Medan Tabuk : Jauhi Sifat Munafik

Sifat nifaq, membawa ke neraka!

Selesai menunaikan solat Dhuha di pagi hari, seperti biasa, saya berbual-bual.

Kebetulan ketika itu kepanasan Maher Zain di sekolah masih baru.

"Dengaq tak lagi lagu yang..bla..bla..," tanya seorang rakan saya.

"Hmm..tak da la dengar semua lagi, sebab mak tak bagi dengar sangat," saya menjawab.

"Nasyid pun tak boleh dengar kah?" tanyanya mungkin kaget, tidak selesa.

"Walau apapun kita dengar, asalkan namanya hiburan, sifat nifaq tu tetap boleh timbul jugak," saya mula bersyarah.

"Oh..ya kah? Apa tu nifaq? Apa kaitan dengan dengar lagu, walaupun nasyid?" tanyanya lagi mendapatkan penjelasan.

"Ha'ah. Dulu aku pun tak tahu. Nifaq ni sifat kemunafikan. Contohnya, kita sebut masa menyanyi kita cinta Allah, sayang rasul. Tapi dalam masa yang sama, kita melewatkan solat. Takkah berpura-pura tu namanya?" saya menyambung syarah.

RINGKAS BERKENAAN NYAYIAN MUZIK DAN NIFAQ

Pendapat Khalifah 'Umar bin 'Abdul 'Aziz

Beliau menulis surat kepada guru anaknya,
"Hendaklah yang pertama kali diyakini anak-anakku dari akhlaqmu adalah membenci alat-alat muzik, sesuatu yang dimulai dari syaitan, dan akibatnya ialah memperoleh kemurkaan dari Allah.

Kerana sesungguhnya telah sampai kepadaku dari para ulama' yang terpedaya bahawa menghadiri alat-alat muzik dan mendengarkan nyayian-nyayian serta menyukainya akan menumbuhkan kemunafiqan dalam hati, sebagaimana air menumbuhkan rerumputan. Demi Allah, sesungguhnya menjaga hal itu dengan tidak mendatangi tempat-tempat tersebut lebih mudah bagi orang yang berakal daripada bersarangnya kemunafiqan dalam hati."
(Dipetik daripada Majalah As-Sunnah November 2012M, m/s 18. Lihat juga Dzammul Malahi (no 21), Talbis Iblis (halaman 241) dan al-Muntaqan Nafis (halaman 306). Lihat Tahrim Alatith Tharb (halaman 120))

Pendapat Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah (wafat 751H)
Di antara perangkap dan tipu daya musuh Allah yang menyebabkan orang yang sedikit ilmu dan agamanya terpedaya, serta menyebabkan hati orang-orang jahil dan pelaku kebatilan terperangkap adalah mendengar tepuk tangan, siulan, dan nyanyian dengan alat-alat yang diharamkan, yang menghalangi hati dari al-Quran dan menjadikannya menikmati kefasikan dan kemaksiatan.

Nyanyian adalah senandungnya syaitan dan dinding pembatas dari Allah Azzawajal. Ia adalah mantera homoseksual dan zina. Dengannya orang fasik yang mabuk cinta mendapatkan puncak harapan dari orang yang dicintainya. Dengan nyanyian ini, syaitan memperdaya jiwa-jiwa yang batil, ia menjadikan jiwa jiwa itu (melalui tipu daya ) menganggap nyanyian itu baik. Lalu, ia juga meniupkan syubhat batil sehingga ia tetap menganggapnya baik dan menerima bisikannya dan kerananya ia menjauhi al-Quran
Meskipun (majlis lagu dan muzik) telah dihadiri oleh seratus wali (menurut kaum sufi) akan tetapi ianya diingkari oleh lebih daripada seribu wali lain.

Meskipun dihadiri oleh Abu Bakar Asy-Syibli, akan tetapi Abu Bakar As-Siddiq r.a. tidak menghadirinya.

Meskipun telah dihadiri oleh Yusuf bin Husain Ar-Razi, namun yang jelas tidak dihadiri oleh 'Umar Ibn Khattab r.a. yang dengannya Allah memisahkan antaqa haq dan batil.

Meskipun dihadiri oleh an-Nuuri namun pasti tidaklah dihadiri oleh Dzun Nurain 'Uthman Ibn Affan r.a.

Meskipun dihadiri oleh Dzun Nun al-Mishri namun tidaklah dihadiri oleh 'Ali Ibn Abi Talib r.a.

Meskipun dilakukan oleh mereka semua, namun seluruh kaum muhajirin dan ansar, yang ikut serta dalam perang badar, peserta bai'ah ar-Ridhwan, dan segenap sahabat nabi dan tabiin, tidak ada yang pernah melakukannya.

Demikian pula seluruh 'ulama' ahli fiqh dan fatwa, ulama hadis dan ahlus sunnah, ahli tafsir dan imam-imam qiraah, imam-imam jarh wa ta'dil yang membela Rasulullah SAW dan agama Islam, tidak ada yang melakukannya. Lalu, siapakah lagi yang melakukannya?

Telah mutawatir dari imam Syafie rahimahullah, beliau berkata :
"Ketika aku meninggalkan Iraq, di sana muncul sesuatu yang disebut taghbir, dibuat oleh orang-orang zindiq (munafiq), untuk menghalangi kaum muslimin dari al-Quran."
Taghbir adalah syair yang mengajak untuk mencintai dunia, dilantunkan oleh seorang penyanyi, lalu sebahagian hadirin memukul permaidani atau bantal dengan menggunakan tongkat untuk meniru irama nyanyiannya.

Taghbir ini mengandungi segala macam kerosakan dan mengumpulkan segala yang haram, maka janganlah anda terfitnah dengan orang 'alim yang jahat dan seorang ahli ibadah yang jahil. Maka kalau anda melihat kerosakan masuk ke dalam umat Islam, ianya disebabkan dua golongan ini.
(Dipetik daripada Majalah As-Sunnah November 2012M, m/s 20, 21 & 39. Lihat juga Ighatsatul Lahfan (I/408), Mawaridul Aman (halaman 295))

Pendapat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah
Apa yang disebutkan oleh Imam Syafie bahawa perbuatan itu adalah hasil ciptaan para zindiq (dan ucapan itu) berasal dari seorang imam yang ahli dalam ilmu usul islam. 
(Dipetik daripada Majalah As-Sunnah November 2012M, m/s 39. Lihat juga Majmu' Fatawa (II/570))

Pendapat Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali (wafat pada 795H)

Mendengarkan qasidah-qasidah yang menganjurkan untuk zuhud, takut (kepada azab Allah), dan kerinduan (kepada Allah) banyak dilakukan oleh ahli suluk dan ahli ibadah dan mungkin juga mereka melantunkannya dengan salah satu bentuk nada (irama) demi memperoleh kelembutan hati.

Kemudian ada di antara mereka yang memukul-mukul di atas kulit dengan menggunakan tongkat (seperti memukul beduk). Mereka menamakan qasidah-qasidah tersebut dengan taghbir, padalah sebahagian 'ulama' membencinya. Yazid bin Harun berkata, "Tidak ada yang memainkan taghbir kecuali orang yang fasik."

Lantas, bagaimanakah taghbir itu muncul? Dalam riwayat sahih dari Imam Syafie dari riwayat al-Hasan bin 'Abdul 'Aziz al-Jarwi dan Yunus bin 'Abdul 'Ala bahawa beliau (As-Syafie) berkata :
""Ketika aku meninggalkan Iraq, di sana muncul sesuatu yang disebut taghbir, dibuat oleh orang-orang zindiq (munafiq), untuk menghalangi kaum muslimin dari al-Quran. (seperti ayat di atas di awal catatan ini)"
Imam Ahmad juga membencinya dan berkata :
"(Taghbir) itu bida'ah dan diada-adakan."
Dikatakan kepada beliau :
"Sesungguhnya ia dapat melembutkan hati."
Imam Ahmad menjawab :
"Bida'ah."
Imam Ahmad berkata tidak diragukan lagi bahawa mendekatkan diri kepada Allah dengan mendengarkan nyanyian yang dilagukan, apalagi diiringi alat muzik merupakan salah satu hal yang diketahui secara pasti dari agama Islam bahkan dari seluruh syariat para rasul bahawa hal itu bukanlah sesuatu yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dan tidak termasuk sesuatu yang dapat mensucikan hati dan membersihkannya. Hal ini kerana Allah telah mensyariatkan melalui lisan para rasul-Nya segala apa yang dapat mensucikan jiwa dan membersihkannya dari segala kekotoran dan bahayanya.
(Dipetik daripada Majalah As-Sunnah November 2012M, m/s 38. Lihat juga Majmu' Rasail Ibni Rajab (Nuzhatul Asma' (II/463))

PERANG TABUK

Dalam banyak-banyak perang yang disertai Rasulullah SAW, hanya perang ini yang boleh membezakan antara orang yang benar-benar beriman dan golongan munafik.

Punca berlakunya perang ini adalah kerana kerajaan Rom yang mengumpulkan pasukan perang untuk memerangi Rasulullah SAW dan kerajaan Islam di madinah.

Apa yang menjadikan perang ini menampakkan siapakah yang munafik disebabkan oleh;

1. Musim menuai buah-buahan tamar;
2. Cuaca yang sangat panas dan terik;
3. Perjalanan jauh dan sukar;
4. Menghadapi tentera Rom yang besar dan gagah.

Disebabkan 4 cabaran di atas, hanya orang-orang yang benar beriman dan taat kepada Rasulullah SAW sahaja yang sanggup keluar untuk berjihad.

Perjalanan yang hendak dituju oleh muslimin, dinyatakan dengan terang-terangan, tidak seperti ketika perang-perang lain. Hal ini kerana, peperangan yang berlaku sebelum ini turut disertai oleh puak munafik yang akan membocorkan rahsia perjalanan kepada pihak musuh. Selain itu, Baginda juga hendak memberi peluang kepada muslimin mempersiapkan diri dan jiwa dari segi mental dan fizikal.

MUNAFIKIN DATANG MEMBERI ALASAN
"Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu) dan sesungguhnya azab Jahanam meliputi orang-orang yang kafir."

(Surah At-Taubah, ayat 49)

Puak munafikin membuat alasan tidak mahu ke medan jihad kerana dibimbangi akan terkena fitnah. Fitnah yang dimaksudkan di sini ialah kecantikan wanita-wanita Rom yang mungkin dapat menggoda mereka.

Ada juga yang memberi alasan cuaca terlalu panas.

Malah, lebih dahsyat lagi, puak munafikin ini berkumpul bersama-sama tentera Islam yang lain untuk menghasut dan mempengaruhi orang lain supaya turut meninggalkan medan jihad. Mereka mengejek-ngejek para sahabat dan Rasulullah SAW, kerana bagi mereka, Rom tidak mungkin dapat dikalahkan.

Sepatutnya, orang yang tidak dapat mengikut berjihad akan berasa sedih. Sebaliknya mereka menzahirkan rasa gembira seperti firman Allah SWT,
"Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah) dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya) dan mereka pula (menghasut dengan) berkata:

Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini. Katakanlah (wahai Muhammad): "Api Neraka Jahanam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami."

(Surah At-Taubah, ayat 81)

MASA SINGKAT, TAK SEMPAT?

Berkat kesabaran dan ketabahan muslimin, Allah SWT menggantikannya dengan menimbulkan rasa gerun didada musuh. Maka, tentera Rom lari bertempiaran meninggalkan medan perang.

Muslimin mendapat kemenangan dengan kesabaran mereka. Tiada pertempuran berlaku.

Malah, kerajaan Rom menghantar gabenornya untuk berdamai dan membayar jizyah.

Oleh itu, masa peperangan dapat disingkatkan kerana tiada lagi pertempuran. Dan, Rasulullah SAW segera pulang ke madinah setelah membahagikan harta rampasan perang kepada orang-orang Islam di Makkah.

Dukacitanya, terdapat muslimin yang tidak menyertai peperangan itu, kerana mereka menjangkakan perang itu akan berlanjutan hingga berbulan-bulan lamanya. Niat mereka akan menyusul Rasulullah SAW ke medan perang setelah selesai menuai hasil buah tamar.

Mereka tergolong dalam golongan yang tidak menyertai medan jihad.

Terdapat 80 orang munafik dan 3 orang sahabat yang tercicir.

Namun, Rasulullah SAW tidak segera memaafkan 3 orang sahabat iaitu;

1. Kaab bin Malik;
2. Marrarah bin Ar-Rabie';
3. Hilal bin Umaiyah.

Pada mulanya, mereka bercandang untuk mencipta alasan, tetapi sebaik sahaja berada dihadapan wajah Rasulullah SAW, niat jahat mereka itu terpadam serta merta. Hanyalah lisan yang benar dan jujur dilafazkan.

"Aku sebenarnya mampu mengikut kamu berjihad."


Tanda-tanda munafik ada tiga.
(Bila bertengkar, dia melampau tidak termasuk)


WAHYU PEMULAUAN

3 orang sahabat yang tidak turut serta dalam peperangan, diperintahkan supaya dipulaukan. Tiada seorang pun dibenarkan untuk bercakap-cakap dengan mereka. Hidup mereka seperti di perantauan, tiada yang mengendahkan apa lagi mengambil berat hal mereka.

Ketiga-tiga sahabat berasa sedih atas perintah itu, namun apakan daya, itu perintah Allah dan RasulNya.

Mereka bertaubat kepada Allah SWT atas dosa-dosa mereka, bersungguh-sungguh. Sehingga, Kaab menerima sepucuk surat daripada Raja Ghassyan.
"Khabarnya kamu dipulaukan oleh kaummu sendiri. Datanglah ke negara Beta. Beta akan memberi kebebasan kepadamu."
Namun, surat itu dibakar segera oleh Kaab. Baginya, itu hanyalah dugaan yang akan memberinya lebih banyak kecelakaan andainya termakan dengan hasutan itu.

Setelah 40 hari berlalu, Rasulullah SAW melarang mereka duduk bersama isteri. Jika dahulu mereka boleh meluahkan perasaan bersama isteri, namun, kini mereka duduk tanpa berteman.

Pada hari subuh yang ke 50, kedengaran laungan, 'Wahai Kaab, ada berita gembira!'.

Mereka segera sujud syukur.

Taubat mereka diterima Allah SWT.
"Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan) dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufik serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani."
(Surah At-Taubah, ayat 118)

HIKMAH PEMULAUAN

Mengapa hanya 3 orang sahaja dihukumkan oleh Rasulullah SAW supaya dipulaukan?

Sedangkan 80 orang munafik tidak dihukum. Golongan munafik datang mencipta 1001 alasan dan Rasulullah SAW tidak melakukan apa-apa hukuman. Rasulullah SAW tidak mengetahui apa yang sebenarnya berada di dalam hati mereka.

Hal ini kerana taraf si munafik sama seperti orang kafir.

Mengapa perlu dihukum orang kafir di dunia, kerana azab di akhirat sudahpun menanti mereka?

Na'uzubillah.

Semoga Allah SWT membersihkan jiwa kita daripada sifat kemunafikan.

(Dikemaskini semula pada 17 Disember 2012)

2 ulasan:

  1. Eh habis yg cerita sahabat nyanyi sambut rasulullah tu?
    1 lg yg aisyh pun g mjlis yg ada nyayian.. Cerita tu mcm mn nk sahihkn?

    hmmm cerita perang tabuk ni.. Kena ambil pengajaran betul utk beramal. Takut2 mulut dan tulisan ckp lain tp yg kita buat tu lain..

    Nauzubillah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sila balik rumah dan baca majalah As Sunnah yang terbaru

      Padam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!