Dedikasi Buat Bakal Guru



Apabila ditanya, majoritinya akan memberi jawapan yang hampir sama maksudnya.

"Apa yang kamu cita-citakan apabila dewasa nanti?" tanya cikgu Aisyah guru tadika di Taski ABIM pada tahun 1998.

"Guru!" jawapan murid-murid hampir serentak.

Itulah profesion pertama yang diketahui oleh kanak-kanak. Setelah memasuki alam persekolahan, guru merupakan seseorang yang penting dan dipandang mulia kerana banyaknya masa dihabiskan di sekolah, berbanding di rumah sendiri bersama ibu bapa.

Saya juga tidak terkecuali daripada kepompong itu. Andai ada saja ruangan kosong di buku rekod, saya isikan ruangan 'cita-cita' dengan perkataan 'guru'. Tidak dinafikan, kanak-kanak di awal usia memang tidak mengetahui realiti apakah itu 'guru'. Persepsi pertama mereka tentang profesion perguruan dibina ketikaa melangkah ke alam persekolahan. Guru-guru sekolah rendahlah memberi persepektif kepada anak murid, apakah itu menyeronokkan, atau mengerikan.



PERSEPEKTIF DICEMARI

"Sapa yang tak hafal lagi sifir lapan?" tanya muallimah Hanim (bukan nama sebenar) kepada murid-murid darjah 2 Umar.

Saya serba salah. Memang lupa untuk menghafalnya ketika balik sekolah tempoh hari. Banyak kerja sekolah lain agaknya. Nak mengaku atau tak..

Tiba giliran saya memperdengarkan bacaan sifir lapan. Bacaan saya tidak lancar seperti rakan-rakan sekelas yang lain.

"Kamu tak hafalkah?" muallimah Hanim bertanyakan untuk kepastian, tetapi nadanya sungguh mengerikan.

"Tak," balas saya jujur sambil menggelengkan kepala.

"Pergi belakang kelas dan ketuk ketampi sebanyak seribu kali!" arah muallimah itu yang saya kira tidak langsung tidak rasional tindakannya.

Oleh kerana ketakutan, saya menjalankan perintahnya ketuk ketampi sebanyak seribu kali. Bukan sepuluh, bukan seratus, tapi seribu!

Seingat saya, tidak sempat selesai bilangannya hingga ke seribu, lutut saya sudah terasa kebas. Lenguh. Tidak dapat bangun berdiri lagi. Mungkin otot di sekitar patella sudah sepenuhnya mengumpulkan asid laktik.
Setelah muallimah Hanim itu melihat saya 'lumpuh' seketika, barulah beliau membenarkan untuk saya kembali ke meja dan duduk seperti biasa.

Ketika itu, sudah wujud perasaan bahawa, 'guru boleh menghukum sesuka hati, tanpa mengendahkan keupayaan kanak-kanak, langsung tidak memberi maaf dan sedikit ruang serta peluang baru.' Saya benci 'guru' yang bersikap seperti itu. Apakah kerja guru itu mendera kanak-kanak?

Memang tak dinafikan, kelupaan saya menghafal sifir itu satu kesalahan. Namun, mengapa saya tidak diberikan peluang kerana sebelum ini saya tidak pernah meninggalkan kerja rumah yang diberikan olehnya. Saya sukakan matematik. Matematik satu-satunya subjek kegemaran saya. Malah, (bukan untuk mengangkat bakul sendiri) saya amat menghormati orang yang lebih tua daripada saya. Jarang sekali tidak mendengar kata atau bersikap degil. Pelajar nakal itu bukanlah personalti diri saya kerana telah diajar supaya tidak bersikap seperti itu.

ITU PUN TAK BOLEHKAH?

Lebih kurang 2 tahun selepas peristiwa di atas, persepektif itu sekali lagi dicemari.

"Muallimah tak benarkan lagi kamu menulis menggunakan pensel tiktik," kata muallimah Hanan (bukan nama sebenar) kepada kelas darjah 4 Zaid di Sekolah Rendah Islam Al-Islah yang kini dikenali dengan Sekolah Rendah Al-Itqan, Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Kami sekelas terlopong. Mengapa?

Menulis menggunakan pensel tiktik adalah lebih praktikal, tidak perlu mengasahnya dan tulisan lebih kemas. Mengapa tidak dibenarkan?

Kanak-kanak yang sudah berusia 10 tahun, apabila dilarang sesuatu, perlu diterangkan sebabnya. Kalau tidak, apa yang dilarang payah untuk diterima berbanding kanak-kanak ketika berusia 5 tahun. 

Sebab tidak dinyatakan. Oleh itu, kami mengabaikan arahan yang pada mata kami, ianya tidak berasas.

Setelah seminggu larangan itu dikeluarkan, pensel tiktik kami dirampas satu persatu ketika menulis. Mahu saja saya menjerit dan mengamuk kerana mengganggu kerja saya ketika itu. Tertekankah? Mungkin kanak-kanak yang berusia 10 tahun tidak pandai untuk berasa tertekan.

Sekali lagi, persepsi tentang profesion mulia itu dicemari. 'Guru adalah orang yang boleh curi barang orang sesuka hati.'




SAYA DIMANJAKAN?

Kedua-dua peristiwa di atas, saya maklumkan kepada ibu saya. Saya berharap beliau akan melakukan sesuatu kerana bagi saya itu adalah perkara yang menyakitkan hati dan mental kanak-kanak. Ketika saya bercerita tentang saya didenda ketuk ketampi seribu kali, reaksi ibu melegakan.

"Nanti mak cakap dengan guru besar," lebih kurang itulah kata-kata ibu. Beliau tidak bertindak 'melempang' atau menambah denda kepada saya seperti sebelum-sebelum ini, sebaliknya membela saya.

Selesai kes itu, muallimah Hanim sering memerli saya di dalam kelas dengan berkata, "Saya zaman dulu, kalau cikgu denda di sekolah, saya tak berani nak bagitau pada mak di rumah. Nanti mak tambah lagi. Kalau budak zaman sekarang, cikgu denda kena pulak serang dengan mak bapak dia."

Hati saya panas. Jiwa kanak-kanak kadangkala pantang dicabar, meskipun reaksi muka mereka nampak selamba.

Sama juga dengan peristiwa kedua di atas. Saya berjaya mendapatkan kembali pensel tiktik yang 'dicuri' oleh muallimah Hanan melalui kedatangan ibu saya ke sekolah. Ibu saya tidak menyerangnya, tetapi hanya bertanya mengapa pensel anaknya dirampas.

"Saya tak nampak titik yang ditulis," katanya kerana muallimah itu mengajar subjek tulisan jawi.

Saya mula membina satu lagi persepsi secara tidak langsung bahawa, 'Guru itu seseorang yang boleh lakukan apa saja andainya keselesaannya tidak dipenuhi.'

Mujurlah ibu saya amat memahami. Andainya ibu saya turut bersikap seperti kedua-dua muallimah itu, tentu saja persepsi saya terhadap peranan ibu sedikit tercalar kerana kanak-kanak menilai sesuatu dengan apa yang dilihatnya secara realiti, bukannya teori.

GURU ITU PROFESIONAL

Menjadi guru yang cemerlang, bukan semudah teori. Melayan kerenah anak-anak murid yang sudah pasti pelbagai ragam, memerlukan kecekapan dan kesabaran yang tinggi. Pastinya, janganlah menjadi guru yang sekadar mencari duit, atau hanya kerana peluang pekerjaan lain sudah tertutup rapat.

Bukan mudah menjadi guru yang baik.

Janganlah kita membuatkan anak murid di masa akan datang menulis dalam blognya seperti ini lagi. Jangan biarkan sejarah berulang. Hentikan kitaran ini zaman berzaman. Menjadi guru kerana pilihan dan menjadi guru paksaan ada bezanya. Mangsanya kanak-kanak yang baru hendak mengenal dunia.

Perspektif mereka tercalar.

1 ulasan:

  1. salam saudari yg mulia,
    alhamdulillah, syukran atas perkongsian pengalaman yg amat bermanfaat ini. sy suka kenyataan ini> kanak-kanak menilai sesuatu dengan apa yang dilihatnya secara realiti, bukannya teori. kebykn ibu bapa silap pandang dlm hal ini. moga kita semua sedar dr kelekaan, Insya Allah amin 99x :)
    - Ain Lam Mim -

    BalasPadam

Pesanan daripada anda dialu-alukan. Semoga Allah memberkati anda!