Niat Aku Baiklah, Lantaklah Palsu Atau Tidak

Sibuk dengan Si Putih yang gemuknya mirip dengan Maru
Cuti semester kali ini sudah hampir masuk bulan kedua.

Begitu lama sekali bercuti, mengalahkan zaman sekolah. Namun, catatan di blog ini masih tidak subur. Rumput menguning, tanpa dapat dibezakan sama ada terlebih baja atau kekurangan sumber air yang dapat menyegahkannya (baca : turgid). Masa untuk mengisi sesuatu, menambah maklumat.

Kali ini, saya bertaubat dengan taubat nasuha, tidak lagi akan menulis mengenai agama, apatah lagi menulis petikan hadis-hadis, selagi saya tidak sahkan sumbernya terlebih dahulu.

Begitu juga ayat al-Qur'an, sesudah saya selidiki konteksnya, barulah saya taipkan di sini. Lebih-lebih lagi kisah sirah, yang sumbernya kini banyak tercemar dengan pengaruh syi'ah.

Saya berharap agar saya tidak termasuk daripada golongan mereka yang menyebarkan apa-apa yang palsu lagi tidak benar.


BLOG SENDIRI

Saya tahu, blog ini mungkin pembaca setianya seorang saja. Iaitu saya sendiri. Namun, apa yang ditulis boleh muncul di engin carian Google, andai sesiapa saja mencari dengan kata kunci tertentu. Walaupun hitsnya tidaklah tinggi, tetapi kebarangkalian itu wujud. Lebih-lebih lagi, setelah meninggalkan dunia ini kelak, entah apa yang akan berlaku terhadap tulisan-tulisan kita. Aha, biarlah kenangan itu manis-manis belaka.

Bahkan Al-Imam Al-Ghazali rahimahullah, seorang tokoh besar agama, menulis Ihya' Ulumuddin yang terkandung di dalamnya beberapa hadis palsu seperti solat sunat Raghaib, hingga kini amalan palsu itu dinisbahkan kepada beliau, walaupun pelbagai ulama' lain sudah memperbetulkannya. link

Kemudahan lain seperti facebook dan twitter, adalah medium yang cepat dalam penyebaran maklumat. Maka hal ini akan mendedahkan kepada bahaya terhadap ancaman nabi SAW, iaitu

Daripada `Abdullah bin `Amr katanya telah bersabda Nabi SAW : 
"Sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritalah (sebutlah) apa yang dari Bani Israil tiada apa, dan barangsiapa yang berdusta keatasku (dengan sengaja) maka siaplah tempatnya duduknya di neraka."

(Hadis riwayat al-Bukhari. Kata Abu Isa, "Hadith ini Hasan Sahih.") link

Pernah saya mencari sebuah hadis yang dipanjangnya SMS oleh seorang sahabat. Ditulis dalamnya tentang azab meninggalkan waktu solat. Disertakan pula azab-azab yang terlalu dahsyat. Di ruangan komen sebuah blog malang yang saya temui, entah berapa banyak yang menulis, "Terima kasih, mohon share".

Bahkan, setelah ada orang yang menegurnya bahawa apa yang dikatakan itu bukanlah hadis, bahkan ianya palsu, pemilik itu menjawab, "saya tidak katakan ianya daripada nabi. Saya tulis itu untuk menakutkan mereka supaya tidak meninggalkan solat. Itu saja, niat saya baik."

Setelah puas membaca beberapa perbincangan di internet, pengirim SMS tersebut disoal siasat panjang lebar tentang hadis berkenaan.

"Maaf, boleh saya tahu sumber hadis ni?"

"Hmm, saya tak tahu. Nanti saya tanyakan ustaz terlebih dahulu."

Ya Allah, setelah disebarkannya, dia sendiri tidak mengetahui status hadis yang disebarkan. Betapa mudah agama dipalsukan. Bahkan, akal otak yang sejahtera tidak digunakan untuk berfikir. Sikit-sikit, "Jap, nak tanya ustaz!"

Iya, benar perlu bertanya. Tapi, hadis dahsyat seperti itu kuat sekali berbau palsunya. Para asatizah sudahlah sibuk dengan urusan mereka, dikusutkan pula lagi dengan soalan-soalan merepek seperti itu.

Allahu Allah. Saya nampak betapa bahayanya golongan jahil menulis tentang agama.

NIAT SAYA BAIK!

Cukup dengan sebuah hadis ini, menyebutkan (semasa zaman tabiin), diriwayatkan oleh Al-Imam Ad-Darimi, dalam Sunan Ad-Darimy dan musnadnya, sanadnya sahih,

Daripada 'Amru bin Salamah, satu ketika kami duduk dipintu Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas'ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar kami pun berjalan bersamanya ke masjid. Datang kepada kami Abu Musa Al-Ash'ari.

Kata Abu Musa : "Abu Abdur Rahman dah keluar?"

Kami katakan : "Tidak"

Maka beliau (Abu Musa) duduk bersama kami sehingga Abdullah bin Mas'ud keluar. Apabila beliau keluar, kami pun bangkit kepadanya semua sekali.

Kata Abu Musa : "Wahai Abu Abdur Rahman, aku lihat satu perkara di masjid yang aku bantah, tetapi perkara yang baik. Tetapi aku tidak pernah melihatnya."

Kata Abu Abdur Rahman : "Apakah perkara itu?"

Kata Abu Musa : "Jika panjang umurmu, engkau saksikan sendiri"

Sambung Abu Musa lagi : "Aku melihat satu puak di masjid menunggu untuk sembahyang, duduk di dalam halaqah, ada seorang ketua. Tangannya ada batu untuk mengira bilangan zikir. Jika ketua itu berkata takbir 100 kali, maka ramai-ramai mereka bertakbir 100 kali. Jika dia berkata tahlil 100 kali (la ilaha illa Allah), maka ramai-ramai mereka bertahlil 100 kali. Jika dia berkata tasbih 100 kali, maka ramai-ramai mereka bertasbih 100 kali.

Kata Abu Abdur Rahman : "Kemudian, apa yang engkau katakan kepada mereka?"

Kata Abu Musa : "Aku tidak berkata apa-apa. Aku menunggu pandangan engkau."

Kata Abu Abdur Rahman : "Kenapa tidak perintahkan mereka mengambil batu itu dan menghitung dosa-dosa mereka, dan jaminlah Allah tidak akan silap mengira pahala mereka."

Kemudian beliau berjalan dan kami berjalan bersamanya. Sehingga dia sampai kepada salah satu halaqah di masjid berkenaan. Dia pun berdiri di hadapan mereka.

Kata Abu Abdur Rahman : "Apa yang kamu sedang lakukan?"

Mereka berkata : " Wahai Abu Abdur Rahman, batu ini kami gunakan untuk mengira takbir, tahlil dan tasbih."

Kata Abu Abdur Rahman : "Ambillah batu itu dan kiralah dosa kamu. Aku jamin, Allah tidak silap untuk mengira pahala, walaupun sedikit."

Kemudian Abu Abdur Rahman berkata lagi : "Celaka kamu wahai umat Muhammad. Alangkah cepatnya kemusnahan kamu! Sahabat nabi masih lagi ramai, dan baju nabi belum pun buruk. Dan, bekas makan nabi belum pun pecah. (Baginda SAW baru saja wafat). Demi jiwaku yang berada ditangan-Nya, adakah kamu berada di atas pintu petunjuk, lebih daripada agama Muhammad?
Atau kamu sebenarnya pembuka kepada pintu fitnah?"

Mereka berkata : "Demi Allah. Wahai Abu Abdur Rahman, kami tidak bertujuan melainkan baik."

Kata Abu Abdur Rahman : "Berapa ramai orang yang mahu melakukan kebaikan, tetapi tidak tepat caranya. Rasulullah SAW pernah bersabda ada orang yang membaca al-Quran tidak lebih daripada kerongkong mereka. Demi Allah, barangkali aku rasa kamu di kalangan mereka. (Puak khawarij akan muncul)"
Poster assignment subjek Study Circle


ELAKKAN MENCAMPURINYA

Saya sedar, saya bukan seorang agamawan, yang berhak menulis dan memberi syarahan panjang lebar berkenaan agama. Saya bukan ahlinya. Andai para pembaca mendapati apa-apa kandungan penulisan yang tidak benar, maka berpalinglah dan anggaplah ianya tidak pernah wujud.

Makin banyak buku yang dibaca, makin terserah kejahilan diri ini. Makin banyak ceramah dan seminar yang didengar, makin luas ilmu agama yang belum diketahui dan diterokai. 

Penulisan difokuskan kepada bidang saya sahaja, selepas ini insya' Allah.

SIRAH RIWAYAT SYI'AH

Adapun 5 catatan bersiri yang pernah saya tuliskan sebelum ini, ianya adalah daripada syi'ah, yang tidak lain tidak bukan memburukkan para sahabat nabi radiyallahu'anhum ajma'in, seperti 'Uthman Ibn Affan dan Mu'awiyah Ibn Abi Sufyan. Berkenaan peristiwa tahkim, perang Jamal dan perang Siffin, itu semua versi syi'ah.

Sesiapa yang pernah membacanya, diharap lupuskan dari ingatan. Sesiapa yang tidak membacanya, alhamdulillah, lafaz syukur lebih layak dilafazkan.

Bahkan buku teks Sejarah tingkatan 4 KBSM di sekolah itu juga menceritakan sirah versi syi'ah.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui cerita sebenar disebalik itu, bolehlah dapatkan buku Dr Maza, terbitan PTS, bertajuk "Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah SAW, Merungkai Kontroversi Menyingkap Realiti". Dan, berita baik bagi anda yang malas membaca buku, boleh tonton video di youtube.

3 ulasan:

  1. Bidang saya tu apa cik adik? dentistry sahaja??... ke

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cuba teka. Kalau dentistry, alamatnya blog ni tak akan ada post sampai bulan 9 tahun depan. Haha.

      Padam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!