Ah Chong masuk ke sebuah kebun.
Dia makan buah-buahan di situ sesuka hati.
“Ah, ada baiknya kalau aku tanam benih pokok ni. Tak lama lagi, aku dapat makan lagi,” kata Ah Chong sambil tangannya menggengam beberapa biji anggur yang dimakannya.
Kebun itu bukan milik Ah Chong.
Datang Ahmad.
“Aku takkan buat apa-apa di kebun ni, selagi aku tak jumpa dengan pemilik kebun ni terlebih dahulu,” lamunan Ah Chong tersentak. Terkejut dengan kehadiran orang lain barangkali.
“Aku tak kisah. Aku rasa aku tak perlu berjumpa dengan tuan kebun ni. Lagi pun, aku dah selesa buat macam ni,” kata Ah Chong tidak mempedulikan apa yang diperkatakan oleh si Ahmad.
PEMILIK KEBUN DATANG
Datuk Rahman menghampiri pintu kebun. Dia seorang yang tidak tergesa-gesa meskipun terkejut melihat 2 orang ‘penceroboh’ sedang berada dikebunnya.
“Apa hajat kamu berdua datang kemari?” soal Datuk Rahman meminta penjelasan.
“Saya mahu berkerja dengan tuan. Sekarang, saya sudah bersiap sedia menerima arahan tuan!” Ahmad memberi respon dengan teratur, memberi penghormatan. Manakala si Ah Chong tidak mengendahkan pertanyaan pemilik kebun itu. Bukan itu saja, Ah Chong meneruskan kerjanya mencabut rumput, memetik buah dan menanam benih.
Datuk Rahman seolah tidak wujud baginya. Langsung tidak diendahkan.
“Baiklah, Ahmad. Mulai hari ni, saya terima awak sebagai pekerja saya. Untuk minggu ini, saya mahu awak menanam benih yang saya bekalkan terlebih dahulu,” Datuk Rahman memberi arahan.
“Terima kasih, tuan,” Ahmad berbasa basi.
SIAPA YANG LAYAK MENERIMA UPAH?
Hujung bulan, Datuk Rahman datang ke kebun ketika Ahmad dan Ah Chong sedang menanam benih pokok. Di tangan Datuk Rahman, terdapat sekeping penyata cek gaji bulan itu. Hanya sekeping.
“Ahmad, ini untuk awak,” Datuk Rahman menunjukkan penyata gaji kepada Ahmad.
Ah Chong juga mahu menuntut. “Errr.. tuan, untuk saya?” Ah Chong tidak berpuas hati.
“Awak? Adakah awak pekerja saya?” Datuk Rahman menyoal kehairanan.
“Ya, tuan. Bahkan, saya menanam benih lebih banyak daripada Ahmad,” Ah Chong membait hujah.
“Tapi, awak tak layak menerima gaji daripada saya!”
“Kenapa pula tuan?”
“Kerana awak tak ikut arahan saya. Awak lakukan sesuka hati awak sendiri. Walaupun pada luarannya prestasi awak lebih baik daripada Ahmad, tetapi awak bukan menanam benih itu untuk berkhidmat kepada saya. Awak menanam untuk kepentingan diri awak sendiri. Awak mahu memakan hasilnya!”
“Errr.”
Ah Chong tertunduk. Memang itulah satu kebenaran. Dirinya tidak layak menerima upah, malah dia boleh dihukum kerana menceroboh kebun orang lain serta bertindak diluar arahan pemiliknya.
AMALAN ORANG BERIMAN
Analogi di atas bersesuaian dengan persoalan yang dibangkitkan seperti, “Mengapa Allah SWT hanya menerima amalan orang yang beriman?”
Sesetengah kelompok manusia mempersoalkan, apakah Allah itu Maha Adil andainya kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam tidak diterima, bahkan mereka akan diseksa di akhirat kelak?
Orang yang tidak beriman kepada Allah, tidak mengharapkan pahalaNya dan tidak takut azabNya melakukan sesuatu amalan bukan kerana Allah. Mereka juga tidak mecari keredhaan Allah serta tidak mengambil kira adakah amalan yang dilakukan itu halal ataupun haram. Oleh itu, mereka tidak layak menerima pahala atas amalan mereka walaupun ia adalah amalan yang baik.
Namun, apabila menyaksikan kedahsyatan neraka di akhirat kelak, mereka tiba-tiba mahu menuntut pahala di atas amal kebajikan mereka di dunia sedangkan dahulunya mereka tidak pernah mengharapkan pahala. Senario seperti ini telah pun direkodkan di dalam al-Quran:
(Surah Ibrahim, ayat 18)
MENGAPA ORANG KAFIR DISEKSA?
Orang-orang bukan Islam akan diazab kerana kekufuran dan kesesatan mereka. Ini disebabkan mereka tidak mencari agama Allah dan tidak berusaha untuk mendengar keterangan daripada Allah yang dibawa oleh para rasul.
Tambahan pula, apabila mereka mendengar ayat-ayat Allah dibacakan, mereka menganggap ayat tersebut sebagai bahan ketawa dan ejekan. Oleh itu, amalan mereka tidak akan diterima oleh Allah dan diazab kerana kekufuran mereka. Mereka diseksa kerana kekufuran terhadap ayat Allah seperti dalam firmanNya :
(Surah al-Furqan, ayat 23)
Begitulah alam ini dan segala isinya. Ia adalah milik Allah.
Manakala para rasul-Nya adalah utusan dan wakil Allah. Orang yang beriman adalah orang yang melakukan amalan berpandukan petunjuk Tuhannya. Manakala orang kafir adalah orang yang menggunakan segala milik Allah tanpa keizinan dan petunjuk Nya serta pada masa yang sama menentang para rasul-Nya.
SULUH KEMBALI KE ARAH KITA
Allah mensyaratkan untuk amalan kebajikan itu diterima dan diganti dengan pahala, perlulah seseorang itu beragama Islam. Islam itu memerlukan pengucapan dua kalimah syahadah untuk bahagian pintu masuknya.
Apakah kita benar-benar faham dengan dua kalimah syahadah yang kita ucapkan setiap hari dalam solat?
Kita hendaklah mempelajari ilmu tauhid supaya syahadah yang dilafazkan serta Islam yang kita anuti adalah sah dan amalan kita diterima. Jika kita tidak mengetahui tentang apa itu tauhid, syahadah yang kita lafazkan itu adalah batil dan tidak sempurna. Gesaan Allah supaya kita mendalami makna tauhid ini ada disebutkan di dalam al-Quran :
"Oleh itu, maka Tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadanya bagi salah silap Yang Engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang Yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di Akhirat)."
(Surah Muhammad, ayat 19)
*Rujukan : Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid (Diperakui oleh Fakta Sains), m/s: 22-28, terbitan Pustaka Salam, 2004.
Terima kasih kerana menyiarkan artikel yang bermnfaat seperti ini ya..
BalasPadamizinkan saya jadikan artikel ini sebagai rujukan
Insya Allah, moga bermanfaat. Analogi yang dipetik dan diubah suai gaya bahasa daripada penulis Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid (Diperakui oleh Fakta Sains).
Padam:)