Berpeluang atau Mencari Peluang?



Menghafaz al-Qur'an adalah impian setiap insan. Iyalah, al-Qur'an dapat menjadi teman dalam kubur nanti. Sapa yang langsung tak terdetik nak menghafaznya, tentulah tergolong dalam golongan yang rugi. Memang menghafaz al-Quran itu bukankah lengkap ilmu agama seseorang itu, tetapi ianya satu langkah permulaan untuk mendalami agama.

Seperti imam as-Syafi'i rahimahullah, baginda telah menghafaz al-Quran terlebih dahulu sebelum mendalami ilmu-ilmu agama yang lain ketika berusia 10 tahun.

"Bila lagi nak hafaz al-Qur'an. Dah tua nanti, jangan haraplah," saya mengajak sahabat sekelas untuk turut mengisi borang program persijilan Darul Qur'an (JAKIM).

"Tapi, aku ni.. hang tau lah. Nak hapai surah sajdah pun tak ingat-ingat," seorang sahabat saya memberi alasan.

"Tak pa. Kita cuba dulu, mana tau. Kut-kutlah masa temuduga nanti boleh ingat pulak," saya memujuknya.

Mengharapkan peluang datang tanpa usaha terlebih dahulu seperti berlaku menunggu miracle berlaku, ibarat mengharap tidak mati apabila ditelan ikan paus seperti nabi Yunus.


PELUANG YANG DITUNGGU

Sejujurnya, memang saya akui, banyak tenaga digunakan untuk menghafaz ayat al-Qur'an. Letih sekali. Saya berlatih menghafaz satu muka dalam masa satu jam (mengikut syarat lulus temuduga) ketika pulang dari sekolah.

Selesai satu muka, pastinya saya akan tertidur keletihan.

Malam itu kerja sekolah tak dapat disiapkan langsung. [Aku memang tabik spring pada siapa yang mudah nak menghafal al-Qur'an]

"Aisehhh. Macam manalah nak lulus temuduga, setakat hafal sejam, tidur 3-4 jam," saya mengeluh sendirian.

Kalau tak lulus temuduga ni, bilalah lagi 'paksaan' (atau lebih tepat : motivasi) yang akan saya peroleh untuk menghafal al-Qur'an akan datang. Saya meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk lulus dalam temu duga, walaupun saya tahu, masuk ke Darul Qur'an itu bukanlah satu-satunya cara yang wajib untuk menghafal al-Qur'an.

Tidak. Tidak sama sekali.

Melihat pelajar cemerlang seperti Nik Nur Madihah, ataupun Azali Azlan yang berjaya menghafal al-Qur'an ketika bersekolah menengah, hati saya cemburu. Ya Allah, sesungguhnya aku sangat cemburu melihat kebolehan dan ketekunan mereka. Namun apakan daya, saya insan lemah. Perjuangan sekecil itupun kerapkali berjaya ditewaskan oleh hasutan syaitan. [Ini bukan alasan kukuh kalau Allah tanya di akhirat nanti]

Namun, niat masih ada. Dan kerana itulah saya bertekad untuk memasuki Darul Qur'an selepas peperiksaan SPM. Saya menunggu peluang itu.

Alhamdulillah, saya dan tiga orang sahabat seperjuangan berjaya mendapat temuduga. Baru proses pertama. Kalau nak masuk, kena lulus temuduga ni. Kalau tak lulus, mimpi sajalah ya...


DI PAGI TEMU DUGA

"Sekejap lagi, siapa yang namanya disebelah atas, sila ke panel Darul Qur'an. Bagi yang di sebelah bawah, sila ke panel UIA," kata seorang ustaz ketika memberi taklimat.

Seperti biasa, nama saya akan tersenarai di bahagian bawah kerana disusun mengikut abjad. Nama 'Wan' memang bahagian bawah. Gerenti.

Saya ke panel UIA terlebih dahulu.

"I must conduct this interview in english. I'm sorry. Do you have problem with English?" tanya bro itu, seolah-olah tahu pula kelemahan terbesar saya ini.

Alamak. Kecut perut. Tiba-tiba kena serang dengan bahasa Inggeris.

"Yes, sure. I have a lot of problems with English," balas saya sejujurnya, sambil mengawal muka daripada menjadi merah. [Boleh ke?]

"What kind of problem do you have?" tanyanya lagi, meminta kepastian.

"In constructing the sentences spontaneously," saya menjawab, lama juga nak susun ayat ni..[entah betoi ke tak, tak tahulah. Macam 'spontan' bom meletup je. Kebetulan baru ulangkaji Physics tajuk radioaktif.]

Berpeluh-peluh juga nak terjemah ayat ke dalam bahasa Inggeris. Sebelum ni nak cakap sepatah pun tak berani, takut orang gelak sebab salah.[saya tak pasti sebab apa dalam hal ni, memang saya takut buat salah, walaupun dalam benda lain, saya tak kisah pun kalau tersilap] Sekarang kena cakap masa interview, ambik seketul!

Seperti manusia lain, dalam keadaan seperti ini, mechanism badan saya sudah mula merembeskan adrenaline ke dalam darah. Nafas menjadi laju. Jantung pula pantas mengepam darah untuk membekalkan oksigen yang mencukupi kepada sel badan.

Di pendekkan cerita, selesailah temuduga dengan panel UIA. Kemudian, saya ke panel Darul Qur'an untuk mendapatkan muka surat yang perlu dihafal.

"Assalamualaikum," saya memberi salam.

"Waalaikumussalam. Awak Nurhani Jauhar?" tanya ustaz yang mempunyai iras Ustaz Syahrin Nizam itu.

"Dak, dia ada kat luar," saya membalas, sambil menggelengkan kepada..

"Panggil dia dulu," kata ustaz itu.

'Aik, tadi Hani kata dia kena pegi panel UIA dulu. Kenapa pulak ustaz ni suruh dia mai yang ni dulu?' saya berkata dalam hati sambil meninggalkan kerusi itu setelah ustaz itu tetap dengan pendiriannya, walaupun sudah saya terangkan mengapa saya masuk ke situ terlebih dahulu.

Meter mood sudah mula bertukar warna. Tadi hijau, sekarang sudah mula kelabu.

Maka, saya keluar dan memberitahu Hani tentang gilirannya.

"Oh, ya ka?" kata Hani, mungkin kaget.

"Ya. Ustaz tu cakap macam tu," saya balas sambil memuncungkan bibir, sedikit geram kerana apa yang dikatakan sewaktu taklimat tadi tidak dipatuhi oleh panel Darul Quran itu.


TIBA GILIRAN



Hampir dua jam menunggu, akhirnya saya berpeluang untuk mencelah di tengah-tengah giliran. Nasib baik ustaz tadi tak halau saya lagi sekali.

"Takallam nafsak [perihalkan tetang diri kamu]," kata ustaz itu.

Kena serang dengan bahasa Arab pulak dah. Tapi, taklah sesukar tadi. Lega, alhamdulillah. Kemudian, ustaz itu menyelak lembaran al-Qurannya. Sempat juga saya menjeling kearah tempat yang dibuka. Apa yang saya jangka, saya akan dapat surah al-Kahfi, sebab dibuka betul-betul ditengah-tengah al-Qur'an.

Surah al-Kahfi mudah untuk dihafal kerana jalan cerita.

Namun, ustaz tadi tak berhenti lagi menyelak muka surat. Hinggalah tamat surah al-Kahfi. [Alamak!]

"Buka surah Maryam, mukasurat 311, bermula ayat 77," arah ustaz itu.

Sudah. Kepala berpusing-pusing.

Saya keluar dari bilik temuduga dan mula menghafal ayat yang diberi. Ketika menghafal satu per tiga daripada mukasurat, hati saya tenang. Mudah dan lancar.

Namun, setelah masuk ayat ke 86, hati saya gelisah. Otak sudah mula bercelaru. Hanya Allah yang tahu betapa sukarnya untuk menghafal di kala matahari terik, di samping kepala yang sudah tidak lagi segar, manakala meter mood sudah kelabu kelabi kerana menunggu lama dan dihalau tadi.

Tertekan.

Hati saya gementar. Sudah mula terbayang apa jalan lain yang perlu saya cari untuk menghafal ayatMu, ya Allah. Kegentaran itu adalah petanda bahawa Darul Qur'an bukanlah tempat sesuai bagi saya. Apabila tersedar yang saya masih dalam proses temuduga, bukan muktamad lagi, saya segera beristighfar.

Ya Allah, hasutan syaitan barangkali.

Saya memujuk hati supaya berkata, 'ini bukan pengakhiran minat aku terhadap al-quran andainya aku tak dapat sekalipun.' Dan, saya mula tenang kembali.
Setelah hampir 3 per 4 muka di hafal, masa 1 jam sudahpun tamat.

Saya segera ke tempat mula-mula temuduga tadi. Namun, rupa-rupanya masih beratur panjang. Alhamdulillah, saya menarik nafas lega, sambil menyambung ayat yang berbaki tadi.

Ketika itu, desakan hormone adrenaline sekali lagi mengganggu konsentrasi saya. Allah saja yang mendengar betapa kuatnya degupan jantung ketika itu. Disebabkan hal itu, saya hilang tenteram.
Otak saya celaru.

Istighfar pun tak jadi apa. Langsung tak reda perasaan gementar itu.


PENENTU

"Masuk pelajar seterusnya," kata ustaz, dan saya yakin, pelajar yang dimaksudkan itu adalah saya.

Kelenjar peluh aktif dengan tugasnya kerana telah menerima rangsangan daripada adrenaline. Manakala adrenaline dikeluarkan oleh kelenjar di atas buah pinggang kerana menerima arahan si otak dan otak pula sudah tentu taat pada sunnatullah. Perintah Allah.

"Anti dapat surah Maryam?" tanya ustaz menginginkan kepastian.

"Ya," saya menjawab seringkas mungkin sambil menghembuskan nafas dengan lembut.

"Ok. Sila baca," kata ustaz itu lagi.

Saya pun mula membaca. Ayat pertama, kedua dan ketiga lancar. Tetapi, ayat keempat sudah mula sangkut. Allah....

"Macam mana? Boleh tak hafal ni? Kat DQ nanti anti kena hafal 5 muka sehari," kata ustaz itu apabila bacaan saya terhenti.

Saya hilang kata-kata. Diam membisu.
Bukan terkejut dengan kenyataan ustaz itu. Sebab saya dah tahu melalui dua orang kakak saya yang pernah belajar di situ sebelum ini.

Saya diam kerana saya tahu, kata-kata yang keluar dari ustaz itu bermaksud, "anda tak layak nak masuk DQ!"

"Ustaz, kalau orang macam saya ni, boleh terima masuk tak?" saya bertanya soalan yang tidak patut.

"Ikutlah mesyuarat nanti. Tapi, berdasarkan hafalan anti tadi, banyak saingannya," ustaz itu berbasa basi.


JALAN KETAQWAAN ITU LUAS

Selesai temuduga, saya keluar. Hampir berkaca mata saya, namun semampu mungkin segera ditepis dengan kata-kata pujukan sendiri, "Memang aku tak layak masuk DQ macam ustaz tu kata. Tapi, semua manusia layak untuk hafal al-Quran, selagi mana mereka mahu!"

Kalau orang yang masuk DQ tu cuma sebab mahukan masyarakat memandangnya sebagai manusia yang mulia, usahanya sia-sia. Kerana setiap amalan bergantung kepada niat.

Malah, ada orang yang masuk DQ dan dah pun lengkap menghafal 30 juzu', selesai bergraduasi hilang segalanya. Habis hilang dan melayang segala jubah dan tudung labuh serta prinsip yang didokongnya sepanjang di DQ.

Bukankah itu satu pekerjaan yang sia-sia?

Biarlah kita susah untuk menghafal, kerana Allah menilai usaha dan kualiti, bukan kuantiti. Lagi susah, lagi banyak ganjaran.


ANTARA HIKMAH DAN TAKDIR

Ya Allah, soal betapa pentingnya niat, betapa Kau mahukan aku untuk menghargai suatu kepayahan supaya menjernihkan niat dalam mencari redhaMu.

Apalah gunanya kalau aku hanya bersusah payah untuk menunggu peluang yang sememangnya tidak akan datang, tanpa berusaha mencari peluang itu dengan sepenuh ikhlas demi memperhambakan diri kepada-Mu.

Sedih dan hiba apabila saya mendengar ada orang berkata, "Bukan semua orang dilahirkan boleh menghafal al-Quran."



"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

(Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Mulakan sekarang, daripada dirimu!

Sesungguhnya peluang itu perlu dicari, bukan menunggu ia datang bergolek di hadapan muka..

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Kaklong baru dan baca apa yang yah tulis ni.

    Tujuan kehidupan kita adalah menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah.

    Panduan melaksanakan dua tanggungjawab itu terkandung dalam al-Quran.

    Orang-orang yang benar-benar melaksanakan tanggungjawab pemelihara al-Quranlah dipanggil hafiz [pemelihara].

    Iaitu orang-orang yang taat pada perintah Allah dan menjauhi larangannya. Orang-orang yang sanggup mengorbankan kehendak hawanafsunya kerana mahukan menurut kehendak Allah. Orang-orang yang tidak pernah lapar pada sanjungan manusia. Orang-orang yang jujur dan amanah pada tanggungjawabnya sebagai pemelihara Al-Quran. Orang yang sedar akan matlamat dan tujuan hidup mereka.

    Benar menghafal tidak semua orang mampu wahai adik. Usah bersedih. Itu kehendak Allah. Mana kita tahu, adakah diri kita itu termasuk manusia yang tidak mampu menghafal? Jika hanya sekadar penilaian manusia yang menjadi penemuduga. Jepah sudah membuktikan! COntoh yang baik untuk diikuti [tolong jange perase pulop deh jepah]

    Tapi untuk MEMELIHARA [menjadi hafiz], semua orang MAMPU kerana Allah sudah ciptakan kita sedia dengan tugas dan tanggungjawab tersebut.

    "Apakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan [tidak diuji] selepas mengaku beriman?"
    AL-Ankabut: 2

    Jadi, tak dapat masuk DQ, hanyalah cubaan sebesar atom untuk membuktikan pada Allah bahawa kita benar-benar mahu menjalankan tanggungjawab sebagai pemelihara al-Quran.

    Ramai lagi hafiz Al-Quran sejati yang tak grad DQ..

    BalasPadam
  2. salam sdri yg mulia,
    alhamdulillah, syukran atas coretan kisah yg mengandungi iktibar buat kita semua. La tahzan ya akhi... benar, spt yg sdri katakan> Allah menilai usaha dan kualiti, bukan kuantiti. Lagi susah, lagi banyak ganjaran. Insya Allah ruang semakin terbuka luas buat sdri menjadi pemelihara yg sejati, amin 99x buat semua :)
    - Ain Lam Mim -

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!