Racun dan Dosa, Lebih Kurang Sama



“Aku telah membunuh 99 orang. Apakah masih ada ruang untuk aku bertaubat?” seorang lelaki bertanya kepada seorang tokoh agama.

“Tidak,” rahib itu menjawab. Maka, lelaki itupun membunuh si rahib itu.

“Aku telah membunuh 100 orang. Apakah ada jalan bagiku untuk bertaubat?” lelaki itu bertanya kepada seorang ‘alim.

“Ya, ada. Siapakah yang dapat menghalangimu daripada bertaubat? Pergilah ke negeri ini, di sana terdapat satu kumpulan manusia yang menyembah Allah. Engkau hendaklah menyembah Allah bersama-sama mereka, engkau jangan sekali-kali kembali ke negerimu, kerana ia adalah negeri orang-orang yang jahat,” si ‘alim itu memberikan jawapan yang tepat.

Maka, lelaki itu pun pergi menuju ke negeri yang dimaksudkan itu.

MALAIKAT BERSELISIH PENDAPAT

Dalam perjalanan, lelaki itu menemui ajalnya. Malaikat azab dan malaikat rahmat berselisih pendapat tentang kedudukan lelaki tersebut.

“Dia telah datang untuk bertaubat dan menghadapkan hati murninya kepada Allah SWT,” hujah malaikat rahmat.

“Cubalah ukur di antara dua negeri tersebut, mana yang lebih dekat jaraknya, orang yang mati ini digolongkan ke dalamnya,” seorang malaikat berupa manusia berperanan sebagai pendamai.

Mereka mula mengukurnya dan mendapati bahawa jarak menuju ke destinasi yang ingin dituju oleh lelaki itu lebih dekat sejengkal berbanding negari yang ingin ditinggalkannya.

Maka, mayat itu diterima oleh malaikat rahmat.

(Sahih Al-Bukhari : 3211)

APAKAH TANDA DOSA?

Menimbulkan pelbagai kerosakan
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
(Surah Ar-Rum, ayat 41)

Memadamkan api ghairah ketika beribadah kepada Allah SWT

Perumpamaan ghairah dalam hati laksana kekuatan antibodi yang berfungsi mencegah dan melawan penyakit. Jika kekuatan ini hilang, penyakit akan mudah datang kerana tidak didapatinya sebarang pertahanan atau penjagaan, bahkan penyakit akan menjadi semakin kuat.

Di saat inilah datangnya kehancuran dan kebinasaan. Ini (sifat ghairah) laksana tanduk kerbau yang akan mempertahankan diri dan anaknya daripada kejahatan musuh. Jika tanduk tersebut patah, musuh mudah melakukan serangan.—fahamkah anda anologi ini?

Menghilangkan sifat malu ketika melanggar perintah Allah SWT atau berbuat maksiat
Apabila engkau tidak menaruh rasa malu (terhadap sesuatu perlakuan) perbuatlah apa yang engkau suka.
(Sahih Bukhari : 3224)

Pengertian hadis ini membawa kepada dua maksud.

Pertama (pendapat Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah), hadis ini bertujuan memberi ancaman dan menakut-nakutkan hamba. Orang yang tidak memiliki sifat malu akan berani melakukan perbuatan keji.

Kedua (Tafsiran Imam Ahmad), jika sesorang itu tidak berasa malu, perbuatan itu boleh dilakukan. Perbuatan yang membuatkan seseorang berasa malu dihadapan Allah hendaklah ditinggalkan. —selebihnya sila rujuk Hadis 40 Imam Nawawi.

Tidak suka membesarkan Allah SWT dalam setiap perkara

Apakah anda mempunyai perasaan memandang remeh terhadap perbuatan sujud kepada Allah?

Jika ada, awasilah ia kerana itulah kesan daripada kita melakukan dosa. Dosa yang disengajakan atau tidak. Bahayanya kerana Allah SWT akan menghina golongan ini. Maka tiada siapapun jua akan menghormati mereka setelah Allah memberi penghinaan. Sebaliknya, siapakah yang akan menghina orang yang dipandang Allah mulia?
Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan dan bintang-bintang dan gunung-ganang dan pokok-pokok kayu dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya) dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.

(Surah Al-Hajj, ayat 18)

Allah melupakan dan membiarkannya menentukan nasib sendiri
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka).
(Surah Al-Hasyr, ayat 19)

Allah menyeksa orang yang melupakanNya, dengan cara Allah membuatkan golongan tersebut lupa terhadap perkara yang mendatangkan kemaslahatan terhadap dirinya sendiri dan perkara yang akan menyelamatkannya daripada azab seksaan Allah.

Hilang rasa kenikmatan dan turunnya bala
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”
(Surah Asy-Syura, ayat 30)

Sentiasa dihinggapi perasaan cemas dan takut

Sesiapa yang takut kepada Allah, Allah akan melindunginya daripada segala sesuatu. Sesiapa yang tidak takut kepada Allah, membuatkannya takut terhadap segala sesuatu.

Timbul perasaan liar dalam hati

Tidak ada seorang juapun terdedah kepada dosa dan maksiat, melainkan dia akan diselubungi perasaan cemas dan liar sesuai menurut ukuran dosa yang dilakukannya. Perasaan cemas dan takut akan meliputi wajah dan hatinya. Dia akan merasa liar, orang lain juga akan liar terhadapnya.



PESANAN IMAM AL-GHAZALI

Sesiapa yang tidak segera melakukan taubat iaitu, melambat-lambatkan taubat, akan terdedah kepada dua bahaya yang besar;
1. Bertambah-tambah kegelapan hatinya akibat dosa, sehingga menimbulkan karat, lantas tidak dapat dihilangkan;
2. Ditimpa penyakit dan diragut maut secara tiba-tiba, sehingga dia tidak lagi berpeluang untuk menghapuskan dosa-dosanya.

Maka, segerakanlah kamu bertaubat sebelum kamu ditetapkan sebagai penghuni negeri kerugian (neraka). Betapa dahsyatnya negeri tersebut kerana tidak memiliki kesenangan sama sekali.

Negeri yang pasti dipenuhi bala bencana, laluannya gelap gelita, bunga dan nyalaan apinya tidak kunjung padam, panasnya amat dahsyat, bunyi suara api yang sangat kuat, minuman para penghuninya adalah al-Hamim(air yang sangat panas), azab yang mereka terima adalah kekal abadi.

Malaikat Zabaniah tetap mengancam dan menyeksa mereka, dicampakkan kedalam neraka Hawiyah, kebisingan di dalamnya adalah daripada bunyi pekikan dan ratapan penyesalan, panas apinya bernyala-nyala, angan-angan penghuninya dimusnahkan serta merta, tidak ada peluang para tawanannya untuk lepas atau dibebaskan, tumit kaki mereka berlipat ke paras ubun-ubun, wajah mereka hitam gelap disebabkan kehinaan maksiat, mereka berseru dari celah-celah lorang neraka Jahanam sambil menangis akibat azab yang tidak putus-putus:
“Wahai malaikat Malik, kami ternyata telah ditetapkan menerima janji buruk. Keluarkanlah kami daripadanya. Kami berjanji untuk tidak kembali kepada maksiat dan dosa yang kami lakukan.”

Kemudian malaikat menjawab:
“Sungguh jauh sekali apa yang kamu pinta itu. Tidak ada lagi masanya sekarang untuk memohon keamanan dan kebebasan. Tidak ada lagi jalan keluar dari negeri kehinaan ini. Pergilah jauh-jauh dan senyaplah dalam keadaan hina dengan menerima kegusaran dan kemarahan al-Dayyan; iaitu tuhan yang Maha Gagah dan Bijaksana dalam memberikan pembalasan.”




PESANAN IBRAHIM BIN ADHAM

Hati mukmin yang bersih laksana kaca, tidak datang kepadanya syaitan membawa suatu misi yang jahat melainkan diketahui oleh hatinya. Jika dia melakukan satu dosa, muncullah dalam hati satu bintik hitam. Jika dia bertaubat, bintik hitam tersebut akan lenyap.

Sekiranya dia kembali melakukan maksiat tanpa bertaubat, bintik-bintik ini akan muncul secara berturut-turut sehingga akhirnya hati menjadi hitam atau gelap.

Pada saat ini, jarang sekali berguna nasihat dan pengajaran. Bahkan hati akan jadi buta daripada melihat kebenaran dan daripada mengetahui kemaslahatan agama. Hati akan memandang remeh dan ringan tentang akhirat. Dia akan menganggap penting urusan keduniaan.

Sehingga, apabila dia diingatkan perkara akhirat dan aneka ragam cabarannya, peringatan tersebut akan masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Pengajaran dan nasihat tidak melekat dalam hati, tidak memberi rangsangan dan motivasi untuk bertaubat.

Memanglah, jika tubuh badan berpenyakit makanan tidak akan mendatangkan manfaat. Sama halnya dengan hati, jika terpaut dan terpukau dengan kecintaan dunia, maka pengajaran tidak akan mendatangkan faedah.

Apabila hati telah menjadi kasar dan kesat, tidak berguna lagi pengajaran. Laksana tanah yang bercampur air dan garam, tidak ada gunanya walaupun disirami air hujan.

TANDA TAUBATMU ITU DITERIMA

Lidahmu

Engkau sentiasa mengawal lidah daripada berdusta, mengumpat, berkata yang sia-sia. Lidahmu sibuk berzikir dan bertilawah.

Perutmu

Engkau sentiasa berwaspada terhadap makanan yang masuk melainkan jelas halalnya dan baik. —diperhalusi dari mana sumber keewangan mu itu?

Matamu

Engkau sentiasa tidak mahu melihat perkara yang haram, malahan hanya memandang untuk mengambil iktibar dan faedah sahaja.

Tanganmu

Engkau sentiasa memelihara tangan daripada melakukan diharamkan, dan hanya melakukan perbuatan ketaatan semata-mata.

Kakimu

Engkau sentiasa menggunakan kaki untuk berlaku taat kepada Allah SWT sahaja.

Hatimu

Engkau sentiasa mengawasi hatimu, membuang dan mengikis sikap permusuhan, benci, hasad dan gejala negatif. Disemai dan ditanamkan dalam hatinya rasa kasih sayang, suka memberi nasihat, mempunyai keperihatinan, dan kepekaan yang tinggi terhadap perihal umat Islam.

Telingamu

Engkau sentiasa takut dan waspada supaya tidak mendengar sesuatu kecuali yang berkaitan kebenaran dan keredhaan Allah SWT.

Perilakumu

Engkau sentiasa mersa takut terhadap perbuatan taat atau amal soleh yang dilakukannya. Engkau sentiasa menjadikan ketaatan hanya semata-mata mencari keredhaan Allah, menghindari sifat riya’ dan munafik.

Rujukan : Kesan Dosa Dalam Hidup, Ibnu Qayyim Al-Jauzi (Anbakri Publika, 2009)

1 ulasan:

  1. slm sdri yg mulia,
    alhamdulillah, syukran atas info pesanan2 mrk yg dirahmati lagi diberkati Allah swt ini. moga menjadi ingatan buat kita semua agar terdorong menjadi yg lebih baik, Insya Allah amin 99x :)
    - Ain Lam Mim -

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!