikit trauma.

"Kalau kita ke balai, kerja kita akan lebih banyak. Di soal si polis dan silap-silap haribulan kita kena tahan dalam lokap untuk diambil keterangan," Julia separuh berbisik.

"Prosedur polis, kalau orang pertama laporkan kejadian, merekalah suspek utama," Ani mencebikkan bibirnya.

"Mari kita pergi dari sini segera," ajak si Julia.

Mereka segera berlalu. Tiada individu yang tampil memberi kenyataan kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes 'kemalangan' yang berlaku. Pesalah dibiarkan bebas, manakala yang dizalimi terbiar kaku di perbaringan. Tiada jiwa yang dibela.

 

DI MANAKAH KITA?

Berdasarkan dua situasi di atas, boleh dikatakan, kebanyakan kita memilih untuk berada di dalam situasi si Ani dan Julia.

Mengapa?

Sebuah penyaksian kepada kebenaran.

Syahadatul haq.

Ani dan Julia yang mengetahui kebenaran hanya mendiamkan diri dan tidak memaklumkan kepada sesiapa untuk dibawa ke muka pengadilan.

Bersemangat tak bila ajak orang belajar agama Islam?

Kita, sebagai umat Islam mengetahui dan menyaksikan keindahan Islam. Menikmati dan merasai betapa agungnya berada di dalam agama yang di redhai Allah SWT. Kita berada dalam agama yang satu-satunya membawa ke syurga yang abadi di akhirat kelak.

Kita dalam agama yang teratur paksi aqidahnya bertunjangkan Allah yang Maha Esa tiada sekutu, serta sempurna peraturan sunnah dan syariahnya.

Mengapa kita tidak teruja untuk berkongsi tentang ini (agama Islam yang sungguh indah) kepada mereka yang bukan Islam supaya mereka turut sama-sama menikmati apa yang kita rasakan?

Islam itu bukan hanya pada Melayu.

Islam itu bukan hanya untuk orang-orang Arab.

Islam agama yang syumul, sesuai dan menyeluruh kepada semua bangsa di dunia.

Islam itu perlu dikongsi bersama.

Jika tindakan Julia dan Ani yang mendiamkan diri ketika polis mahu keterangan daripada mereka dianggap sesuatu yang tidak bertanggungjawab, dan anda mungkin katakan mereka zalim.

Apakah seorang muslim itu seorang yang bertanggungjawab dan adil, jika dia mengetahui kebenaran Islam dan menguncinya daripada pengetahuan mereka yang bukan Islam?

UMAT ISLAM ITU JAMBATAN

Kisah tentang Ani dan Julia hanyalah sebuah analogi tentang penyaksian kepada suatu kebenaran. Sebenarnya, situasi seperti itu telahpun dirakamkan oleh Allah SWT melalui al-Qurannya. Fahami firman Allah SWT berikut :

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ 
وَمَا جَعَلۡنَا ٱلۡقِبۡلَةَ ٱلَّتِى كُنتَ عَلَيۡہَآ إِلَّا لِنَعۡلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ‌ۚ وَإِن كَانَتۡ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ‌ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬ 

"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.  

(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayat dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman)."

(Surah al-Baqarah, ayat 143)

Kita menghubungkan (dengan memberi keterangan kepada mereka) antara orang bukan Islam dengan kebenaran (agama Islam), setelah Rasulullah SAW menerangkan kebenaran kepada kita


Wasat bermakna pertengahan atau pusat sesuatu. Ia juga bermaksud sederhana, tidak berlebih-lebihan (إفراط) dan tidak mengurangkan (تفريط).

Menurut at-Tobariy, al-wasat bermakna al-khiar iaitu yang terbaik. Beliau juga meriwayatkan daripada Abi Sa’eid r.a daripada Nabi s.a.w. bahawa makna wasat dalam ayat ini ialah al-‘adul yang bermaksud sangat adil.

Beliau berpendapat, maksud (أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا) dalam ayat ini, ummah Nabi Muhammad SAW adalah ummah yang berada di tengah-tengah antara dua pihak yang melampau dalam menyempitkan kehidupan beragama dengan meninggalkan kenikmatan dunia dan pihak yang terlampau meringan-ringankan suruhan agama sehingga meninggalkan perkara yang wajib dan melakukan perkara yang haram.

Almarhum Sayyid Qutub di dalam Tafsir Fi Zilalnya menghuraikan dengan panjang lebar maksud al-wasat. Antara lain, beliau mengungkapkan:

Ummah Islam adalah ummah yang memenuhi semua makna wasat. Iaitu wasat dengan makna terbaik dan terunggul, wasat dengan makna sederhana dan adil, dan wasat dengan makna pertengahan dari segi tempat duduk, tempat letak serta zaman kelahirannya. 

Mereka adalah ummah yang wasat dari segi kepercayaan, pemikiran, perasaan, tindakan, peraturan dan undang-undang serta perhubungan. Dari segi kepercayaan dan pegangan hidup, Islam tidak memberikan sepenuh penumpuan kepada ruh sehingga mengabaikan keperluan jasad serta tidak terlalu mengikuti tuntutan jasad sehingga melupakan ruh. 

Islam mengiktiraf manusia terdiri daripada jasad dan ruh. Hak-hak dan keperluan kedua-keduanya dipenuhi secara seimbang. Dari segi pemikiran Islam tidak membiarkan ummahnya menjejaki setiap idea, adat dan budaya semua bangsa dan puak. Di samping tidak menutup pintu daripada perubahan dan penemuan-penemuan yang bermanfaat. 

Islam sentiasa berpegang kepada prinsip hikmah itu pencarian setiap mukmin, di mana saja dia bertemu dia berhak mengambilnya. Dari segi peraturan dan undang-undang Islam tidak menjadikan undang-undang dan kuatkuasa pemerintah sebagai satu-satunya cara untuk meluruskan akhlak dan tingkah laku individu. 

Sebaliknya Islam menggabungkan antara undang-undang dengan kesedaran atau perasaan dalaman yang menjadikan seseorang mematuhi undang-undang dengan sukarela tanpa dipaksa atau semata-mata takut kepada hukuman pihak berkuasa. 

Dari segi perhubungan dan kemasyarakatan Islam tidak mengabaikan keperluan individu demi kepentingan masyarakat, dan tidak juga melayani segala tuntutan individu sehingga menjejaskan kesejahteraan masyarakat. Kehendak individu dan kepentingan masyarakat dipenuhi secara seimbang, adil dan saksama. 

Sumber : [link]

Muhasabah.

Apakah kita gembira dan teruja untuk mengkhabarkan tentang Islam kepada bukan Islam?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!