Oooo...Kamu Meniru, ya!


 'Apakah ini?', bisik penulis dalam hati.

Ketika itu, bilik darjah dalam proses penyusunan setelah selesai Peperiksaan Percubaan SPM. Sedang membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan oleh 'penyewa' meja saya, satu cebisan kertas dijumpai dan membuatkan saya terkesima.

Kaget.

Kertas itu menjadi saksi peniruan dan penipuan oleh beberapa individu yang tidak jujur. Bohong pada guru-guru, kawan-kawan, malah diri sendiri. Entahlah apa motif mereka berbuat demikian.

Sudah lewat di alam persekolahan, masih ada kegiatan tidak sihat seperti kanak-kanak yang belum mumayyiz. Tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

"Pssst...," saya berbunyi untuk menarik perhatian jiran meja sebelah.

"Apa tuh?" Anis dan Muna turut terkejut, serentak.

"Baca la apa yang dia tulis. Formula pun ada," Hasanah menokok.



"Jom kita pegi report kat cikgu!" cadang Farhana.

"Eh, mesti. Tak kanlah nak biarkan..," saya bersetuju.

Setelah berfikir segala pro dan kontranya untuk melaporkan kejadian itu kepada guru-guru, kami bersepakat menyatakan hal itu tidak boleh dibiarkan. Andainya berlarutan hingga peperiksaan SPM, maka, parahlah mereka. Di gantung, malah nama sekolah turut tercemar.


SISTEM TANAH MESTI DIIKUTI



Menurut Stephan R. Covey, sistem peperiksaan boleh dimanipulasi oleh manusia-manusia yang tidak berusaha dan membuat persediaan awal. Secara zahirnya, manusia-manusia ini akan 'berjaya'. Namun, dengan sikap yang suka bertangguh, adakah kejayaan itu akan menjamin kejayaan abadi di dalam hidup di dunia atau di akhirat kelak?

Menurut sistem tanah, musim menanam dan menuai mestilah diikuti dalam masa yang lama, memerlukan kesabaran dan ketabahan. Mana mungkin orang yang tidak menanam ketika musim menanam, boleh menuai hasil ketika musim menuai bersama orang lain.

Walaupun dia bersungguh-sungguh sekalipun, andai tidak mematuhi jangka masa tertentu, tidak menghasilkan apa-apa.

GENETIK 'MENIPU'

Saya bukanlah bermaksud tabiat ini berpunca 'dosa warisan'. Tidak sama sekali.

Tetapi, apabila si Pembohong itu sudah meningkat dewasa, malah memperoleh jawatan profesor melalui proses pembohongan yang mantap. Maka, lahirlah anak-anak profesor yang mewarisi kemahiran berbohong hingga ke peringkat PhD sekalipun.

"Hari ni dapat buku rekod. Ani dapat 95%!" beritahu sang anak yang menambah angka '5' disebelah markah tersebut, bijak menipu ibu bapanya.

"Bagus anak mak. Bijak, bijak," kata ibu yang satu ketika dahulu pernah menjalani pelbagai peringkat berbohong untuk mendapatkan sesuatu secara tidak sah, akhirnya tertipu.

Anak, cucu dan cicit kita akan menjadi pewaris semulajadi 'kemahiran berbohong'.

Maka, jangan mulakan daripada diri anda!!

Hentikan dosa berantai ini.

FORMULA IT - DR. DANIAL ZAINAL ABIDIN

Menurut beliau, sesuatu kemungkaran dapat dielakkan dan dijauhi dengan mengamalkan konsep "IT".

"I" bermaksud Ilmu.

"T" bermaksud Taqwa.



Seseorang itu sudah tahu salah, tetapi tidak dapat mengelak daripada melakukannya kerana tidak mempunyai sifat taqwa. Sebagai contoh kisah di atas, sudah tentu para pelajar tingkatan 5 yang sudah menjalani puluhan peperiksaan sebelumnya mengetahui kesalahan meniru dalam peperiksaan.

Cuma, ketika melakukan 'kegiatan' itu, mereka lupa yang Allah SWT sentiasa memerhati tingkah laku setiap detik. Kelupaan itulah yang menjerumuskan mereka 'tergamak' mempermainkan sistem peperiksaan yang telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk menilai tahap penguasaan ilmu.

Konsep IT ini sangat relevan kepada semua jenis kemungkaran.

Tatkala ingin melewatkan solat, ketaqwaan itu datang dan terus memberi peringatan.

Tatkala ingin berhias keterlaluan, ketakutan pada Allah mendahului perbuatan itu.

Tatkala terasa hendak menjejakkan kaki ke panggung wayang, iman segera membayangkan azab api neraka.

Tatkala mula mendengar lagu-lagu rock dan sia-sia, keinsafan tentang azab kubur segera membayangi.

Tatkala teringin bercouple, kesedaran syariat Allah membatasi segalanya.

"Kamu tahu benda ini haram, tapi mengapa buat juga?"

Jawapan kepada soalan ini sudah terjawab. Tahu, tetapi seseorang itu perlukan kuasa lonjakan untuk mempraktikkan teori ilmu yang ditadah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!