Kem Celik al-Furqan SK Tanjong Tokong

Kaki lima SK Tanjung Tokong
Saya ke sebuah sekolah rendah di Tanjung Tokong untuk mengajar baca iqra'.

Macam-macam hal dan ragam. Yang perempuan, cara budak perempuan. Banyak cakap. Yang lelaki, cara lelaki. Buas.

Memang agak sedih bila ke sini dan bertanya tentang kanak-kanak di sekolah ini. Sebab apa? Dah darjah 4, tapi baru iqra' 2!

Masya-Allah. Tapi tidak mengapa, asalkan dia nak datang kelas pemulihan al-Quran. Yang lain-lain pulak? Wallahu'alam.
SESI TAARUF

"Dik, solat tak kat rumah?" saya bertanya, manakala dia mendengar macam tak faham, sambil menggeleng kepala. Gaya orang bisu saja. Isyarat yang diberinya. Kita pula yang cakap banyak.

"Dik agama apa? Islam, kan?" saya terus menembak. Namun, sekali lagi dia menggeleng kepala.

Astaghfirullah! Agama apa pun dia tak tahu. Macam mana sudah darjah 2? Sepatutnya hal-hal begini dah settle waktu tadika lagi.

"Habis tu, kenapa pakai tudung?" saya sengaja menimbulkan persoalaan dalam benaknya.

"Mak yang pakaikan," jawabnya jujur.

"Kalau keluar rumah mak pakaikan tudung, tak?" sekali lagi saya mencetuskan provokasi.

"Tak," jawab si budak, pertanyaan dibalas selamba.

"Tak apalah, macam ni. Adila orang Islam. Orang Islam kena solat. Solat, pakai tudung untuk dapat pahala. Pahala untuk masuk syurga. Tak nak masuk syurga?" saya menerangkan kepadanya serba sedikit, memandangkan dia blur segalanya.

Dia mengangguk.

"Balik ni solat tau. Pandai solat tak?" saya bernada mengarah.

Dia menggeleng lagi.

"Hermmm macam ni, mintak dekat mak, Adila nak solat, boleh?" saya memberi cadangan.

Dia menggeleng lagi. Masalahnya, budak ni tak banyak cakap. Cuma bagi respon isyarat saja. Macam cakap dengan orang bisu saja.

"Lorrrr, kenapa?" saya bertanya sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

"Mak dia garang, tak bagi dia solat, takut kena rotan," kata seorang ada kawan sebelahnya, menyampuk.

"Betul mak tak bagi solat?" saya bertanya, inginkan kepastian.

Dia mengangguk.

Hanya tuhan yang tahu. Apa sudah jadi? Ibunya tak bagi solat. Entah nak percaya atau tak. Selalunya budak-budak akan berkata benar selagi dia tak pernah atau selalu ditipu oleh orang lain.

HARI SETERUSNYA

Semakin dahsyat. Jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari dirasakan masa yang sangat lama.

Mengapa?

Alaaah. Kanak-kanak yang normal, mana boleh nak bertahan sampai lama macam tu. Memang tak efektif langsung.

Sekejap saja masa yang betul-betul optimum untuk dibetulkan bacaan iqra'. Usai rehat, memang seperti yang dijangka. Tiada lagi penumpuan formal seperti pada permulaannya. Memang pening.

"Antara ustaz/ah yang ajar kat sekolah dengan kelas sekarang, mana lagi best?" sengaja saya mengorek rahsia.

"Hermmmm, dua-dua bes. Tapi ustaz selalu cubit, sakit," jawapan diberi dengan jujur.

Bagi budak perempuan, tahap kebuasan dan kenakalan memang mudah dikawal berbanding budak lelaki. Budak lelaki, meja tonggang terbalik dibuatnya,. Sampai ada yang meja tertimpa keatasnya sendiri;

"Duuummm!" Tapi, dia ni boleh lagi ketawa kecil.

Agak kepeningan dengan ketandusan idea nak pelbagaikan cara membaca iqra' dengan lebih syok dan menarik. Maka, dibuatlah macam gaya-gaya main harta karun tu.

"Ustazah...bla...bla...," seorang budak memanggil saya.

"Kejap," saya ketika itu sibuk menyiapkan checkpoint, tak boleh nak melayan.

Berkali-kali jugak dia panggil. Naik kepala ni, orang buat baik semakin menjadi-jadi.

Sampai ke checkpoint saya, budak perempuan ni disuruh membaca iqra' 5, sesuai dengan tahapnya. Laju saja bila nak baca.(kadang-kadang saja....sebab nak coklat-teruk betul, itulah akibatnya ajar tak ikhlaskan niat, coklat ja yang dia tahu)

BERTUMBUK

Ketika mendengar bacaan Puteri Zunairah, tiba-tiba budak lelaki ni bergaduh sesama sendiri. Ada yang lebih kecil dan agak pendiam. Dia ni baik jugalah kiranya, berbanding yang lain-lain.

"Tush!!!" ada budak menumbuknya. Huaaaaa!-menangis la pula. Kuat lagi tu.

"Hanif, kenapa nangis?" saya bertanya gaya-gaya memujuk, sebenarnya memang dah nampak dia kena tumbuk.

Asalnya nak buat tak tahu saja. Tapi semakin menjadi-jadi pula. Karang ada yang luka berdarah, tak pasal-pasal kena naik turun mahkamah. Atas dasar itulah saya meleraikan pergaduhan itu.

Puas memujuk, akhirnya Hanif berhenti menangis. Dah pun bersalaman dengan Rifdi, budak yang lebih tua setahun daripadanya, darjah 4.

MERAJUK

Saya kembali mendengar bacaan Puteri Zunairah yang tertangguh tadi. Mukanya kelihatan masam sedikit. Saya biarkan saja. Tapi, kali ni dah kali ke-3 dia memasamkan muka. Itulah kerenah budak perempuan agaknya. Mungkin saya dulu macam tu juga. Yang nakal pun ada. Siap maki hamun orang lagi.

Setelah pukul 1 petang, ustaz memanggil semua untuk bersolat zohor. Kemudian, si Puteri yang merajuk tadi duduk di sisi saya. Malas nak melayan. Dia ikut sampai ke bawah. Akhirnya, disebabkan tiada respon dari saya, dia merajuk lagi, buat kali terakhir. Kebetulan, sampai saja dibawah, ibunya sudah tiba. Tanpa bersolat terlebih dahulu, dia terus pulang.

Akhirnya, nak balik memang lega. Bukannya apa, dah serik. Layan yang tu, yang ni haru-biru. Layan yang ni, yang tu merajuk. Baca iqra' entah ke mana pulak.

Bukan tak suruh baca, dah berkali-kali dah. Sampaikan, saya ingat setiap perkataan dalam iqra' tu, macam dah hafal ja!

Bila dibetulkan bacaan yang salah, sekali betul. Ulang kedua, salah lagi. Macam tulah berkali-kali. Tak ubah-ubah.

Ketika mula-mula datang, memang tak nak garang. Sebab dulu pengalaman sendiri, memang tak suka cikgu yang garang. Cikgu yang lembut lebih mudah nak belajar, nak tanya apa yang tak reti.

Malangnya, gaya mereka ni tak macam tu. Mendesak untuk menjadi garang.

Ketika hari ke-4 lah, saya tertampil dalam kegarangan. Bukan dibuat-buat, tapi memang dah terjadi. Geram. Melampau sangat. Ketika itu jugalah, suara yang terpendam, akhirnya terkeluar juga. Tapi, suara tu masih tak dapat nak melawan suara mereka.

Ibnu Assyad, paling buas sekali. Orangnya kecil.

Ada yang pandai ambil hati orang. Dia pandai bersembang dengan kami. Pelik juga. Dah budak laki. Adam tu macam dah cerdik sikit.

TAK NAK, GAME BUDAK-BUDAK

"Nak main treasure hunt tak?" dengan harapan mereka memberi respon positif. Tapi, mereka menggeleng. Konon dah matured la sangat. Tak nak main.

"Sebab apa tak nak main? Tak nak coklat?" sengaja saya memerangkap.

"Tak, tak larat nak lari," balas Adila, Puteri Zunairah, Atikah dan Maisarah, serentak. Amboi, kecil-kecil lagi tak larat dah.

Sebenarnya, dia tu tetap budak-budak. Jadi dia nak juga coklat. Pelbagai syarat yang diberi untuk mendapatkn habuan tu. Inilah silapnya. Budak akhirnya baca iqra' bukan sebab nak pahala, tapi coklat. Coklat tak ada, iqra' entah ke mana.

Pada mulanya, memang saya tak nak ajar macam tu. Tapi, semua fasilitator (kawan-kawan saya) bagi gula-gula pada mereka. Budak-budak dalam kumpulan saya pulak kerja hasad.

Bukan sekali, tapi berkali-kali juga saya peringatkan mereka;

"Kita baca iqra' sebab apa? Nak dapat pahala, kan? Nanti banyak pahala, Allah sayang. Dapat masuk syurga, tak nak?" saya memujuk mereka.

Memang berkesan. Keikhlasan akan memudahkan kerja nak mengajar. Tapi, setelah terbagi coklat, payah pula nak pulihkan 'keikhlasan' mereka. Sebenarnya, coklat yang diberi cuma lebihan daripada jamuan kelas, bukan dibeli.

Alahai. Macam-macam.

Ketika dalam van dah nak balik, datang budak, Hasyimah dan Atiqah.

"Ustazah, ustazah. Nanti ustazah tak datang dahkan untuk ajar kami? Datang la lagi sekolah kami."

"Ya, ya...baiklah," saya membalas.

'Sapa lah nak datang kalau jumpa dengan budak ribena cam ni' cuma monolog dalaman. Tapi, bukan saya seorang, kawan saya pun ada juga!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!