Tamat Sijil Paling Mudah

Ketika peperiksaan terakhir SPM. Subjek PQS.
Foto ihsan : Aufa Madihah


"SPM indicate for the rest of our life!" satu slogan tertulis pada papan hijau di hadapan kelas 5 Akhtar.

"Sapalah pulak dah pegi tulis macam tu. Tak betul lah. SPM bukan segala-galanya," saya tidak setuju.

"Ya lah. Kalau tak cemerlang SPM, nak buat apa lagi. Hilang masa depan. SPM adalah segala-galanya," kata si penulis itu tadi menguatkan hujahnya.

"Alaaa. Banyak je orang yang tak lulus SPM boleh berjaya dalam hidup. Asalkan rajin, habis cerita. Rezeki Allah ada kat mana-mana," saya berkata sambil mencapai botol air berwarna biru kerana kehausan.

"Tak. Kalau tak cemerlang, apa guna belajaq selama nih," kata rakan sekelas saya itu sambil memuncungkan bibirnya kerana tidak setuju dengan pendapat saya.

"Belajar tu belajarlah. Belajarkan tak penah ada yang rugi. Yang rugi tu kalau tak amal!" saya menyambung bicara.

"Suka hati ampalah," katanya mengalah walaupun saya yakin, pandangannya tidak berubah.


BENARKAH SPM SEGALA-GALANYA?

Berpegang pada konsep "SPM adalah segala-galanya" adalah menyusahkan diri sendiri. Apatah lagi, kita akan ditipu oleh kehidupan dunia yang sekejap sahaja. Terlalu pulun untuk cemerlang dalam SPM, hingga terlupa untuk pengisian rohani, cara yang mendapat redha Allah sudah pun tidak diambil kisah.

Apa maknanya andai kita belajar hingga bersengkang mata menghafal setiap patah perkataan dalam tajuk syari'ah tentang hukum menutup aurat, tetapi akhirnya kitalah yang membawa fitnah kepada agama Islam?

Apa maknanya andai kita belajar bersuku sembam mengingati fakta keperluan badan, nutrisi dan apa yang menyebabkan badan kita menjadi tidak sihat, tetapi akhirnya sikap kita yang suka makan snek, makan makanan segera yang tidak berkhasiat serta kaya lemak atau lebih teruk lagi merokok tidak pernah berubah?

Apa gunanya kita belajar tentang teori dan kejadian alam yang unik, tetapi tidak menjadikan ianya modal untuk menambah iman terhadap keunikan dan kebesaran Allah?

Apa manfaatnya apabila kita belajar tentang betapa susahnya kehidupan pasca penjajahan, tetapi kita masih kurang sabarnya, sedikit syukurnya?


Apa faedahnya kalau kita tahu makanan dan karbohidrat yang terlekat pada gigi boleh menyebabkan kerosakan, tetapi kita malas untuk memberusnya setiap kali selepas makan, sedangkan gigi itu satu amanah daripada Allah?

KONSEP BERKAT

"Alamak. Cikgu mengamukla..takut," kata seorang pelajar kerisauan.

"Kenapa rasa takut tu datang?" saya bertanya memastikan jawapan, walaupun jawapan itu sudahpun saya ketahui.

"Nanti ilmu tak berkat. Sangkut nak jawab exam!" kata mereka.

Itulah mentaliti kebanyakan masyarakat sekarang. Guru-guru perlu diagungkan kerana keberkatan ilmu akan hilang andai tidak menjaga hati mereka.

Benarkah begitu?

Adakah hanya KEBERKATAN GURU semata-mata ilmu itu sudah menjadi berkat? Kalau itulah pendirian kita, kita sudah terjerat dalam perangkap syaitan yang sangat licik. Apakah tiada kebenaran pada kata-kata pepatah Arab yang berbunyi, "Ilmu tanpa amal, ibarat pokok tanpa buah" ?

Tidak mengamalkan ilmu itu menjadi satu faktor jangka panjang hilang keberkatan menuntut ilmu.




 

REDHA DAN SYUKURLAH

Wahai sahabat-sahabatku, apa saja yang diterima hari ini telahpun Allah tetapkan di dalam Qada' dan Qadarnya. Terimalah dengan perasaan redha dan syukur. Allah tidak pernah zalim terhadap hamba-hambanya. Cemerlang atau tidak, pasti ada hikmahnya. Insya Allah, hikmah itu akan menyusul kemudian.



"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."

(Surah Ibrahim, ayat 7)

Apalah gunanya kalau kita dapat keputusan yang jauh luar biasa daripada kemampuan kita. Cubalah sahabat-sahabat sekalian bayangkan, apabila kita mendapat keputusan yang lebih baik daripada kemampuan kita, kita akan memilih kursus-kursus yang berat dan hakikatnya kita tidak mampu.

Tapi, disebabkan keputusan yang cemerlang, kita pilih jugak.

Kesannya, apa yang jadi?

Sudah tentu kita tak dapat ikut pengajian itu dengan hati yang tenang. Kalau lepas ketika di IPT pun, bila masuk fasa bekerja nanti, adakah tanggungjawab yang berat itu mampu kita tanggung?

Dan ingatlah, SPM hanyalah menguji dua daripada tujuh aspek kemahiran yang ada pada seorang manusia. [Rujuk buku PTS : Apa Bakat Saya?]

Sijil Pelajaran Malaysia boleh dikenali sebagai Sijil Paling Mudah andai dibandingkan dengan Sijil Padang Mahsyar!

OPSYEN SELEPAS SPM

Masih jauh.

Wahai sahabat-sahabatku, perjalanan kita masih jauh. Jangan terlalu berpuas hati dengan pencapaian yang baru pada langkah pertama. Bagi yang kurang cemerlang, masih banyak peluang untuk berubah dan meningkatkan aras kerajinan.

Tiada orang bodoh, cuma kurang rajin.

Apa yang ada, antara dua : NAK KE TAK NAK?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!