“Tuan, ada rakyat membantah perintah tuan,” seorang bendahara bersuara dengan cemas setelah kawasan istana dikerumuni dengan penunjuk perasaan.
“Siapa yang mahu melawan beta? Apa yang mereka mahukan?” Sultan Mahmud bertitah.
“Mereka tidak mengakui kedaulatan tuanku. Kata mereka, kerajaan ini bukan milik tuanku,” si bendahara menyampaikan maklumat.
“Kalau begitu bawakan siapa yang tidak mahu mengakui kekuasaan beta menghadap sekarang juga!” Sultan Mahmud bersuara tinggi.
“Baik tuanku. Sembah patik harap diampun.”
SEMAKIN AGUNG ATAU SEMAKIN ‘BODOH’?
“Ini tuanku. Mereka bertiga ini tidak mengakui kedaulatan tuanku,” bendahara membawa 3 wakil daripada rakyat menghadap sang sultan.
“Mengapa kalian tidak mahu mengakui kuasa beta di negeri ini? Apa yang boleh beta lakukan supaya kamu mengiktiraf kekuasaan beta?” Sultan Mahmud mahu mengetahui pandangan rakyatnya.
“Sekiranya kamu yang memerintah Negara ini dan batu ini berada dalam Negara kamu, pindahkannya dari sini ke tempat lain!”
“Baiklah, beta akan tunaikan hasrat kamu.”
“Saya tidak percaya bahawa kamu memerintah Negara ini kecuali jika kamu dapat memindahkan kain selendang ini.”
“Sekarang juga beta lakukan.”
“Saya mahu tuanku membasuh gelas ini.”
“Beta akan lakukan.”
DILAYAN ATAU TIDAK?
Adakah sultan perlu melayan ke semua tuntutan rakyat?
Apa yang jelas pada kita ialah pemerintah yang melayan tuntutan seperti di atas adalah pemerintah yang bodoh. Sultan yang akhirnya menjadi hamba kepada rakyat kerana melakukan apa yang disuruh oleh mereka. Mungkin pada awalnya sultan mahu menunjukkan kekuasaannya, namun, kesannya tindakan seperti itu menghilangkan keagungan seseorang sultan. Seorang sultan yang berdaulat seharusnya berkata :
“Sesiapa yang mahu mengetahui bahawa beta adalah pemerintah Negara ini, dia hendaklah bertanya untuk mengetahui bahawa beta yang membentu kerajaan, membubar kementerian, memetrai perjanjian antarabangsa, menguruskan bajet Negara, mengisytiharkan peperangan dan membentuk pasukan tentera.”
“Berkenaan memindahkan batu, kain selendang atau membasuh gelas, semua itu dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja dalam Negara beta. Sesiapa yang ingin mengenali keagungan beta, dia hendaklah melihat kerja-kerja tersebut yang tidak mampu dilakukan oleh sesiapa kecuali ketua atau raja.”
CABARAN MEREKA KEPADA ALLAH
Sekiranya Allah menerima segala tuntutan mereka, kedegilan tentunya bertambah. Segala sunnatullah akan rosak binasa kerana mereka akan menuntut Allah menjadikan malam sebagai siang. Ada pula yang menuntut supaya perempuan dijadikan lelaki. Ada golongan Yahudi yang menuntut kepada nabi Musa supaya ditunjukkan zat Allah seperti yang dirakamkan dalam al-Quran :
"Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga Kami dapat melihat Allah Dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya. Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur."
(Surah al-Baqarah, ayat 55-56)
Sesetengahnya mahu bumi dijadikan langit.
Permintaan mereka ini dijawab oleh sebuah firman Allah :
(Surah al-Mukminun, ayat 71)
Oleh kerana keagungan dan kebijaksaan Allahlah, Dia tidak mengendahkan keangkuhan orang jahil. Allah telah memberi segala bukti dan keterangan serta dalil. Allah juga telah mengurniakan pendengaran, penglihatan dan akal kepada manusia. Orang mukmin yang memanfaatkan pancaindera tersebut. Manakala orang jahil lagi kafir enggan memanfaatkannya dan terus kekal dengan kedegilan.
MEMENUHI TUNTUTAN MEMBAWA KEHINAAN
Allah tidak melayan keangkuhan orang-orang kafir. Allah mengkhabarkan baginda Nabi Muhammad SAW supaya membalas cabaran mereka itu dengan berkata :
“Sesiapa yang mahu mengetahui bahawa aku adalah Allah, lihatlah perkara yang tidak mampu dilakukan oleh sesiapa kecuali Allah seperti mencipta langit, bumi, makhluk di dalamnya, kematian, kehidupan, mentadbir segala keperluan makhluk, memberi rezeki, menggantikan malam dengan siang dan sebagainya yang hanya mampu dilakukan oleh Allah dan tidak membawa kebinasaan kepada makhlukNya.”
SIFAT MAZMUMAH KUFFAR
Sikap orang-orang kafir perlu kita jauhi iaitu :
Pertama : Sombong
Sombong menyebabkan kita akan dipinggirkan daripada masyarakat. Tidak seharusnya seseorang itu memandang remeh kepada taraf orang lain yang lebih rendah kerana mulianya seseorang itu di sisi Allah bergantung kepada ketaqwaannya. Kemuncaknya, manusia yang angkuh tidak akan beriman dengan ayat-ayat Allah. Semoga kita berlindung daripadanya, kerana seburuk-buruk balasan neraka bagi mereka yang sombong seperti dalam firman :
"(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: "Masukilah pintu-pintu neraka jahannam itu Dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang Yang sombong takbur ialah neraka jahannam."
(Surah Az-Zumar, ayat 72)
Kedua : Tertipu Dengan Hasutan Syaitan
Kita mestilah sentiasa berdoa kepada Allah supaya menjauhkan langkah-langkah kehidupan kita dipengaruhi oleh tunjuk ajar syaitan.
Ketiga : Enggan Meneliti Keterangan
Terdapat golongan kafir yang enggan meneliti keterangan yang terdapat pada makhluk dan telahpun dijelaskan oleh Allah. Keterangan ini dibawa oleh para Rasul supaya mereka dapat mengikuti jalan yang lurus.
Begitulah juga dalam senario politik kita pada hari ini. Jika sesuatu parti pembangkang mahu mengeluarkan kenyataan, publisitinya tidak diberikan secara meluas supaya sampai kepada semua rakyat. Bukan sahaja pihak kerajaan tidak mahu menilai teguran pembangkang, malah disekat pula idea-idea yang bercambah dalam kalangan rakyat. Sikap yang diamalkan media di negara kita ini sedikit sebanyak adalah sikap orang-orang kafir yang tidak mahu meneliti keunikan ciptaan Allah yang melambangkan kekuasaanNya.
Ketika pilihan raya, rakyat sewajarnya membuat penelitian terhadap keterangan-keterangan isu yang berbangkit. Namun malangnya, ada sesetengah rakyat yang enggan meneliti keterangan berkaitan, dengan memberi undi turun-temurun kepada pemerintah yang zalim secara membuta tuli. Memberi undi kepada pemimpin yang salah mungkin suatu yang merugikan, namun ada sesuatu yang lebih malang. Sikap malas berfikir dan melihat keterangan. Ianya perlu dijauhi dalam diri kita, kerana ianya adalah sikap orang-orang kufur terhadap tanda-tanda kebesaran Allah.
*Rujukan : Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid (Diperakui oleh Fakta Sains), m/s: 156-162, terbitan Pustaka Salam, 2004.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!