Selepas menunaikan solat Zohor, saya dan kakak bersiap untuk ke tempat agensi daftar memandu. Lebih kurang 15 minit, kami tiba di hadapan pintu kedai.
Setelah kakak saya menerangkan tujuannya hadir ke situ, Kak Wi (bukan nama sebenar) melarikan pandangannya dan terhenti ke arah saya.
"Ni, adik nak buat apa?" tanya agen Pusat Memandu Mutiara, tepat memandang ke arah anak mata saya.
"Lesen kereta," saya menjawab sambil membetulkan duduk.
"Eh? Lesen ni ada had umur tau," kata Kak Wi, sambil mengerutkan dahi seolah-olah terperanjat dengan kenyataan saya sebentar tadi.
"Saya 18," segera saya menghentikan anggapannya yang tidak tepat itu.
"Ohhh..boleh, boleh. Ingatkan 15, 16 ke," katanya sambil mengeluarkan kertas untuk memberi penerangan kepada kami tentang bayaran dan tindakan yang perlu dilakukan sepanjang kursus itu nanti.
"Hari Khamis atau Sabtu? Boleh pilih," kata Kak Wi setelah melakarkan sedikit sebanyak rangka perancangan yang hendak disusun.
"Hari Khamis," balas kakak saya memberi keputusan dengan segera.
"Ok. Pukul lapan hingga pukul tiga," Kak Wi memberi kata putus.
TAKLIMAT DAN KURSUS PERTAMA
Setelah bersarapan, saya bersiap-siap menunggu kehadiran kereta Kak Wi. Janjinya akan menjemput kami pada pukul lapan pagi.
Jadi, lima minit sebelum pukul lapan, kami sudah berada di hadapan pagar.
Namun, seperti yang diduga, janji orang Melayu akan sentiasa menjadi 'Janji Melayu'. Berjanji pada pukul lapan pagi, namun tiba hanya selepas setengah jam(atau mungkin lebih) daripada masa yang ditetapkan.
Lama juga kami menunggu. Sempat juga kami 'berkenalan' dengan seekor kucing jalanan.
Perjalanan ke Pusat Memandu Mutiara, Sungai Dua dari rumah kami hanya memakan masa kira-kira lima belas minit sahaja.
Sampai di kaunter, Kak Wi menyuruh kami beratur sebelum dia menghilangkan diri.
Dalam pukul lapan lima puluh pagi, kami menuju ke Dewan B untuk mendengar taklimat selama 5 jam selepas meninggalkan MyKad di kaunter serta mengenakan cap jari.
Dewan yang berdindingkan kabin itu sungguh sejuk pada pagi hari di tambah pula dengan pemasangan penghawa dingin yang mencecah 16 darjah celcius. Sejuk dan terketar juga saya dibuatnya.
Episod bermula dengan menunggu. Menunggu, dan menunggu.
Dari jam 8.50 pagi hingga 9.40 pagi. Dewan kosong tanpa guru.
Itu 'penungguan' sulung kami.
Selesai taklimat untuk sesi pertama, kelas berhenti rehat. Masa yang diberikan adalah dari pukul 12.40 hingga jam 1.45 petang.
Lama juga tu. Nak makan di 'kafe' yang terang-terangan tidak menjaga kebersihan, memang memualkan. Lebih baik kebuluran daripada memakan makanan yang entah bersih, entah tidak itu.
Bukan saja kebersihan yang tidak memuaskan, malah si tukang masak seolah-olah orang bukan Islam. Nak kata mamak, dia pakai sari penuh lagi. Tudung pun tak pakai.
Nak pergi ke Nasi Kandar Subaidah, kena pusing dan jaraknya agak jauh. Takut tak sempat solat Zohor pula nanti. Nak tuju ke Tesco Extra, pasar raya tu termasuk dalam senarai yang kena boikot.
Jadi, penyelesaian termudah ialah berlapar.
Pergi tandas dan ambil wudhuk. Apa lagi yang nak buat?
Pergi ke surau pula, ingatkan nak tunggu sampai masuk waktu Zohor di surau.
Namun, keadaan amat memeranjatkan.
Surau perempuan yang bersaiz lebih kurang 3x3 meter itu dipenuhi oleh nyamuk-nyamuk yang rancak merempit tanpa berlesen. Kotor. Gelap. Panas.
Kipas tak ada, lampu saja yang ada.
Jadi, saya nyalakan lampu dan tinggalkan kabin itu dengan harapan nyamuk-nyamuk tadi tidak lagi mengimarahkan surau berkenaan.
Tunggu. Tunggu lagi. Tunggu hingga masuk waktu zohor di hadapan kaunter tempat kerusi menunggu.
Selesai solat Zohor, kami berlalu ke Dewan B untuk menyambung taklimat. Kemudian, kami menunggu kedatangan guru PMM untuk sesi ke 2 pula.(Lebih kurang 20 minit)
MINI HYPOGLYCEMIA
Perut berkeroncong mendendangkan irama tanpa dikawal. Sekejap merdu sekejap menjadi sumbang. Otak sudah mula memprotes kerana sel badan mula kekurangan bekalan glukosa.
Perhatian terganggu.
Namun, bagi saya, itu sudah menjadi kebiasaan ketika tingkatan 4 dan 5 dahulu. Makan pagi (5.30 pagi) hanya bersantapkan segelas Vico dan beberapa keping roti, hinggalah pulang dari sekolah kira-kira pukul 4.00 petang.[Jarang sekali bagi saya ke kantin untuk menjamah makanan. Bilangan hari saya ke kantin di sekolah boleh dibilang dengan jari]. Kalau ada kelas tambahan mungkin dalam pukul 6.00 petang. Memang serbu nasi punyalah!!
Tarbiyah lapar itu mengajar untuk diri saya supaya banyak bersabar.
Dan, tak tersangka pula selepas tamat pengajian dua tahun di SMKA Almashoor, di sekolah memandu menjadi praktikal seterusnya.
Kelas taklimat berakhir tepat jam 3.30 petang.
Setelah menunggu giliran di kaunter untuk mendapatkan semula MyKad, jam sudah menunjukkan 4 petang. Fuh, selesai. Alhamdulillah.
Kami mencari Kak Wi. Rupanya dia sedang bersantap nasi bungkus berkuahkan sayur lemak. Dia mengisyaratkan kepada kami supaya tunggu sebentar.
Kami menunggu di samping perut berkeroncong tak henti-henti.
Tunggu. Tunggu lagi hingga jam 4.15 petang.
LANGKAH SETERUSNYA
"Sekejap lagi Kak Wi nak ambik pukul 1.20," kata Kak Wi kepada kakak menerusi talian telefon.
Sebelumnya, kami sudah berjanji pada pukul 2.00 petang.
"Kat sana ada tempat solat dak?" kakak saya bertanya kepadanya, risau juga nanti kalau tak ada.
"Zohor pukul berapa?" tanya Kak Wi.
"Dalam 1.30 macam tu," kata kakak saya.
Saya bertambah kaget. Takkanlah tak tahu waktu sepenting itu kepada orang Islam untuk menunaikan solat?
Tergamakkah pergi meninggalkan rumah dalam keadaan tidak mengerjakan solat terlebih dahulu, sedangkan masa sudah sangat hampir?
Kenapa terlalu awal dan apa yang perlu dikalutkan? Sedangkan masa untuk ujian hanya sekitar satu jam sahaja. Pejabat JPJ tutup pada pukul 4.30 petang nanti.
Masih lama bakinya.
Setelah kakak saya berbual dengan Kak Wi, dia memutuskan pada pukul 1.45 petang.
Dan, seperti biasa, kami bersiap 5 minit awal sebelum masa yang dijanjikan. Kalut juga untuk bersolat Zohor dalam masa yang sempit itu.
Tunggu. Tunggu lagilah hingga pukul 2.00 petang, barulah Kak Wi tiba.
SUATU PENANTIAN
"Ini dia tempatnya. Tu yang ada huruf L. Naik tingkat 2, bagi IC dan 10 ringgit," kata Kak Wi sebelum menurunkan kami, di hadapan USM.
"Ada bawak duit ka?" saya terkejut kerana Kak Wi tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada kami tentang bayaran yang dikenakan.
"Jap nak tengok," kata kakak saya sambil mencapai beg dompetnya yang berwarna merah hati itu.
Saya hanya memerhati dan mengharap pada Allah.
"Tak cukuplah. Ada 16 ja," katanya lagi sambil menunjukkan not kepingan duit yang tidak mencukupi.
Allahuakbar. Selalu saja jadi insiden ransangan hormon adrenaline yang berlebihan ini. Setelah melepaskan nafas yang panjang, saya teringat beg dompet kepunyaan sendiri. Memang sudah lama tidak diisi dengan wang kerana bercuti di rumah, namun, masih ada saki bakinya ketika persekolahan di tingkatan 5 dulu.
Alhamdulillah. Saya menarik nafas lega.
Setelah membuat pembayaran kepada penyelia JPJ bertugas, kami duduk di kerusi menunggu.
Saya mengerling jam tangan. Jarumnya menunjukkan pukul 2.15 petang.
Tunggu. Tunggu lagi. Sudah puas memerhati gelagat manusia keluar masuk di pejabat itu, pundi kencing saya mulai mengisi ruang. Alamak. Tandasnya agak 'tak lalu'. Seliparnya tiada, tandas hanya satu untuk lelaki dan perempuan.
Alamak kali kedua.
Dikala menahan perkumuhan daripada berlaku, mata pula terasa berat. Mengantuk barangkali.
Disebabkan kesejukan, saya tidak boleh melelapkan mata. Dan hal ini berlarutan hinggalah kepala dihinggapi kepeningan 'lalat' yang datang tanpa diduga.
Jam sudah 3.30 petang.
Namun, saya masih menunggu giliran.
"Masa menjawab 1 jam, pejabat JPJ tutup 4.30 petang. Kalau sekarang tak masuk lagi, cukupkah masa nak jawab satgi?" antara perbualan kami yang menjadikan kegelisahan menguasai diri.
Jam menunjukkan 4.25 petang.
Saya masih seperti tonggol di kerusi menunggu giliran. Giliran yang tidak tiba sejak 2 jam setengah tadi lagi.
Kepala pusing, badan letih, dah pulak nak terbuang air kecil.
UJIAN BERKOMPUTER JPJ BAHAGIAN SATU
Pada jam 4.30 petang, nama saya dipanggil untuk ke bilik komputer.
"Awak pilih 'orang awam Malaysia'," kata penyelia yang bertugas kepada saya sambil menghulurkan MyKad.
Saya mengangguk tanpa mendengar dengan teliti apa yang diperkatakannya.
Duduk.
Hampir 5 minit menulis kad pengenalan dan memilih kategori, keputusannya mengecewakan. Kata komputer itu, 'No kad pengenalan ini tidak wujud'. Rasa macam nak ketuk komputer tu. Tapi, komputer tak bersalah.
"Kenapa tak boleh nak masuk, ya?" saya bertanya kepada kerani bertugas.
Dia terus menulis no MyKad saya dan memilih kategori, 'orang awam Malaysia', dan sistem berjalan seperti biasa. La..'tadi aku pilih kategori penduduk tetap Malaysia'.
Saya mula menjawab.
Mata yang sangat kuyu, otak dah mula jam.
Namun, rembesan adrenaline menyebabkan kadar perpeluhan saya menjadi sedikit luar biasa. Dua tiga kali juga kena lap mouse semasa menjawab.
Semua soalan saya jawab selaju mungkin. Tanpa semak dan penelitian.
Iyalah, dah tak da mood lagi.
Apabila selesai soalan ke 50, saya segera menekan button 'tidak, hantar jawapan sekarang'.
Alhamdulillah. Allah SWT membantu saya ketika menekan pilihan jawapan tadi. Saya benar-benar tidak memberi penumpuan ketika menjawab tadi.
KESABARAN TERCABAR
Setelah selesai pada pukul 4.50 petang, kami menunggu dua orang lagi yang datang dengan agensi yang sama di lobi kedai.
Ketika menunggu, perjalanan trafik di jalan masih lancar. Bas rapid pun banyak tak henti-henti.
Namun, kerana kami datang dengan agen, maka mesti pulang dengan agen. Dah bayarlah kan.
Masa berlalu setingga 5.30 petang. Dua orang yang ditunggu tadi sudah selesai. Mereka menelefon kak Wi supaya menghantar kami semua pulang.
"Kak Wi kata dia tengah mengajar. Lambaaat lagi baru sampai kot," kata budak Melayu yang berdai perang gaya kebaratan kontemporari itu.
Setelah beberapa minit kemudian, telefon bimbit kakak saya pula menerima panggilan Kak Wi.
"Tengah kat Permatang ni. Lambat lagi nak sampai," kata Kak Wi yang tidak jelas jawapannya. [Nak suruh balik kami sendiri atau tunggu?]
Dua orang yang bersama tadi sudah membuat keputusan untuk pulang ke rumah masing-masing sendirian.
Kami pula mengambil keputusan untuk menaiki bas rapid saja memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Trafik yang tadinya lancar kini menjadi sesak.
Takut juga kalau tak sempat solat Asar nanti.
"Mak kata kak Wi nak mai ambik," kata kakak saya ketika sudah berada dalam bas rapid selepas menjawab panggilan telefon daripada mak.
"Hish. Mengarut betul. Tadi kata suruh balik sendiri, sekarang nak mai ambik pulak," saya mula merungut.
"Tu la. Memang dia tak mau ambik dah la tuh. Sebab tadi dia cakap dua kali dah. Kat budak dua orang tu pun dia cakap macam tu. Tadi dia tepon pun cakap cam tu jugak. Mungkin bila mak tepon dia, dia serba salah," kakak saya pun sudah panas angin.
Apa-apapun, Alhamdulillah. Kami selamat sampai ke rumah walaupun naik bas rapid. Trafik masih boleh tahan sesaknya dan bolehlah dikatakan lancar.
Ujian berkomputer JPJ cuma 15 minit, menunggunya hingga 5 jam!
Benarlah, antara azab di akhirat kelak nanti adalah dengan menunggu perhitungan amalan...
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."
(Surah Al-Ankabut, ayat 2 dan 3)
salam sdri yg mulia,
BalasPadamalhamdulillah, syukran atas bingkisan kisah yg mampu meraih motivasi dlm bersabar walaupun keadaan itu memihak kpd diri kita. syabas sdri atas penahanan diri yg teguh! moga kita semua mampu sifat sabar dlm erti kata yg sebenar, Insya Allah... bersabarlah dalam bersabar: Majalah Solusi Isu 31
- Ain Lam Mim -