Jangan Naik Kereta, Naiklah Unta! (Bahagian 4) - Akhir

[Amaran : Artikel ini tidak sesekali bertujuan untuk membangkitkan kekacauan apatah lagi perpecahan, tetapi sebagai rangsangan untuk kita berfikir kembali mengenai ibadah-ibadah yang kita lakukan seharian, apakah ia menuruti sunnah ataupun tidak, supaya amalan kita diterima Allah, insya Allah. Tulisan ini dirujuk dan diubah suai bahasa berdasarkan ceramah yang disampaikan oleh Dr Asri Zainal Abidin yang bertajuk 'Debat : Sunnah-Bidaah']
Memulakan sunnah yang baik, apakah itu dipanggil bidaah?
Artikel ini adalah sambungan artikel sebelumnya.

SALAH FAHAM

Sesetengah golongan lagi menjadikan hadis menyatakan berikut sebagai hujah wujudnya hasanah dalam perkara bidaah,
Sesiapa yang memulakan dalam Islam, satu sunnah yang baik diamalkan, ditulis untuknya pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala.

Sesiapa yang memulakan dalam Islam, satu sunnah yang jahat, lalu ditulis untuknya dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka sedikitpun.
Namun, kita terlebih dahulu perlu melihat mengapa hadis ini diucapkan (sebab wurud hadis). Hadis ini disebutkan kerana datang kepada Rasulullah SAW sekumpulan orang yang miskin. Maka datang kepada nabi sekumpulan badwi, mereka memakai pakaian bulu.

Baginda melihat keadaan mereka yang dhaif.


Lantas, baginda menggesa orang ramai supaya bersedekah. Namun, orang-orang yang berada disekitar tidak mengendahkannya. Kemudian, datang seorang lelaki Ansar membawa sebekas perak lalu bersedekah kepada fakir miskin.

Kemudian datang seorang lagi. Kemudian yang lain juga turut serta.

Maka, bersabdalah baginda seperti hadis di atas.

Ini bermaksud, 'memulakan sunnah yang baik' adalah sesuatu yang berkait rapat dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Syeikh 'Ali Mahfuz (seorang ulama' besar di Al-Azhar), dalam kitabnya Al-Ibtida' fi Madhari Al-Ibtida',
Jawapan terhadap kekeliruan ini yakni bukanlah memulakan sunnah itu dengan memulakan rekaan baru. Namun, maksudnya ialah amalan yang tsabit daripada sunnah. Sesungguhnya sebab yang kerananya terbit hadis ini ialah sedekah yang disyariatkan.

Lalu nabi sebut (hadis di atas).

Hadis ini menunjukkan bahawa yang dikatakan sunnah bererti apa yang dilakukan oleh sahabat tersebut yang membawa sebekas perak. Dengan sebab itulah terbukanya pintu sedekah secara yang lebih nyata. Sedangkan sedekah memang disyariatkan dengan sepakat para ulama'.
Dato' Mustafa Bugha, seorang ulama' dalam mazhab Syafie, dalam kitabnya Nazarul Muttaqin Syarh Ar-Riyadhus Salihin,
 Hadis ini dianggap sebagai asal dalam menentukan bidaah hasanah dan sayyiah. Bersegeranya sahabat berlumba, bersaing dalam bersedekah adalah bidaah hasanah. Seperti yang disebut oleh nabi sallahu 'alayhi wa sallam.

Dari sini difahami bahawa yang dikatakan bidaah hasanah itu sesuatu yang pada asalnya disyarakkan seperti sedekah.
Sebuah hadis menyebutkan (semasa zaman tabiin), diriwayatkan oleh Al-Imam Ad-Darimi, dalam Sunan Ad-Darimy dan musnadnya, sanadnya sahih,
Daripada 'Amru bin Salamah, satu ketika kami duduk dipintu Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas'ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar kami pun berjalan bersamanya ke masjid. Datang kepada kami Abu Musa Al-Ash'ari.

Kata Abu Musa : "Abu Abdur Rahman dah keluar?"

Kami katakan : "Tidak"

Maka beliau (Abu Musa) duduk bersama kami sehingga Abdullah bin Mas'ud keluar. Apabila beliau keluar, kami pun bangkit kepadanya semua sekali.

Kata Abu Musa : "Wahai Abu Abdur Rahman, aku lihat satu perkara di masjid yang aku bantah, tetapi perkara yang baik. Tetapi aku tidak pernah melihatnya."

Kata Abu Abdur Rahman : "Apakah perkara itu?"

Kata Abu Musa : "Jika panjang umurmu, engkau saksikan sendiri"

Sambung Abu Musa lagi : "Aku melihat satu puak di masjid menunggu untuk sembahyang, duduk di dalam halaqah, ada seorang ketua. Tangannya ada batu untuk mengira bilangan zikir. Jika ketua itu berkata takbir 100 kali, maka ramai-ramai mereka bertakbir 100 kali. Jika dia berkata tahlil 100 kali (la ilaha illa Allah), maka ramai-ramai mereka bertahlil 100 kali. Jika dia berkata tasbih 100 kali, maka ramai-ramai mereka bertasbih 100 kali.

Kata Abu Abdur Rahman : "Kemudian, apa yang engkau katakan kepada mereka?"

Kata Abu Musa : "Aku tidak berkata apa-apa. Aku menunggu pandangan engkau."

Kata Abu Abdur Rahman : "Kenapa tidak perintahkan mereka mengambil batu itu dan menghitung dosa-dosa mereka, dan jaminlah Allah tidak akan silap mengira pahala mereka."

Kemudian beliau berjalan dan kami berjalan bersamanya. Sehingga dia sampai kepada salah satu halaqah di masjid berkenaan. Dia pun berdiri di hadapan mereka.

Kata Abu Abdur Rahman : "Apa yang kamu sedang lakukan?"

Mereka berkata : " Wahai Abu Abdur Rahman, batu ini kami gunakan untuk mengira takbir, tahlil dan tasbih."

Kata Abu Abdur Rahman : "Ambillah batu itu dan kiralah dosa kamu. Aku jamin, Allah tidak silap untuk mengira pahala, walaupun sedikit."

Kemudian Abu Abdur Rahman berkata lagi : "Celaka kamu wahai umat Muhammad. Alangkah cepatnya kemusnahan kamu! Sahabat nabi masih lagi ramai, dan baju nabi belum pun buruk. Dan, bekas makan nabi belum pun pecah. (Baginda SAW baru saja wafat). Demi jiwaku yang berada ditangan-Nya, adakah kamu berada di atas pintu petunjuk, lebih daripada agama Muhammad?
Atau kamu sebenarnya pembuka kepada pintu fitnah?"

Mereka berkata : "Demi Allah. Wahai Abu Abdur Rahman, kami tidak bertujuan melainkan yang baik."

Kata Abu Abdur Rahman : "Berapa ramai orang yang mahu melakukan kebaikan, tetapi tidak tepat caranya. Rasulullah SAW pernah bersabda ada orang yang membaca al-Quran tidak lebih daripada kerongkong mereka. Demi Allah, barangkali aku rasa kamu di kalangan mereka. (Puak khawarij akan muncul)"
Kata Abdullah bin Mas'ud dalam riwayat lain,
Sesungguhnya bidaah yang kecil, pembawa (punca) kepada bidaah yang besar.
Para sahabat radiallahu'anhum sangat menjaga akan ketulenan agama. Ini satu sikap yang mesti kita contohi.

BERKENAAN MIQAT HAJI


Seorang lelaki datang kepada Imam Malik.

Kata lelaki itu : "Wahai Abu Abdullah, daripada mana patut aku berihram?"

Jawab Imam Malik : "Daripada Zu Hulaifah, iaitu tempat Rasulullah SAW berihram."

Kata lelaki itu : "Aku ingin berihram daripada masjid nabi."



Jawab Imam Malik : "Jangan kamu berbuat demikian."

Kata lelaki itu lagi : "Aku ingin berihram daripada maqam nabi."

Jawab Imam Malik : "Jangan buat demikian. Aku bimbang kamu ditimpa fitnah."

Kata lelaki itu : "Apa fitnahnya? Ianya jarak yang aku tambah. Berbanding dengan Zu Hulaifah, tiada apa-apa. Aku memilih tempat yang baik."

Jawab Imam Malik : "Apakah lagi fitnah yang lebih besar, apabila engkau melihat engkau mendahului satu kelebihan yang Rasulullah SAW telah kurang daripada engkau. Engkau seakan-akan menganggap engkau mendahului nabi dalam satu kelebihan. Apakah fitnah yang lebih besar daripada ini, sedangkan Allah berfirman, 'Oleh itu hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau fitnah atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya' (Surah An-Nur, 24:63) ".

BERKENAAN NISFU SYAABAN

Ditanya kepada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, semoga Allah memeliharanya, mengenai amalan Nisfu Sya’ban. Beliau menjawab,
Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca do‘a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka‘at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do‘a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in).

Ianya satu do‘a yang panjang yang menyanggahi nusus (nas-nas al-Quran dan al-Sunnah), juga bercanggahan dan bertentang maknanya. Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid‘ah dan diada-adakan.

Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid‘ah golongan selepas mereka dan setiap yang diadakan-adakan itu bid‘ah dan setiap yang bid‘ah itu sesat dan setiap yang sesat itu berada dalam neraka.
KESIMPULAN

Perlu ditekankan di sini, manhaj kita Ahlus-Sunnah Wal Jamaah, tidak menghukum seseorang kerana kejahilan yang tidak disengajakan. Oleh itu jika seseorang melakukan ibadah dengan sangkaan ia adalah benar sedang hakikat adalah sebaliknya, dia tetap memperolehi pahala.

Seseorang itu tidak dihukum kerana kejahilan, jika dia telah berusaha mendapatkan ilmu. Contohnya orang awam yang tidak dapat membezakan antara hadis dan bukan hadis, sahih dengan yang tidak sahih dan yang tidak mampu mengambil maklumat agama dari sumber yang tulen.

Ini semua dengan syarat dia tetap berusaha sehingga apabila sampai kepada ilmu yang sahih dan tulen, dia tidak bersikap ego terhadapnya serta terus merendah diri dan menerimanya.

Hendaklah dia bertaubat, dengan meninggalkan apa yang sebelum ini dan apa yang disangka benar, kepada apa yang sahih lagi tulen.

Firman Allah SWT (yang bermaksud) :
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Furqan, 25:70)

Tamat. Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!